Content
DALAM PERKARA MAHKAMAH MAJISTRET DI SHAH ALAM DALAM NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN GUAMAN NO: BA-A74-136-08/2024 RAYUAN NO: BA-11B-8-03/2025 ANTARA WONG MUN SENG (NO. K/P: 821216-14-5371) …PLAINTIF DAN CHEN KOK WENG (NO. K/P: 790427-08-6149) …DEFENDAN ALASAN PENGHAKIMAN PENGENALAN [1] Ini merupakan alasan penghakiman Mahkamah Majistret yang membenarkan saman pemula Plaintif bertarikh 22 Ogos 2024 sebanyak RM 50,000 dengan kos mengikut skala yang diperuntukan mengikut Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 terhadap Defendan. [2] Plaintif memfailkan saman pemula dan menyatakan seperti berikut:- a. Bahawa Defendan dari bulan Oktober 2023 hingga April 2024 telah gagal mematuhi Klausa-Klausa 2.2 (c) dan (e) Perjanjian Jualan Saham bertarikh 13.7.2023, yang telah dimasukki oleh Plaintif dan Defendan; b. Bahawa Defendan, menurut Seksyen 75 Akta Kontrak 1950, hendaklah membuat bayaran kepada Plaintif dalam jumlah RM60,000.00 sebagai penalti; c. Kos; dan d. Apa-apa relif yang lanjut dan/atau lain-lain Mahkamah yang Mulia ini fikir patut dan wajar untuk diberikan. RINGKASAN FAKTA KES [3] Pada atau kira-kira 13 Julai 2023, satu Perjanjian Jualan Saham bertarikh 13 Julai 2023 telah dimasukki antara Defendan dan Plaintif, di mana Plaintif adalah Penjual dan Defendan adalah Pembeli (selepas ini dirujuk sebagai “Perjanjian Jualan Saham”). [4] Dalam Perjanjian Jualan Saham yang disebutkan di atas, Penjual hendaklah menjual dan Pembeli hendaklah membeli 100% (seratus peratus) daripada pegangan saham Penjual dalam syarikat, Gegocloud Sdn Bhd dan Redsun IT Solutions (M) Sdn Bhd. [5] Sepanjang transaksi Perjanjian Jualan Saham, Plaintif diwakili oleh Tetuan Tan Kong Hai & Tui, manakala Defendan diwakili oleh Tetuan Daren Lee & Lim. [6] Saman Pemula Plaintif untuk menuntut gantirugi dari Defendan atas kelewatan - penyingkiran nama Plaintif sebagai penjamin dalam tempoh masa yang ditetapkan dalam klausa 2.2 (c) Perjanjian Jualan Saham (“Tempoh Masa”). [7] Ini adalah walaupun beberapa peringatan Plaintif, melalui peguamcaranya, telah memberi beberapa peringatan kepada Defendan dan peguamcara Defendan untuk menyediakan kemas kini status serta dokumen sokongan yang berkaitan untuk menunjukkan bukti kemas kini untuk tujuan pengesahan namun demikian, menjelang Januari 2024, Defendan masih gagal untuk menggabungkan (incorporate) dan/atau memastikan Plaintif disingkirkan sebagai penjamin. [8] Tambahan pula, tidak ada permohonan bertulis untuk lanjutan masa yang diminta oleh Defendan dari Januari 2024 sehingga April 2024.