(iv) Perintah yang berat sebagai pengajaran dan kepentingan keadilan tanpa bersikap terlalu bersimpati terhadap PKK juga satu reformasi ke atas PKK Perintah yang wajar adalah Perintah Henry Gurney. 15) Laporan Akhlak juga dirujuk dan diteliti. Berdasarkan Laporan Akhlak, adalah disyorkan bahawa PKK diperintahkan di bawah perenggan 91(1)(d) Akta Kanak-kanak 2001 dibaca Bersama seksyen 83(2)(b) Akta Kanak-kanak 2001 iaitu memerintahkan supaya PKK itu membayar denda, pampasan atau kos yang minima serta turut dibaca bersama seksyen 94 Akta Kanak-kanak 2001. 16) Penasihat yang hadir juga turut memberikan nasihat kepada PKK seterusnya memberikan syor kepada mahkamah di mana kedua-dua penasihat bersetuju dengan syor dari Pegawai Akhlak dengan mengambil pendekatan turut memberikan nasihat dan panduan untuk PKK. 17) Selanjutnya, setelah mahkamah mempertimbangkan rayuan peringanan daripada PKK dan hujahan pemberatan daripada TPR, serta mengambil kira Laporan Akhlak termasuk syor Penasihat Mahkamah Kanak-kanak maka mahkamah menjatuhkan perintah sepertimana tersebut di atas (rujuk Perintah Mahkamah). D. ALASAN 18) Objektif sesuatu hukuman dijatuhkan kepada PKK di sesebuah negara adalah untuk mewujudkan masyarakat yang bersahsiah tinggi, patuh kepada undang-undang dan mengurangkan kadar jenayah dalam negara. Merujuk kes PP v. Morah Chekwube Chukwudi [2017] 1 LNS 864 telah diputuskan bahawa (dengan izin): “It is well established that there are a number of factors that courts take into consideration before sentencing. Some of them are as follows: (a) the gravity or severity of the facts constituting the offence; (b) the circumstances in which it was committed; (c) the rampancy of such offence in the area; (d) the offender’s previous record; (e) the offender’s contribution and support to his family members; (f) the offender’s means; (g) the effect of conviction and sentence on his job opportunities; (h) the age and health of the accused; (i) whether it is his first offence; (j) whether the accused had cooperated with the police after the commission of the offence; (k) whether the accused had pleaded guilty; (l) status of the accused; (m) whether there was violence during the crime; (n) public interest, etc.” 19) Mahkamah ini telah mengambil kira beberapa faktor dan kriteria sebelum mahkamah menjatuhkan perintah ke atas PKK. Diantaranya ialah: Kepentingan Awam 20) Faktor kepentingan awam adalah salah satu faktor utama yang diambil kira oleh mahkamah ini dalam menjatuhkan perintah terhadap PKK. Walaubagaimanapun, ini tidak bermaksud mahkamah ini mengabaikan kepentingan PKK. Hal ini kerana kepentingan awam merupakan konsep yang mempunyai taksiran subjektif bergantung kepada fakta sesuatu kes. Ini jelas dirujuk di dalam satu kes klasik iaitu di dalam kes R v. Ball [1951] 35 Cr App R 164, di mana dinyatakan bahawa (dengan izin); “In deciding the appropriate sentence, a court should always be guided by certain consideration. The first and foremost is the public interest. The criminal law is publicly enforced, not only with the object of punishing crime, but also in the hope of preventing it. A proper sentence, passed in public, serves the public interest in two ways. It may deter others who might be tempted to try crime a seeming to offer easy money on the supposition, that if the offence is caught and brought to justice, the punishment will be negligible. Such a sentence may also deter the particular criminal from committing a crime again, or induce him to turn from criminal to an honest life. The public interest indeed served and the best served, if the offender is induced to turn from criminal ways to honest living. Our law does not, therefore, the sentence for a particular crime, but a maximum sentence and leave it to the court to decide what is, within that maximum, the appropriate sentence for each criminal in the particular circumstances of each case. Not only in regard to each crime, but in regard to each criminal, the court has the right and the duty to decide whether to be lenient or severe? 21) Merujuk kepada kes di hadapan mahkamah ini, ianya merupakan satu kes merogol mangsa yang juga merupakan kanak-kanak. Berdasarkan fakta kes, mangsa mengakui PKK merupakan teman lelakinya dan pada masa kejadian PKK dan mangsa telah bermalam di rumah kawan PKK dan mangsa telah mengaku bahawa dia telah melakukan hubungan seks bersama teman lelakinya iaitu PKK. Pengadu yang merupakan bapa kepada mangsa tidak berpuas hati telah membuat laporan polis sepertimana P7. 22) Kesalahan jenayah seksual seperti ini kerap kali berlaku pada remaja yang seusia dengan PKK dan mangsa. Jenayah ini perlu dipandang serius oleh pelbagai sudut ahli masyarakat dan tidak memandang enteng baik bagi PKK mahupun mangsa. Dalam menyeimbangkan kedua-dua kepentingan awam iaitu kepada PKK, mangsa dan masyarakat umumnya mahkamah perlu mempertimbangkan faktor-faktor yang menyumbang kepada gejala tidak sihat ini berlaku. 23) Mahkamah ini mengambil perhatian dan panduan di dalam kes PP lwn Muhamad Abdul Rahim & Satu Lagi [2007] 9 CLJ 672, di mana diputuskan seperti berikut; “Adalah diakui bahawa penentuan hukuman yang sesuai dalam sesuatu kes jenayah terutama kes-kes yang melibatkan kanak-kanak adalah merupakan suatu pelaksanaan budi bicara yang sukar oleh pihak mahkamah atas pelbagai sebab. Pertama, dalam kebanyakan kes, Parlimen hanya menetapkan pilihan hukuman yang boleh dijatuhkan atau menetapkan hukuman maksimum. Dengan demikian terpulanglah kepada mahkamah untuk membuat pilihan mengenai hukuman yang sesuai berdasarkan fakta sesuatu kes. Kedua, dalam memilih hukuman yang sesuai, mahkamah bukan sahaja perlu mempertimbangkan fakta kes tetapi perlu juga mengambil kira kesan hukuman tersebut kepada kepentingan awam sebagai suatu langkah kawalan sosial (‘social control’). Oleh itu, kesan hukuman yang perlu dipertimbangkan bukan sahaja terhad ke atas pesalah itu sendiri tetapi juga terhadap masyarakat seluruhnya. Mahkamah yang menjatuhkan hukuman sesuatu hukuman bukan sahaja perlu mengambil kira apa yang telah terjadi dalam sesuatu kes tetapi juga ‘should have its eye to the future.’ Ketiga, …” 24) Dengan perintah yang setimpal juga dapat memberi kesedaran yang lebih kepada PKK ini agar tidak mengulanginya. Perintah yang setimpal perlu diberikan dalam menangani kesalahan ini. Perintah setimpal dapat memberi kesedaran yang lebih kepada PKK ini agar tidak mengulanginya. Justeru secara tidak langsung ianya dapat mengurangkan pelanggaran undang-undang dan keruntuhan moral di dalam masyarakat umumnya. 25) Oleh yang demikian, kepentingan masyarakat secara umumnya dijamin dan terjaga kerana secara tidak langsung dapat menghindarkan masyarakat mendapat kesan negatif akibat daripada perbuatan tidak sihat yang bercanggah dengan ajaran agama Islam dan juga moral. 26) Selain daripada itu, kepentingan awam tidak hanya tertumpu kepada kepentingan masyarakat umum semata-mata. Kepentingan PKK juga merupakan salah satu kepentingan awam kerana setiap tindakan daripada PKK memberi kesan kepada masyarakat. 27) PPK merupakan kanak-kanak yang masih memerlukan sokongan yang kuat daripada institusi keluarga. Merujuk kepada Laporan Akhlak di mana pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melihat kepada pentingnya proses intervensi yang holistik untuk PKK berubah secara menyeluruh dan proses ini sewajarnya adalah kepada ibu bapa dan keluarga PKK. 28) Berdasarkan Laporan Akhlak dinyatakan bahawa PKK mempunyai sokongan social yang baik daripada keluarga yang menjadi faktor penting dalam proses pemulihan PKK. Ibu bapa kandung PKK masih mampu mengawal PKK. Ini menunjukkan bahawa PKK mampu berubah lantas akan memberikan perubahan atau impak dalam kehidupan PKK serta masyarakat umumnya. Dengan ini kedua-dua kepentingan baik dari segi kepentingan PKK juga kepentingan masyarakat umum dapat diseimbangkan dengan faktor pemulihan dan intervensi keluarga. 29) Perintah yang diberikan kepada PKK bagi kesalahan sepertimana yang dipertuduhkan adalah adil dan bersesuaian bagi PKK. Dengan itu, perintah yang diberikan adalah munasabah bagi PKK dalam memberikan kesedaran kepada PKK untuk memperbaiki diri dan berubah sekaligus ia akan mengubah kepentingan awam di mana PKK akan menjadi lebih baik dan tidak mengulangi perbuatannya sekaligus kepentingan awan turut terjaga. Pengajaran/Deteren 30) Sesuatu hukuman yang dipertimbangkan perlulah bagi memberikan pengajaran setimpal dengan kesalahan yang dilakukan. Ini bertujuan supaya PKK tidak akan mengulangi kesalahan itu lagi dan insaf. Begitu juga kepada masyarakat awam, hukuman perlulah memberikan pengajaran dan peringatan tentang akibat daripada kesalahan yang dilakukan. 31) Ini selaras dengan petikan dari kes R v. Kenneth John Ball dalam kes PP v. Loo Choon Fatt [1976] 1 LNS 102 di mana dinyatakan (dengan izin); “In deciding the appropriate sentence, Court should always be guided by certain considerations. The first and foremost is the public interest. The criminal law is publicly enforced, not only with the object of punishing crime, but also in the hope of preventing it. A proper sentence, passed in public, serves the public interest in two ways. It may deter others who might be tempted to try crime as seeming to offer easy money on the supposition, that if the offender is caught and brought to justice, the punishment will be negligible. Such a sentence may also deter the particular criminal from committing a crime again, or induce him to turn from criminal ways to honest life. The public interest is indeed served, and best served, if the offender is induced to turn from criminal ways to honest living. Our law does not, therefore fix the sentence and leaves to the Court to decide what is, within that maximum, the appropriate sentence for each criminal in the particular circumstances of each case. Not only in regard to each crime, but in regard to each criminal, the Court has the right and the duty to decide whether to be lenient od severe…” 32) Maka, setelah mahkamah meneliti fakta kes dan eksibit yang dikemukakan dengan membandingkan juga dengan Fakta Kes (P9), dan Laporan Polis berkenaan pengaduan kes di dalam Kuala Perlis rpt 144/22 (P4) juga Laporan Perubatan Awal Mangsa (P14) serta Laporan-laporan Perubatan yang berkaitan (P15, P16 dan P17), perintah yang diberikan adalah munasabah. 33) Mahkamah juga menetili Laporan Akhlak (P19), yang menyatakan secara terperinci berkenaan latar belakang PKK, faktor yang menyumbang kepada kesalahan yang dilakukan serta pemerhatian yang dibuat oleh pihak Pegawai Akhlak dan syor yang dikemukakan. 34) Mahkamah berpendapat bahawa PKK telah tersalah langkah dan faktor kematangan serta persekitaran juga memainkan peranan penting dalam membentuk sahsiah dan kematangan PKK. 35) PKK juga dilihat telah insaf di atas kesalahan yang dilakukan dan telah faham bahawa kejadian yang berlaku adalah satu kesalahan di sisi undang-undang negara mahupun ajaran agama Islam walaupun ianya dilakukan atas dasar suka sama suka tanpa paksaan. Namun hakikat bahawa PKK adalah seorang Islam dan mangsa merupakan seorang yang di bawah umur ianya merupakan kesalahan yang berat yang dilakukan oleh PKK. 36) Mahkamah berpendapat hukuman yang dikenakan adalah patut dan bersesuaian terhadap PKK. Ia memberikan pengajaran terhadap PKK supaya tidak mengulangi kesalahan yang sama. Seterusnya, hukuman juga bertujuan untuk PKK berasa insaf dan sedar atas perbuatannya sekaligus memberikan pengajaran kepada masyarakat secara amnya. Ia seharusnya dijadikan pengajaran terhadap perbuatan tersebut. 37) Oleh itu, mahkamah berpendapat hukuman denda yang dikenakan terhadap PKK ditambah pula dengan perintah bayaran pampasan kepada mangsa serta perintah-perintah tambahan yang lain merupakan perintah yang munasabah dan setimpal serta memberikan pengajaran kepada PKK. Begitu juga dengan masyarakat secara amnya. Latar Belakang Pesalah Kanak-kanak 38) Berdasarkan rayuan yang dikemukakan oleh PKK juga merujuk Laporan Akhlak (P19), PKK semasa kejadian berumur 16 tahun 7 bulan dan semasa perintah dijatuhkan PKK telah berumur 19 tahun 4 bulan. 39) PKK telah memiliki sijil kemahiran SKM tahap 3 dalam bidang kimpalan. Pada masa kini PKK telah bekerja di syarikat Shopee Express di Kangar yang memerlukan komitmen terhadap kerjanya di mana PKK bekerja pada setiap hari kecuali Ahad dari jam 12 tengahari hingga 9 malam. 40) Berdasarkan latar belakang pendidikan pula, PKK bukan dari kanak-kanak yang keciciran sekolah dan telah berjaya menamatkan pelajarannya. PKK juga mempunyai sokongan sosial yang baik daripada pihak keluarga. 41) Tindakan dan kesalahan yang dilakukan PKK adalah atas faktor ketidakmatangan, ketidakpekaan terhadap undang-undang sedia ada dan keadaan persekitaran serta keinginan ingin mencuba perkara baru. 42) Mahkamah ini merujuk kepada kes Zaidon Shariff v. PP [1996] 4 CLJ 441, di mana di dalam kes ini Augustine Paul JC menyatakan (dengan izin); “A mitigation plea should not be treated as a ritualistic step to be summarily rejected the moment it is made. It is a constituent element of sentencing process. It merits due consideration in the light of the facts of each case, and more so when it is not contradicted by the prosecution as in the case”. 43) Berdasarkan faktor tersebut di atas, mahkamah mengenakan perintah munasabah supaya PKK sedar dan insaf atas perbuatannya. Ianya adalah sebagai pengajaran kepada PKK. 44) Tambahan pula, PKK pada masa perintah dikenakan telah berusia 19 tahun yang hampir menginjak dewasa dan sewajarnya PKK lebih matang dalam mempertimbangkan kebaikan dan keburukan. 45) PKK sepatutnya waras dan mematuhi perintah dan peruntukan yang dikenakan kerana PKK mempunyai daya pertimbangan yang matang dan adalah tidak munasabah bagi PKK mengulangi kesilapan di masa akan datang. 46) Oleh yang demikian, mahkamah ini berpendapat adalah munasabah dan setimpal perintah yang dikenakan terhadap PKK setelah mengambil kira latar belakang PKK dan keluarganya serta faktor persekitaran dan juga fakta kes kesalahan yang dipertuduhkan terhadap PKK. Laporan Akhlak dan Syor Pegawai Akhlak 47) Laporan Akhlak (P19) telah dikemukakan oleh Pegawai Akhlak dan telah dibacakan dan diterangkan kepada PKK dan difahami serta diakui oleh PKK. Pegawai Akhlak di dalam laporannya mencadangkan agar PKK diberikan peluang dan diberi perintah di bawah perenggan 91(1)(d) Akta Kanak-kanak 2001 di baca Bersama seksyen 83(2)(d) Akta Kanak-kanak 2001 dengan memerintahkan supaya kanak-kanak itu membayar denda, pampasan atau kos yang minima serta turut dibaca bersama seksyen 94 Akta Kanak-kanak 2001. 48) Sebagai tambahan selaras dengan seksyen 93(1), ibu dan bapa atau penjaga juga diikat dengan bon berkelakuan baik di bawah seksyen 93(1)(a) Akta Kanak-kanak iaitu memastikan kehadiran penama ke Jabatan Kebajikan Masyarakat dengan menemani penama mengikut tempoh yang ditetapkan oleh Mahkamah sepanjang tempoh bon agar proses intervensi ini mendapat sokongan daripada pihak keluarga. 49) Dalam mempertimbangkan perintah bagi kesalahan melibatkan pesalah kanak-kanak, mahkamah memberi keutamaan kepada tujuan pencegahan dan pemulihan kerana kesalahan sebegini telah membawa natijah kemusnahan kehormatan kanak-kanak yang lain iaitu mangsa. 50) Tambahan pula, ia makin berleluasa di kalangan orang muda dengan mengambil kira umur PKK antara 15 hingga 16 tahun semasa kejadian berlaku. 51) Mahkamah ini sedar bahawa perintah yang diberikan perlu mencerminkan perubahan sosial yang berlaku dalam masyarakat ketika ini. Mahkamah sentiasa sedar kepentingan awam perlu dititikberatkan tanpa meminggirkan kepentingan peribadi PKK. 52) Perintah bon berkelakuan baik adalah perintah yang terlalu ringan untuk diberikan kepada PKK. Namun dalam masa yang sama perintah untuk kemasukanr ke institusi pula adalah terlalu keterlaluan sepertimana yang dinyatakan oleh Pegawai Akhlak iaitu demi kepentingan kepada kanak-kanak (The best interest of the child) dan tidak menghukum serta kemasukan ke institusi adalah pilihan terakhir. 53) Pegawai Akhlak turut menyatakan bahawa PKK masih mempunyai sokongan sosial yang baik daripada pihak keluarga yang menjadi faktor penting dalam proses pemulihan PKK. Ibu bapa PKK turut mengesahkan bahawa masih mampu mengawal PKK serta ingin memberikan anak mereka peluang yang terakhir untuk PKK berubah dalam persekitran keluarga. 54) Mahkamah juga mempertimbangkan syor daripada kedua-dua Penasihat Mahkamah Kanak-kanak yang turut bersetuju dengan syor yang dikemukakan oleh Pegawai Akhlak. 55) Mahkamah berpendapat dengan bayaran denda yang dikenakan juga bayaran pampasan kepada mangsa mampu memberikan kesedaran kepada PKK dengan merasa susah payah dirinya dan keluarga menyediakan jumpah bayaran denda dan pampasan kepada mangsa. Perintah tersebut juga mampu membentuk semula displin mematuhi peraturan dan menanam semula sahsiah yang dapat mengubah sifat dan tingkah laku PKK agar berpadanan dengan norma masyarakat madani. E. KESIMPULAN 56) Setelah mahkamah meneliti secara keseluruhan laporan akhlak yang diakui benar oleh PKK dan ibubapa serta pandangan daripada Penasihat-penasihat Mahkamah Kanak-kanak, mahkamah berpendapat syor yang dikemukakan adalah suai manfaat kepada PKK mengambil kira faktor-faktor yang telah dibincangkan seperti di atas. 57) Di samping itu juga, mahkamah berpandangan bahawa bayaran pampasan juga patut diberikan kepada mangsa dan bukan sekadar bayaran denda sepertimana syor. 58) Selain itu beberapa perintah lain juga turut dikenakan kepada PKK sebagai tambahan bagi memberi kesedaran kepada PKK serta menyokong pemulihan PKK dengan perintah intervensi dari JKM. 59) Mahkamah juga sedar tanggungjawab ibu bapa PKK dalam mendidik anak mereka pada zaman moden ini adalah tugas yang mencabar terutamanya dalam keadaan kesibukan ibu bapa mencari rezeki. 60) Mahkamah berpendapat kurang pemantauan oleh ibu bapa PKK dengan tidak mengambil tahu aktiviti masa lapang dan juga faktor persekitaran menyebabkan PKK melakukan aktiviti di luar tabii yang melanggar undang-undang. 61) PKK sepatutnya diberikan perhatian ketat oleh ibubapa dari segi keselamatan, pengawasan dan kebajikan. 62) Sehubungan itu, mahkamah percaya PKK ini wajar diberikan peluang akhir yang bersesuaian dengan perintah-perintah yang dikenakan oleh mahkamah. 63) Mahkamah juga berpendapat bahawa perintah yang dikenakan adalah memadai dan berpatutan dalam kes ini yang mana mahkamah telah mengambil kira kesemua faktor peringanan dan pemberatan dengan sewajarnya. Keputusan tersebut adalah sentiasa berlandaskan kepada prinsip undang-undang dan keadilan. DISEDIAKAN PADA 27 DISEMBER 2024; nurshahida NURSHAHIDA BINTI ABDUL RAHIM MAJISTRET MAHKAMAH MAJISTRET KANGAR PERLIS