kegagalan untuk mematuhi secara ketat kehendak prosedur menurut Seksyen 173(b) Kanun Tatacara Jenayah. [37] Dalam hal ini, pihak pendakwaan sebaliknya menghujahkan bahawa Seksyen 6(2) Akta Sumpah dan Ikrar 194 [Akta 194] mengiktiraf bahawa jurubahasa rasmi mana-mana mahkamah dan jurubahasa yang dilantik oleh Kerajaan Malaysia tidak perlu mengangkat sumpah secara berasingan setiap kali mereka menjalankan tugas. Jurubahasa dianggap telah melaksanakan tugas mereka dengan setia sebaik sahaja mereka memulakan tugas. [38] Pihak TPR yang terpelajar juga menghujahkan bahawa pihak berkuasa yang berkaitan telah memastikan bahawa mana-mana jurubahasa yang disediakan oleh Mahkamah adalah berkelayakan dan kompeten. Oleh itu, memandangkan Jurubahasa Thailand telah disediakan oleh Mahkamah, maka tidak perlu untuk YA Hakim Mahkamah Tinggi untuk menyiasat lebih lanjut mengenai kelayakan Jurubahasa Thailand yang hadir tersebut, sebelum prosiding Mahkamah diteruskan. Selaras dengan Seksyen 114 Akta Keterangan 1950 juga, khususnya berdasarkan ilustrasi (f), Mahkamah boleh mengandaikan bahawa pihak berkuasa berkaitan telah melaksanakan tugas rasmi mereka dengan sewajarnya, termasuk memastikan kelayakan jurubahasa yang digunakan. [39] Berkenaan dengan isu ketidakpatuhan terhadap Seksyen 173(b) Kanun Tatacara Jenayah, pihak pendakwaan seterusnya menghujahkan bahawa semasa perbicaraan, pertuduhan pertama kali dibacakan kepada Perayu pada 19.12.2019 dalam Bahasa Thailand oleh jurubahasa, dan perbicaraan dimulakan dengan memanggil SP1 untuk memberikan keterangan. Kemudian, pada 09.03.2023, TPR telah memohon agar pertuduhan dibacakan semula kepada Perayu, yang mana kemudiannya Perayu telah mengaku bersalah. Rekod Rayuan menunjukkan bahawa fakta kes dan barang kes telah ditunjukkan serta dijelaskan kepada Perayu dalam Bahasa Thailand melalui jurubahasa. YA Hakim Mahkamah Tinggi juga berpuas hati bahawa Perayu memahami sifat dan akibat pengakuan salahnya, sebelum mensabitkan dan menjatuhkan hukuman terhadap Perayu. [40] Selanjutnya, berhubung dengan isu bahawa Perayu tidak memahami sepenuhnya prosiding Mahkamah, pihak pendakwaan menghujahkan bahawa Perayu diwakili oleh peguam yang berkelayakan yang dilantik oleh Mahkamah sepanjang prosiding tersebut. Perayu juga tidak membantah mengenai pelantikan peguam tersebut. Oleh yang demikian, tiada isu bahawa Perayu membuta tuli mengikut nasihat peguamnya. Tanggungjawab untuk menasihati Perayu terletak pada peguamnya, dan bukan kepada Mahkamah. Oleh itu, isu ini tidak wajar dipertimbangkan oleh Mahkamah di dalam rayuan ini. [41] Dalam hal ini, pihak TPR yang terpelajar telah merujuk kes Tan Kim Ho & Anor v. PP (2009) 3 CLJ 236 yang memutuskan sebagaimana berikut: "The duty to advise the accused person when he is represented by a counsel also lies with the counsel, not merely the court..." ANALISA DAN DAPATAN MAHKAMAH [42] Berhubung rayuan ini, setelah Mahkamah ini meneliti lanjut alasan penghakiman yang disediakan oleh YA Hakim Mahkamah Tinggi, serta seluruh Rekod Rayuan dan hujahan oleh pihak-pihak, kami mendapati bahawa tiada merit dalam rayuan oleh Perayu terhadap sabitan dan hukuman. Hal ini kerana, Perayu telah pun mengaku salah terhadap pertuduhan. Pengakuan salah tertuduh ini telah dibuat mengikut lunas undang-undang. [43] Selanjutnya, YA Hakim Mahkamah Tinggi telah mempertimbangkan segala faktor mitigasi dan pemberatan sebelum menjatuhkan hukuman ke atas Perayu. Oleh yang demikian, tiada sebab yang mewajarkan kami mengusik dapatan YA Hakim Mahkamah Tinggi tersebut. [44] Dalam hal ini, kami merujuk kepada kes of Lee Ing Chin @ Lee Teck Seng & Ors v Gan Yook Chin & Anor (2003) 2 MLJ 97 yang memutuskan sebagaimana berikut: "Generally, an appellate court will not intervene unless the trial court was shown to be plainly wrong in arriving at its decision or where there had been no or insufficient judicial appreciation of the evidence." [45] Dalam rayuan ini, Perayu sendiri telah mengaku salah atas perbuatannya. Maka, pihak Perayu tidak dapat menunjukkan bahawa YA Hakim Mahkamah Tinggi telah dengan jelas khilaf di dalam keputusannya atau telah gagal mempertimbangkan keterangan di hadapannya. KESIMPULAN [46] Setelah meneliti hujahan bertulis dan hujahan lisan dan setelah mengambilkira keterangan yang dikemukakan dalam kes ini secara keseluruhannya dan undang-undang yang terpakai, kami berpuas hati bahawa Hakim Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf dalam keputusannya di mana sabitan salah dari pengakuan salah Perayu/ Tertuduh adalah teratur dan selamat untuk dikekalkan. Hukuman yang dijatuhkan Perayu juga tidak melampaui tinggi (not manifestly excessive). Maka, rayuan atas sabitan bersalah dan hukuman adalah ditolak. -sgd- (AZMAN BIN ABDULLAH) Hakim Mahkamah Rayuan Malaysia Putrajaya Bertarikh: 29.09.2025 Bagi pihak Perayu Aiman Haziq bin Saiful Kamal [Tetuan Naran Singh & Co.] Bagi pihak Responden