Lampiran
Lampiran 218 bagi Lampiran 205, disertai ikatan autoriti masing-masing di Lampiran 217 dan Lampiran 219. Plaintif pula telah memfailkan hujahan bertulis di Lampiran 220, hujahan balas di Lampiran 224, serta disertakan Ikatan Dokumen di Lampiran 221. 14. Setelah mendengar penghujahan lisan dan meneliti keseluruhan afidavit, hujahan bertulis, dan dokumen yang difailkan, Mahkamah telah menyampaikan keputusan pada 9 Jun 2025 seperti yang berikut: (a) Permohonan Plaintif di Lampiran 205 untuk meminda Perintah Persetujuan di Lampiran 184 ditolak; dan (b) Permohonan Defendan di Lampiran 202 untuk membatalkan Notis Penetapan Bil Kos dibenarkan. 15. Plaintif kemudiannya telah memfailkan dua (2) Notis Rayuan, masing-masing terhadap keputusan-keputusan di Lampiran 202 dan Lampiran 205, pada 4 Julai 2025. C. ISU-ISU UNTUK DIPUTUSKAN 16. Berdasarkan permohonan dan afidavit-afidavit yang difailkan oleh kedua-dua pihak, serta hujahan bertulis yang dikemukakan, Mahkamah mendapati bahawa pertikaian di hadapan Mahkamah ini berpunca daripada tafsiran dan implikasi terhadap frasa “kos ditaksirkan oleh Mahkamah” yang terkandung dalam Perintah Persetujuan bertarikh 25 Ogos 2022. 17. Frasa tersebut, walaupun kelihatan ringkas, telah menimbulkan dua kesan perundangan yang berasingan: (a) sama ada ia memberi hak kepada Plaintif untuk menuntut penaksiran bil kos terhadap Defendan; dan (b) sama ada Mahkamah masih mempunyai kuasa untuk meminda atau menjelaskan semula frasa tersebut selepas Perintah Persetujuan direkodkan dan perbicaraan asal diselesaikan. 18. Setelah meneliti keseluruhan rekod prosiding, Mahkamah mengenal pasti tiga isu utama untuk diputuskan: (a) Isu Pertama: Sama ada Mahkamah mempunyai bidang kuasa dan budi bicara untuk meminda atau menjelaskan semula Perintah Persetujuan bertarikh 25 Ogos 2022 melalui permohonan Plaintif di Lampiran 205. 19. Isu ini timbul daripada permohonan Plaintif untuk menambah frasa “kos dibayar oleh Defendan kepada Plaintif” ke dalam Perintah Persetujuan sedia ada. Plaintif berhujah bahawa pindaan tersebut hanya bertujuan memperjelaskan niat asal pihak-pihak yang telah dipersetujui secara lisan semasa rundingan perintah, namun tersilap atau terlepas daripada rekod bertulis akhir. 20. Namun begitu sebaliknya, Defendan menegaskan bahawa Perintah Persetujuan adalah muktamad dan mengikat, bersifat seperti kontrak antara pihak-pihak, dan Mahkamah menjadi functus officio sebaik sahaja ia direkodkan. Sebarang pindaan hanya boleh dibuat jika wujud keadaan luar biasa seperti penipuan, salah nyata atau kekhilafan nyata dalam rekod. (b) Isu Kedua: Sama ada frasa “kos ditaksirkan oleh Mahkamah” dalam Perintah Persetujuan tersebut memberi hak kepada Plaintif untuk menuntut penetapan dan penaksiran bil kos terhadap Defendan. 21. Plaintif berhujah bahawa frasa tersebut secara implicit membawa maksud bahawa Defendan bersetuju untuk menanggung kos, dan bahawa Mahkamah hanya akan menentukan amaunnya kemudian. Maka, Notis Penetapan Bil Kos yang difailkan oleh Plaintif adalah menurut perintah sedia ada. 22. Defendan pula berhujah bahawa tanpa perintah yang jelas dan substantif mengenai pihak yang perlu membayar kos, frasa tersebut tidak boleh dilaksanakan. Ia hanyalah suatu pernyataan prosedural bahawa sekiranya terdapat perintah kos, penaksiran akan dibuat oleh Mahkamah. Ia tidak menimbulkan liabiliti baru terhadap mana-mana pihak. (c) Isu Ketiga: Sama ada terdapat kekhilafan atau kesilapan nyata oleh Mahkamah semasa merekodkan Perintah Persetujuan tersebut yang boleh membolehkan pembetulan dibuat di bawah Aturan 20 Kaedah 11 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 (“KKM 2012) (“Slip Rule”). 23. Plaintif berhujah bahawa kegagalan merekodkan frasa “kos dibayar oleh Defendan” merupakan kesilapan yang boleh diperbetulkan di bawah “slip rule”, memandangkan ia tidak menukar maksud substantif perintah tetapi hanya membetulkan ketidaktepatan teknikal. 24. Defendan menolak hujah ini dan menyatakan bahawa “Slip Rule” hanya terpakai kepada kesilapan perekodan atau penulisan (clerical error), bukan untuk menambah atau menukar kandungan substantif sesuatu penghakiman atau perintah. Tambahan pula, rekod menunjukkan bahawa frasa tersebut telah dipersetujui secara bersama oleh pihak-pihak, tanpa bantahan atau permohonan pembetulan segera selepas direkodkan. 25. Ketiga-tiga isu ini saling berkait dan perlu ditentukan secara keseluruhan kerana dapatan terhadap satu isu akan mempengaruhi dapatan terhadap yang lain. Mahkamah akan meneliti setiap isu tersebut berdasarkan prinsip undang-undang yang berkaitan, fakta-fakta yang terbukti melalui afidavit, dan hujahan bertulis kedua-dua pihak. D. DAPATAN DAN ANALISIS MAHKAMAH (a) Isu Pertama: Sama ada Mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk meminda atau menjelaskan semula Perintah Persetujuan melalui permohonan Plaintif di Lampiran 205 26. Prinsip undang-undang yang mantap ialah bahawa sesuatu Perintah Persetujuan yang direkodkan oleh Mahkamah mempunyai kesan seperti kontrak yang mengikat antara pihak-pihak. Ia bukan sahaja berstatus sebagai perintah Mahkamah, tetapi juga menzahirkan persetujuan muktamad pihak-pihak terhadap penyelesaian pertikaian mereka. 27. Dalam kes ini, Plaintif berhujah bahawa pindaan yang dipohon hanyalah bagi memperjelaskan maksud asal pihak-pihak, bukan untuk mengubah terma substantif. Namun, daripada semakan afidavit-afidavit dan dokumen rundingan, tiada bukti menunjukkan wujud salah nyata atau kekhilafan semasa frasa “kos ditaksirkan oleh Mahkamah” dimasukkan ke dalam perintah. Malah, perintah tersebut telah disediakan oleh pihak Plaintif sendiri dan ditandatangani oleh peguam kedua-dua pihak tanpa bantahan. 28. Tambahan pula, permohonan ini difailkan hampir dua tahun selepas perintah direkodkan, tanpa sebarang penjelasan munasabah tentang kelewatan atau sebab mengapa pembetulan tidak dimohon lebih awal. Dalam keadaan ini, permohonan untuk pindaan tidak boleh dianggap sebagai pembetulan teknikal. Mahkamah berpandangan bahawa ia merupakan percubaan untuk menambah perintah substantif yang baru, iaitu untuk mewujudkan liabiliti kos terhadap Defendan. 29. Oleh itu, Mahkamah berpendapat bahawa tiada asas undang-undang bagi membenarkan pindaan terhadap Perintah Persetujuan tersebut. Sebaik sahaja perintah itu direkodkan secara sah, Mahkamah tidak lagi mempunyai kuasa untuk meminda terma substantifnya. 30. Maka, bagi Isu Pertama, Mahkamah memutuskan bahawa permohonan Plaintif di Lampiran 205 adalah tidak berasas dan mesti ditolak. (b) Isu Kedua: Sama ada frasa “kos ditaksirkan oleh Mahkamah” membolehkan Plaintif menuntut penetapan dan penaksiran bil kos terhadap Defendan 31. Frasa ini merupakan teras utama pertikaian. Plaintif berhujah bahawa ia secara implicit mewujudkan liabiliti kos ke atas Defendan, manakala Defendan menegaskan bahawa ia hanyalah frasa prosedural yang tidak memberi apa-apa hak substantif kepada Plaintif untuk memohon taksiran. 32. Berdasarkan amalan kehakiman dan prinsip di bawah Aturan 59 KKM 2012, sesuatu perintah kos hanya boleh dilaksanakan jika terdapat perintah yang jelas bahawa satu pihak perlu membayar kos kepada pihak lain. Sekiranya perintah hanya menyatakan bahawa “kos ditaksirkan oleh Mahkamah” tanpa menentukan siapa pembayar, maka tiada liabiliti kos yang boleh dikuatkuasakan. 33. Dalam kes ini, frasa “kos ditaksirkan oleh Mahkamah” tidak disertai dengan sebarang perintah bahawa Defendan hendaklah membayar kos kepada Plaintif. Mahkamah tidak boleh menambah maksud yang tidak wujud dalam teks perintah, kerana tafsiran penghakiman mesti berpaksikan kepada rekod bertulis yang direkodkan secara rasmi. 34. Oleh itu, Mahkamah bersetuju dengan hujahan Defendan bahawa frasa tersebut tidak mencipta liabiliti kos terhadapnya. Ia hanyalah pernyataan prosedural yang menyatakan bahawa sekiranya ada perintah kos, jumlahnya akan ditentukan melalui taksiran. Dalam ketiadaan perintah liabiliti, tiada asas bagi penetapan bil kos oleh Plaintif. 35. Maka, Notis Penetapan Bil Kos yang difailkan oleh Plaintif adalah pramatang dan tidak sah di sisi undang-undang. Permohonan Defendan di Lampiran 202 untuk membatalkannya adalah wajar dan berasas. (c) Isu Ketiga: Sama ada terdapat kekhilafan yang boleh diperbetulkan di bawah Aturan 20 Kaedah 11 KKM 2012 (“Slip Rule”) 36. Aturan 20 Kaedah 11 KKM 2012 menyebut: “11. Clerical mistakes in judgment or orders, or errors arising therein from any accidentall slip or omission, may at any time be corrected by the Court by a notice of application without an appeal”. 37. Plaintif berhujah bahawa kegagalan memasukkan frasa “kos dibayar oleh Defendan kepada Plaintif” adalah suatu kekhilafan perekodan (clerical error) yang boleh diperbetulkan di bawah “slip rule”. 38. Walau bagaimanapun, Mahkamah berpandangan bahawa “Slip Rule” hanya terpakai untuk membetulkan kesilapan nyata seperti kesalahan menaip, tarikh, nama, atau perangkaan, bukan untuk menambah atau mengubah terma substantif sesuatu penghakiman. 39. Dalam kes ini, Mahkamah tidak mendapati sebarang kesilapan perekodan. Frasa “kos ditaksirkan oleh Mahkamah” bukan dimasukkan secara tidak sengaja, tetapi merupakan frasa yang telah dibincangkan dan dipersetujui oleh kedua-dua pihak. Tiada bukti bahawa ia adalah hasil kesilapan Mahkamah atau salah transkripsi terhadap maksud pihak-pihak. 40. Oleh itu, Aturan 20 Kaedah 11 KKM 2012 tidak terpakai dalam keadaan ini. Tiada kekhilafan nyata yang boleh diperbetulkan tanpa menjejaskan sifat substantif perintah tersebut. 41. Sehubungan dengena itu, berdasarkan analisis di atas, Mahkamah berpuas hati bahawa: (a) Perintah Persetujuan bertarikh 25 Ogos 2022 adalah muktamad dan tidak boleh dipinda; (b) Frasa “kos ditaksirkan oleh Mahkamah” tidak mewujudkan liabiliti pembayaran kos terhadap Defendan; dan; (c) Tiada kekhilafan nyata yang membolehkan Mahkamah menggunakan slip rule untuk menambah atau mengubah terma substantif perintah tersebut. 42. Setelah meneliti semua afidavit, dokumen, serta hujahan bertulis yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak, dan berdasarkan prinsip undang-undang yang telah dihuraikan di atas, Mahkamah membuat kesimpulan seperti berikut: (a) Perintah Persetujuan bertarikh 25 Ogos 2022 adalah sah dan muktamad. Ia merupakan hasil persetujuan bebas antara pihak Plaintif dan Defendan, direkodkan dengan pengetahuan dan persetujuan peguam masing-masing. (b) Mahkamah tiada bidang kuasa untuk meminda atau menambah terma substantif dalam perintah tersebut melalui permohonan kemudian, melainkan jika terdapat bukti penipuan, paksaan atau kekhilafan nyata. Tiada bukti sedemikian dikemukakan dalam kes ini. (c) Frasa “kos ditaksirkan oleh Mahkamah” tidak membawa maksud bahawa Defendan wajib membayar kos kepada Plaintif. Ia hanyalah pernyataan prosedural bahawa sekiranya ada perintah kos, jumlahnya akan ditentukan oleh Mahkamah. Tanpa perintah liabiliti kos, proses taksiran tidak boleh dijalankan. (d) Mahkamah juga mendapati tiada kesilapan atau kekhilafan nyata yang boleh diperbetulkan di bawah Aturan 20 Kaedah 11 KKM 2012 (“Slip Rule”). Frasa tersebut dimasukkan dengan sengaja dan dipersetujui oleh kedua-dua pihak semasa perintah direkodkan. 43. Berdasarkan sebab-sebab di atas, Mahkamah memutuskan seperti berikut: (a) Permohonan Plaintif di Lampiran 205 untuk meminda Perintah Persetujuan bertarikh 25 Ogos 2022 adalah ditolak; (b) Permohonan Defendan di Lampiran 202 untuk membatalkan Notis Penetapan Bil Kos yang difailkan oleh Plaintif adalah dibenarkan; dan (c) Kos bagi kedua-dua permohonan ini diberikan kepada Defendan, berjumlah RM1,000.00. 44. Mahkamah menegaskan bahawa keputusan ini dibuat bukan untuk menolak niat baik pihak Plaintif dalam mendapatkan kejelasan terhadap maksud perintah terdahulu, tetapi untuk mengekalkan prinsip penting dalam undang-undang bahawa sesuatu Perintah Persetujuan adalah bersifat kontraktual dan muktamad, serta tidak boleh dipinda secara unilateral selepas direkodkan, kecuali dalam keadaan luar biasa. Bertarikh : 9 Oktober 2025 ……………………………………… (YA PUAN MAHAZAN BINTI MAT TAIB) HAKIM MAHKAMAH TINGGI MALAYA KUALA LUMPUR Peguam Plaintif : Ummi Salhah Mohamad Tetuan Lua & Mansor Peguambela & Peguamcara Peguam Defendan : Lee Choon Hei Tetuan Luther Ong & Co Peguambela & Peguamcara