Content
DALAM MAHKAMAH SESYEN DI KOTA BHARU DALAM NEGERI KELANTAN DARUL NAIM, MALAYSIA GUAMAN NO: DA-A52NCvC-29-07/2023 ANTARA YAN AI HONG [NO. K/P: 690531-03-5205] …PLAINTIF DAN SKT CONSTRUCTION SDN BHD [NO. SYARIKAT: 200801000277 (801560-P)] …DEFENDAN PENGHAKIMAN PENGENALAN. [ 1 ] Defendan sebagai pemaju telah bersetuju untuk menjual, dan plaintif bersetuju untuk membeli, satu unit pangsapuri pada harga RM390,000.00. Pangsapuri tersebut dikenali sebagai Parcel No. 12FL/A/75, bersama dengan aksesori parcel, iaitu tempat letak kereta bernombor 12FL/A/75 (A146), yang terletak di Paloh Gardens (“Hartanah tersebut”). [ 2 ] Sehubungan itu, satu Perjanjian Jual Beli (Jadual H di bawah Peraturan-Peraturan Pemaju Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1989) bertarikh 23.08.2015 telah ditandatangani antara plaintif dan defendan. Mengikut perjanjian jual beli tersebut, Klausa 25(1) dengan jelas memperuntukkan bahawa defendan hendaklah menyerahkan pemilikan kosong Hartanah tersebut kepada plaintif dalam tempoh 36 bulan dari tarikh perjanjian, iaitu pada atau sebelum 23.08.2018. Begitu 07/08/2025 16:22:00 DA-A52NCvC-29-07/2023 Kand. 48 juga, fasiliti awam hendaklah disiapkan selewat-lewatnya pada 23.08.2018, seperti yang diperuntukkan dalam Klausa 27(1) (“Tarikh Luput”). [ 3 ] Namun, selepas pemeteraian perjanjian jual beli, pemilikan kosong hanya diserahkan kepada plaintif pada 04.07.2023 melalui surat akuan penyerahan kunci yang dikeluarkan oleh defendan. Sementara itu, fasiliti awam hanya disiapkan oleh defendan pada 08.03.2023, seperti yang dibuktikan melalui Borang F, iaitu Perakuan Siap dan Pematuhan, [ 4 ] Plaintif menyatakan bahawa defendan telah melanggar Klausa 25(1) dan Klausa 27(1) dalam perjanjian jual beli tersebut apabila penyerahan pemilikan kosong dan fasiliti awam hanya dilakukan pada 04.07.2023. Oleh itu, kelewatan penyerahan pemilikan kosong adalah selama 1,775 hari, manakala kelewatan bagi fasiliti awam adalah selama 1,657 hari. Menurut peruntukan dalam perjanjian tersebut, defendan dikehendaki membayar gantirugi kepada plaintif pada kadar 10% setahun. Bayaran ini hendaklah dibuat serta-merta selepas penyerahan pemilikan kosong di bawah Klausa 25(2) dan sebaik sahaja fasiliti awam disiapkan mengikut Klausa 27(2). [ 5 ] Jumlah keseluruhan gantirugi yang perlu dibayar defendan kepada plaintif adalah RM225,067.39 (kelewatan dalam penyerahan kunci dan kesiapan fasiliti awam). Plaintif telah mengeluarkan notis tuntutan kepada defendan. Namun, selepas menerima notis tersebut, defendan tidak memberikan sebarang maklum balas atau bantahan. Fakta ini turut diakui oleh SD1 semasa pemeriksaan balas. Memandangkan defendan gagal memberi maklum balas terhadap notis tersebut, plaintif telah memfailkan saman ini bagi menuntut gantirugi yang terhutang. [ 6 ] Defendan pula di dalam pembelaannya, menafikan sebarang kelewatan dalam penyerahan pemilikan kosong dan penyediaan fasiliti awam bagi Hartanah tersebut. Defendan juga mendakwa bahawa sekiranya berlaku kelewatan, ia berpunca daripada tindakan plaintif sendiri yang memasuki Hartanah tersebut sekitar tahun 2017 untuk menjalankan kerjakerja variasi atau pengubahsuaian. Akibatnya, defendan mendakwa bahawa Borang F telah ditahan oleh pihak berkuasa tempatan, iaitu MPKB. Selain itu, defendan turut memplidkan bahawa plaintif gagal melunaskan baki harga jual beli sebanyak RM78,000.00 kepada defendan sebagaimana yang diperuntukkan dalam perjanjian tersebut. [ 7 ] Defendan seterusnya telah memfailkan tuntutan balas terhadap plaintif bagi menuntut baki RM78,000.00 serta faedah lewat bayar sebanyak RM331.23 bagi kelewatan plaintif selama 31 hari dalam membuat bayaran kepada defendan, sebagaimana yang ditetapkan dalam jadual perjanjian tersebut. Defendan turut memohon satu deklarasi bahawa kelewatan dalam penyerahan pemilikan kosong dan penyediaan fasiliti awam berpunca daripada tindakan plaintif sendiri yang memasuki Hartanah tersebut serta menjalankan kerja-kerja variasi pada sekitar tahun 2017. [ 8 ] Setelah mendengar keterangan saksi-saksi Plaintif seramai tiga orang dan dua orang saksi Defendan beserta dokumen berkaitan dan juga setelah membaca hujahan bertulis kedua pihak maka atas imbangan kebarangkalian Mahkamah ini telah membenarkan tuntutan Plaintif dan menolak tuntutan balas Defendan. DAPATAN [ 9 ] Isu-isu untuk diputuskan: