Schedule
Jadual Pertama, Akta Dadah Berbahaya, 1952 (selepas ini disebut sebagai ‘ADB 1952’). Laporannya adalah eksibit P23 di m.s. 79, Jilid 3, Rekod Rayuan (‘RR’). [15] Di akhir kes pendakwaan, hakim bicara yang bijaksana telah berpuas hati bahawa kesemua inti pati pertuduhan telah berjaya 7 dibuktikan oleh pihak pendakwaan. Dengan itu beliau telah mendapati bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan wujudnya satu kes prima facie terhadap perayu sebagaimana dipertuduhkan. Perayu telah dipanggil untuk membela diri di atas pertuduhan tersebut. Kes Pihak Pembelaan [16] Perayu telah memberikan keterangan bersumpah. [17] Perayu menyatakan dia tinggal di Kampung Chin Wen, di Wilayah Guanjo, Republik Rakyat China. [18] Perayu bekerja dan menerima gaji antara RMB 6000 hingga RMB 8000 sebulan. [19] Menurut perayu, pada hari kejadian, dia tiba dari Macau dan ditahan di LCCT, KLIA pada kira-kira jam 2.00 pagi pada 1.12.2013. [20] Perayu mengakui beg tangan kecil (P8A) dan beg berwarna hitam dan coklat (P8) adalah kepunyaannya. 8 [21] Perayu seterusnya menyatakan bahawa bagasi tarik beroda berwarna biru (eksibit P7) adalah kepunyaan teman lelakinya yang berkulit hitam bernama ‘Kuan’ di China. Kuan menyerahkan bagasi ini kepadanya untuk dibawa ke Malaysia. [22] Menurut perayu, sehari sebelum berangkat ke Malaysia, dia bersama kawannya telah minum arak di suatu tempat dan berkenalan dengan Kuan yang boleh berbahasa Mandarin. [23] Perayu menyatakan dia memberitahu Kuan bahawa dia akan berangkat untuk melancung ke Malaysia pada esok hari. Kuan lantas meminta pertolongan perayu untuk membawa satu bagasi ke Malaysia. Perayu bertanya bagasi itu patut diberi kepada siapa di Malaysia dan diberitahu oleh Kuan bahawa seseorang akan menghubungi perayu apabila perayu sampai di Malaysia. [24] Apabila ditanya oleh Kuan bila dia (perayu) akan pergi ke Malaysia, perayu memberitahu dia akan bertolak sebentar lagi, di mana dia akan menaiki keretapi bawah tanah di stesen keretapi Zhao Koo, China dan 9 dari situ terus ke Macau dan akan menaiki kapal terbang untuk ke Malaysia dari sana (Macau). [25] Perayu telah bertemu dengan Kuan sekali lagi di stesen keretapi bawah tanah Zhao Koo. Di situ, Kuan telah menyerahkan bagasi tarik beroda berwarna biru (eksibit P7) kepada perayu. Dari stesen Zhao Koo, perayu meneruskan perjalanannya ke Macau dengan menggunakan keretapi bawah tanah. Perjalanan tersebut mengambil masa kira-kira 3 jam. [26] Menurut perayu, dia tidak pernah membuka bagasi berwarna biru tersebut walaupun Kuan ada memberikan kunci bagasi kepada beliau. [27] Perayu menyatakan dia tidak pernah melihat isi kandungan bagasi biru tersebut sehinggalah dia ditahan oleh pihak berkuasa Malaysia di LCCT, KLIA. [28] Perayu juga menyatakan bahawa baginya membawa bagasi tersebut ke Malaysia adalah perkara kecil dan dia berbuat demikian sekadar ingin membantu Kuan. 10 [29] Perayu menyatakan dia tidak faham Bahasa Inggeris dan telah menandatangani pelbagai borang tanpa memahami kandungan borang-borang tersebut yang diberikan oleh pihak berkuasa Kastam. [30] Perayu seterusnya menyatakan pihak berkuasa Kastam tidak memaklumkan alasan dia ditangkap semasa tangkapan dibuat dan juga semasa prosiding reman. [31] Perayu juga menafikan kandungan percakapan beramarannya (eksibit D47) yang ambil dua (2) hari selepas ditangkap kerana dia tidak faham apa-apa mengenai D47 tersebut (di m.s 104, Jilid 3, RR). Namun begitu, dia mengakui bahawa semasa rakaman percakapannya diambil, dia ada dibekalkan dengan perkhidmatan jurubahasa Cina. [32] Selanjutnya, perayu menyatakan kedua-dua telefon bimbitnya telah dirampas dan di dalam telefon tersebut terdapat gambar dan nombor telefon Kuan. 11 [33] Pada akhirnya, perayu mengulangi bahawa dia tidak tahu bagasi tarik beroda berwarna biru (eksibit P7) yang diterima daripada Kuan dan dibawanya ke Malaysia itu mengandungi dadah. [34] Di akhir kes, hakim bicara yang bijaksana mendapati bahawa perayu gagal untuk menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah ke atas kes pihak pendakwaan. Sementara itu, pihak pendakwaan pula telah berjaya membuktikan kesnya melampaui keraguan yang munasabah. Dengan itu, perayu didapati sabit di atas kesalahan sebagaimana dipertuduhkan dan seterusnya dikenakan hukuman gantung di leher hingga mati. Rayuan Perayu [35] Perayu hanya mengunjurkan satu alasan rayuan iaitu hakim bicara gagal untuk menilai pembelaan sewajarnya (judicially appreciate) yang dikemukakan oleh perayu. Dihujahkan bahawa pembelaan perayu telah mematahkan kes pendakwaan atas imbangan kebarangkalian di mana pada asasnya perayu hanyalah seorang pembawa ikhlas (innocent carrier) yang tidak mempunyai pemilikan mens rea terhadap dadah tersebut. 12 [36] Dihujahkan juga bahawa bagasi tarik beroda berwarna biru (eksibit P7) bukanlah kepunyaan perayu, tetapi kepunyaan Kuan. Perayu juga tidak mempunyai pengetahuan tentang kewujudan dadah dalam bagasi tersebut dan perayu tidak berniat untuk mengedarkan dadah tersebut di negara ini. [37] Seterusnya, dihujahkan bahawa perayu telah diminta oleh Kuan untuk membawa bagasi tersebut untuk diserahkan kepada seseorang di Malaysia dan perayu berbuat demikian untuk menolong Kuan memandangkan ia adalah satu perkara kecil sahaja. [38] Perayu juga telah memberikan segala kerjasama yang sepenuhnya kepada pihak-pihak berkuasa di Malaysia dan demeanour perayu menunjukkan ketidakbersalahannya (innocence). [39] Peguam bela yang bijaksana seterusnya menghujahkan bahawa pembelaan perayu bukanlah belated disclosure kerana perayu telah mendedahkan pembelaannya seawal mungkin apabila dia mendedahkannya dalam kenyataan beramarannya yang diambil 2 hari selepas beliau ditangkap. 13 [40] Notis sewajarnya berkenaan kewujudan Kuan dan peranan yang dimainkan oleh Kuan telah diberikan melalui kenyataan beramaran tersebut, tetapi maklumat tersebut gagal disiasat oleh pegawai penyiasat. [41] Seterusnya dihujahkan bahawa gambar dan nombor telefon Kuan wujud di dalam telefon bimbitnya yang dirampas oleh pihak berkuasa Jabatan Kastam, namun perkara-perkara tersebut juga gagal disiasat dengan sewajarnya oleh pegawai penyiasat. [42] Dihujahkan bahawa hakim bicara yang bijaksana telah khilaf apabila beliau gagal untuk mengambil kira isu-isu yang diperincikan di atas dalam penghakimannya yang mewajarkan campur tangan Mahkamah ini untuk memperbetulkan kekhilafan-kekhilafan tersebut. Keputusan Kami [43] Sekarang kami akan meneliti sama ada perayu dalam hal keadaan keseluruhan kes ini (in all the circumstances of this case), merupakan seorang pembawa ikhlas dan telah membuktikan dirinya sebagai seorang pembawa ikhlas tanpa notis apabila membawa bagasi tarik beroda warna biru (eksibit P7) ke negara ini dari Macau. 14 [44] Terdapat banyak nas undang-undang berkenaan dengan pembelaan pembawa ikhlas. Memadai bagi kami untuk hanya merujuk kepada nas mutakhir di mana fakta-fakta dalam nas tersebut hampir menyamai fakta-fakta dalam kes di hadapan kami. Nas yang dimaksudkan ialah PP v Herlina Purnama Sari [2017] 1 MLRA 499, di mana Mahkamah Persekutuan telah memutuskan seperti berikut: “[44] In our assessment, looking at the evidence in totality, the respondent could not exculpate herself from the involvement in the trafficking of the seized drugs by saying that she had no knowledge or that she was an ‘innocent carrier’ in this transaction. In our view, she could not be ‘innocent’ when she voluntarily agreed to hand over the boxes to a third party that she hardly knew in another country without enquiring further as to the contents of the said boxes. The respondent, without any such inquiry, which she would have been reasonably expected to make in any event, had agreed to give the boxes to someone just as a favour for her friend Vivian. The respondent should have refused to carry out such an assignment if no satisfactory explaination as to their contents was forth coming from Vivian who she was in contact with. Her failure to do so makes her guilty of wilful blindness”. [45] Dalam kes di hadapan kami, fakta yang tidak dipertikaikan oleh kedua-dua pihak ialah: (i) perayu tiba di LCCT, KLIA dari Macau dengan membawa bagasi tarik beroda warna biru (eksibit P7) ketika ditahan oleh SP-8 dan pasukannya; (ii) kunci bagasi tersebut ada dalam milikan perayu; 15 (iii) bagasi tersebut dibuka oleh perayu sendiri dengan menggunakan kunci tersebut; (iv) dadah-dadah tersebut telah dijumpai dalam keadaan tersorok dalam bagasi tersebut; (v) perayu mengenali Kuan hanya pada malam sebelum dia berangkat ke Malaysia untuk melancung dalam satu sesi minum arak; (vi) perayu memberitahu Kuan dia akan bertolak ke Malaysia pada hari esoknya; (vii) Kuan meminta perayu supaya membawa satu barang ke Malaysia untuk diberikan kepada seseorang di Malaysia; (viii) perayu bersetuju memenuhi permintaan Kuan kerana ia hanya satu perkara kecil sahaja; (ix) perayu tidak bertanya apakah barang yang hendak dibawa ke Malaysia tersebut; (x) perayu hanya bertanya kepada siapakah barang tersebut perlu diserahkan di Malaysia; (xi) perayu bertemu Kuan sekali lagi di stesen keretapi Zhao Koo sebelum terbang ke Malaysia dan Kuan telah memberikan 16 kepada perayu bagasi tarik beroda berwarna biru (eksibit P7) tersebut bersama-sama dengan kuncinya; (xii) sekali lagi perayu tidak bertanya apa kandungan bagasi tersebut atau apa barang yang hendak dibawa ke Malaysia tersebut; dan (xiii) Perayu tidak membuka bagasi tersebut untuk menyiasat kandungannya pada bila-bila masa sehinggalah ditahan oleh SP-8 dan pasukannya di LCCT, KLIA, di mana dadah-dadah tersebut dijumpai di dalam bagasi tersebut. [46] Dari perincian di atas, nyata sekali bahawa kelakuan (conduct) perayu tidak menunjukkan yang beliau adalah seorang pembawa ikhlas seperti dihuraikan dalam kes PP v Herlina Purnama Sari (supra). Perayu tidak perlu pun untuk memberitahu Kuan bahawa dia hendak berangkat ke Malaysia esok hari. Perayu berkenalan dengan Kuan hanya pada malam sebelum ditangkap tetapi telah bersetuju untuk membawa barang-barang Kuan tanpa soal jawab dan tanpa menyiasat apa barang-barang yang terkandung dalam bagasi tersebut. Pada hemat kami, perayu sebenarnya tahu apa yang terkandung di dalam bagasi tersebut. 17 [47] Di m.s. 31, Jilid 1, RR, hakim bicara yang bijaksana telah membuat dapatan berikut: “Ketidak-munasabahan versi Tertuduh ini lebih terserlah lagi bila mana Kuan yang dikatakan mula dikenali olihnya dalam tempoh sekejap itu telah memintanya untuk membawa barang bagasi untuk dibawa ke Malaysia di dalam tempoh singkat tersebut. Tertuduh menyatakan persetujuan untuk membawa bagasi/barangan yang ingin dikirim oleh Kuan untuk disampaikan kepada seseorang di Malaysia. Adakah ini sesuatu yang lazim. Saya merasakan ianya adalah di luar dari kelaziman. Masakan hanya di kala pertemuan singkat dan hanya sekali itu, segalanya terus dimuktamadkan. Ini jelas hanya rekaan dan fantasi Tertuduh sahaja”. [48] Berdasarkan alasan yang diperincikan terdahulu, kami bersetuju sepenuhnya dengan dapatan hakim bicara yang bijaksana di atas. Dengan itu, pada hemat kami, perayu bukanlah seorang pembawa ikhlas tetapi telah membawa dadah dalam bagasi tersebut dengan penuh pengetahuan. Jika pun tidak begitu, perayu telah melakukan perbuatan wilful blindness apabila memenuhi permintaan Kuan dan membawa bagasi tersebut tanpa menyiasat isi kandungannya. [49] Isu yang seterusnya ialah sama ada kelakuan docile dan segala kerjasama yang perayu telah berikan kepada SP-8 dan pasukannya menggambarkan ketidakbersalahan perayu. Dihujahkan juga fakta bahawa perayu hanya mendiamkan diri semasa bongkaran ke atas 18 bagasi tersebut dilakukan menunjukkan perayu tidak ada pengetahuan tentang dadah dalam bagasi tersebut. [50] Kami berpendapat bahawa perayu sebenarnya terkepung dalam bangunan atau pejabat yang dikawal rapi. Dia tidak ada ruang untuk melarikan diri atau mencabar penahanannya. Seterusnya, beliau hanyalah seorang wanita yang dikepung oleh anggota-anggota penguat kuasa Jabatan Kastam yang cukup terlatih. Dalam hal ehwal keadaan keseluruhan kes, perayu tidak mempunyai banyak pilihan melainkan menyerah diri dan memberikan segala kerjasama yang diperlukan oleh SP-8 dan SP-9. Kerjasama yang seperti ini tidak boleh ditafsirkan sebagai fakta yang menunjukkan ketidakbersalahan perayu – lihat Teh Hock Leong v PP [2010] 1 MLJ 741 di m.s. 745. [51] Perihal perayu yang hanya berdiam diri ketika bongkaran dilakukan ke atas bagasi-bagasi yang dibawa olehnya juga tidak boleh ditafsirkan sebagai bukti ketidakbersalahan perayu. Sebaliknya, ia menunjukkan bahawa perayu, pada setiap waktu yang material, memang mengetahui tentang dadah tersebut yang berada di dalam bagasi yang dibawanya dan perayu tidak ada cara untuk menafikan fakta tersebut melainkan akur dengan penemuan dadah tersebut dengan berdiam diri. 19 [52] Dalam kes Alcontara a/l Ambross Anthony v PP [1996] 1 AMR 817; [1996] 1 CLJ 705, Edgar Joseph Junior HMP, telah membuat pemerhatian yang penting berkenaan isu yang sama apabila di dalam penghakimannya beliau menyatakan: “In my view the real reason why the first accused did not protest, as any innocent man naturally would in the circumstances, is because he knew all along that there were drugs concealed at the underside of the box. His silence when the drugs were found is not evidence of his innocence. Rather it is evidence of his resignation to the fact that he had been caught. If indeed he was innocent he would have protested his innocence at the available opportunity. That would be the natural reaction of an innocent man. Instead both he and the second accused kept quiet when the inspection of the box was being carried out. A victim of circumstances or a frame up would have told the police straight away and vigorously that the box belonged to someone else. After all they knew what the police were there for”. [53] Keterangan perayu bahawa dia bersetuju untuk membawa bagasi tersebut atas permintaan Kuan, orang yang baru dikenali sehari sebelum dia terbang ke Malaysia atas alasan ia perkara kecil, amat sukar untuk dipercayai. Lebih-lebih lagi apabila perayu mendakwa dia tidak bertanya apakah barang yang hendak dibawa ke Malaysia dan tidak juga menyiasat isi kandungan bagasi yang diberikan oleh Kuan tersebut walaupun dia mempunyai segala masa dan peluang untuk berbuat demikian. Kunci bagasi tersebut pula turut diserahkan kepada perayu. 20 [54] Sekarang kami beralih kepada isu sama ada perayu telah memberikan notis Alcontara yang secukupnya kepada pihak pendakwaan tentang pembelaannya, khususnya berkenaan dengan kewujudan ‘Kuan’ dan peranan yang dimainkan oleh Kuan. [55] Hakim bicara yang bijaksana menyatakan di m.s. 31, Jilid 1 RR, seperti berikut: “Meneliti kepada pembelaan Tertuduh, nama ‘Kuan’ hanya ditimbulkan setelah pembelaannya dipanggil dan ketika Tertuduh memberikan keterangan. Di dalam percakapan beramarannya (eksibit D47) yang dikemukakan sewaktu kes pendakwaan, nama Kuan ini langsung tidak wujud atau dinyatakan. Adalah jelas keterangan pembelaan Tertuduh ini bercanggah dengan percakapan beramaran (D47) Tertuduh sendiri dan pembelaan ini adalah belated disclosure dan afterthought defence seperti yang dihujahkan oleh pihak pendakwaan”. [56] Di m.s. 32, Jilid 1, RR, hakim bicara meneruskan: “Tertuduh hanya menimbulkan nama Kuan setelah pembelaanya dipanggil pada tarikh 6 Mei, 2016. Percakapan beramaran (D47) Tertuduh telah diambil 2 hari selepas dia ditangkap iaitu 4 Disember, 2013. Kemusykilan timbul, mengapakah nama Kuan tidak disebut kepada Pegawai Perakam di waktu itu, jika watak/penama Kuan benar-benar wujud. Mengapa nama Kuan hanya timbul selepas hampir tiga tahun selepas Tertuduh ditangkap. Adalah sesuatu yang jelas keterangan pembelaan Tertuduh ini adalah baru direka (recent invention)”. 21 [57] Kami telah menyemak Rekod Rayuan khususnya nota keterangan dengan cermat dan kami dapati dapatan hakim bicara yang bijaksana seperti dipetik di atas adalah benar iaitu perayu pertama kali menimbulkan penama “Kuan” hanya ketika beliau memberikan keterangan selepas dipanggil untuk membela diri, kira-kira 3 tahun selepas perayu ditangkap. [58] Perayu juga langsung tidak menimbulkan nama Kuan dalam kenyataan beramarannya. Malah beliau menyatakan ‘….saya tidak tahu nama lelaki tersebut. Saya tidak tahu dia tinggal di mana….’. (Lihat m.s. 105, Jilid 3, RR). Perayu juga tidak memberikan sebarang nombor telefon Kuan atau perincian-perincian lain yang relevan dan mustahak bagi membantu pihak polis membuat siasatan yang efektif khususnya untuk mengesan siapa Kuan sebenarnya dan menentukan sama ada Kuan ini benar-benar wujud atau hanya rekaan perayu semata-mata. [59] Kewujudan Kuan dan peranan yang dimainkan oleh Kuan merupakan teras pembelaan perayu. Dalam keadaan seperti ini, sepatutnya perayu tidak menghadapi masalah untuk memberikan nama Kuan dan peranan yang dimainkan oleh Kuan at the earliest possible opportunity iaitu ketika ditahan oleh SP-8 dan pasukannya atau ketika 22 rakaman kenyataan beramarannya diambil 2 hari selepas perayu ditangkap. [60] Kegagalan perayu untuk berbuat demikian mewajarkan hakim bicara yang bijaksana melabelkan pembelaan perayu dalam isu ini sebagai pembelaan afterthought, recent invention serta hasil fantasi perayu semata-mata. [61] Kami berpendapat bahawa untuk membolehkan pihak polis menyiasat dengan efektif notis Alcontara yang diberikan oleh tertuduh (berkenaan dengan kewujudan orang yang menjadi principal culprit), notis tersebut seharusnya mencukupi untuk meliputi perincian-perincian tentang nama orang yang dimaksudkan dalam notis tersebut, alamat tempat tinggalnya, profilnya dan sekurang-kurangnya nombor telefonnya. Notis yang kononnya diberikan oleh perayu tidak mengandungi perincian-perincian yang dimaksudkan. Dengan demikian, notis yang diberikan oleh perayu bukanlah notis Alcontara seperti yang dikehendaki oleh undang-undang. 23 [62] Pada akhirnya kami turut bersetuju dengan keputusan hakim bicara yang bijaksana bahawa kesalahan mengedar dadah bukanlah berkaitan dengan pemunyaan (ownership) dadah tersebut tetapi adalah berkaitan dengan pemilikan dadah tersebut dengan tujuan untuk diperedarkan. Dalam penghakimannya di m.s. 29, Jilid 1, RR, hakim bicara yang bijaksana menyatakan: “Di dalam keterangan pembelaannya, Tertuduh tidak menafikan ada membawa bagasi (P7) ke Malaysia. Cuma dinyatakan bagasi (P7) tersebut bukan kepunyaannya dan dia tiada pengetahuan tentang dadah-dadah yang telah dijumpai di dalam bagasi tersebut. Di atas isu ini, soal ‘ownership’ atau siapa tuan punya bagasi (P7) tersebut tidak merupakan isu yang relevan. Isu yang lebih relevan ‘ialah isu pemilikan’”. [63] Kami bersetuju dengan penghakiman di atas. Apa yang relevan adalah sama ada perayu mempunyai penjagaan, kawalan, pemilikan dan pengetahuan tentang dadah yang menjadi isu tersebut (impugned drugs) dan sama ada pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan perayu sememangnya mempunyai penjagaan, kawalan, milikan dan pengetahuan tentang dadah tersebut, dan seterusnya berjaya membuktikan bahawa perayu telah mengedarkan dadah tersebut seperti ditakrifkan di bawah s.2 atau melalui anggapan di bawah s.37(da), ADB 1952. 24 Kesimpulan [64] Berdasarkan kepada segala alasan yang diperincikan dalam perenggan-perenggan di atas, kami mendapati bahawa rayuan perayu tidak mempunyai sebarang merit. Kami mendapati sabitan ke atas perayu di atas pertuduhan yang dikemukakan ke atas beliau adalah selamat. Dengan itu, kami mengekalkan perintah sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi. BERTARIKH 25HB. OKTOBER 2018 ( AHMADI BIN HAJI ASNAWI ) Hakim Mahkamah Rayuan Malaysia Peguam Bela Perayu: Mak Kah Keong K.K. Mak & Co. Peguambela dan Peguamcara Peguambela Responden: Puan Kwan Lisa Timbalan Pendakwaraya Jabatan Peguam Negara