Lampiran
Lampiran 27 untuk mengetepikan penghakiman ingkar yang telah dimasukkan oleh Plaintif terhadapnya pada 16 Ogos 2022. Isu Teras 4. Isu utama dalam kedua-dua Lampiran 13 dan Lampiran 27 ialah sama ada Defendan Kedua dan Defendan Ketiga berhak untuk mengetepikan penghakiman-penghakiman ingkar tersebut. 5. Bersandarkan kepada isu utama tersebut, timbul pula persoalan-persoalan yang berkaitan dengan penyerahan proses pemula dan merit permohonan masing-masing. Pihak-Pihak Serta Fakta-Fakta Relevan 6. Plaintif adalah sebuah syarikat sendirian berhad yang diperbadankan di Malaysia menurut Akta Syarikat 1965. 7. Defendan Pertama juga merupakan sebuah syarikat sendirian berhad yang didaftarkan di bawah Akta Syarikat 1965. Antara lain, Defendan Pertama menjalankan perniagaan mengilang, memproses dan berdagang emas dan perkara yang berkaitan dengannya. 8. Defendan Pertama telah digulung pada 27 Mac, 2024 melalui Petisyen Kebankrapan yang difailkan oleh Koperasi Pembiayaan Angkasa Berhad di Mahkamah Tinggi Shah Alam menerusi kes BA-28NCC-393-08/2023. 9. Defendan Kedua dan Defendan Ketiga adalah individu-individu dan pada setiap masa yang material mereka merupakan pengarah-pengarah kepada Defendan Pertama. 10. Plaintif dan Defendan Pertama telah menandatangani satu Perjanjian Kolaborasi pada 23 Februari, 2018 dan penglibatan Defendan Kedua dan Defendan Ketiga adalah atas dasar bahawa mereka telah memberikan akujanji, jaminan dan tanggung rugi untuk dan bagi pihak Defendan Pertama kepada Plaintif. 11. Plaintif telah menghantar satu notis tuntutan kepada Defendan Pertama bagi menuntut bayaran Hasil Jualan/Hasil Dagangan terhutang berdasarkan Perjanjian Koloborasi dan setelah Defendan Pertama masih lagi gagal untuk menyelesaikan dan membayar jumlah yang dikatakan terhutang kepada Plaintif, tindakan ini telah difailkan oleh Plaintif pada 7 April, 2022. 12. Fakta-fakta seterusnya yang relevan serta berkaitan dengan permohonan-permohonan di dalam Lampiran 13 dan Lampiran 27 adalah seperti berikut. 13. Pada 29 Jun, 2022, Plaintif telah memperolehi perintah penyampaian secara ganti (lihat Lampiran 8). 14. Pada 27 Julai, 2022, Afidavit Penyampaian Ganti telah difailkan oleh Plaintif (lihat Lampiran 9). 15. Ini diikuti oleh pemfailan Perakuan Ketidakhadiran Defendan-Defendan pada 16 Ogos, 2022 (lihat Lampiran 10). 16. Satu Penghakiman Ingkar juga telah direkodkan terhadap Defendan-Defendan pada hari yang sama, iaitu 16 Ogos, 2022 (lihat Lampiran 11). 17. Pada 19 Ogos, 2022, sesalinan Penghakiman Ingkar telah dipos secara pos berdaftar kepada Defendan-Defendan (lihat Lampiran 15, Ekshibit “YGSB-4”). 18. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, Defendan Pertama telah digulung oleh Mahkamah ini menerusi Petisyen Penggulungan No. BA-28NCC-393-08/2023 pada 27 Mac, 2024 (lihat Lampiran 15, Ekshibit “YGSB-14”). 19. Berikutan Penghakiman Ingkar yang telah direkodkan, Plaintif telah memfailkan satu tindakan Saman Penghutang Penghakiman terhadap Defendan Kedua dengan Saman Penghutang Penghakiman No. BA-37J-47-08/2024. (“JDS D2”) pada 30 Ogos, 2024. Permohonan di dalam Lampiran 13 20. Defendan Kedua telah memfailkan permohonannya di dalam Lampiran 13 pada 17 Januari, 2025 untuk mengetepikan Penghakiman Ingkar yang telah diperolehi oleh Plaintif. 21. Relif-relif yang dituntut oleh Defendan kedua adalah seperti berikut: 1. Defendan Kedua diberi lanjutan masa untuk memfailkan permohonan ini (sekiranya perlu); 2. Penghakiman Ingkar tersebut terhadap Defendan Kedua diketepikan; 3. Defendan Kedua diberi kebenaran untuk memfailkan memorandum kehadiran dan pernyataan pembelaan bagi tindakan ini (sekiranya perlu); 4. Kos permohonan ini ditanggung oleh pihak Plaintif; dan 5. Sebarang relief lain atau selanjutnya yang difikirkannya patut, adil dan sesuai oleh Mahkamah yang Mulia ini. 22. Tiga alasan utama yang dikemukakan oleh Defendan Kedua untuk mengetepikan Penghakiman Ingkar ini adalah seperti berikut. 23. Pertama, Defendan Kedua menghujahkan bahawa permohonan Defendan Kedua di Lampiran 13 ini telah difailkan dalam tempoh masa seperti yang diperuntukkan di dalam Aturan 42 kaedah 13 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012, setelah diserahkan dengan sesalinan Saman Penghutang Penghakiman oleh Plaintif. 24. Defendan Kedua menegaskan bahawa permohonan yang difailkan pada 17 Januari, 2025 tidak melebihi tempoh 30 hari dari tarikh penerimaan Penghakiman Ingkar yang telah diserahkan kepada beliau melalui Prosiding Saman Penghutang Penghakiman tersebut pada 19 Disember, 2024. 25. Kedua, Defendan Kedua turut berhujah bahawa serahan kertas kausa terhadap beliau oleh Plaintif adalah tidak teratur dan oleh itu, Penghakiman Ingkar Kehadiran terhadap beliau hendaklah diketepikan dan dibatalkan, berdasarkan kepada kes Yap Ke Huat & Ors v Pembangunan Warisan Murni Sejahtera Sdn Bhd & Anor [2008] 3 AMR 28; [2008] 4 CLJ 175; [2008] 5 MLJ 112; [2008] 1 MLRA 276. Hujahan Defendan Kedua ialah bahawa serahan kertas kausa telah dilakukan di alamat tempat tinggal yang salah. 26. Defendan Kedua menjelaskan bahawa tindakan guaman yang difailkan oleh Plaintif pada 7 April, 2022 adalah berpandukan kepada alamat lama beliau, iaitu B-16-06, Desa Putra Condo, Jalan Wangsa Perdana 3, Bandar Baru Wangsa Maju, 53300 Kuala Lumpur sedangkan alamat terkini beliau ialah di B-12B-C06, Armanee Terrace, Jalan PJU 8/1, Bandar Damansara Perdana, 47820 Petaling Jaya, Selangor dan beliau telah menetap di situ sejak tahun 2018. 27. Defendan Kedua turut menyatakan bahawa Plaintif tahu akan alamat terkini ini kerana Saman Penghutang Penghakiman telah disampaikan secara kendiri kepada beliau di alamat tersebut. 28. Alasan ketiga yang dibangkitkan oleh Defendan Kedua ialah bahawa beliau mempunyai pembelaan bermerit. 29. Defendan Kedua menghuraikan bahawa: 1. Perjanjian Kolaborasi ini adalah tertakluk pada klausa Timbangtara dan oleh itu, sewajarnya tindakan ini dibatalkan kerana menyalahi proses Mahkamah; 2. Plaintif tidak berhak untuk mengenakan caj kelewatan dan caj kelewatan tersebut adalah bertentangan dengan Perjanjian Kolaborasi; dan 3. Plaintif telah memungkiri Perjanjian Kolaborasi apabila gagal melaksanakan tanggungjawab di bawah Klausa 4.2 (ii), (iii) dan (iv). 30. Mengenai klausa Timbang Tara, Defendan Kedua turut merujuk dan bergantung kepada keputusan Mahkamah Persekutuan di dalam kes Tindak Murni Sdn Bhd v Juang Setia Sdn Bhd & Another Appeal [[2020] 2 AMR 387; 2020] 4 CLJ 301; [2020] 3 MLJ 545; [2020] 2 MLRA 264 (“Tindak Murni”). 31. Di dalam hujahan balas Plaintif, ia bertegas bahawa terdapat kelewatan melampau dalam pemfailan Lampiran 13 oleh Defendan Kedua. Plaintif menghujahkan bahawa Defendan Kedua gagal untuk mengemukakan sebarang penjelasan mengenai kelewatan memfailkan Lampiran 13 ini. 32. Selanjutnya, Plaintif berhujah bahawa Defendan Kedua juga gagal untuk membuktikan bahawa serahan kertas kausa oleh Plaintif kepada Defendan Kedua adalah tidak sempurna. 33. Plaintif menegaskan bahawa serahan kertas kausa dalam tindakan ini terhadap Defendan Kedua adalah sempurna dan mematuhi peruntukkan yang digariskan di bahawa Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012. 34. Tambahan, Plaintif berpegang kepada hujahan bahawa Defendan Kedua tidak mempunyai sebarang pembelaan bermerit dan dakwaan Defendan semata-mata hanyalah anggapan lepas untuk mengelakkan tindakan perlaksanaan penghakiman daripada diteruskan terhadapnya. 35. Sebagai jawapan kepada hujahan Defendan Kedua mengenai Klausa Timbang Tara, Plaintif telah merujuk dan bergantung kepada kes Gise Kam Kwan International Trade Ltd v Antara Steel Mills Sdn Bhd [2024] AMEJ 1944; [2024] 10 CLJ 370; [2024] 6 MLJ 662; [2024] 6 MLRA 890. Dapatan Mahkamah 36. Adalah tidak dinafikan bahawa mahkamah mempunyai budibicara untuk mengetepikan suatu Penghakiman Ingkar Kehadiran yang telah dimasuki di bawah Aturan 13 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012. 37. Namun demikian, pelaksanaan budibicara mahkamah adalah tertakluk kepada, pertama, peruntukkan di dalam Aturan 42 kaedah 13 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 dan kedua, prinsip-prinsip yang telah ditetapkan melalui undang-undang kes yang terpakai. 38. Mahkamah ini berpendapat bahawa tempoh 30 hari yang ditetapkan di dalam Aturan 42 kaedah 13 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 dikira dari tarikh “perintah atau penghakiman itu diterima olehnya”. 39. Saman Penghutang Penghakiman merupakan salah satu daripada cara untuk menguatkuasakan suatu penghakiman. Tempoh 30 hari sepertimana yang diperuntukkan di dalam Aturan 42 kaedah 13 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 tidak dikira dari tarikh penguatkuasaan penghakiman tetapi dari tarikh “perintah atau penghakiman itu diterima” oleh Defendan Kedua. 40. Di dalam kes ini, serahan Penghakiman Ingkar Kehadiran telah dilakukan pada 19 Ogos, 2022 dan permohonan Defendan Kedua hanya difailkan pada 17 Januari, 2025, iaitu selepas lebih 2 tahun Penghakiman Ingkar Kehadiran direkodkan dan diserahkan. 41. Mahkamah ini juga bersetuju dengan Plaintiff bahawa tiada sebarang penjelasan telah diberikan mengenai kelewatan Defendan Kedua memfailkan permohonan ini. Mahkamah ini juga mendapati bahawa alasan Defendan Kedua bahawa tiada pengetahuan mengenai serahan kertas kausa hanya satu anggapan lepas Defendan Kedua semata-mata. 42. Berdasarkan bukti-bukti dokumentar yang dikemukakan oleh Plaintif (di dalam Lampiran 15, Ekshibit “YGSB-3” & “YGSB-5”), Mahkamah ini berpuas hati bahawa adalah jelas dan menjadi satu fakta yang tidak dapat disangkalkan bahawa Defendan sememangnya mempunyai alamat di B-16-06, Desa Putra Condo, Jalan Wangsa Perdana 3, Bandar Baru Wangsa Maju, 53300 Setapak, Kuala Lumpur. 43. Mahkamah ini juga mengambil maklum bahawa serahan kertas kausa tindakan ini juga telah diserahkan kepada Defendan Kedua secara penyampaian ganti berdasarkan satu Perintah Penyampaian Ganti bertarikh 29 Jun, 2022. 44. Memandangkan dapatan oleh Mahkamah ini bahawa serahan kertas kausa dan Penghakiman Ingkar Kehadiran kepada Defendan Kedua telah dilakukan secara sempurna, maka Penghakiman Ingkar Kehadiran ini adalah satu Penghakiman Ingkar yang sempurna. 45. Dalam membuat penilaian terhadap alasan pembelaan bermerit, sepertimana yang dibangkitkan oleh Defendan Kedua, Mahkamah ini turut mengambil maklum terhadap perkara-perkara berikut: 1. bahawa pada setiap masa yang material, Defendan Pertama tidak pernah mempertikaikan tuntutan Plaintif; 2. Defendan Pertama juga telah memohon agar tindakan Mahkamah ditangguhkan bagi memberikan ruang dan peluang kepada Defendan Pertama mendapatkan dana bagi maksud bayaran balik kepada Plaintif; 3. Defendan Pertama tidak pernah menarik balik pengakuan, aku janji dan juga persetujuannya; dan 4. pada setiap masa yang material, Defendan Kedua merupakan Pengarah bagi Defendan Pertama dan tiada sebarang tindakan dilakukan untuk menarik balik pengakuan, aku janji bahkan persetujuan yang diberikan oleh Defendan Pertama sedangkan status Defendan Pertama masih solven dan tidak digulung. 46. Berdasarkan pengakuan, akujanji dan juga persetujuan dari Defendan Pertama mengenai keberhutangan, caj kelewatan dan juga tindakan Mahkamah, Defendan Kedua adalah diestop dari membangkitkan isu ini. 47. Isu atau alasan Klausa Timbang Tara adalah sah dan perlu dihalusi secara mendalam. 48. Tidak dapat dinafikan bahawa sekiranya terdapat suatu klausa penyelesaian pertikaian, ia mesti dipatuhi oleh pihak-pihak dan mahkamah tidak akan teragak-agak untuk menguatkuasakan klausa tersebut. 49. Klausa Timbang Tara merupakan satu salah daripada pelbagai jenis klausa penyelesaian pertikaian yang boleh dipersetujui dan dimasukkan oleh pihak-pihak di dalam suatu kontrak. 50. Prinsip mengenai pemakaian dan penguatkuasaan Klausa Timbang Tara adalah undang-undang mantap. Seksyen 10 Akta Timbang Tara 2005 serta keputusan-keputusan oleh mahkamah-mahkamah kita telah menjelaskan prinsip yang terpakai. Keputusan Mahkamah Persekutuan di dalam kes Tindak Murni cukup jelas dan tidak perlu dihuraikan semula. Mahkamah ini adalah terikat dengan keputusan serta prinsip yang termaktub di dalam kes tersebut. 51. Pemakaian dan penguatkuasaan Klausa Timbang Tara adalah berlandaskan kepada konsep autonomi parti. 52. Namun demikian, perlu ditekankan bahawa konsep autonomi parti bukanlah satu konsep yang mutlak. Konsep ini bukan tanpa hadnya. 53. Peruntukan yang mengiktiraf dan memberi kesan kepada konsep autonomi parti, iaitu seksyen 10(1) Akta Timbang Tara 2005, mengakui bahawa hak untuk menuntut supaya perjanjian timbang tara dipatuhi akan hilang jika wujud keadaan untuk menunjukkan, sebagai contoh, bahawa perjanjian untuk merujuk perkara itu kepada timbang tara telah diketepikan oleh pihak-pihak melalui pengambilan langkah dalam prosiding atau bahawa perjanjian itu adalah “null and void, inoperative or incapable of being performed”. 54. Selanjutnya, seksyen 4(1) Akta Timbang Tara 2005 turut memperuntukkan bahawa: “Sebarang pertikaian yang pihak-pihak telah bersetuju untuk menyerahkan kepada timbang tara di bawah perjanjian timbang tara boleh ditentukan melalui timbang tara melainkan perjanjian timbang tara itu bertentangan dengan dasar awam.” adalah satu lagi contoh mengenai had yang diletakkan pada konsep autonomi parti. 55. Walaupun diakui bahawa alasan tidak menguatkuasakan suatu klausa timbang tara ini lebih kerap menjadi pengecualian dan bukannya suatu kaedah am, ini tidak menyimpang daripada hakikat bahawa konsep autonomi parti mempunyai hadnya. 56. Berbalik kepada alasan kewujudan serta keperluan untuk menguatkuasakan Klausa Timbang Tara di dalam kes ini, Mahkamah ini mengambil maklum hujahan bahawa Klausa 16 Perjanjian Kolaborasi bukanlah merupakan satu klausa mandatori. Ini adalah kerana Klausa 6A1(iii) Perjanjian Kolaborasi memberikan Plaintif kebebasan untuk memilih apa jua cara dalam menuntut bayaran daripada pengarah di bawah Jaminan Syarikat tanpa terikat dengan peruntukkan di bawah Perjanjian Kolaborasi. 57. Lebih penting adalah fakta bahawa Defendan Kedua juga telah mengambil langkah di dalam prosiding dan sekaligus menerima bidang kuasa Mahkamah ini apabila memfailkan Lampiran 13 tanpa merezabkan sebarang bantahan terhadap bidang kuasa Mahkamah ini di dalam permohonan mereka. 58. Mahkamah ini ingin merujuk kepada kes L Capital Jones Ltd and another v Maniach Pte Ltd [2017] SGCA 63; [2017] 1 SLR 312 yang menerangkan pemakaian “step principle” ini. Sunguhpun permohonan di dalam kes tersebut melibatkan permohonan untuk pembatalan pliding dan pengendorsan, Mahkamah ini menggangap suatu pemfailan permohonan tanpa merezabkan sebarang bantahan terhadap bidang kuasa Mahkamah berjumlah kepada penerimaan bidangkuasa Mahkamah ini, sekaligus, penepian hak oleh Defendan Kedua untuk menggunakan klausa timbang tara tersebut. 59. Justeru, permohonan di dalam Lampiran 13 adalah di tolak dengan kos. 60. Defendan Kedua adalah diperintahkan untuk membayar kos sebanyak RM10,000.00 kepada Plaintif. Permohonan di dalam Lampiran 27 61. Defendan Ketiga bergantung kepada alasan-alasan bahawa: (1) penyerahan Writ terhadapnya adalah tidak teratur dan tidak sah dan ini menyebabkan Penghakiman Ingkar yang telah dimasukkan terhadap beliau suatu Penghakiman Ingkar yang tidak sempurna dan patut di ketepikan secara ex-debito justitae; (2) beliau mempunyai pembelaan bermerit. 62. Defendan Ketiga berhujah bahawa serahan Writ telah dibuat di alamat yang salah. Tambahan, Defendan Ketiga turut bergantung kepada Klausa 11.1 di dalam Perjanjian Kolaborasi yang dikatakan mengkehendaki serahan secara tangan. 63. Defendan Ketiga seterusnya mempertikaikan penyampaian secara gantian mengikut Aturan 62 kaedah 5 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012. 64. Mengenai pembelaan bermerit, Defendan Ketiga berhujah seperti berikut: (a) The Plaintiff’s claim is for breach of a guarantee/indemnity purportedly given by D3 in the Alleged Agreement but D3 is not a party to the Alleged Agreement. it is clear from the Alleged Agreement provided by the Plaintiff in the Plaintiff's Affidavit in Reply and marked as Exhibit “YGSB- 5” that D3 is not a party to that agreement in his personal capacity. The only parties to the Alleged Agreement are the Plaintiff and the First Defendant (“D1”) (b) D3 signed the Alleged Agreement in his capacity as a director of D1 and not in his personal capacity whereas the Writ of Summons is a claim against D3 is in his personal capacity. (c) The Alleged Agreement is also an agreement that is void from its inception as it is an agreement created to mask the real transaction which is an unlicensed money lending agreement. D3 cannot act as a surety for damages suffered due to a breach of an illegal contract. Such an agreement is void under Section 24 of the Contracts Act 1950 state (SIC) as follows:- “24. What considerations and objects are lawful, and what not. The consideration or object of an agreement is lawful, unless— (a) it is forbidden by a law; (b) it is of such a nature that, if permitted, if would defeat any law; (c) it is fraudulent; (d) it involves or implies injury to the person or property of another: or (e) the court regards it as immoral, or opposed to public policy. In each of the above cases, the consideration or object of an agreement is said to be unlawful. Every agreement of which the object or consideration is unlawful is void.” (e) The Plaintiffs was seeking to enforce Clause 6A of the Alleged Agreement but the alleged guarantee/indemnity granted to the Plaintiff by D3 is unenforceable as it is not a separate guarantee and does not fulfill the legal requirements of an enforceable guarantee. (f) The Alleged Agreement only binds D1 and as D3 was no longer a director of D1, D3 is not bound by the purported guarantee/indemnity. 65. Plaintif telah berhujah bahawa terdapat pelanggaran Aturan 42 kaedah 13 oleh Defendan Ketiga. Plaintiff bergantung kepada keputusan oleh Mahkamah Rayuan di dalam kes Koperasi Belia Nasional Bhd v Storage Enterprise (Port Kelang) Sdn Bhd [1998] 3 AMR 2465; [1998] 3 CLJ 335; [1998] 3 MLJ 209; [1998] 1 MLRA 287 dan Shinning Crest Sdn Bhd & Ors v Malaysia Building Society Berhad [2018] AMEJ 0307; [2018] CLJU 342; [2018] 10 MLJ 491; [2018] MLRHU 174. 66. Mengenai serahan kertas kausa, Plaintif menyangkal dakwaan Defendan Ketiga dan menegaskan bahawa (i) pada setiap masa yang material, alamat Kota Damansara adalah merupakan alamat berdaftar Defendan Ketiga berdasarkan maklumat yang diperolehi Plaintif melalui carian Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan juga cabutan alamat dari Jabatan Pendaftaran Negara; dan (ii) Defendan Ketiga juga gagal untuk mengemukakan sebarang bukti dokumentar bahawa alamat Kota Damansara telah ditukar dengan alamat baru di dalam rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia mahupun rekod Jabatan Pendaftaran Negara. 67. Plaintif turut merujuk kepada penyerahan yang juga dibuat secara gantian dan beberapa kes, termasuk Development & Commercial Bank Berhad v Aspatra Corporation Sdn Bhd & Anor [1996] 1 CLJ 141; [1995] 3 MLJ 472; [1995] 2 MLRA 116. 68. Mengenai alasan pembelaan bermerit seperti yang dibangkitkan oleh Defendan Ketiga, Plaintif berhujah bahawa jaminan pengarah adalah mengikat Defendan Ketiga yang pada setiap masa yang material adalah pengarah kepada Defendan Pertama. Penafian mengenai penglibatan dan peletakan jawatan sebagai pengarah hanya terjadi setelah kemungkiran perjanjian kolaborasi berlaku. 69. Plaintif juga berhujah bahawa transaksi yang dilakukan dibawah perjanjian kolaborasi adalah merupakan satu transaksi yang sebenar, wujud dan sah dan dakwaan bahawa ianya merupakan satu bentuk pinjaman tanpa lesen adalah hanya anggapan lepas Defendan Ketiga dalam mengelakkan dari liabiliti di bawah Perjanjian Kolaborasi tersebut. Dapatan Mahkamah 70. Mahkamah ini bersetuju bahawa Defendan Ketiga telah gagal mengemukakan sebarang penjelasan mengenai kelewatan memfailkan Lampiran 27 ini. 71. Mahkamah ini telah meneliti Klausa 11.1 Perjanjian Kolaborasi dan mendapati hujahan oleh Defendan Ketiga adalah tidak berasas. Klausa tersebut tidak sama sekali mengkehendaki serahan kertas kausa dilakukan secara serahan tangan dan soal pemakaian Aturan 10 kaedah 3 tidak timbul sama sekali. 72. Mahkamah ini mendapati bahawa serahan kertas kausa yang telah dilakukan adalah sempurna dan Penghakiman Ingkar ini adalah suatu Penghakiman yang sempurna. 73. Mengenai isu pembelaan bermerit, adalah dapatan Mahkamah ini bahawa Defendan Ketiga telah gagal mengemukakan sebarang pembelaan yang bermerit. Apa yang dikemukakan melalui cadangan Pembelaan hanyalah satu anggapan lepas dan penafian semata-mata oleh Defendan Ketiga. 74. Mahkamah ini juga mendapati bahawa Defendan Ketiga telah gagal untuk membuktikan bahawa Perjanjian Kolaborasi merupakan satu kontrak yang tidak sah dan tidak seharusnya dikuatkuasakan terhadap beliau selaku penjamin terhadap Perjanjian Kolaborasi tersebut. 75. Berdasarkan kepada dapatan-dapatan oleh Mahkamah ini, Lampiran 27 adalah ditolak dengan kos. 76. Defendan Ketiga adalah diperintahkan untuk membayar kos sebanyak RM10,000.00 kepada Plaintif. sgd Bertarikh: 25 Julai, 2025 (CHOONG YEOW CHOY) JUDICIAL COMMISSIONER HIGH COURT OF MALAYA SHAH ALAM, SELANGOR Peguam: Bagi pihak Plaintif : Saiyidah binti Sidek (Tetuan Hisham Sobri & Kadir) Bagi pihak Defendan Kedua : Mohamed Fadzil bin Abdul Manan (Tetuan Ami Rozaidi, Edynoor & Mu’az) Bagi pihak Defendan Ketiga : Siti Aisyah Choo binti Abdullah Nurul Fitrah binti Habeeb Rahman (Tetuan Haizan Choo & Co.)