tiada rakaman CCTV untuk merakamkan prosedur pengumpulan air kencing. [38] Hakim Mahkamah Sesyen telah meneliti dan menimbangkan keterangan OKT dan berpuashati bahawa OKT tidak dapat menimbulkan apa-apa keraguan yang munasabah terhadap kes Pendakwaan. [39] OKT tidak menafikan dia sebenarnya telah menyediakan sampel air kencing untuk tujuan ujian saringan awal. [40] Walaupun SP6 merupakan pegawai yang menemani OKT mengambil sampel air kencing itu, dan walaupun SP7 adalah pegawai yang melakukan ujian saringan awal di bawah arahan SP1, OKT gagal menunjukkan sebarang bukti bahawa terdapat konspirasi untuk menganiaya OKT. Tiada sebab juga untuk SP1, SP6 dan SP7 cuba menyalahkan OKT dan menyebabkan OKT didakwa dengan pertuduhan jenayah. [41] No siri. 0765081 untuk tujuan menjalani ujian air kencing. Pihak-pihak tidak mempertikaikan fakta bahawa SP6 adalah orang yang menemani OKT menjalani ujian air kencing ke atas OKT. [42] Pembelaan yang dibangkitkan dalam perenggan 37 (c) dan (d) adalah hujahan kosong. Hakim Mahkamah Sesyen berpendapat bahawa kedua-dua rantaian jagaan serta rantaian keterangan tidak terputus. [43] Bagi pembelaan di perenggan 37 (f) dan (g) di atas, Hakim Mahkamah Sesyen berpandangan bahawa pembelaan-pembelaan ini hanyalah afterthoughts. Ini kerana kedua-dua pembelaan di perenggan 37 (f) dan (g) ini tidak pernah dibangkitkan oleh OKT semasa pemeriksaan balas saksi pihak pendakwaan. Semasa perbicaraan, SP3, SP4 dan SP9 telah mengesahkan kepada Mahkamah bahawa botol sampel air kencing yang diterima dalam keadaan sempurna dan sealed. Oleh itu, kedua-dua pembelaan ini dalam perenggan 37 (f) dan (g) ditolak. [44] Berkenaan pembelaan di perenggan 37 (e) di atas. OKT berhujah bahawa Ahli Kimia (SP4) tidak melakukan ujian DNA ke atas botol sampel air kencing, Hakim Mahkamah Sesyen sekali lagi mendapati pembelaan ini sebagai afterthoughts. SP4 bukan sebahagian daripada penyiasatan dan tidak pernah diarah melakukan sebarang ujian DNA ke atas botol sampel air kencing itu. Selain itu, OKT tidak pernah mencabar keterangan saksi pendakwaan lain bahawa sampel air kencing yang dikumpul telah diusik. DAPATAN HAKIM MAHKAMAH SESYEN DI AKHIR KES PEMBELAAN [45] Berdasarkan keterangan di atas, Hakim Mahkamah Sesyen berpuas hati bahawa OKT gagal menunjukkan keraguan munasabah terhadap kes pihak Pendakwaan. Oleh itu, OKT disabitkan dengan kesalahan di bawah seksyen 15(1)(a) ADB. [46] Semasa di Mahkamah Sesyen, OKT enggan mengemukakan sebarang faktor mitigasi semasa Hakim Mahkamah Sesyen mempertimbangkan jenis hukuman. Maka, Hakim Mahkamah Sesyen tidak mempunyai pilihan selain menjatuhkan hukuman tersebut terhadap OKT. Terkilan dengan keputusan tersebut, OKT merayu ke Mahkamah Tinggi. DAPATAN MAHKAMAH TINGGI [47] Setelah merujuk kepada rekod rayuan dan keterangan saksi-saksi Pendakwaan dan pembelaan, Mahkamah mendapati bahawa pihak berkuasa polis telah mematuhi prosedur sepenuhnya dalam pengumpulan sampel air kencing OKT. OKT juga tidak menafikan ada memberikan sampel air kencing bagi tujuan saringan air kencing. [48] Laporan Ahli Kimia yang ditulis oleh SP4 menunjukkan analisa yang dijalankan keatas botol sampel air kencing itu sememangnya positif dadah jenis methamphetamine dan adalah milik OKT. [49] Mahkamah juga mendapati tiada isu berbangkit mengenai rantaian jagaan (chain of custody). OKT cuba mencabar SP4 mengenai isu rantaian jagaan botol sampel air kencing yang diperiksa oleh makmal adalah miliknya. Bagaimanapun, OKT tidak membuktikan dengan kukuh bahawa sampel air kencingnya telah diusik atau rantaian jagaan terputus. Keterangan SP6 mengesahkan SP7 yang menjalankan saringan dan tiada keterangan yang menunjukkan SP1, SP6 dan SP7 telah berkomplot untuk memberikan keterangan bagi tujuan menganiaya OKT. OKT semasa soal balas oleh pihak Pendakwaan telah mengesahkan bahawa semasa ujian dijalankan, OKT sendiri yang memegang dan membawa botol sampel air kencing ke meja ujian. Ini bercanggah dengan keterangan OKT sendiri bahawa SP6 yang membawa botol sampel air kencing OKT untuk dibuat ujian saringan. [50] Mahkamah juga mendapati bahawa pembelaan OKT bahawa seal botol air kencing bukanlah seal meterai tetapi hanya pelekat narkotik PDRM dan bahawa tiada rakaman CCTV yang merakam pengambilan air kencing di Pejabat Narkotik adalah pemikiran semula dan tidak boleh diterima. Keterangan SP3, SP4 dan SP9 telah mengesahkan bahawa botol sampel air kencing yang diterima adalah berseal seperti yang dilihat pada ekshibit P4. [51] Mahkamah juga merujuk kepada pembelaan OKT yang menyatakan bahawa tiada ujian DNA dibuat terhadap sampel air kencing OKT yang diterima. Apa yang jelas SP4 menerima Borang Permintaan Pengesanan Dadah Dalam Air Kencing dan botol sampel air kencing yang mengandungi maklumat-maklumat OKT dan SP4 menjalankan ujian air kencing berdasarkan maklumat yang tertera pada borang dan botol sampel air kencing tersebut. OKT tidak menyoal balas berkaitan cara pengendalian dan penyimpanan sampel air kencing sebelum diterima oleh SP4 dan OKT tidak pernah mencadangkan kepada saksi Pendakwaan bahawa sampel air kencing tersebut telah tercemar dan kepunyaan orang lain. [52] Pembelaan OKT bahawa SP3 dan SP5 tidak membuat ujian untuk mengesan cap jari OKT pada botol tidak boleh diterima oleh Mahkamah. SP3 adalah Juru Teknologi Makmal di Jabatan Patologi yang bertugas untuk menerima Borang Permintaan Pengesanan Dadah Dalam Air Kencing dan botol specimen air kencing. SP3 telah memastikan maklumat-maklumat dalam borang permintaan adalah sama dengan maklumat dibotol spesimen air kencing yang diterima. Bukanlah tugas SP3 untuk menjalankan ujian bagi cap jari pada botol specimen air kencing yang diterima. SP5 pula pegawai yang menjaga rekod di Pusat Pendaftaran Penjenayah dan tiada akses kepada botol air kencing OKT dan adalah tidak munasabah dan masuk akal bagi SP5 membuat ujian bagi cap jari OKT. OKT juga telah gagal menyoal SP9 (Pegawai Penyiasat) sama ada terdapatnya keperluan/prosedur membuat ujian pengesanan cap jari OKT pada botol spesimen yang diterima dari SP1. [53] Berkaitan isu alibi di bawah seksyen 402 Kanun Tatacara Jenayah yang ditimbulkan oleh OKT memandangkan OKT tidak diwakili oleh mana-mana Peguam, merujuk kepada Hujahan bertulis OKT (Lampiran 49), OKT menafikan memasuki sebarang jenis dadah ke dalam badannya semasa kejadian dan menafikan ujian saringan awal mahupun spesimen air kencing yang dihantar ke makmal untuk analisa adalah miliknya. OKT menyatakan sekiranya beliau dapat membuktikan OKT berada di tempat lain pada masa spesimen diambil. Mahkamah berpendapat hujahan ini hanya penegasan OKT tanpa bukti. [54] Kegagalan pihak Pendakwaan memanggil Korporal Yagappan a/l Sharimuthu ke Mahkamah tidak menjejaskan kes pihak Pendakwaan. Korporal Yagappan merupakan pegawai polis yang menerima laporan tangkapan sahaja. [55] Mahkamah juga berpuashati bahawa pengumpulan sampel air kencing OKT telah mematuhi seksyen 31A ADB. Tiada keterangan pembelaan yang meragukan kes pihak Pendakwaan. [56] Mahkamah dalam mendengar rayuan ini berpandukan kepada prinsip-prinsip undang-undang yang mantap di mana Mahkamah di peringkat rayuan seharusnya mengambil pendirian untuk tidak mengganggu keputusan yang dibuat oleh mahkamah perbicaraan melainkan ternyata keputusan tersebut terdapat salah arah, tidak menurut undang-undang dan terdapat keterangan kukuh yang menunjukkan bahawa hakim perbicaraan telah terkhilaf di dalam menilai keterangan yang telah dikemukakan semasa perbicaraan. [57] Dalam kes Amri Ibrahim & Anor v PP [2017] 1 CLJ 617, Mahkamah Persekutuan memutuskan seperti berikut:- “[51] It is trite law that the view of the trial judge as to the credibility of a witness must be given proper weight and consideration. An appellate court should be slow in disturbing such finding of fact arrived at by the trial judge, who had the advantage of seeing and hearing the witness, unless there were substantial and compelling reasons for disagreeing.” [58] Mahkamah juga merujuk kes LCY v TWY [2019] 7 CLJ 158, Tun Tengku Maimun Tuan Mat HMR (kini KHN) memutuskan seperti berikut:- “[26] The principle of law on appellate intervention is settled. In Dream Property Sdn BHd v Atlas Housing Sdn Bhd [2015] 2 CLJ 453, the Federal Court reiterated the principle as follows at p. 476; [61] It is now established that the principle on which an appellate court interfere with findings of fact by the trial court is “ the plainly wrong test” principle; see the Federal Court in Gan Yook Chin & Anor (P) v Lee Ing Chin @ Lee Teck Seng & Anor [2004] 4 CLJ 309;[2005] 1 MLJ 1 (at p.10) per Steve Shim CJ SS . More recently, this principle of appellate intervention was affirmed by Federal Court in UEM Group Berhad v Genisys Integrated Engineers Pte Ltd/ 2010} 9 CLJ 785 where it was held at p.800’ and It is settled law that an appellate court will not generally speaking intervene with the decision of a trial court unless the trial court is shown to be plainly wrong in arriving at its decision. A plainly wrong decision happens when the trial court is guilty of no or in sufficient judicial appreciation of the evidence) see Chew Yee Wah & anor v Choo ah Pat [1978] 1 LNS 32; Watt v Thomson [1947] AC 484; and Chin v Lee Ing Chin & Ors [2004] 4 CLJ 309”. KESIMPULAN [59] Mahkamah mendapati tiada terdapat sebarang kekhilafan di dalam keputusan HMS dan sabitan terhadap OKT adalah selamat untuk dikekalkan. [60] Berkaitan dengan hukuman yang ditimbulkan oleh OKT untuk dikurangkan, Mahkamah mengambilkira bahawa walaupun pertuduhan terhadap OKT adalah di bawah seksyen 15 (1) (a) ADB tetapi memandangkan OKT telah pernah disabitkan sebanyak 2 kali di bawah pertuduhan yang sama, maka penalti lebih berat dikenakan dibawah seksyen 39C (1) (b) ADB. [61] Mahkamah juga mengambil maklum akan rayuan OKT tentang hukuman dan juga mengambilkira bahawa kesalahan seumpama ini adalah lebih kepada pemberian dadah kepada diri sendiri, walaubagaimanapun mengikut seksyen 39C (1) (b) hukuman penjara adalah tidak kurang daripada 5 tahun dan tidak lebih dari 7 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebat tidak lebih daripada tiga sebatan. Mahkamah ini juga mengambilkira faktor kepentingan awam dan mengekalkan hukuman yang dikenakan oleh HMS. [62] Oleh itu, rayuan Perayu / OKT ditolak dan sabitan dan hukuman yang dikenakan oleh HMS dikekalkan. (LATIFAH BINTI HJ MOHD. TAHAR) HAKIM MAHKAMAH TINGGI MAHKAMAH TINGGI JENAYAH (4) SHAH ALAM SELANGOR DARUL EHSAN TARIKH: 17.11.2023 Peguamcara Perayu: Tetuan Sreetharan P33, Blok B Kelana Square 17, Jalan SS 7/26, 47301 Petaling Jaya, Selangor Bagi Pihak Responden: Timbalan Pendakwa Raya Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Selangor, Aras 4, Podium Selatan, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Seksyen 5, 40000 Shah Alam