Fakta Kes dan Keterangan 1.1 SP1 iaitu mangsa di dalam kes ini telah memberi keterangan pada tahap Pemeriksaan Utama melalui Pernyataan Saksi. SP1 bernama Sudarsi, seorang warganegara Indonesia yang berumur 47 tahun. Beliau telah kahwin dan mempunyai seorang anak berumur 14 tahun. Sebelum datang ke Malaysia, beliau bekerja di kilang dengan gaji harian anggaran 7000 Rupiah. Pada pertengahan tahun 2012, kawan SP1 bernama Ros telah datang ke rumahnya dan memberitahu ada pekerjaan sebagai pembantu rumah di Malaysia dengan gaji 1 juta Rupiah sebulan dan gaji akan dibayar setiap bulan. Ros juga telah beritahu kerja pembantu rumah adalah untuk menjaga dua orang anak dan bersihkan rumah. Dua minggu kemudian, Ros telah membawa SP1 ke Jawa Timur untuk berjumpa dengan Andre untuk buat paspot. Kos perjalanan dan kos paspot ditanggung oleh Andre dan SP1 dimaklumkan gajinya akan dipotong 3 bulan untuk kos tersebut. Ros juga telah beri wang 500 ribu Rupiah untuk SP1 datang ke Malaysia dan memberitahunya bahawa bayaran ini akan dipotong melalui gajinya. Setelah sampai di Malaysia, SP1 telah disambut oleh seorang perempuan Cina bernama Sisi (SP4) dan suaminya. Semasa berjumpa dengan Sisi, dia telah minta paspot SP1 untuk buat permit. SP1 tidak dibawa ke mana-mana pejabat Imigresen bagi memproses permit kerja dan sepanjang masa tinggal di Malaysia, SP1 tidak ditunjukkan permit kerja. SP1 juga tidak pernah dibawa ke klinik untuk pemeriksaan kesihatan untuk memproses permit kerja. SP1 tidak tahu mengenai keperluan permit kerja di Malaysia dan juga tidak pernah dimaklumkan permit kerja akan dipohon dan juga tidak pernah pada bila-bila masa menandatangani sebarang kontrak. Pada keesokkan hari, SP4 telah menghantar SP1 ke rumah majikan pertama dimana SP1 tidak ingat alamat rumah tersebut. SP1 telah mula bekerja dengan majikan bernama Jenny iaitu OKT di dalam kes ini pada 29.6.2013 di No. 45, Jalan Kenari Jaya 2, Taman Kenari Jaya, Sungai Petani. SP1 telah bekerja dengan OKT selama 3 tahun 3 bulan di kedai kopi OKT yang beralamat Restoran Kampian, No. A1 & A2, Tingkat Bawah, Taman Kampian, Jalan Sekerat, 08000 Sungai Petani, Kedah atas arahan OKT. SP1 telah bekerja dari 5 pagi sehingga 2 pagi setiap hari dan hanya seorang sahaja yang tinggal di dalam kedai kopi tersebut pada waktu malam. Suami OKT akan kunci kedai kopi dari luar sebelum balik dan kunci tersebut tidak pernah ditinggalkan di kedai kopi. SP1 menyatakan dia tidak dibenarkan keluar dari tempat kerja. SP1 menyatakan kerja yang dilakukan adalah tidak sama seperti dijanjikan. SP1 berasa sakit hati dan takut untuk bertanya kepada OKT kerana akan dimarahi oleh OKT. Selama SP1 bekerja dengan OKT, SP1 tidak pernah bercuti dan perlu membersihkan rumah OKT sekiranya kedai kopi tutup pada hari Ahad. SP1 juga tidak pernah menerima gaji selama bekerja dengan OKT. SP1 berasa sakit hati tidak dapat menerima gaji sendiri walaupun telah minta daripada OKT. SP1 juga pernah minta balik ke Indonesia setelah tamat tempoh 2 tahun kontrak, namun tidak dibenarkan oleh OKT dengan alasan bahawa SP1 masih ada hutang dengan dia dan sekiranya SP1 tanya lanjut akan dimarahi oleh OKT. SP1 turut menyatakan bahawa beliau tidak pernah pada bila-bila masa bersetuju untuk OKT simpan gaji dia. SP1 akan dimarahi oleh OKT setiap kali minta gaji daripada OKT. Seterusnya SP1 telah menyatakan bahawa OKT telah meludah dan marah – marah SP1 sekiranya kerja kurang memuaskan. OKT turut ada memukul SP1 dikepala sehingga menyebabkan beliau berasa pening, ada simbah air panas padanya, gunting pakaian dan baju dalam, tidak dibenarkan solat malah telekung juga dikotorkan oleh OKT dan tidak dibenarkan berpuasa. Pada 29.9.2016, SP1 telah menyatakan bahawa OKT telah menghalau dia keluar dari rumah dan kunci rumah dari dalam. SP1 kemudian telah melarikan diri daripada OKT ke masjid dan telah meminta tolong untuk dibawa ke rumah kawannya namun kawan enggan membantu. Akhir sekali ada orang awam yang telah menghantar SP1 ke Kedutaan Indonesia di Pulau Pinang dan SP1 telah membuat laporan polis pada 16.1.2017. Pada tahap Pemeriksaan Balas, apabila ditanya samada SP 1 dipaksa bekerja oleh majikan dengan dipukul dengan besi tajam atau kayu atau batu, SP1 menjawab tidak ada. Laporan polis SP1 iaitu Sungai Petani Rpt 1491/17 (Eksibit P 10) dirujuk dimana SP 1 telah laporkan “Pada 29.9.2016 jam lebih kurang 0100 hrs, saya telah dengan rela hari lari dari majikan (1) P/Cina nama Jenny”. SP 1 setuju dengan cadangan peguambela bahawa dia telah dengan rela hati lari dari majikan. Beliau juga setuju bahawa keterangan beliau bahawa majikannya telah menghalau dia keluar adalah bercanggahan dengan laporan polis yang dibuatnya. Semasa SP1 berada di rumah Perlindungan di Kedutaan Indonesia, P. Pinang, pegawai Konsulat Kedutaan Indonesia (SP5) telah berjumpa dengan SP1 dan berbincang dengan SP1 mengenai masalah gajinyanya. SP1 setuju bahawa masalah dalam aduan tersebut adalah mengenai pembayaran wang gaji SP1. SP1 telah dirujuk Dokumen Persetujuan Bersama diantara SP1 dan OKT (Eksibit D14). SP1 setuju dengan cadangan peguambela bahawa dokumen tersebut menyatakan bahawa apabila SP1 menerima wang gaji sebanyak RM32, 000/-, SP1 akan balik ke Indonesia dan tidak ingin meneruskan kes ini terhadap OKT. Pada tahap pemeriksaan semula, SP1 menyatakan bahawa sebenarnya dia telah dihalau keluar dari rumah OKT dan bukannya dengan rela hati lari dari majikan. SP 1 tidak pernah menandantangani Dokumen Persetujuan Bersama diantara SP1 dan OKT (Eksibit D14).