(c) Pertuduhan Ketiga Rayuan perayu ditolak. Sabitan dan hukuman penjara 18 bulan oleh Mahkamah Tinggi dikekal dan disahkan. [4] Kami kini perturunkan alasan kami memutuskan sedemikian. Kes Pendakwaan [5] Bertindak atas maklumat yang diterima, pada 4.2.2015, jam lebih kurang 5.00 petang, Inspektor Mohd Zaidi bin Said @ Zaid (SP2) yang mengetuai sepasukan 6 anggota polis daripada Bahagian Pasukan Tindakan Khas, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Kuala Lumpur tiba di hadapan kedai Erat Maju Racing Wheel Sdn Bhd di Ulu Tiram untuk membuat serang hendap. SP2 kemudiannya telah menahan seorang lelaki Cina (perayu) yang sedang berdiri berdekatan dengan kereta nombor pendaftaran WVN 2277 jenis Audi A5 berwarna hitam. Kereta tersebut ketika itu sedang dalam keadaan menaik sebahagiannya dialas oleh alat pump hydraulic milik kedai membaiki kereta. Perayu ketika ditahan sedang menggalas satu beg silang berwarna coklat jenama BUM Equipment (P25) yang disilang pada badan. SP2 telah memperkenalkan diri sebagai polis kepada perayu. SP2 selanjutnya melakukan pemeriksaan ke atas beg silang P25 dan menjumpai barangan berikut: serangkai anak kunci terdiri daripada 3 batang anak kunci bersama satu alat kawalan jauh [(P25A (1-4)], satu pasport atas nama perayu (P26), 5 unit talipon bimbit [tiga jenama Nokis (P28, P29 dan P31) dan 2 jenama Samsung (P27 dan P30)], 3 beg duit (P25B, P25C, P25D), wang tunai RM8280.00, wang tunai SD300.00, kad pengenalan perayu, satu kad kredit Visa [(P25B)(1)], satu kad ATM Maybank ([P25C(1)] dan dua buku bank (P25E dan P25F). SP2 selanjutnya membuat pemeriksaan ke atas kereta nombor pendaftaran WVN 2277, tetapi tiada apa-apa barang salah dijumpai. SP2 kemudiannya telah meminta salah seorang pekerja kedai Erat Maju Racing untuk menurunkan semula kereta tersebut daripada pump hydraulic. SP2 juga melakukan pemeriksaan ke atas badan perayu, tetapi tiada apa-apa barang salah ditemui, kecuali terdapat anak kunci kereta WVN 2277. [6] Seterusnya dengan dipandu arah oleh perayu, pada jam lebih kurang 5.30 petang, perayu telah membawa SP2 dan pasukan polis ke sebuah rumah beralamat No. 21, Jalan Molek 3/18, Taman Molek, Johor Bahru. Ketika sampai di rumah tersebut, pintu pagar hadapan berkunci. Dengan menggunakan alat kawalan jauh (penggera) yang dirampas dari beg P25, SP2 telah berjaya membuka pintu pagar rumah tersebut. SP2 bagaimana pun mendapati grill pintu hadapan rumah berkunci dengan satu mangga (P21). Dengan menggunakan anak kunci [(P25A (1-4)] yang ditemui di dalam beg P25, SP2 telah berjaya membuka mangga pintu grill (P21) dan kunci pintu grill [lihat gambar P12 (6), (7) dan (9) Rekod Rayuan Jilid 3]. SP2 seterusnya memasuki rumah tersebut. [7] SP2 selanjutnya dalam kehadiran perayu telah memeriksa ruang tamu, bilik utama dan bilik kedua rumah, tetapi tiada apa-apa barang salah ditemui. SP2 kemudiannya membuat pemeriksaan di bilik menonton TV. Ketika SP2 memeriksa bahagian belakang sofa di bilik tersebut dan mengalihkan sofa serta kabinet TV, SP2 memerhatikan reaksi perayu seperti dalam keadaan gelisah berbanding dengan keadaan perayu semasa pemeriksaan di ruang tamu dan bilik utama di mana perayu tidak melihatkan apa-apa reaksi gelisah dan takut. Setelah mengalihkan kabinet TV [(lihat gambar P12(22) Rekod Rayuan Jilid 3], SP2 melihat di bahagian lantai belakang kabinet TV terdapat sekeping mozek berwarna putih tidak bersemen di tepi dinding seperti menutupi sesuatu. SP2 telah mengalihkan mozek tersebut dan mengumpil buka sekeping jubin yang juga tidak bersemen terletak di lantai dan mendapati di bawah jubin tersebut terdapat satu lubang berlantai dan dinding berjubin yang dibuat khas mempunyai keluasan permukaan lebih kurang 2 kaki lebar dan kedalaman lebih kurang 3 ke 4 kaki [lihat gambar P12(23), (24), (25) & (27) Rekod Rayuan Jilid 3]. Di dalam lubang khas tersebut SP2 melihat terdapat satu kotak besar berwarna biru dan putih bertulis DMDL/DVD [(lihat gambar P7(1) Rekod Rayuan Jilid 3]. SP2 telah membawa keluar kotak tersebut (P20) ke ruang tamu rumah bagi pemeriksaan dilakukan dengan disaksikan oleh perayu dan pasukan SP2. [8] Di dalam kotak P20 tersebut, SP2 telah menjumpai barangan berikut: