(iv) Sama ada tuntutan pemohon untuk mendapatkan pemilikan hartanah menurut Aturan 89 KKM 2012 adalah teratur dan wajar dibenarkan. G. ANALISIS DAN DAPATAN Isu 1: Sama ada responden mempunyai kepentingan yang boleh dikaveatkan [28] Responden mengemukakan alasan wujud amanah konstruktif yang memberi ruang kepada responden memasukkan kaveat persendirian atas hartanah tersebut. [29] Berdasarkan ekshibit LYC-08 Afidavit Jawapan responden, seawal 14.6.2024 terdapat usaha penyelesaian pertikaian perkahwinan antara pemohon dan responden berkaitan harta yang diperoleh sebelum dan semasa dalam perkahwinan. Hartanah tersebut turut tersenarai dalam perundingan pihak-pihak. [30] Sekiranya ekshibit LYC-08 diteliti, perkara tentang pemegangan hartanah tersebut oleh pemohon atas dasar amanah telah pun ada dalam pengetahuan pihak-pihak. [31] Peguam cara terpelajar bagi pemohon telah merujuk kes Heng Gek Kiau v Goh Koon Suan [2007] 6 CLJ 626. Isu yang berkaitan dalam kes Heng Gek Kiau (supra) yang dirujuk oleh Mahkamah Rayuan adalah sama ada pembeli mempunyai niat untuk menderma. Niat tersebut hendaklah ditentukan dengan memeriksa secara teliti fakta dan keterangan sekeliling kes. Turut ditekankan oleh Mahkamah Rayuan bahawa anggapan wujudnya amanah terbitan hanya terpakai jika tiada keterangan tentang niat sebenar pihak-pihak. [32] Fakta dalam kes Heng Gek Kiau v Goh Koon Suan (supra) yang dinilai oleh Mahkamah Rayuan dalam menentukan niat plaintif adalah penyediaan wang belian rumah dan tindakan plaintif tidak mendaftarkan namanya atas rumah tersebut tetapi mendaftarkan nama defendan. Selain itu plaintif tidak memaklumkan peguam cara yang mengendalikan jual beli rumah tentang defendan sebagai pemilik pada nama semata-mata dan plaintif adalah pemilik yang berkepentingan. [33] Kembali merujuk fakta kes di sini, pemohon telah menunjukkan Borang 14A yang menyatakan pindah milik hartanah tersebut oleh responden kepada pemohon berdasarkan kasih sayang. [34] Namun, berpandukan pemerhatian Mahkamah ini terdapat perbezaan yang ketara dari segi fakta kes pemohon di sini jika dibandingkan dengan kes Heng Gek Kiau v Goh Koon Suan (supra). Pemohon tidak pernah menduduki hartanah tersebut sama ada dari tarikh perkahwinan pemohon dengan responden atau selepas hartanah tersebut dipindah milik kepada pemohon. Fakta yang jelas dan diakui adalah hartanah tersebut masih kekal dihuni oleh responden dan anak responden dari perkahwinan responden dengan bekas isteri. [35] Selain itu, terdapat sebut harga khidmat guaman bertarikh 3.5.2023 (Ekshibit LYC-05) yang dikeluarkan atas letterhead Tetuan SL Goon & Partners yang merupakan peguam cara pemohon. Kewujudan ekshibit LYC-05 konsisten dengan penegasan responden bahawa pemohon telah berjanji untuk memindahmilik semula hartanah tersebut kepada responden. [36] Dalam kes Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor v. JW Properties Sdn Bhd [2017] 8 CLJ 392; [2017] MLJU 1107, Mahkamah Persekutuan telah menekankan prinsip berkaitan amanah konstruktif menuntut niat dan kelakuan yang adil dan jujur oleh seseorang yang memegang hak dan memutuskan - [59] It has also been held that a constructive trust is a trust which is imposed by equity in order to satisfy the demands of justice and good conscience without reference to any express or presumed intention of the parties (see the case of Hassan Kadir & Ors v. Mohamed Moidu Mohamed & Anor [2011] 5 CLJ 136 (FC); [2011] MLJU 1556). A constructive trust is a remedial device that is employed to prevent unjust enrichment. It has the effect of taking the title to the property from one person whose title unjustly enriches him, and transferring it to another who has been unjustly deprived of it (see the case of Tay Choo Foo v. Tengku Mohd Saad Tengku Mansur & Ors. And Another Appeal [2009] 2 CLJ 363 CA; [2009] 1 MLJ 289). [37] Kendatipun, saya tidak berhasrat untuk membuat dapatan berhubung dengan isu pertikaian yang dibangkitkan oleh responden berkaitan dengan kewujudan amanah kerana ini bukanlah forumnya yang sesuai. [38] Memadai bagi Mahkamah ini membuat dapatan bahawa responden telah memenuhi ujian-ujian yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan dalam kes Luggage Distributors (M) Sdn Bhd v Tan Hor Teng & Anor (Supra). [39] Kepentingan responden atas hartanah tersebut seperti yang dihujahkan olehnya adalah bermerit. Responden telah menunjukkan secara prima facie wujud kepentingan yang boleh dikaveatkan. Isu-isu tersebut wajar diputuskan dalam menyelesaikan isu harta yang diperoleh semasa dalam perkahwinan khasnya pada tahap ini pemohon dan responden berada dalam konflik perkahwinan. Isu 2: Sama ada pemohon boleh memohon deklarasi melalui Aturan 89 KKM 2012 [40] Pemohon telah memohon relif deklarasi dalam perenggan (a) Saman Pemula ini. [41] Mahkamah Rayuan dalam kes Cheow Chew Khoon (t/a Cathay Hotel) v Abdul Johari bin Abdul Rahman [1995] 1 MLJ 457 memutuskan – …the fundamental principle that a party must not take his opponent or the court by surprise. … an originating process requiring an intitulement must state, with sufficient particularity, either in its heading or in its body, the statute or rule of court under which the court is being moved; otherwise it would be an embarrassing pleading and liable to be struck out, unless sooner amended. [42] Pemohon telah menggunapakai kes Dato’ Seri Yap Seng Yew & 1 lagi v Expo Electronic Sdn Bhd & Ors [2023] 1 LNS 1612 untuk menyokong permohonan mendapatkan deklarasi. Terdapat perbezaan ketara antara kes Dato’ Seri Yap Seng Yew & 1 lagi v Expo Electronic Sdn Bhd & Ors dengan kes pemohon di sini. [43] Relif deklarasi yang dipohon dalam kes tersebut adalah melalui prosiding writ dan bukannya Saman Pemula sebagaimana kes pemohon yang langsung telah menggabungkan permohonan untuk pemilikan tanah dan penyingkiran kaveat persendirian tanpa memasukkan relif pelaksanaan spesifik dalam intitulement. [44] Justeru, berlaku unsur kejutan yang tidak wajar dibenarkan oleh Mahkamah ini. Isu 3: Sama ada responden adalah setinggan [45] Pemohon dalam kes ini telah berhujah bahawa responden dan anak responden adalah setinggan kerana menduduki hartanah tersebut tanpa kebenaran pemohon. [46] Mahkamah Agung dalam kes Bohari bin Taib v Pengarah Tanah Galian Selangor [1991] 1 MLJ 343 telah menggariskan perbandingan antara setinggan yang langsung tidak mempunyai apa-apa hak dengan penghuni dengan izin atau lesen dalam menentukan tujuan pemakaian Aturan 89 KKM 2012. Antara lain, Mahkamah Agung memutuskan bahawa – It may be impossible to establish the existence of any triable issue in the case of bare squatters, but the position of tenants and licences holding over, or person occupying with implied or expressed consent of the owner may be different. [47] Mengambilkira prinsip di atas, Mahkamah ini tidak bersetuju dengan pendirian pemohon bahawa responden merupakan setinggan yang menduduki hartanah tersebut. Tiada sebarang nas undang-undang dikemukakan oleh pemohon untuk menyokong fakta seorang suami yang menduduki rumah yang didaftarkan atas nama isteri boleh disifatkan sebagai setinggan. Isu tersebut dijawab secara negatif oleh Mahkamah ini. [48] Manakala dalam konteks fakta kes ini, responden bukanlah penceroboh. Sebaliknya pemohon dan responden adalah pasangan suami isteri. Pada hemat saya, oleh kerana undang-undang keluarga telah memberi hak kepada pasangan suami isteri yang bercerai menuntut hak atas harta dalam perkahwinan, maka secara asasnya pendirian pemohon bahawa responden sebagai setinggan atas hartanah tersebut adalah tidak bermerit. [49] Relif yang dipohon oleh pemohon turut menyatakan penyerahan milikan kosong hartanah hendaklah juga dibuat oleh agen/wakil responden dan/atau ahli keluarga responden yang mendiami hartanah tersebut. Pemohon mengakui yang anak responden turut mendiami hartanah tersebut. Namun bagi tujuan pemakaian Aturan 89 KKM 2012 pemohon tidak pun menamakan anak responden sebagai pihak yang dituntut. [50] Selain itu, saya juga mendapati Saman Pemula yang didraf oleh peguam cara pemohon telah mencampur adukkan dua permohonan utama iaitu permohonan di bawah Aturan 89 KKM 2012 dan permohonan menyingkirkan kaveat persendirian di bawah seksyen 327 KTN. Isu 4: Sama ada tuntutan pemohon untuk mendapatkan pemilikan hartanah menurut Aturan 89 KKM 2012 adalah teratur dan wajar dibenarkan [51] Sayugia bagi Mahkamah ini memberi pandangan bahawa tindakan oleh pemohon dalam pemfailan Saman Pemula di Mahkamah ini untuk mendapatkan relif-relif utama tidak sewajarnya dijadikan amalan. [52] Hal ini kerana permohonan menurut Aturan 89 KKM 2012 dan seksyen 327 KTN selain relif deklarasi adalah melibatkan peruntukan-peruntukan substantif yang mempunyai prinsip dan pemakaian undang-undang yang berbeza antara satu sama lain. Meski pun demikian, peguam cara pemohon memilih menggunakan Saman Pemula yang sama bagi ketiga-tiga permohonan tersebut. [53] Pendirian Mahkamah ini selari dengan prinsip yang diputuskan dalam kes Nanda Kumar a/l Ranganathan v Lalita a/p Veeriah & Ors [2015] 10 MLJ 48. Mahkamah Tinggi dalam kes tersebut telah menolak tuntutan ganti rugi yang dituntut oleh pemohon dan memutuskan bahawa Aturan 89 KKM 2012 tidak membenarkan tuntutan ganti rugi memandangkan Mahkamah hanya boleh membenarkan perintah pemilikan sahaja. [54] Pemohon di sini telah menuntut deklarasi tiada amanah wujud antara pemohon dan responden berhubung hartanah tersebut. Punca Klasik Sdn Bhd v All Persons in Occupation of the Wooden House Erected on a Portion of Land held under Grant No 26977 for Lot 4271 in the Township of Johor Bahru (No. 2) [1996] 5 MLJ 92 telah memberi panduan bahawa sekiranya plaintif membuat permohonon di bawah peruntukan ini, plaintif tidak boleh menggunakan peruntukan undang-undang yang lain untuk mendapatkan relif yang lain dan hendaklah terikat secara ketat dengan intitulement. Hal ini bagi membolehkan defendan mengetahui apa yang akan dijangkakan dan memudahkan defendan menyediakan pembelaan. [55] Saman Pemula ini pemohon telah menyatakan seksyen 327 KTN. Namun demikian, peruntukan dalam Akta Relif Spesifik bagi relif deklarasi tidak dinyatakan dalam intitulement. [56] Selanjutnya saya berpandangan kes ini bukanlah kes yang boleh diputuskan secara terus menurut Aturan 89 KKM 2012. Saya telah meneliti fakta kes ini khususnya fakta yang responden telah menduduki hartanah tersebut bersama dengan anak responden mulai dari tempoh perkahwinan responden dengan bekas isterinya dan sehinggalah selepas responden berkahwin dengan pemohon. [57] Berdasarkan surat yang dikeluarkan oleh peguam cara pemohon kepada responden, defendan telah diminta keluar dari rumah tersebut. Ini bermaksud sejak perkahwinan pemohon dan responden bahkan sehingga hartanah dipindahmilik kepada pemohon, responden dan anaknya telah menduduki hartanah tersebut secara sah. [58] Mahkamah Rayuan dalam kes Lee Loy & Ors v Poh Kam Sang & Anor [2018] 3 MLJ 240 memberi ingatan bahawa prosedur pemilikan tanah secara terus di bawah Aturan 89 KKM 2012 ini tidak terpakai dalam keadaan pendudukan atas tanah pada awalnya adalah sah. Peruntukan tersebut adalah bertujuan untuk mengendalikan kes-kes pencerobohan yang mudah. [59] Faktor tersebut juga telah menjadi satu daripada dua prinsip yang diketengahkan dalam kes Shaheen bte Abu Bakar v Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor [1996] 1 MLJ 825. Mahkamah Rayuan memutuskan terdapat dua keadaan yang mengecualikan pemakaian Aturan 89 KKM 2012. Keadaan kedua adalah kewujudan persetujuan nyata atau tersirat oleh pemilik hartanah berkaitan pendudukan tersebut. [60] Mahkamah ini juga mendapati bahawa pemohon tidak mendedahkan dalam Afidavit Sokongan berkenaan fakta bahawa hartanah tersebut merupakan sebahagian daripada harta yang menjadi pertikaian dalam perkahwinan pihak-pihak yang sedang dalam konflik rumah tangga. Fakta material ini sebaliknya didedahkan oleh responden melalui Afidavit Jawapan. Ketinggalan oleh pemohon dalam konteks ini boleh disifatkan sebagai penyembunyian fakta sebagaimana diputuskan dalam kes Juta Permai Sdn Bhd v Mohd Zain bin Jantan [2001] 2 MLJ 322. [61] Justeru, Mahkamah ini berpandangan bahawa prosedur pemilikan terus tanah menurut Aturan 89 KKM 2012 tidak sepatutnya diguna pakai oleh pemohon dalam menyelesaikan konflik hak atas hartanah tersebut. H. KESIMPULAN [62] Berdasarkan alasan-alasan yang diperincikan di atas, Mahkamah ini memutuskan Saman Pemula ditolak dengan kos ditanggung oleh pihak masing-masing. Bertarikh pada 25 April 2025. Ditandatangani ........................................................... HAZIZAH KASSIM Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Sivil (NCvC10) Shah Alam