Lampiran
Lampiran 14 adalah permohonan Defendan menurut Aturan 18 Kaedah 19 dan/atau Aturan 46 Kaedah 2(3) dan/atau Aturan 92 Kaedah 4 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 dan/atau bidang kuasa sedia ada Mahkamah untuk perintah-perintah seperti berikut:- 1. Writ Pemilikan bertarikh 15-11-2024 (“Writ Pemilikan 145 tersebut”) dan Notis Pemilikan bertarikh 12-12-2024 diketepikan dan/atau dibatalkan; 2. Segala prosiding pelaksanaan bagi Penghakiman bertarikh 12-07- 2023 digantungkan sementara menunggu pendengaran dan pelupusan Notis Permohonan ini; 3. Kos permohonan ini dibayar oleh Plaintif dengan serta-merta; dan 4. Perintah-perintah dan/atau relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh Mahkamah Mulia. LATAR BELAKANG KES [3] Pada 12.7.2023, Plaintif telah memperolehi Penghakiman berikut di Mahkamah Sesyen: DI HADAPAN HAKIM AZIAN BINTI OTHMAN PADA 12 JULAI 2023 DALAM KAMAR PENGHAKIMAN TINDAKAN INI setelah dipanggil untuk bicara pada hari ini DAN SETELAH MENDENGAR hujahan-hujahan pihak-pihak DAN ditetapkan untuk keputusan dalam kehadiran Yip Huen Weng, Peguam cara Plaintif, dan Vivegarubini Kandaiah, Peguam cara Defendan MAKA ADALAH PADA HARI INI DIHAKIMKAN bahawa: (i) Defendan untuk menyerahkan milikan kosong bagi lapan hartanah milik Plaintif yang dipegang bawah Geran 12941 Lot 152, Geran 12942 Lot 153, Geran 12943 Lot 154,Geran 12944 Lot 162, Geran 12945 Lot 163, Geran 12946 Lot 164, Geran 12947 Lot 165 dan Geran 10980 Lot 166, kesemuanya di Seksyen 0049, Bandar Kuala Lumpur, Daerah Kuala Lumpur di mana terdirinya satu bangunan enam belas (16) tingkat yang dikenali sebagai WISMA CHAR YONG dan beralamat No.89, Jalan Ampang, 50450 Kuala Lumpur kepada Plaintif dalam keadaan asal dan boleh diduduki dalam tempoh tiga puluh (30) hari daripada tarikh penghakiman ini; (ii) Pendaftar Hak milik untuk membatalkan memorial pendaftaran Pajakan di lapan (8) Suratan Hak milik bagi Hartanah di (i) di atas; (iii) Defendan membayar kepada Plaintif kerugian bagi tempoh holding over bermula dari 25 hari bulan Ogos 2020 sehingga Tarikh penyerahan milikan kosong Hartanah tersebut kepada Plaintif yang dikira pada asas pro-rata mengikut Ground Rent dan juga Office Space Rent; (iv) Faedah sebanyak 5% setahun atas kerugian di (iii) di atas bermula dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh; (v) Kos sebanyak RM5,000.00 kepada Plaintif . Bertarikh pada 12 Julai 2023 [4] Rayuan defendan ke Mahkamah Tinggi terhadap keputusan ini ditolak pada 12.3.2024. Defendan seterusnya merayu ke Mahkamah Rayuan. Pada 15.4.2024 penangguhan bersyarat perlaksanaan Penghakiman diberikan oleh Mahkamah Rayuan sementara menunggu pelupusan rayuan. Pada 6.9.2024 Mahkamah Rayuan menolak rayuan defendan. Pengarah defendan-defendan hadir semasa keputusan dibuat oleh Mahkamah Rayuan. [5] Pada 22.10.2024, plaintif menerusi peguam caranya menuntut pemilikan kosong premis tersebut selaras dengan perintah Mahkamah Sesyen yang dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan. Namun, tidak ada respon dari defendan-defendan . [6] Pada 15.11.2024, Plaintif memfailkan Writ Pemilikan terhadap defendan-defendan. Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 12.12.2024 untuk perlaksanaan Writ tersebut. [7] Pada 19.12.2024, defendan memfailkan permohonan ini. [8] Pada 23.12.2024, Mahkamah menolak permohonan penggantungan perlaksanaan Writ Pemilikan. [9] Pada 26.12.2024, perlaksanaan writ pemilikan dijalankan di Wisma Char Yong lebih kurang pukul 10.00 a.m. di mana hartanah itu berada. Pada masa kini, plaintif telah beroleh pemilikan kosong yang penuh terhadap hartanah berkenaan. ALASAN PERMOHONAN DEFENDAN [10] Defendan mengakui sesalinan Notis Pemilikan bertarikh 12.12.2024 ditampal di no.89, Jalan Ampang , 50450 Kuala Lumpur pada 12-12-2024, namun Notis tersebut tidak diserahkan kepada defendan pertama , kedua dan ketiga. [11] Perintah Kebenaran ex parte mengeluarkan writ tidak pernah diserahkan kepada defendan pertama kedua dan ketiga. Perintah kebenaran ini telah diberikan oleh Mahkamah Sesyen pada 11-9-2023. [12] Writ Pemilikan telah dikeluarkan sebelum ini pada 13-3-2024 , namun plaintif telah memberhentikan perlaksanaan Writ tersebut melalui Notis Pemberhentian. [13] Writ Pemilikan yang dikeluarkan pada 11-11-2024 adalah terbatal dan tidak sah kerana dikeluarkan selepas satu tahun dari tarikh kebenaran diberikan. ALASAN PERMOHONAN DEFENDAN-DEFENDAN DITOLAK [14] Defendan-defendan bertanggungjawab untuk mematuhi Penghakiman dan Perintah Mahkamah Sesyen yang memerintahkan secara jelas untuk defendan-defendan memberikan milikan kosong Wisma Char Yong, jika pun Writ Pemilikan tidak dikeluarkan yang mana defendan-defendan mempunyai pengetahuan penuh mengenai perintah ini. Namun defendan-defendan memilih untuk tidak mematuhinya dengan sengaja. [15] Keputusan Mahkamah Rayuan dibuat pada 6.9.2024 di mana pengarah-pengarah defendan-defendan turut hadir. Tempoh 30 hari yang dinyatakan di dalam perintah Mahkamah Sesyen adalah bermula dari Tarikh keputusan Mahkamah Rayuan menolak rayuan defendan-defendan. Sepatutnya ia diserahkan kepada plaintif pada atau sebelum 5.10.2024. [16] Writ Pemilikan ini hanya difailkan selepas defendan-defendan enggan memberikan milikan kosong dan enggan patuh kepada Perintah Mahkamah Sesyen, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan. Keengganan ini memaksa pihak plaintif untuk memfailkan Writ Pemilikan. [17] Jika diandaikan bahawa satu kebenaran baharu perlu diperolehi oleh plaintif sebelum Writ Pemilikan baharu dikeluarkan, saya berpendapat ini adalah suatu ketidakaturan yang boleh dipulihkan di bawah Aturan 1A dan Aturan 2, Kaedah Mahkamah 2012. Ini adalah kerana, perlaksanaan sebelum ini ditangguhkan oleh plaintif selaras dengan Perintah Penggantungan Perlaksanaan oleh Mahkamah Rayuan sehinggalah rayuan diputuskan. Mahkamah hendaklah memberi perhatian pada kepentingan utama keadilan dan tidak hanya kepada ketidakpatuhan teknikal dengan kaedah ini. [18] Saya merujuk kepada kes MALAYAN BANKING BERHAD v. CHAIRMAN SARAWAK HOUSING DEVELOPERS' ASSOCIATION Mahkamah Persekutuan [2014] 6 CLJ 409 [2014] 1 LNS 582 yang memberikan panduan berikut mengikut ketidakpatuhan: [29] Generally speaking, the issue before us, which is a point of practice and procedure and no stranger to courts, and have been consistently affirmed by courts that an intitulement that is wrong at the outset or there is uncertainty as to the type of suit, entitles the court to strike it out (see Abdul Rahim Aki v. Krubong Industrial Park (Melaka) Sdn Bhd & Ors [1995] 4 CLJ 551; [1995] 3 MLJ 417; Score Option Sdn Bhd & Anor v. Duar Tuan Kiat & Ors [2012] CLJU 812; [2012] 1 LNS 812; [2013] 5 MLJ 716; Cheow Chew Khoon v. Abdul Johari Abdul Rahman [1995] 4 CLJ 127; [1995] 1 MLJ 457). However the strict interpretation of the procedural landscape saw a shift with the promulgation of the previous O. 2 r. 1 of the RHC 1980 and was reaffirmed in the Rules of Court 2012, whereupon any omission or mistake is to be regarded as an irregularity, rectifiable so long as it can be undertaken without causing injustice. The distinction between mere irregularities and nullities now ceased to exist. [30] Under O. 1A of the Rules of Court 2012 the court or judge now shall have regard to the justice of the particular case and not only to the technical non-compliance of the any of the rules. [19] Saya merujuk kepada A.46 yang dijadikan sandaran utama oleh pihak defendan . Diperturunkan Aturan 46 Kaedah 2(3) KaedahKaedah Mahkamah 2012 seperti di bawah: “Where the Court grants leave, whether under this rule or otherwise, for the issue of a writ of execution and the writ is not issued within one year after the date of the order granting such leave, the order shall cease to have effect, without prejudice, however, to the making of a fresh order [20] Peruntukan ini menyebut bahawa kebenaran terbatal jika Writ tidak dikeluarkan dalam tempoh setahun dari tarikh kebenaran diberikan. Di dalam kes kita, Writ Pemilikan kali pertama telah dikeluarkan dalam masa setahun seperti dinyatakan, namun ditarik balik selaras dengan perintah mahkamah Rayuan yang memberikan penggantungan sementara rayuan dilupuskan. [21] Maka, pada anggapan saya, kebenaran yang telah diberikan masih boleh digunakan untuk mengeluarkan writ pemilikan yang baharu atas penghakiman yang sama memandangkan rayuan telah diputuskan oleh Mahkamah Rayuan dan Perintah yang diberikan oleh Mahkamah Sesyen sudah menjadi muktamad dan tidak ada lagi litigasi yang diperlukan. [22] Adalah menjadi tanggungjawab pihak-pihak adalah untuk membantu mahkamah bagi mencapai objektif utama ini. Di bawah Aturan 2 Kaedah 1(2) dinyatakan dengan jelas perkara ini di mana disebut bahawa Kaedah-Kaedah ini adalah satu kanun prosedur dan tertakluk kepada objektif utama bagi membolehkan Mahkamah menguruskan kes dengan adil. Pihak-pihak dikehendaki untuk membantu Mahkamah bagi mencapai objektif ini. (A.2. k.1(2) ) (2) These Rules are a procedural code and subject to the overriding objective of enabling the Court to deal with cases justly. The parties are required to assist the Court to achieve this overriding objective. [23] Jikalau di dalam kes ini terdapat ketidakpatuhan, namun bukan semua ketidakpatuhan akan menyebabkan prosiding dibatalkan. Aturan 2 kaedah 1(1) menyatakan : 1. Non-compliance with Rules (O. 2 r. 1) (1) Where, in beginning or purporting to begin any proceedings or at any stage in the course of or in connection with any proceedings, there has, by reason of any thing done or left undone, been non-compliance with the requirement of these Rules, the non-compliance shall be treated as an irregularity and shall not nullify the proceedings, any step taken in the proceedings, or any document, judgment or order therein. [24] Adalah menjadi tanggungjawab Mahkamah untuk memberi perhatian serius kepada keadilan dan bukan isu teknikal semata-mata. Budi bicara diberikan kepada Mahkamah untuk berurusan dengan ketidakaturan dalam keadaan yang difikirkan sesuai. Panduan tersebut diberikan oleh Mahkamah Persekutuan di dalam kes MEGAT NAJMUDDIN DATO' SERI (DR) MEGAT KHAS v. BANK BUMIPUTRA MALAYSIA BHD [2002] 1 CLJ 645 seperti berikut: Per Mohtar Abdullah FCJ (majority) [1] The judge should be mindful of r. 102 of the RCA which provides that non-compliance with the Rules of the Court of Appeal or with any rule of practice for the time being in force shall not render any proceedings void. The said rule also provides for the discretionary power of the judge to deal with such irregularity in such manner and upon such terms as the judge thinks fit. (p 690 b) [25] Pihak defendan mempunyai pengetahuan penuh tentang keputusan mahkamah dan keperluan mereka mematuhinya, namun memilih untuk tidak mematuhinya malah langsung tidak membuat sebarang usaha untuk keluar dari bangunan tersebut bagi membolehkan plaintif mendapat milikan kosong. Defendan-defendan juga tidak berusaha untuk melanjutkan masa mematuhi perintah untuk keluar dengan mengadakan perbincangan dengan plaintif sebelum writ ini dikeluarkan. Defendan-defendan juga tidak memberikan sebarang alasan untuk tidak mematuhi Perintah Mahkamah untuk menyerahkan milikan kosong dalam masa 30 hari. [26] Oleh yang demikian, pihak plaintif tidak mempunyai pilihan selain dari mendapatkan perkhidmatan bailif mahkamah melalui Writ Pemilikan untuk melaksanakan perintah Mahkamah yang memberikan plaintif milikan kosong dalam masa 30 hari. [27] Dari tarikh 5.10.2024 sehingga Writ dilaksanakan, defendan-defendan masih tidak mematuhi Perintah tersebut. Pihak plaintif melalui peguamnya mengeluarkan satu surat bertarikh 22.10.2024 memaklumkan kepada defendan-defendan untuk memberikan milikan kosong seperti perintah mahkamah. Surat ini tidak diendahkan oleh defendan-defendan. Sebaliknya defendan-defendan terus mendiami bangunan tersebut sehinggalah writ pemilikan dilaksanakan pada 12-12-2024. Semasa perlaksanaan writ ini, defendan-defendan mengambil masa yang lama untuk memberikan milikan kosong sepenuhnya. Proses tersebut selesai pada 10.1.2025. [28] Saya tidak dapat memahami tujuan defendan-defendan memfailkan permohonan ini memandangkan keputusan muktamad sudah diberikan di mana defendan-defendan mesti menyerahkan milikan kosong dalam masa 30 hari. Apakah asas undang-undang yang masih ada untuk membolehkan defendan-defendan terus menduduki bangunan tersebut. Ini tidak dinyatakan di dalam afidavit sokongan defendan-defendan di dalam permohonan. [29] Permohonan yang dibuat oleh defendan-defendan adalah menjadi akademik memandangkan perlaksanaan perintah telah dilakukan dan plaintif sekarang mempunyai milikan kosong. Jika permohonan dibenarkan, defendan-defendan berkemungkinan akan sekali lagi menduduki bangunan tersebut. PENUTUP [30] Saya mendapati bahawa permohonan ini tidak mempunyai merit. Perintah Mahkamah Sesyen yang mengarahkan milikan kosong dalam masa 30 hari dari tarikh perintah telah disahkan oleh Mahkamah Rayuan. Pihak defendan-defendan mempunyai pengetahuan penuh mengenai prosiding ini dan telah mempertahankan hak mereka di Mahkamah Sesyen, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan. Kesemua ruang untuk mendapatkan hak melalui undang-undang telah dihabiskan dan tiada lagi rayuan. Maka, perintah tersebut perlu dipatuhi. Namun defendan-defendan memilih untuk tidak mematuhinya dan ini memaksa pihak plaintif mengeluarkan Writ Milikan Kosong untuk melaksanakan Perintah Mahkamah Sesyen dengan perlaksanaan dibuat oleh bailif mahkamah. [31] Oleh yang demikian , permohonan defendan-defendan untuk membatalkan Writ Pemilikan ditolak dengan kos. Bertarikh pada hari ini 14hb. Mac, 2025. Zaman Mohd Noor Hakim Mahkamah Sesyen 1 Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur