Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KOTA BHARU DALAM NEGERI KELANTAN, MALAYSIA PERMOHONAN BAGI SEMAKAN KEHAKIMAN NO: DA-25-1-01/2023 ANTARA ZAITON BINTI MANANGIN (NO. KP: 860309-12-5160) … PEMOHON
DA-25-1-01/2023
High Court of Malaysia5 Jan 2025
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“k Keong JC (as he then was) explained the relevant rules of interpretation to be given to the word ‘shall’ which appears in legislations as follows: I now turn to the wording of section 23(1) of the Interpretation Act. Structurally, it is in two parts. The first part provides that ‘subsidiary legislation … shall, unles”
“procedure impropriety) sebagaimana yang telah diputuskan dalam kes Peguam Negara Malaysia v. Chin Chee Kow & Another Appeal [2019] 3 MLRA 183; Wira Swire Sdn Bhd v. Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri [2019] MLRHU 685; Booi Kim Lee v. YB Menteri Sumber Manusia & Anor [1999] 4 CLJ”
“erify the originality of this document via eFILING portal 16 [36] Bertentangan dengan kes yang dirujuk oleh peguam pemohon iaitu kes Mohd Shukri Roslan lwn. Dato' Sri Hj Mustafar Hj Ali & Yang Lain [2022] MLRHU 561 - keputusan Lembaga Rayuan dalam kes tersebut hanya dimaklumkan kepada pemohon selepas 3 tahun dan 8 bula”
“legislative intent in such a case? The relevant rules of interpretation applicable to an enactment which mandatory in form have been summarized succinctly by Subba Rao J in State of UP v Babu Ram AIR [1961] SC 751 at p 765 as follows:”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KOTA BHARU DALAM NEGERI KELANTAN, MALAYSIA PERMOHONAN BAGI SEMAKAN KEHAKIMAN NO: DA-25-1-01/2023 ANTARA ZAITON BINTI MANANGIN (NO. KP: 860309-12-5160) … PEMOHON
1
DATO’ SRI HJ MUSTAFAR BIN HJ ALI (Pengerusi Lembaga Tatatertib Kumpulan Sokongan No.1, Jabatan Imigresen Malaysia)
2
LEMBAGA TATATERTIB KUMPULAN SOKONGAN
3
3.
4
4.
5
KERAJAAN MALAYSIA … RESPONDEN-RESPONDEN ALASAN PENGHAKIMAN Pengenalan [1] Ini adalah permohonan semakan kehakiman oleh pemohon yang merupakan seorang bekas Pegawai Imigresen berjawatan Pegawai Imigresen Gred KP19 yang telah berkhidmat selama lebih kurang 8 tahun sebelum ditamatkan perkhidmatannya. Fakta Ringkas [2] Pada pertengahan tahun 2016, satu operasi besar-besaran di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) oleh Polis Diraja Malaysia dilakukan ke atas pegawai-pegawai Imigresen kerana disyaki terlibat dalam sindiket menyeludup warga asing di KLIA dimana pemohon adalah salah seorang yang ditahan dalam operasi tersebut. [3] Pada 19/10/2016, pemohon telah diperintahkan menjalani Perintah Pengawasan Polis menurut Seksyen 15 Akta Pencegahan Jenayah 1959 (APJ) (“Perintah Pengawasan Tersebut”) selama 2 tahun bermula 19/10/2016 hingga 18/10/2018 di Daerah Sandakan, Sabah tertakluk kepada syarat-syarat yang dikenakan. Berikutan Perintah Pengawasan tersebut, responden pertama telah membuat pengaduan kepada responden kedua. [4] Pada 03/11/2017, pemohon telah menerima surat daripada responden pertama melalui Ketua Jabatannya iaitu Pengarah Jabatan Imigresen KLIA memaklumkan bahawa responden kedua dalam mesyuarat bil. 01/2017 pada 24/01/2017 setelah mempertimbangkan dengan teliti dan memutuskan pemohon bersalah setelah Lembaga Pencegahan Jenayah membuat keputusan untuk meletakkan pemohon di bawah pengawasan polis bagi tempoh dua (2) tahun berkuatkuasa pada 19/10/2016 selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 15 Akta Pencegahan Jenayah 1959 dan mengenakan hukuman buang kerja ke atas pemohon mengikut Peraturan 38(g) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan & Tatatertib) 1993 (PPPA) berkuatkuasa pada 24/01/2017. [5] Responden pertama selaku pengerusi responden kedua kemudiannya telah memberi peluang kepada pemohon di bawah Peraturan 14 & 15(1) Peraturan-Peraturan Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Awam 1993 (PPLTPA) untuk membuat rayuan kepada responden ketiga melalui Ketua Jabatan pemohon dalam masa 14 hari dari tarikh pemohon menerima surat keputusan responden kedua. [6] Pada 15/11/2017 pemohon melalui surat bertarikh 04/11/2017, telah mengemukakan rayuan kepada responden ketiga memohon agar tidak dikenakan hukuman buang kerja. [7] Selepas penghantaran surat rayuan tersebut, pemohon mengatakan bahawa beliau tiada menerima apa-apa makluman berkenaan keputusan rayuan tersebut sehinggalah beliau melantik peguamcara Tetuan Shaharuddin Hidayu & Marwaliz dan mengarahkan peguamcara tersebut menulis surat kepada responden ketiga melalui Ketua Jabatan pemohon memohon diberikan jawapan atau maklumbalas berkenaan status rayuan pemohon tersebut. [8] Responden ketiga pula mengatakan bahawa pada 11/1/2018, responden ketiga telah menerima daripada responden kedua surat rayuan pemohon bertarikh 4/11/2017, ulasan Ketua Jabatan pemohon bertarikh 21/11/2017 dan salinan rekod prosiding responden kedua yang turut mengandungi alasan keputusan responden kedua bertarikh 21.12.2017. Setelah menerima dokumen-dokumen tersebut, responden ketiga telah bermesyuarat pada 12.2.2018 dan keputusan mesyuarat adalah mengekalkan keputusan buang kerja oleh responden kedua terhadap pemohon. [9] Responden ketiga juga mengatakan bahawa sesalinan surat keputusan rayuan yang dibuat oleh responden ketiga tersebut telah dihantar kepada pemohon oleh Ketua Jabatan pemohon pada 5/4/2018 melalui pos berdaftar AR ke alamat pemohon sebagaimana yang dinyatakan dalam surat rayuan pemohon iaitu di alamat Jussa Minyak Masak Sdn. Bhd. yang mana telah diakui terima oleh seorang individu yang bernama M. Jusly pada 11/4/2018. Isu-isu untuk diputuskan Isu pertama: Kegagalan responden-responden mematuhi Peraturan 15 dan 16 PPLTPA 1993. [10] Peguam pemohon yang bijaksana menghujahkan bahawa berlaku kegagalan di pihak responden-responden untuk mematuhi Peraturan 15(2)(3) dan (4) dan Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Awam 1993 (PPLTPA 1993) apabila responden-responden gagal mematuhi tempoh masa 30 hari yang dinyatakan dalam Peraturan 15(2) dan (4). [11] Bagi memudahkan rujukan, diperturunkan peruntukan Peraturan 15 dan 16 Peraturan-Peraturan Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Awam 1993: “15. Prosedur Rayuan.
1
Suatu rayuan hendaklah dibuat secara bertulis oleh seseorang pegawai yang disebut dalam peraturan 14 (kemudian daripada ini disebut sebagai “Perayu”) kepada Lembaga Rayuan Tatatertib melalui Ketua Jabatannya dalam tempoh 14 hari dari tarikh keputusan Lembaga Tatatertib itu diberitahu kepadanya secara bertulis.
2
Ketua Jabatan hendaklah tidak lewat daripada 30 hari dari tarikh penerimaan rayuan itu daripada perayu, mengemukakan rayuan itu kepada Lembaga Tatatertib berserta dengan ulasannya.
3
Apabila menerima rayuan itu di bawah subperaturan
2
Lembaga Tatatertib hendaklah menyebabkan suatu salinan rekod prosiding Lembaga Tatatertib disediakan, termasuklah alasan yang Lembaga Tatatertib bergantung padanya dalam mencapai keputusannya.
4
Rekod prosiding yang disediakan di bawah subperaturan (3) berserta dengan alasan keputusan dan rayuan perayu hendaklah dihantar kepada Lembaga Rayuan Tatatertib tidak lewat daripada 30 hari dari tarikh penerimaan rayuan itu oleh Lembaga Tatatertib.
16
Pendengaran rayuan.
1
Apabila diterima dokumen itu, Pengerusi Lembaga Rayuan Tatatertib hendaklah mengadakan suatu mesyuarat Lembaga Rayuan Tatatertib untuk menimbangkan rayuan itu.
2
Lembaga Rayuan Tatatertib hendaklah memutuskan suatu rayuan semata-mata atas merit alasan rayuan itu tanpa menerima apa-apa pernyataan atau keterangan lanjut.
3
Walau apa pun subperaturan (2), Lembaga Rayuan Tatatertib boleh, menurut budi bicaranya semata-mata dan tertakluk kepada hak perayu untuk didengar, meminta apa-apa pernyataan atau keterangan daripada mana-mana orang jika pada pendapatnya ia adalah patut dan adil untuk berbuat demikian.
4
Setelah menimbangkan rayuan itu, Lembaga Rayuan Tatatertib boleh; a. menghantar balik kes itu kepada Lembaga Tatatertib untuk ditimbang semula; b. mengesahkan keputusan Lembaga Tatatertib; c. mengesahkan keputusan Lembaga Tatatertib tentang salahlaku perayu itu, tetapi mengubah hukuman itu kepada hukuman yang lebih ringan; atau d. mengakaskan keputusan dan hukuman Lembaga Tatatertib dan membebaskan perayu.
5
Keputusan Lembaga Rayuan Tatatertib adalah muktamad.” [12] Peguam pemohon yang bijaksana menghujahkan bahawa dalam kes ini, pemohon telah, pada 15/11/2017 melalui surat bertarikh 04/11/2017, mengemukakan rayuan kepada responden ketiga memohon agar tidak dikenakan hukuman buang kerja yang mana rayuan pemohon tersebut telah dibuat dalam tempoh 14 hari dari tarikh dia menerima keputusan daripada responden pertama pada 03/11/2017 melalui surat Jabatan Imigresen Malaysia bertarikh 07/03/2017. [13] Perkara ini juga telah diakui oleh responden ketiga dalam Afidavit Jawapan Responden-Responden (II), di perenggan 6.1, yang mana responden ketiga menyatakan telah pada 11/1/2018, menerima daripada responden kedua surat rayuan pemohon bertarikh 04/11/2017, ulasan Ketua Jabatan bertarikh 21/11/2017 dan salinan rekod prosiding responden kedua yang turut mengandungi Alasan Keputusan Lembaga Tatatertib bertarikh 21/12/2017. [14] Peguam pemohon seterusnya berhujah bahawa oleh kerana afidavit responden hanyalah menyatakan bahawa Ketua Jabatan pemohon telah menerima surat rayuan pemohon tanpa menyatakan secara spesifik bilakah Ketua Jabatan menerimanya dan juga tiada keterangan daripada pihak responden kedua pada tarikh bilakah responden kedua menyediakan dan menyerahkan segala dokumen-dokumen yang berkaitan termasuk rekod prosiding Lembaga Tatatertib, alasan yang Lembaga Tatatertib bergantung padanya dalam mencapai keputusan, ulasan Ketua Jabatan ke atas rayuan pemohon dan surat rayuan pemohon kepada responden ketiga, maka responden-responden telah gagal mematuhi kehendak Peraturan 15(4) tersebut. Analisis dan dapatan Mahkamah bagi isu pertama [15] Berkenaan isu pertama ini, surat rayuan pemohon bertarikh 4/11/2017 telah dihantar kepada Ketua Jabatan pemohon pada 15/11/2017. Menurut Peraturan 15(2), Ketua Jabatan pemohon hendaklah mengemukakan rayuan pemohon, rekod perkhidmatan pemohon serta ulasannya kepada responden kedua (Lembaga Tatatertib) dalam masa 30 hari. Dalam kes ini, tempoh masa 30 hari dari tarikh penerimaan rayuan pemohon akan tamat pada 15/12/2017. Menurut perenggan 6.1 afidavit jawapan responden ketiga, ulasan Ketua Jabatan pemohon adalah bertarikh 21.11.2017 iaitu masih dalam tempoh masa 30 hari dari tarikh rayuan pemohon diterima oleh Ketua Jabatan pemohon. [16] Menurut Peraturan 15(4) pula, responden kedua (Lembaga Tatatertib) hendaklah menyediakan dan menyerahkan kepada responden ketiga (Lembaga Rayuan Tatatertib) rekod prosiding berserta dengan alasan keputusan dan rayuan perayu tidak lewat daripada 30 hari dari tarikh penerimaan rayuan itu oleh responden kedua. Dalam kes ini, jika diambil kira tarikh akhir untuk Ketua Jabatan pemohon mengemukakan rayuan pemohon beserta ulasan Ketua Jabatan iaitu pada 15/12/2017, maka tempoh 30 hari untuk responden kedua mengemukakan rekod prosiding berserta dengan alasan keputusan dan rayuan perayu kepada responden ketiga akan tamat pada 14.1.2018. [17] Responden ketiga dalam perenggan 6.1 afidavit jawapannya mengatakan bahawa pada 11.1.2018 (3 hari sebelum tamat tempoh 30 hari tersebut) mereka telah menerima daripada responden kedua surat rayuan pemohon bertaikh 4.11.2017, ulasan Ketua Jabatan pemohon bertarikh 21.11.2017 dan salinan rekod prosiding responden kedua yang turut mengandungi alasan keputusan responden kedua bertarikh 21.12.2017. [18] Menurut Peraturan 15(2) dan 15(4), terdapat tempoh masa selama 60 hari antara Ketua Jabatan pemohon menerima rayuan pemohon sehingga responden ketiga menerima semua dokumen yang berkenaan daripada responden kedua. Dalam kes ini, 60 hari tersebut akan berakhir pada 14/1/2018 namun responden ketiga telah menerima semua dokumen yang berkenaan daripada responden kedua pada 11/1/2018 iaitu dalam masa 57 hari sahaja. [19] Walau pun responden-responden tidak menyatakan secara khusus tarikh-tarikh dokumen diterima dan dihantar, namun fakta yang ada jelas menunjukkan bahawa responden-responden telah mematuhi peraturan 15(2) dan (4) tersebut. [20] Tempoh masa yang dinyatakan dalam Peraturan 15(2) dan (4) tersebut adalah untuk memastikan setiap rayuan penjawat awam dikendalikan secara cekap dan dalam masa yang munasabah namun ia tidak bermakna bahawa Lembaga Tatatertib dan Lembaga Rayuan Tatatertib hendaklah menyatakan secara khusus tarikh-tarikh bagi setiap tindakan yang diambil di bawah Peraturan 15(2) dan (4) tersebut. [21] Menurut Peraturan 16 pula, responden ketiga (Lembaga Rayuan Tatatertib) hendaklah mengadakan mesyuarat bagi menimbangkan rayuan tersebut. Perenggan 12 afidavit jawapan responden ketiga menyatakan bahawa responden ketiga telahpun menerima dokumen-dokumen berikut daripada responden kedua sebelum bermesyuarat pada 12/2/2018: i. rekod prosiding Lembaga Tatatertib yang mengandungi alasan keputusan Lembaga Tatatertib; ii. ulasan Ketua Jabatan pemohon; iii. rekod perkhidmatan pemohon; iv. surat rayuan pemohon bertarikh 4/11/2017. [22] Mesyuarat responden ketiga pada 12/2/2018 tersebut telah diadakan hanya dalam masa 1 bulan selepas responden ketiga menerima dokumen-dokumen yang berkenaan daripada responden kedua. [23] Oleh itu, berkenaan isu pertama ini, Mahkamah ini mendapati tiada sebarang perlanggaran di pihak responden-responden akan peruntukan Peraturan 15 dan 16 Peraturan-Peraturan Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Awam 1993. [24] Berkenaan hujahan peguam pemohon bahawa tidak ada keterangan yang menunjukkan bahawa rekod prosiding, alasan keputusan responden kedua, ulasan Ketua Jabatan diklasifikasikan sebagai sulit untuk menjustifikasikan kegagalan untuk mengemukakan dokumen-dokumen tersebut oleh responden-responden. Oleh itu, adalah menjadi kewajipan responden-responden untuk mengemukakan dokumen-dokumen berkenaan memandangkan pemohon berhak untuk akses kepada dokumen tersebut. [25] Mahkamah ini berpendapat bahawa ini adalah isu sampingan yang ditimbulkan oleh pemohon. Bagi isu ini Mahkamah mendapati tiada dalam mana-mana peruntukan PPLTPA 1993 yang menghendaki atau mewajibkan bahawa semua dokumen yang dirujuk dan dipertimbangkan oleh Lembaga Rayuan Tatatertib mestilah dikemukakan kepada pemohon. Sekiranya pemohon menganggap dokumen-dokumen tersebut adalah penting kepadanya dan berhasrat untuk mendapatkan salinan dokumen-dokumen tersebut, pemohon boleh membuat permohonan penzahiran di bawah A 53 K. 6 KKM 2012. Tiada permohonan penzahiran telah dibuat oleh pemohon. Isu kedua: Kelewatan yang amat ketara dalam pemberitahuan keputusan rayuan tatatertib kepada pemohon [26] Peguam pemohon yang bijaksana menghujahkan bahawa wujudnya kelewatan yang amat ketara dalam prosedur tindakan tatatertib ke atas Pemohon di mana keputusan rayuan tatatertib tidak pernah diserahkan dan dikemukakan kepada pemohon sehingga dan hanyalah pada 26/10/2022 (iaitu selepas 4 tahun, 11 bulan dan 11 hari) iaitu melalui surat maklum balas daripada Jabatan Imigresen Malaysia KLIA bertarikh 18/10/2022 terhadap surat peguamcara pemohon bertarikh 22/09/2022. Pemberitahuan berkenaan status rayuan pemohon itu dibuat oleh majikan pemohon dan bukannya oleh pihak responden ketiga. Analisis dan dapatan Mahkamah bagi isu kedua [27] Berkenaan pemberitahuan keputusan Lembaga Rayuan Tatatertib ini, peruntukan yang berkenaan ialah Peraturan 20 Peraturan-Peraturan Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Awam, 1993 (PPLTPA) yang memperuntukkan seperti berikut: “20. Keputusan hendaklah diberitahu kepada pegawai secara bertulis. Segala keputusan Lembaga Tatatertib dan Lembaga Rayuan Tatatertib berkenaan dengan seseorang pegawai hendaklah diberitahu kepada pegawai itu secara bertulis.” [28] Responden ketiga telah bermesyuarat pada 12/2/2018 dan setelah menimbangkan rayuan pemohon, memutuskan untuk menolak rayuan pemohon serta mengekalkan keputusan responden kedua. Keputusan responden ketiga ini telah dimaklumkan kepada pemohon melalui surat responden keempat bertarikh 20/2/2018 yang dialamatkan kepada pemohon di alamat Jussa Minyak Masak Sdn Bhd melalui dan disalinkan kepada responden pertama. [29] Lanjutan daripada surat responden keempat bertarikh 20/2/2018 yang dihantar melalui responden pertama, Ketua Jabatan pemohon telah pada 5/4/2018 menghantar surat pemakluman keputusan rayuan bertarikh 4/4/2018 dan menyertakan bersama-sama surat tersebut keputusan Lembaga Rayuan Tatatertib kepada pemohon secara pos berdaftar AR ke alamat Jussa Minyak masak Sdn Bhd, Lot 7, Tingkat bawah & 1, Block E, Lintas Industrial Park, Sandakan, Sabah yang merupakan alamat terakhir pemohon yang diberitahu oleh pemohon sendiri kepada responden melalui surat rayuan pemohon. Dalam surat rayuan tersebut juga pemohon secara jelas dan nyata memberitahu responden agar menggunakan alamat tersebut untuk sebarang urusan. Surat pemakluman keputusan rayuan tersebut telah disampaikan ke alamat pemohon melalui pos berdaftar AR dan telah diakui terima oleh seseorang yang bernama M. Jusly pada 11/4/2018. [30] Secara ringkasnya, dalam kes ini, rayuan pemohon telah didengar dan diputuskan oleh responden ketiga pada 12/2/2018. Makluman keputusan rayuan telah dibuat secara bertulis melalui surat bertarikh 20/2/2018 sebagaimana peruntukan Peraturan 20 PPLTPA dan telah dihantar melalui surat bertarikh 4/4/2018 kepada pemohon dan telah diterima di alamat yang ditetapkan oleh pemohon pada 11/4/2018. Ini bermakna keputusan rayuan telah disampaikan ke alamat pemohon dalam masa 2 bulan sahaja dari tarikh rayuan. Peraturan 20 PPLTPA tidak menetapkan sebarang tempoh masa tertentu untuk pemberitahuan keputusan Lembaga Tatatertib atau Lembaga Rayuan Tatatertib. Mahkamah ini mendapati tiada sebarang kelewatan melampau dalam penyampaian pemberitahuan keputusan Lembaga Rayuan Tatatertib sebagaimana yang didakwa oleh Pemohon. [31] Berkenaan hujahan pemohon yang mengatakan bahawa surat pemberitahuan tersebut tidak diterimanya tetapi diterima oleh M. Jusly yang tidak pernah diberi kebenaran untuk menerima bagi pihak Pemohon, Mahkamah ini berpendapat bahawa apabila pemohon menetapkan dalam surat rayuannya agar sebarang perhubungan hendaklah dihantar ke alamat tempat kerja pemohon iaitu Jussa Minyak masak Sdn Bhd, Lot 7 , Tingkat bawah & 1, Block E, Lintas Industrial Park, Sandakan, Sabah, sudah tentu pemohon menyedari bahawa surat menyurat mungkin akan diterima oleh pekerja lain yang bekerja di bahagian pejabat hadapan (front office) yang biasanya menjadi tempat posmen menyerahkan segala surat-menyurat. [32] Tanggungjawab responden yang ditetapkan di bawah peraturan hanyalah untuk memaklumkan secara bertulis kepada pemohon di alamat yang diketahui. Bukan menjadi tanggungjawab responden untuk memastikan bahawa surat yang dihantar secara pos tersebut benar-benar sampai ke tangan pemohon. Jika itulah kehendak peraturan, sudah tentu peraturan akan menetapkan bahawa surat makluman keputusan rayuan hendaklah diserahkan secara serahan kediri. [33] Meletakkan satu kewajipan supaya responden memastikan setiap surat sampai ke tangan pemohon secara khusus adalah satu beban yang melampau ke atas responden. Selagi mana surat pemberitahuan dihantar ke alamat pemohon menurut peraturan dan perjalanan biasa pos ia adalah memadai. Dalam kes ini, pemohon tidak pernah menafikan alamat yang dinyatakan dalam surat tersebut bukan alamatnya. Sesiapa sahaja yang menerima surat yang dihantar kepada alamat pemohon melalui perkhidmatan pos bukan lagi menjadi tanggungjawab atau urusan responden. [34] Apabila responden telah menghantar keputusan rayuan kepada pemohon melalui surat bertarikh 4/4/2018 tersebut, responden telahpun mematuhi kehendak peruntukan Peraturan 52(2) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan Dan Tatatertib) 1993 (PPPA(K&T)) yang memperuntukkan seperti berikut:
52
Penyampaian notis, dokumen, dsb.
1
tiap-tiap pegawai hendaklah memberi Ketua Jabatannya alamat kediamannya atau apa-apa perubahan alamat itu dan alamat itu hendaklah menjadi alamatnya bagi maksud menyampaikan kepadanya apa-apa notis atau dokumen yang dikehendaki disampaikan di bawah Peraturan-Peraturan ini atau bagi maksud berkomunikasi dengannya mengenai apa-apa perkara yang berhubungan dengan Peraturan-Peraturan ini.
2
Apa-apa dokumen, notis dokumen atau komunikasi yang ditinggalkan di atau diposkan ke atau dihantar dengan apa apa cara lain yang munasabah ke alamat bagi penyampaian yang diberikan di bawah subperaturan (1) hendaklah disifatkan telah disampaikan atau diberitahu dengan sempurna kepada pegawai itu.” [35] Surat Jabatan Imigresen Malaysia, KLIA bertarikh 18/10/2022 yang telah diterima oleh peguam pemohon pada 26/10/2022 bukanlah merupakan surat pemberitahuan rasmi keputusan rayuan yang diputuskan oleh Lembaga Rayuan Tatatertib tetapi ia adalah surat pengesahan status rayuan pemohon yang telah dikeluarkan bagi menjawab pertanyaan peguam pemohon atas alasan bahawa pemohon tidak menerima sebarang pemberitahuan keputusan rayuan tersebut yang mana telah dihantar ke alamat pemohon pada 5/4/2018 dan telah diterima oleh M. Jusly pada 11/4/2018. [36] Bertentangan dengan kes yang dirujuk oleh peguam pemohon iaitu kes Mohd Shukri Roslan lwn. Dato' Sri Hj Mustafar Hj Ali & Yang Lain [2022] MLRHU 561 - keputusan Lembaga Rayuan dalam kes tersebut hanya dimaklumkan kepada pemohon selepas 3 tahun dan 8 bulan. Pemberitahuan keputusan rayuan dalam kes yang dibicarakan ini hanya selepas 2 bulan. Isu ketiga: Kegagalan responden-responden mematuhi Peraturan 53 PPLTPA 1993. [37] Peguam pemohon yang bijaksana berhujah bahawa adalah menjadi tugas dan tanggungjawab yang mandatori responden ketiga memaklumkan secara bertulis segala keputusan yang dibuat oleh Pihak Berkuasa Tatatertib. Pemberitahuan yang dibuat dalam kes ini adalah cacat dan tidak sah kerana keputusan Lembaga Rayuan Tatatertib sepatutnya dimaklumkan atau diberitahu oleh Pengerusi Lembaga Rayuan Tatatertib kepada pemohon dan bukannya diberitahu oleh Encik Ikhbal Hanam Bin Mukras bagi pihak Setiausaha. Oleh itu pemberitahuan keputusan rayuan tersebut menjadi tidak sah. [38] Bagi menyokong hujahannya, peguam pemohon yang bijaksana memetik Peraturan 53 Peraturan-Peraturan Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Awam 1993 yang memperuntukkan seperti berikut: “53. Tandatangan pada surat dan persuratan lain.
1
Apa-apa surat-menyurat antara pihak Berkuasa Tatatertib yang berkenaan dengan pegawai yang tertakluk kepada tindakan tatatertib hendaklah ditandatangani oleh Pengerusi Pihak Berkuasa Tatatertib yang berkenaan atau oleh mana-mana anggota Pihak Berkuasa tatatertib bagi pihak Pengerusi.
2
Walau apa pun peruntukan subperaturan (1), Jika Pihak Berkuasa Tatatertib itu ialah Suruhanjaya Perkhidmatan yang ditubuhkan di bawah bahagian X Perlembagaan Persekutuan, apa-apa surat menyurat yang dikehendaki ditandatangani boleh ditandatangani oleh Setiausaha Suruhanjaya Perkhidmatan yang berkenaan.” Analisis dan dapatan Mahkamah ini berkenaan isu ketiga [39] Mahkamah ini mendapati bahawa peruntukan khusus yang jelas dan terpakai berkenaan pemberitahuan keputusan Lembaga Rayuan Tatatertib hanyalah Peraturan 20 PPLTPA 1993. Peraturan 20 ini tidak menetapkan secara khusus siapa yang perlu tandatangan pemberitahuan tersebut. Peraturan 53 (2) PPLTPA 1993 pula membenarkan surat menyurat ditandatangani oleh Setiausaha responden keempat. [40] Oleh itu hujahan pemohon yang mengatakan ianya hendaklah ditandatangani oleh Pengerusi Lembaga Rayuan Tatatertib dan jika tidak ditandatangani oleh Pengerusi Lembaga Rayuan Tatatertib maka ia adalah tidak sah, adalah tidak disokong oleh mana-mana nas yang jelas. [41] Mahkamah ini mendapati bahawa surat responden keempat yang telah ditandatangani oleh Encik Ikhbal Hanam Bin Mukras bagi pihak Setiausaha responden keempat adalah merupakan surat menyampaikan keputusan rayuan yang sah. Walaupun surat tersebut tidak ditandatangani sendiri oleh Setiausaha tetapi ditandatangani bagi pihak Setiausaha, ia tidak membatalkan prosiding rayuan tatatertib tersebut kerana Peraturan 53(2) mengatakan bahawa surat-menyurat “boleh” dan bukannya “mesti/hendaklah” ditandatangani oleh Setiausaha Suruhanjaya yang berkenaan. [42] Jika perkataan yang digunakan adalah “hendaklah” atau “shall” sekalipun, tidak semua perkataan “hendaklah” atau “shall” akan membawa maksud mandatori. Ia bergantung kepada konteks dan penggunaan ayat serta kesan kepada ketidakpatuhannya. [43] Dalam kes ini, peruntukan Peraturan 53(1) mengatakan bahawa apa-apa surat menyurat “hendaklah” (shall) ditandatangani oleh Pengerusi Pihak Berkuasa Tatatertib yang berkenaan atau oleh mana-mana anggota Pihak Berkuasa Tatatertib bagi pihak Pengerusi. Sudah tentu perkataan “hendaklah” dalam konteks ini tidak membawa maksud mandatori yang mana kegagalan mematuhinya akan menyebabkan keseluruhan tindakan tatatertib yang telah dijalan secara sah dan teratur akan menjadi tidak sah dan terbatal semata-mata kerana surat pemberitahuan keputusan rayuan tidak ditandatangani oleh Pengerusi Lembaga Rayuan Tatatertib. Sedangkan matlamat menghantar surat pemakluman keputusan rayuan tersebut hanyalah untuk memaklumkan kepada pemohon akan keputusan rayuannya. Sesiapa sahaja yang menandatangani surat pemakluman tersebut bukanlah menjadi isu besar selagi mana matlamat untuk memberitahu pemohon akan keputusan rayuannya adalah tercapai. Oleh itu, pendekatan ikut matlamat (purposive approach) perlu digunakan dalam mentafsirkan perkataan “hendaklah” dalam Peraturan 53(1) ini. [44] Pendekatan ini adalah selari dengan prinsip yang dinyatakan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Benjamin William Hawkes v Public Prosecutor [2020] 5 MLJ 417 di mana Mahkamah mengatakan seperti berikut: [46] Applying the principles as enunciated in the aforesaid cases, whether the word ‘shall’ in a particular legislation is mandatory or directory depends upon the intention of the Legislature in question which is ascertained by looking at the whole scope of the statute to be construed. The use of the word ‘shall’ would not by itself make a provision of the Act mandatory. It is to be construed with reference to the scheme of the statute and the context in which it is used. In Cheong Seok Leng v Public Prosecutor [1988] 2 MLJ 481 at p 489 (Tab 6), Chan Sek Keong JC (as he then was) explained the relevant rules of interpretation to be given to the word ‘shall’ which appears in legislations as follows: I now turn to the wording of section 23(1) of the Interpretation Act. Structurally, it is in two parts. The first part provides that ‘subsidiary legislation … shall, unless it be otherwise provided … be published in the Gazette’. Ignoring for the time being the effect of the qualifying clause, the effect of which I shall discuss later, the use of the word ‘shall’ in a statute to qualify a thing to be done indicates the prima facie intention of the legislature that it must be done, ie it is mandatory. However, it is not conclusive in every case. In the appropriate context, it may be directory. Whether or not it is mandatory or directory depends on the legislative intent. How does court ascertain the legislative intent in such a case? The relevant rules of interpretation applicable to an enactment which mandatory in form have been summarized succinctly by Subba Rao J in State of UP v Babu Ram AIR [1961] SC 751 at p 765 as follows:
29
The relevant rules of interpretation may be briefly stated thus: when a statute uses the word ‘shall’, prima facie it is mandatory, but the court may ascertain the real intention of the legislature by carefully attending to the whole scope of the statute. For ascertaining the real intention of the legislature the court may consider, inter alia, the nature or design of the statute, and the consequences which would follow from construing it one way or another, the impact of other provisions whereby the necessity of complying with the provisions in question is avoided, the circumstances, namely, that the statute provides for a contingency of non-compliance with the provisions, the fact that the non-compliance with the provisions is or is not visited by some penalty, the serious or trivial consequences that flow therefrom, and above all, whether the object of the legislation will be defeated or furthered. [48] The purposive rule of interpretation must be adopted in interpreting s 51A of the CPC, pursuant to s 17A of the Interpretation Acts 1948 and 1967 which read as follows: 17A Regard to be had to the purpose of the Act In the interpretation of a provision of an Act, a construction that would promote the purpose or object underlying the Act (whether that purpose or object is expressly stated in the Act or not) shall be preferred to a construction that would not promote that purpose or object. [49] It is clearly untenable in this case to allude to the word ‘shall’ as mandatory, thus stultifying the justice of case, when a document was not delivered to the accused persons before the commencement of the trial. Isu keempat: Kegagalan responden-responden mematuhi prosedur tindakan tatatertib di bawah Peraturan 32 dan 33(2) PPA (K&T) 1993. [45] Peguam pemohon yang bijaksana menghujahkan bahawa terdapat ketidakpatuhan prosedur tindakan tatatertib yang tidak mewajarkan hukuman buang kerja ke atas pemohon dan menjadikan hukuman buang kerja tersebut batal dan tidak sah. [46] Peraturan 32 Peraturan-Peraturan Penjawat Awam (Kalakuan Dan Tatatertib) 1993 memperuntukkan seperti berikut: “32. Prosedur jika terdapat suatu perintah tahanan, buang negeri, dsb.
1
Jika -
a
suatu perintah tahanan selain suatu perintah tahanan reman sementara menunggu perbicaraan atau bagi maksud penyiasatan;
b
suatu perintah pengawasan, kediaman terhad, buang negeri atau deportasi; atau
c
suatu perintah yang mengenakan apa-apa bentuk sekatan atau pengawasan, sama ada dengan bon atau selainnya, telah dibuat terhadap seseorang pegawai di bawah mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan keselamatan Malaysia atau mana-mana bahagian Malaysia, pencegahan jenayah, tahanan pencegahan, kediaman terhad, buang negeri, imigresen atau perlindungan wanita dan gadis atau perlindungan kanak-kanak, Ketua Jabatan pegawai itu hendaklah memohon untuk mendapatkan suatu perintah itu daripada pihak berkuasa yang berkenaan.
2
Apabila suatu salinan perintah yang disebut dalam subperaturan (1) diterima, Ketua Jabatan hendaklah mengemukakannya kepada Pihak Berkuasa Tatatertib yang berkenaan yang mempunyai bidang kuasa untuk mengenakan hukuman buang kerja atau turun pangkat berserta dengan rekod perkhidmatan pegawai itu dan perakuan Ketua Jabatan bahawa:
a
pegawai itu patut dibuang kerja atau diturunkan pangkat; b) pegawai itu patut dihukum dengan apa-apa hukuman selain buang kerja atau turun pangkat;
c
perkhidmatan pegawai itu patut ditamatkan demi kepentingan awam; atau
d
tiada hukuman patut dikenakan. bergantung kepada takat keburukan yang telah dibawa oleh pegawai itu kepada perkhidmatan awam itu. [47] Manakala Peraturan 33(2) Peraturan-Peraturan Penjawat Awam (Kalakuan Dan Tatatertib) 1993 pula memperuntukkan seperti berikut:
33
Pertimbangan Pihak Berkuasa Tatatertib dalam kes sabitan dan tahanan.
2
Jika, setelah menimbang laporan, rekod perkhidmatan dan perakuan Ketua Jabatan yang dikemukakan kepadanya di bawah subperaturan 32(2), Pihak Berkuasa Tatatertib yang berkenaan berpendapat bahawa –
a
pegawai itu patut dibuang kerja atau diturunkan pangkat, Pihak Berkuasa Tatatertib itu hendaklah mengenakan hukuman buang kerja atau turun pangkat, sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Pihak Berkuasa Tatatertib itu;
b
alasan yang berdasarkannya perintah itu telah dibuat terhadap pegawai itu tidak mewajarkan hukuman buang kerja atau turun pangkat tetapi mewajarkan pengenaan suatu hukuman yang lebih ringan, Pihak Berkuasa Tatatertib itu hendaklah mengenakan ke atas pegawai itu mana-mana satu atau lebih hukuman selain buang kerja atau turun pangkat sebagaimana yang dinyatakan dalam Peraturan 38 sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Pihak Berkuasa Tatatertib itu; atau c) tiada hukuman patut dikenakan ke atas pegawai itu, Pihak Berkuasa Tatatertib itu hendaklah membebaskannya. [48] Peguam pemohon yang bijaksana menghujahkan bahawa berdasarkan peruntukan Peraturan 32(1)(b) dan Peraturan 32(2) Peraturan-Peraturan Penjawat Awam (Kalakuan Dan Tatatertib) 1993, adalah mandatori bagi Ketua Jabatan untuk mengesyorkan dalam Perakuan Ketua Jabatan sama ada seorang pegawai itu patut dibuang kerja ataupun ada alternatif yang lebih ringan iaitu diturunkan pangkat hendaklah dikenakan. [49] Peguam pemohon selanjutnya memetik surat bertarikh 24/1/2017 yang dikemukakan oleh Lembaga Tatatertib yang menyatakan seperti berikut: “setelah mempertimbangkan dengan teliti memutuskan puan bersalah setelah Lembaga Pencengahan Jenayah membuat keputusan untuk meletakkan puan di bawah Pengawasan Polis bagi tempoh dua (2) tahun mulai dari 19 Oktober 2016 sehingga 18 Oktober 2018 selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 15 Akta Pencegahan Jenayah 1959.” [50] Menurut peguam pemohon yang bijaksana, surat tersebut hanya menyatakan “setelah mempertimbangkan dengan teliti memutuskan puan bersalah.....”, tanpa dinyatakan apakah perkara yang dipertimbangkan dan dokumen apakah yang diterima untuk proses menimbang sebelum membuat keputusan pembuangan kerja tersebut. Afidavit responden juga hanya sekadar mengatakan Lembaga Tatatertib telah menerima perakuan Ketua Jabatan tanpa menyatakan apakah perakuan tersebut. [51] Peguam pemohon seterusnya mencadangkan bahawa ayat yang sepatutnya digunakan dalam surat Lembaga Tatatertib tersebut adalah seperti berikut: “setelah menimbang laporan, rekod perkhidmatan dan perakuan Ketua Jabatan yang dikemukakan kepada pihak Lembaga Tatatertib, Pihak Lembaga Tatatertib berpendapat kamu patut dibuang kerja, dengan ini kamu dikenakan hukuman “Buang Kerja” selaras di bawah Peraturan 33(2) dibaca bersama Peraturan 38(g), Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan Dan Tatatertib) 1993.” [52] Atas dasar itu, peguam pemohon telah menghujahkan bahawa Lembaga Tatatertib telah gagal untuk mematuhi Peraturan 33(2) PPPA (K&T) 1993 dengan tidak menyatakan dengan jelas “ayat” seperti di atas di dalam surat tindakan tatatertib yang menjadikan hukuman buang kerja pemohon adalah batal dan tidak sah. Analisis dan dapatan Mahkamah ini berkenaan isu keempat [53] Berkenaan isu ini, Mahkamah ini mendapati bahawa responden kedua telah pun menyatakan dalam afidavit jawapan responden-responden (I) khususnya di perenggan 15.1 bahawa sebelum responden kedua bersidang, responden kedua telah pun menerima dokumen-dokumen berikut daripada Ketua Jabatan pemohon:
1
Sesalinan Perintah Pengawasan bertarikh 19.10.2016;
2
Rekod perkhidmatan pemohon; dan
3
Perakuan Ketua Jabatan pemohon. Responden kedua telah bersidang pada 24/1/2017 dan telah meneliti kesemua rekod dan dokumen yang diterima daripada Ketua Jabatan pemohon tersebut. Penerimaan ketiga-tiga dokumen di atas telah memenuhi kehendak peruntukan Peraturan 32(2) PPPA (K&T) 1993. [54] Seterusnya dalam perenggan 15.4 afidavit jawapan responden-responden (I), responden kedua mengatakan bahawa mereka telah patuhi Peraturan-Peraturan 32 & 33(2) PPA (K&T) 1993 apabila telah menerima dan telah mempertimbangkan dokumen-dokumen yang diterima tersebut sebelum menjatuhkan hukuman buang kerja ke atas pemohon. Perenggan ini telah menjawab persoalan pemohon berkenaan dokumen apakah yang telah dipertimbangkan oleh responden kedua. [55] Oleh itu, hujahan pemohon yang mempersoalkan dokumen apakah yang diterima dan dipertimbangkan oleh responden kedua setelah ia dijelaskan secara khusus dalam keterangan afidavit responden-responden (I) adalah tidak boleh dipertahankan. [56] Begitu juga, berkenaan apakah atau bagaimanakah seharusnya responden kedua menyatakan atau menyusun perkataan dalam keputusannya adalah atas budibicara responden kedua sendiri. Tiada sebarang format perkataan atau ayat-ayat tertentu telah ditetapkan dalam mana-mana peraturan yang wajib diikuti oleh responden kedua dalam memberikan atau menyatakan keputusannya. Oleh itu responden kedua adalah bebas untuk membina ayatnya sendiri dalam menyampaikan keputusannya selagi mana ia dapat difahami oleh pegawai yang berkenaan. Seseorang yang membaca keputusan Lembaga Tatatertib seperti yang telah dikeluarkan oleh responden kedua dalam kes ini tentu akan faham bahawa keputusan yang telah dibuat oleh responden kedua adalah keputusan “buang kerja”. [57] Adalah menjadi undang-undang mantap bahawa Mahkamah dalam menjalankan bidangkuasa semakannya, boleh menyemak keputusan yang telah dibuat oleh suatu badan atau tribunal dalam menjalankan tugas atau fungsi awamnya atas alasan ketidaksahan (illegality), ketidakmunasabahan (irrationality) atau kesilapan prosedur (procedure impropriety) sebagaimana yang telah diputuskan dalam kes Peguam Negara Malaysia v. Chin Chee Kow & Another Appeal [2019] 3 MLRA 183; Wira Swire Sdn Bhd v. Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri [2019] MLRHU 685; Booi Kim Lee v. YB Menteri Sumber Manusia & Anor [1999] 4 CLJ
121
KESIMPULAN MAHKAMAH [58] Setelah meneliti semua proses tindakan tatatertib dan juga rayuan tatatertib yang telah dijalankan oleh responden-responden, Mahkamah mendapati tiada sebarang kecacatan dalam proses membuat keputusan tersebut dan Mahkamah ini juga tidak mendapati sebarang ketidaksahan (illegality), ketidakmunasabahan (irrationality) dan kesilapan prosedur (procedure impropriety) telah berlaku dalam prosiding tatatertib dan rayuan tatatertib pemohon yang mewajarkan Mahkamah ini mengenepikan keputusan responden-responden dan membenarkan permohonan semakan kehakiman pemohon. [59] Oleh itu, Mahkamah ini menolak permohonan semakan kehakiman pemohon dengan kos sebanyak RM5,000.00 diperintahkan dibayar oleh pemohon kepada Responden-Responden secara bersesama. Bertarikh: 27 Mac 2025. MOHD ROSLI YUSOFF Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi (2) Kota Bharu Kelantan. Peguam Pemohon: Shaharuddin Bin Mohamed & Nik Arisya Syamimi Binti Nik Rozhan, Tetuan Shaharuddin Hidayu & Marwaliz, No. 5578-E, Lot 347, Tingkat Satu, Wisma SHM, Seksyen 23, Taman Desa Telipot, 15150 Kota Bharu, Kelantan Darul Naim. Peguam Responden: Tuan Ahmad Armi Najamuddin bin Azmi, Peguam Persekutuan, Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Kelantan, Tingkat Bawah, Blok 5, Kompleks Kota Darulnaim, 15050 Kota Bharu, Kelantan.
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.