Berkenaan dengan isu keenam, (vi) sama ada Tuntutan Balas Defendan dan tuntutan bagi Ganti Rugi Teruk mempunyai merit yang kukuh? 21 a. Defendan menghujahkan bahawa P6, iaitu sebut harga untuk membaiki jetski, tidak menyatakan nama pendaftaran jetski tersebut. Defendan turut telah memfailkan tuntutan balas dengan menuntut ganti rugi khas sebanyak RM8,000.00 atas kecederaan yang didakwa dialami akibat kemalangan jetski, iaitu Right trapezius grade 1 tear di bahagian tangan kanan sebanyak RM6,000.00 dan Right ACJ sprain di bahagian tangan kanan sebanyak RM2,000.00. b. Plaintif menghujahkan bahawa tuntutan bagi kecederaan peribadi sepatutnya dikategorikan sebagai ganti rugi am dan bukan ganti rugi khas. Ganti rugi am merangkumi pampasan untuk kesakitan, penderitaan, dan kehilangan keupayaan yang tidak dapat dinilai secara tepat pada masa perbicaraan, manakala ganti rugi khas melibatkan kerugian kewangan yang boleh dihitung secara spesifik, seperti perbelanjaan perubatan atau kehilangan pendapatan sebelum perbicaraan. Peraturan 18 Kaedah 12(1A) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 menyatakan bahawa tiada pihak boleh menyatakan kuantiti bagi ganti rugi am dalam pliding mereka. Oleh itu, jumlah pampasan bagi kecederaan peribadi hendaklah ditentukan oleh mahkamah berdasarkan bukti dan rujukan kepada kes-kes terdahulu yang serupa. 22 c. Mahkamah mengambil maklum bahawa tiada sebarang laporan perubatan awal daripada Hospital Langkawi yang dikemukakan oleh Defendan untuk menyokong dakwaan bahawa beliau mengalami kecederaan akibat daripada kemalangan jetski yang didakwa berlaku pada 3 Mac 2024. Sebaliknya, Defendan hanya bergantung kepada satu laporan perubatan daripada Pusat Perubatan Universiti Malaya, iaitu dokumen bertarikh 7 Mac 2024 (ditandakan sebagai D13), yang menunjukkan bahawa pemeriksaan perubatan dilakukan hanya selepas empat hari kejadian berlaku. Dalam hal ini, Mahkamah berpandangan bahawa kelewatan Defendan mendapatkan rawatan perubatan atau membuat laporan rasmi sejurus selepas kemalangan berlaku adalah suatu faktor yang menjejaskan kebolehpercayaan dan kekuatan dakwaannya. d. Ketiadaan laporan perubatan segera daripada fasiliti perubatan terdekat seperti Hospital Langkawi, yang secara logiknya merupakan tempat pertama yang sewajarnya dirujuk oleh seseorang yang mengalami kecederaan dalam satu insiden kemalangan, menimbulkan keraguan yang signifikan terhadap wujudnya hubungan langsung antara kecederaan yang dinyatakan dalam laporan D13 dengan kemalangan yang berlaku pada tarikh yang didakwa. Dalam hal tuntutan berkaitan kecederaan atau kerugian akibat kecuaian, 23 beban pembuktian adalah terletak sepenuhnya di atas bahu pihak yang membuat dakwaan, iaitu dalam kes ini, Defendan sendiri. e. Defendan perlu membuktikan secara jelas dan meyakinkan bahawa kecederaan yang dialaminya memang berpunca secara langsung daripada kemalangan yang berlaku pada 3 Mac 2024. Bukti ini seharusnya terdiri daripada laporan perubatan yang kontemporari dengan waktu kejadian, iaitu dokumen yang menunjukkan rawatan atau pemeriksaan dijalankan dengan segera selepas kemalangan tersebut. Tanpa dokumen sedemikian, Mahkamah tidak dapat membuat satu kesimpulan yang munasabah dan berpandukan bukti bahawa kecederaan tersebut mempunyai kaitan kausal yang jelas dengan insiden jetski berkenaan. f. Tambahan pula, laporan D13 sendiri tidak menyatakan secara jelas dan konklusif bahawa kecederaan yang diperiksa adalah akibat kemalangan jetski pada 3 Mac 2024, dan tiada penjelasan diberikan oleh Defendan mengapa beliau menunggu sehingga 7 Mac 2024 untuk mendapatkan pemeriksaan perubatan. Oleh yang demikian, Mahkamah berpendapat bahawa bukti yang dikemukakan oleh Defendan adalah tidak mencukupi untuk membuktikan dakwaan kecederaan yang dikaitkan dengan insiden tersebut. Justeru, tuntutan 24 berasaskan kecederaan yang dibuat oleh Defendan adalah gagal dan tidak dapat disokong oleh keterangan serta bukti yang mencukupi. g. Mahkamah bersetuju dengan kes yang dirujuk iaitu kes Sam Wun Hoong lwn Kader Ibramshah [1981] 1 MLJ 295, dalam kes ini Mahkamah menegaskan bahawa ganti rugi khas terdiri daripada perbelanjaan tunai langsung seperti bil hospital dan kehilangan pendapatan sebenar semasa tempoh ketidakupayaan, yang secara umumnya dapat dikira dengan tepat. Memandangkan kecederaan peribadi tidak termasuk dalam kategori ini, tuntutan Defendan untuk ganti rugi khas atas kecederaan tersebut adalah tidak tepat. h. Dalam pernyataan pembelaannya, Defendan menuntut ganti rugi. Namun, memandangkan kemalangan tersebut disebabkan oleh kecuaian Defendan sendiri, tuntutan tersebut tidak mempunyai asas yang kukuh. Lebih-lebih lagi, apabila Defendan mengakui di Mahkamah bahawa selepas kemalangan jetski, beliau masih mampu menyertai pertandingan badminton, yang menimbulkan keraguan terhadap keseriusan kecederaan yang didakwa dialami. i. Melalui keterangan di Mahkamah adalah jelas bahawa Plaintif dan kakitangannya telah mengambil langkah berjaga-jaga yang 25 sewajarnya dalam proses penyewaan. Kemalangan tersebut berlaku akibat kecuaian Defendan sendiri. Oleh itu, adalah tidak wajar bagi Defendan untuk menuntut pampasan atas kecederaan yang timbul daripada kecuaiannya sendiri. Defendan juga mendakwa mengalami gangguan emosi akibat kemalangan tersebut, namun tiada sebarang laporan perubatan atau sebarang laporan psikiatri dikemukakan sebagai bukti sokongan di Mahkamah untuk menyokong dakwaan ini. j. Berdasarkan pertimbangan di atas, Mahkamah berpendapat bahawa tuntutan balas Defendan tidak mempunyai merit dan sewajarnya ditolak.