Content
1 DALAM MAHKAMAH MAJISTRET DI KUALA BERANG DALAM NEGERI TERENGGANU DARUL IMAN KES TANGKAP NO. TE-82-1-08/2022 PENDAKWA RAYA LAWAN ZAMRI BIN RANI (NO. K/P.: 740115-11-5537) ALASAN PENGHAKIMAN
TE-82-1-08/2022
Magistrates Court of Malaysia30 Nov 2025
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“52. Untuk dilepaskan dan dibebaskan, tertuduh hanya perlu menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan [rujuk Mohamed Shariff v Public Prosecutor [1964] MLJ 64 dan Nadarasa v Public Prosecutor [1972] 2 MLJ 47]. Keterangan pihak pembelaan tidak semestinya konklusif [rujuk Chay Hon Song v Public Prosecutor [196”
“bare denial cannot in law raise a reasonable doubt and the appellant must be convicted for both the charges. Raja Azlan Shah CJ (Malaya) (as His Majesty then was) in D.A. Duncan v. Public Prosecutor [1980] CLJU 12; [1980] 1 LNS 12; [1980] 2 MLJ 195, had this to say in regard to the defence of simple denial: “The defenc”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Content
1 DALAM MAHKAMAH MAJISTRET DI KUALA BERANG DALAM NEGERI TERENGGANU DARUL IMAN KES TANGKAP NO. TE-82-1-08/2022 PENDAKWA RAYA LAWAN ZAMRI BIN RANI (NO. K/P.: 740115-11-5537) ALASAN PENGHAKIMAN
1
Pada 9 Ogos 2022, tertuduh telah dituduh dengan pertuduhan di bawah seksyen 324 Kanun Keseksaan seperti berikut: “Bahawa kamu pada 09 April 2022 jam lebih kurang 6.00 petang di rumah alamat 4184 Kg Tok Bintang Kuala Berang didalam Daerah Hulu Terengganu di dalam Negeri Terengganu telah dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Mohd Nasron bin Ahmad No Kpt: 780620-10-5779 dengan menggunakan sebilang parang dan dengan itu kamu telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum dibawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan Hukuman: Penjara selama tempoh yang boleh sampai sepuluh tahun, atau dengan denda atau dengan sebat,atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu.”
2
Tertuduh mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan. Mahkamah kemudiannya membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk perbicaraan bagi kes TE-83-68-08/2022 (Pendakwa Raya lwn Wan Mohd Zulfikar Bin Zamri) yang dituduh di bawah seksyen 506 Kanun Keseksaan didengar bersama kes terhadap tertuduh memandangkan kedua-dua kes melibatkan tarikh, tempat, masa, pengadu dan saksi-saksi yang sama.
3
Di akhir kes pendakwaan, Wan Mohd Zulfikar Bin Zamri telah menukar pengakuan, disabitkan bersalah dan dijatuhkan hukuman. Manakala tertuduh telah dipanggil untuk membela diri.
4
Di akhir kes pembelaan, Mahkamah memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan melampaui keraguan munasabah bahawa tertuduh telah menyebabkan kecederaan kepada mangsa dengan menggunakan sebilah parang, namun keterangan yang ada jelas menunjukkan bahawa tertuduh dengan sengaja dan tanpa alasan yang dibenarkan undang-undang telah menyebabkan kecederaan kepada mangsa, suatu perbuatan yang merupakan kesalahan voluntarily causing hurt yang boleh dihukum di bawah seksyen 323 Kanun Keseksaan.
5
Oleh itu mahkamah mengguna pakai peruntukan Seksyen 169(2) Kanun Tatacara Jenayah untuk mensabitkan tertuduh atas kesalahan yang lebih rendah iaitu voluntarily causing hurt yang boleh dihukum di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan. Tertuduh dijatuhkan hukuman denda RM2,000.00 jika gagal bayar penjara 6 bulan. Terkilan, pihak pendakwa raya memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut.
6
Alasan penghakiman Mahkamah ini adalah sebagaimana yang dihuraikan selanjutnya.
7
Pihak pendakwaan telah memanggil seramai 7 orang saksi dan mengemukakan 12 ekshibit bagi membuktikan suatu kes Prima Facie terhadap tertuduh. Fakta kes pendakwaan secara ringkasnya seperti berikut: a. Pada 09/04/2022 jam lebih kurang 05.50 petang, semasa pengadu (SP3) berada di rumah alamat Lot 4184 Kampung Tok Bintang, 21700 Kuala Berang, Pengadu telah didatangi oleh tertuduh dan juga anaknya (Wan Mohd Zulfikar Bin Zamri) membawa sebilah parang (P1). Tertuduh dengan menggunakan tangan kanannya telah melibas menggunakan parang tersebut dan terkena di lengan sebelah kiri dan kepala SP3, namun SP3 cuba untuk menahan lalu terkena pada ibu jari sebelah kanan SP3. Keseluruhan kejadian disaksikan oleh SP4 yang merupakan anak kepada SP3. b. Pengadu (SP3) kemudiannya telah pergi ke balai untuk membuat laporan polis (P10). Pada jam lebih kurang 9.15 malam, pengadu (SP3) telah pergi ke Hospital Hulu Terengganu bagi mendapatkan rawatan. SP7, seorang pegawai perubatan yang telah merawat tertuduh telah mengesahkan bahawa terdapat luka lelasan suferfisial pada bahagian belakang kanan badan, lebam di lengan kiri dan luka koyakan superfisial di ibu jari. SP7 telah mengesahkan dalam keterangannya bahawa hasil daripada pemeriksaan yang beliau jalankan, kesimpulan yang dibuat adalah pesakit tersebut mengalami kecederaan akibat daripada dakwaan serangan yang dikatakan. SP7 juga mengatakan bahawa luka kecederaan SP3 adalah berkemungkinan daripada objek tajam dan parang adalah berkemungkinan sebagai punca. Kecederan yang dilihat adalah sepertimana P7(A-G). SP7 juga telah mengeluarkan satu laporan pemeriksaan awal (P12). c. Pada 10/04/2022 jam 4.08 petang, tertuduh telah datang ke balai polis dan menyerahkan sebilah parang kepada pegawai polis, SP1 sambil menyatakan bahawa ini adalah parang (P1) yang digunakan dalam pergaduhan. SP1 telah tangkap tertuduh dan anaknya dan serahkan sesalinan Borang Bongkar (P3) sebagai bukti serahan, dan membuat satu laporan polis (P2) berkenaan rampasan barang kes tersebut.
8
Antara isu yang dibangkitkan oleh pihak pembelaan semasa kes pendakwaan adalah seperti berikut: a. Keterangan lisan saksi-saksi pendakwaan didapati bercanggah, mengelirukan dan gagal memastikan identiti sebenar individu yang mencederakan mangsa (SP3) menggunakan parang - P1. b. Disebabkan ketidakpastian mengenai identiti sebenar individu yang memukul dan mencederakan SP3 dengan sebilah parang, adalah menjadi tanggungjawab utama pihak pendakwaan untuk mengemukakan rakaman CCTV di tempat kejadian sebagai keterangan bebas yang tidak memihak kepada mana-mana pihak, yang mana gagal dikemukakan oleh pihak pendakwaan. c. SP7 yang merawat mangsa SP3 dan menyediakan Laporan Pemeriksaan Awal P13 telah memberikan keterangan yang bercanggah berhubung punca kecederaan, sama ada disebabkan oleh penggunaan parang atau akibat pergelutan. C. ANALISIS DAN KEPUTUSAN MAHKAMAH DI AKHIR KES
9
Beban pembuktian di akhir kes pendakwaan ialah untuk pihak pendakwaan membuktikan satu kes prima facie terhadap tertuduh (seksyen 173(f) dan seksyen 173(h) Kanun Tatacara Jenayah). Dalam hal ini, Mahkamah hendaklah membuat penilaian maksima ke atas semua keterangan yang dikemukakan semasa kes pendakwaan (rujuk Looi Kow Chai & Anor V PP [2003] 1 CLJ). Mahkamah juga merujuk kepada kes Balachandran V Public Prosecutor [2005] 2 MLJ 301, yang menyatakan bahawa di akhir kes pendakwaan, Mahkamah hendaklah bertanya pada diri sama ada jika tertuduh dipanggil membela diri dan memilih untuk berdiam diri, adakah Mahkamah bersedia untuk mensabitkan tertuduh.
10
Untuk membuktikan pertuduhan tersebut terhadap tertuduh, pihak Pendakwaan perlu membuktikan elemen-elemen berikut: a. Tertuduh mendatangkan kecederaan pada tubuh badan mangsa (SP3); b. Tertuduh mempunyai niat untuk menyebabkan kecederaan atau mempunyai pengetahuan bahawa dia berkemungkinan akan menyebabkan kecederaan; dan c. Tertuduh menyebabkan kecederaan itu dengan menggunakan parang.
11
Analisis dan dapatan Mahkamah di akhir kes pendakwaan adalah seperti berikut: a. Pada peringkat ini, Mahkamah mendapati keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan adalah mencukupi untuk membuktikan setiap elemen pertuduhan di bawah seksyen 324 KK pada tahap prima facie. b. Keterangan SP3 menyatakan dirinya dicederakan dengan parang oleh tertuduh pada tarikh dan masa kejadian disokong dengan keterangan SP4 dan ekshibit P10. Kecederaan yang dialami disokong dengan laporan pemeriksaan awal P13 dan keterangan SP7. c. Perbuatan OKT membawa parang ketika turun dari kereta dan meluru ke arah SP3 menunjukkan niat untuk melakukan serangan, bukannya untuk berbincang. Tingkah laku OKT sebelum, semasa dan selepas kejadian jelas menunjukkan niat atau sekurang-kurangnya kesedaran bahawa tindakannya akan menyebabkan kecederaan, justeru elemen kedua iaitu niat telah dipenuhi. d. Dalam kes ini, senjata yang digunakan ialah sebilah parang (P1), iaitu alat berbahaya yang boleh menyebabkan kecederaan, sebagaimana dinyatakan oleh SP3 dan disaksikan oleh anaknya, SP4. Keterangan SP7 juga tidak menolak kemungkinan bahawa kecederaan yang dialami oleh mangsa SP3 boleh berpunca daripada parang. Oleh itu, elemen ketiga telah dipenuhi kerana kecederaan ke atas SP3 dilakukan menggunakan alat berbahaya, iaitu sebilah parang. e. Walaupun terdapat percanggahan dari keterangan saksi-saksi pendakwaan, namun pada peringkat ini Mahkamah berpuas hati dengan keterangan daripada SP3 dan SP4 yang telah mengasingkan peranan tertuduh sebagai individu yang menggunakan parang untuk mencederakan mangsa. Justeru, percanggahan tersebut tidak menjejaskan kewujudan kes pendakwaan terhadap tertuduh pada peringkat ini. f. Berkenaan isu rakaman CCTV, Mahkamah berpuas hati dengan penjelasan pegawai penyiasat, SP6 yang memberi keterangan bahawa beliau tidak merampas rakaman CCTV tersebut kerana pada pengamatannya rakaman tersebut tidak jelas dan tidak dapat membuktikan siapa yang menyerang siapa. Justeru tiada keperluan untuk Mahkamah menggunapakai anggapan di bawah seksyen 114(g) Akta Keterangan 1950.
12
Setelah meneliti keseluruhan keterangan saksi pendakwaan, ekshibit yang dikemukakan serta hujahan bertulis pihak-pihak, dan setelah membuat penilaian menyeluruh terhadap keterangan tersebut, Mahkamah berpuas hati bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan satu kes prima facie terhadap tertuduh dan oleh itu, tertuduh dipanggil untuk membela diri.
13
Bagi membela dirinya, tertuduh memilih untuk memberikan keterangan bersumpah di kandang saksi dan telah memanggil seorang lagi saksi pembelaan iaitu anaknya Wan Mohd Zulfikar Bin Zamri (SD2) bagi memberikan keterangan bersumpah di Mahkamah.
14
Ringkasan kes pembelaan adalah seperti berikut: a. Kes pembelaan berasaskan keterangan tertuduh (SD1) dan SD2 menyatakan bahawa kejadian berpunca daripada pertikaian tanah kebun milik SD1 yang telah dibersihkan oleh SP3 tanpa kebenaran, diikuti tuntutan bayaran dan ugutan terhadap tertuduh. b. Pada pagi hari kejadian iaitu 9 April 2022, sekitar jam 9.00 pagi, SD1 telah menerima panggilan telefon daripada SP3 yang menuntut bayaran tersebut serta mengugut untuk mencabut tanaman dan melanggar SD1 dengan kenderaan Hilux miliknya sekiranya bayaran tidak dibuat. c. Pada kira-kira jam 3.00 petang hari yang sama, SD1 pergi ke kebunnya dan mendapati pagar kebun telah dicabut. Pekerjanya memaklumkan bahawa pagar tidak dapat dipasang kerana dihalang oleh SP3. SP3 kemudian menghubungi SD1 dan mengugutnya. Susulan itu, SD1 pergi ke rumah SP3 bersama anaknya, SD2, namun SP3 didapati tiada di rumah. d. Sekitar jam 5.00 petang, SP3 menelefon semula dan menyuruh SD1 datang ke rumahnya. Disebabkan ugutan tersebut, SD1 sekali lagi bersama anaknya SD2 pergi ke rumah SP3. Setibanya di sana, SD1 melihat SP3 sedang menunggu di luar rumah sambil memegang tukul di tangan kanan. Oleh yang demikian, SD1 dan SD2 tidak segera turun dari kenderaan selama beberapa minit. e. SD1 akhirnya turun dari kenderaan dengan memegang parang atas faktor keadaan SP3 yang sedang memegang tukul. Parang yang dibawa oleh SD1 sememangnya di dalam Hilux kerana ia merupakan peralatan kebun yang selalu digunakan oleh SD1 untuk menebas. SD2 juga turut turun daripada kenderaan tersebut. f. SD1 menyatakan bahawa ketika beliau dan anaknya, SD2, menghampiri SP3, berlaku pertengkaran mulut dan tolak-menolak. SP3 kemudiannya sekali lagi mengugut untuk menebang tanaman SD1 dan melanggar SD1 sekiranya bayaran tidak dibuat. g. Dalam keadaan itu, SD2 mengambil parang daripada SD1 dan memukul bahu kanan SP3 yang sedang memegang tukul menggunakan tepi parang beberapa kali. Kedua-dua senjata kemudian terjatuh ke tanah, dan SD1 menyatakan beliau menjerit menyuruh anaknya berhenti kerana bimbang tindakan tersebut boleh menyebabkan kecederaan serius. h. SD1 kemudian mengambil parang tersebut dan menyimpannya di dalam Hilux miliknya, sementara pergaduhan antara SD2 dan SP3 berterusan tanpa senjata. SD1 juga kemudiannya turut terlibat dalam pergelutan tersebut. Selepas itu, SP3 pergi ke arah Hilux miliknya, memanjat di bahagian belakang dan mengambil besi loading sawit, namun terjatuh bersama besi tersebut ketika turun dari belakang kenderaan tersebut. i. Kemudian, SP3 mengambil semula tukul yang jatuh pada awal tadi dan mengejar SD1 serta SD2. SD2 berlari ke arah Hilux ayahnya dan mengambil sebatang kayu cota dari tempat duduk belakang sambil memberi amaran supaya SP3 tidak mendekati mereka. Melihat keadaan itu, SP3 berhenti dan berundur ke rumahnya, manakala SD1 dan SD2 meninggalkan tempat kejadian sekitar jam 6.00 petang. j. Pembelaan juga menegaskan bahawa SP4 tidak menyaksikan kejadian sebenar, rakaman CCTV yang berpotensi menjadi keterangan bebas tidak dikemukakan, dan SP3 mempunyai sejarah ugutan terhadap tertuduh. k. Keterangan SD1 disokong oleh SD2. SD2 secara konsisten mengaku bahawa dialah individu yang mencederakan SP3 dengan menggunakan parang, sekali gus menafikan penglibatan tertuduh dalam perbuatan tersebut. E. ANALISA DAN DAPATAN MAHKAMAH DI AKHIR KES
i
Sama ada pembelaan tertuduh adalah suatu penafian kosong (bare denial)
15
Pihak pendakwaan menghujahkan bahawa pembelaan tertuduh hanyalah satu penafian kosong yang gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes Pendakwaan. Di peringkat Pendakwaan, elemen pertuduhan telah berjaya dibuktikan melalui keterangan SP3 yang mendakwa telah dicederakan oleh tertuduh menggunakan parang, yang turut disokong secara konsisten oleh SP4 sebagai saksi kejadian.
16
Pendakwaan juga menghujahkan keterangan tertuduh bukan sahaja bercanggah dengan fakta dan ekshibit material iaitu Ekshibit P3, malah tidak disokong oleh sebarang keterangan bebas yang kukuh serta merupakan usaha terdesak untuk melepaskan diri, justeru tidak wajar diterima oleh Mahkamah.
17
Pihak Pembelaan pula menghujahkan bahawa pembelaan tertuduh (SD1) bukanlah suatu penafian kosong seperti yang didakwa oleh pihak Pendakwaan. Menurut pihak pembelaan, prinsip bare denial hanya terpakai apabila tertuduh sekadar menafikan pertuduhan tanpa sebarang penjelasan atau sokongan keterangan.
18
Dalam kes ini, pihak pembelaan menegaskan bahawa SD1/tertuduh telah memberikan penjelasan yang jelas, munasabah dan kukuh sejak peringkat awal, serta disokong oleh keterangan saksi-saksi lain termasuk SD2, SP5, SP6 dan SP7, selain keterangan dokumentari pihak pendakwaan sendiri iaitu Laporan Perubatan P13. Oleh itu, pembelaan SD1 mempunyai merit, selari dengan keseluruhan keterangan di Mahkamah dan tidak boleh disifatkan sebagai penafian semata-mata atau bare denial.
19
Berhubung isu ini, Mahkamah merujuk kepada kes Losali v. PP [2012] 2 CLJ 178; [2011] 4 MLJ 694, yang mana Mahkamah Rayuan dalam penghakimannya menyatakan: “[54] The learned trial judge rightly held that the defence of the appellant was a bare denial. It is trite law that the defence of bare denial is no defence. What this amounts to is this. That the appellant did not offer any explanation to the two charges and merely denied the evidence advanced by the prosecution. That was indeed a perilous course to undertake. [55] The bare denial cannot in law raise a reasonable doubt and the appellant must be convicted for both the charges. Raja Azlan Shah CJ (Malaya) (as His Majesty then was) in D.A. Duncan v. Public Prosecutor [1980] CLJU 12; [1980] 1 LNS 12; [1980] 2 MLJ 195, had this to say in regard to the defence of simple denial: “The defence was, in effect, a simple denial of the evidence connecting the appellant with the four boxes. We cannot see any plausible ground for saying that the four boxes were not his. In the circumstances of the prosecution evidence, the High Court came, in our view, to the correct conclusion that this denial did not cast a doubt on the prosecution's case against the appellant.”
20
Dalam kes Yap Wai Yean v Public Prosecutor [2010] 4 MLJ 386, Mahkamah Rayuan menjelaskan sepertimana berikut: “[34] In our view the defence of the appellant was not an afterthought or a bare denial but an explanation as to how he came to be holding the plastic bag at the time of his arrest. This version by the appellant was not improbable given that the police personnel did not see what happened from the time the appellant and PW3 alighted PW3's car to the time they entered the lobby of the hotel. Furthermore the prosecution evidence revealed that PW3 himself was not an angel. No doubt the appellant did not relate that to the investigating officer but his explanation had to be considered by the court as failure by the appellant to relate to the investigating officer, could never, by itself, relieve the prosecution of its duty of establishing the charge against the appellant beyond reasonable doubt.”
21
Berdasarkan autoriti yang dirujuk, prinsip undang-undang jelas menetapkan bahawa sesuatu pembelaan hanya boleh dikategorikan sebagai penafian kosong / bare denial sekiranya tertuduh sekadar menafikan pertuduhan tanpa mengemukakan penjelasan yang munasabah serta tanpa sokongan keterangan lain, manakala pembelaan yang dikemukakan secara konsisten, beralasan dan disokong oleh keterangan tidak boleh disifatkan sebagai bare denial.
22
Dalam kes terhadap tertuduh, tertuduh tidak menafikan bahawa pada tarikh, masa dan tempat kejadian, tertuduh bersama SD2 ada hadir ke rumah SP3 dan berlakunya pertengkaran dan pergaduhan antara tertuduh, SD2 dan SP3 sehingga menyebabkan kecederaan kepada SP3. Penafian yang dipertikaikan di sini adalah keterangan tertuduh bahawa beliau tidak pernah menggunakan parang untuk mencederakan SP3, sebaliknya ia dilakukan oleh SD2.
23
Mahkamah berpandangan, dalam kes ini, pembelaan tertuduh tidak terhenti kepada penafian semata-mata, sebaliknya dikemukakan bersama satu versi fakta yang terperinci, konsisten dan logik, antaranya: a. Punca kejadian iaitu pertikaian tanah dan tuntutan bayaran oleh SP3; b. Ugutan yang dibuat oleh SP3 sebelum kejadian, termasuk ancaman merosakkan tanaman dan melanggar SD1; c. Kehadiran SP3 di luar rumah dalam keadaan memegang tukul besi; d. Keadaan pergelutan yang berlaku tanpa senjata sebelum parang digunakan; dan e. Penjelasan khusus bahawa SD2, dan bukannya tertuduh, yang telah menggunakan parang.
24
Versi pembelaan tertuduh ini juga disokong secara langsung oleh keterangan SD2 yang: a. mengaku secara jelas bahawa dialah individu yang memukul SP3 menggunakan sisi parang; b. memberikan perincian bagaimana, bila dan mengapa parang digunakan; dan c. menjelaskan bahawa perbuatan tersebut bertujuan melucutkan senjata tukul daripada SP3.
25
Oleh itu, pembelaan tertuduh jelas bukan suatu penafian kosong, tetapi suatu pembelaan berfakta yang disokong oleh SD2 dan juga sebahagian keterangan pendakwaan sendiri. Sejajar dengan prinsip dalam Yap Wai Yean v PP, pembelaan yang disertai penjelasan munasabah dan tidak mustahil tidak boleh diklasifikasikan sebagai penafian kosong.
II
(ii) Sama ada pembelaan tertuduh adalah bersifat pemikiran terkemudian (afterthought)
26
Pihak pendakwaan menghujahkan bahawa pembelaan tertuduh juga merupakan suatu pemikiran terkemudian (afterthoughts) yang hanya dibangkitkan di peringkat pembelaan. Isu material bahawa SD2, dan bukannya tertuduh, yang mencederakan menggunakan parang tidak pernah dikemukakan semasa peringkat kes pendakwaan, khususnya ketika pemeriksaan balas terhadap saksi utama SP3 dan SP4 yang berada di tempat kejadian. Kegagalan Pembelaan untuk membangkitkan isu sepenting ini pada peringkat awal menjejaskan kredibiliti pembelaan tersebut dan menimbulkan inferens bahawa ia direka kemudian untuk mengelakkan liabiliti jenayah.
27
Pendakwaan selanjutnya bergantung kepada prinsip yang digariskan dalam kes Tan Kim Ho & Anor v. PP [2009] 3 CLJ 236 dan Hamidon bin Mat Yatim v PP (1995) 3 CLJ 724, yang menegaskan bahawa keterangan atau dakwaan yang tidak dicabar atau dibangkitkan semasa pemeriksaan balas boleh dianggap sebagai afterthoughts dan ditolak oleh Mahkamah. Tambahan pula, SD1 dan SD2 juga gagal menyatakan dalam pemeriksaan utama bahawa maklumat tersebut pernah dimaklumkan kepada Pegawai Penyiasat atau Pegawai Tangkap. Oleh itu, Pendakwaan menegaskan dakwaan bahawa SD2 mencederakan SP3 hanyalah satu pemikiran semula yang tidak munasabah dan wajar ditolak oleh Mahkamah.
28
Pihak pembelaan pula menghujahkan bahawa pembelaan tertuduh sama sekali bukan suatu pembelaan bersifat pemikiran terkemudian (afterthought), sebaliknya telah dikemukakan secara jelas dan mencukupi sejak peringkat kes Pendakwaan lagi. Versi pembelaan berhubung penglibatan SD2 dalam mencederakan SP3 telah dicadangkan kepada saksi-saksi pendakwaan, khususnya SP6 selaku Penolong Pegawai Penyiasat, semasa peringkat kes pendakwaan. Malah, sebelum sebarang cadangan dibuat oleh pihak pembelaan, SP5 sendiri dalam pemeriksaan utama telah menyatakan bahawa SD2 turut menyerang SP3, dan perkara ini turut disokong oleh Laporan Perubatan P13 yang mengesahkan penglibatan SD2.
29
Pihak pembelaan seterusnya bergantung kepada prinsip undang-undang yang mantap melalui kes Yap Wai Yean v Public Prosecutor [2010] 4 MLJ 386 dan Megat Halim bin Megat Omar v. Pendakwa Raya [2009] 1 CLJ 154, yang menegaskan bahawa sesuatu pembelaan hanya boleh dianggap sebagai afterthought sekiranya ia gagal dikemukakan seawal peringkat kes pendakwaan. Memandangkan versi pembelaan dalam kes ini telah dicadangkan lebih awal dan selari dengan keterangan saksi serta bukti dokumentari, pembelaan menegaskan bahawa pembelaan tertuduh adalah bermerit, berasas dan tidak boleh ditolak sebagai suatu pembelaan fikiran terkemudian.
30
Mahkamah turut merujuk kes-kes terdahulu yang dirujuk oleh pihak pendakwaan dan pembelaan berhubung isu ini yang mana prinsip undang-undang menegaskan bahawa sesuatu pembelaan sewajarnya dianggap sebagai afterthought sekiranya ia gagal dicadangkan kepada saksi pendakwaan semasa kes pendakwaan dan hanya dibangkitkan buat pertama kali semasa kes pembelaan.
31
Analisis dan dapatan Mahkamah berhubung isu ini adalah seperti berikut: a. Isu bahawa SD2, dan bukannya tertuduh, yang mencederakan SP3 menggunakan parang tidak pernah dikemukakan semasa pemeriksaan balas terhadap saksi utama SP3 dan SP4 yang berada di tempat kejadian. b. Walaupun begitu, Mahkamah mendapati isu keraguan identiti pelaku sebenar yang mencederakan mangsa menggunakan parang tersebut telah ditimbulkan semasa kes pendakwaan terutamanya semasa pemeriksaan balas terhadap SP6 seperti di bawah: “PB: KECEDERAAN DISEBABKAN OLEH OKT 2, BOLEH JADI PB: SIAPA BAWA PARANG TAK TAHU … BERDASARKAN RAKAMAN PERCAKAPAN PENGADU, YANG CEDERAKAN DIA OKT 1 ATAU OKT2, TAK PASTI SP6: TAK PASTI” c. OKT2 yang dimaksudkan dalam soalan pemeriksaan balas di atas merujuk kepada SD2. d. Isu yang sama juga ditimbulkan semasa pemeriksaan balas ke atas SP7 sepertimana berikut: “PB: RUJUK P13, MANGSA TERLIBAT DENGAN PERGADUHAN MELIBATKAN 2 ORANG, BETUL? SP7: YA LUKA-LUKA DALAM GAMBAR P5 BOLEH DISEBABKAN OLEH SEORANG SAHAJA? SP7: SAYA TAK PASTI.” e. Di akhir kes pendakwaan, pihak pembelaan juga telah menghujahkan isu bahawa keterangan lisan saksi-saksi pendakwaan adalah bercanggah dan mengelirukan serta gagal mengenal pasti dengan jelas identiti sebenar individu yang telah memukul dan mencederakan mangsa (SP3) menggunakan parang (P1). Hujahan-hujahan ini dikemukakan sebelum pembelaan dipanggil dan sebelum sebarang keterangan pembelaan dikemukakan, justeru menunjukkan bahawa versi pembelaan bukan direka kemudian bagi menyesuaikan diri dengan kes pendakwaan, sebaliknya telah dibangkitkan secara konsisten sejak awal lagi.
32
Oleh itu, pada hemat Mahkamah, pembelaan tertuduh bukanlah suatu pembelaan fikiran terkemudian, sebaliknya satu versi yang telah dicadangkan sejak peringkat kes pendakwaan lagi.
III
(iii) Sama ada SD2 merupakan saksi yang berkepentingan
33
Pihak pendakwaan menghujahkan bahawa SD2, merupakan seorang saksi berkepentingan (interested witness) yang keterangannya perlu dinilai dengan penuh berhati-hati. SD2 merupakan anak kandung tertuduh, tinggal serumah serta mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan tertuduh, malah mengakui kasih sayangnya terhadap bapanya. Keadaan ini, ditambah dengan fakta bahawa SD2 dan tertuduh sentiasa bersama pada hari kejadian, menunjukkan wujud kepentingan peribadi yang jelas untuk membantu tertuduh melepaskan diri daripada pertuduhan, apatah lagi tertuduh merupakan seorang penjawat awam.
34
Pendakwaan turut mempersoalkan kredibiliti SD2 apabila beliau didapati beberapa kali mengubah jawapan semasa pemeriksaan balas serta menunjukkan demeanour yang meragukan sepanjang perbicaraan. Oleh itu, Pendakwaan berhujah bahawa keterangan SD2 adalah tidak boleh dipercayai dan wajar ditolak oleh Mahkamah.
35
Pihak pembelaan pula menghujahkan bahawa walaupun SD2 merupakan anak kandung kepada tertuduh dan diklasifikasikan sebagai saksi berkepentingan, keterangan beliau tidak boleh ditolak semata-mata atas dasar hubungan kekeluargaan. Berdasarkan autoriti Mahkamah Rayuan seperti Balasingham v Public Prosecutor [1959] 1 MLJ 193 dan Liow Siow Long v. Public Prosecutor [1969] 1 LNS 98, prinsip undang-undang yang mantap menetapkan bahawa tiada anggapan undang-undang bahawa saksi berkepentingan adalah tidak boleh dipercayai, melainkan terdapat sebab yang kukuh (cogent reason) untuk menolak keterangannya. Keterangan saksi berkepentingan hendaklah dinilai seperti saksi lain, tertakluk kepada penelitian dan ujian pemeriksaan balas, dan hanya boleh ditolak sekiranya terbukti tidak boleh dipercayai.
36
Dalam kes ini, Pembelaan menegaskan bahawa SD2 bukan sekadar anak kepada SD1, malah merupakan saksi mata dan individu yang terlibat secara langsung dalam kejadian tersebut. Keterangan SD2 adalah konsisten sejak peringkat penyiasatan lagi, termasuk memaklumkan kepada pihak penyiasatan bahawa beliau sendiri yang melibas parang kepada SP3.
37
Pihak pembelaan juga menyatakan bahawa pihak Pendakwaan gagal menjalankan prosiding impeachment terhadap SD2 bagi mencabar kredibilitinya, menyebabkan dakwaan percanggahan keterangan kekal sebagai andaian semata-mata. Oleh itu, pembelaan berhujah bahawa keterangan SD2 adalah logik, munasabah dan relevan, serta wajar diterima oleh Mahkamah walaupun wujud hubungan kekeluargaan, lebih-lebih lagi apabila saksi-saksi Pendakwaan sendiri turut terdiri daripada ahli keluarga mangsa.
38
Dalam hal ini, Mahkamah merujuk kes Public Prosecutor v Mohd Razali bin Zakariya [2018] 3 MLJ 34, yang mana Mahkamah Rayuan menegaskan bahawa tiada anggapan undang-undang bahawa saksi yang “berkepentingan” tidak boleh dipercayai. Keterangan saksi berkepentingan hendaklah dinilai seperti saksi lain, tertakluk kepada pemeriksaan balas, dan hanya boleh ditolak jika terdapat alasan kukuh. Mahkamah Rayuan dalam kes tersebut juga menekankan bahawa isu kredibiliti memerlukan pertimbangan faktor seperti motif dan kebarangkalian.
39
Berdasarkan prinsip undang-undang di atas, SD2 tetap berhak kepada credence selagi tiada alasan kukuh untuk menolak keterangannya. Pendakwaan juga tidak menunjukkan apa-apa motif kukuh bahawa SD2 mereka cerita selain bergantung dengan fakta bahawa SD2 merupakan anak kepada tertuduh. Selanjutnya, pihak pendakwaan juga gagal menunjukkan bahawa keterangan SD2 adalah sangat tidak berkemungkinan (wholly improbable) atau bercanggah secara material.
40
Sepanjang penelitian Mahkamah ke atas keterangan SD2, Mahkamah mendapati bahawa SD2 kekal tenang, konsisten dan memberikan jawapan yang jelas sepanjang pemeriksaan, walaupun diasak dengan soalan-soalan dalam nada tinggi dan bersifat agresif semasa pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan. Mahkamah berpandangan respons yang diberikan oleh SD2 adalah semula jadi seorang saksi dalam situasi pemeriksaan balas yang tegang.
41
Sehubungan itu, Mahkamah tidak bersetuju dengan dakwaan pihak Pendakwaan bahawa SD2 menunjukkan demeanour yang meragukan semasa memberi keterangan di Mahkamah.
42
Mahkamah mengambil maklum bahawa SD2 adalah saksi berkepentingan memandangkan beliau merupakan anak kepada tertuduh. Walau bagaimanapun, prinsip yang sama tidak boleh digunakan secara terpilih, kerana ironinya, saksi Pendakwaan, iaitu SP4, juga merupakan anak kepada mangsa SP3, serta SP5 merupakan isteri kepada mangsa. Mahkamah menekankan bahawa hubungan kekeluargaan semata-mata tidak secara automatik menjejaskan kredibiliti saksi.
43
Malah SD2 telah membuat pengakuan di Mahkamah secara bersumpah bahawa beliaulah yang telah mencederakan mangsa dengan menggunakan parang tersebut. Pengakuan ini kekal walaupun selepas pihak pendakwaan mengingatkan SD2 dengan kata-kata seperti berikut: “... TPR: SOALAN SAYA SETERUSNYA, MOHON CAKAP BENAR. KALAU ADA BUAT PENGAKUAN, PENDAKWAAN BOLEH TUDUH UNTUK BUAT SIASATAN BALIK. ...”
44
Sehubungan itu, Mahkamah mendapati SD2 merupakan saksi yang kredibel dan keterangannya boleh diterima dan menyokong keterangan tertuduh serta telah membuka versi alternatif yang tidak berjaya ditepis oleh pihak pendakwaan.
IV
(iv) SP1 tidak mempunyai sebab untuk memberikan keterangan yang tidak benar
45
Pihak pendakwaan berhujah bahawa keterangan SP1 sebagai saksi polis adalah logik, kredibel, dan boleh diterima kerana tiada sebab untuk mereka-reka fakta, disokong oleh dokumen bukti seperti Ekshibit P1 hingga P4. Walaupun tertuduh menegaskan parang diserahkan oleh SD2 kepada SP1, tiada bukti menunjukkan SP1 mempunyai kepentingan peribadi atau niat menipu. Berdasarkan autoriti kes seperti PP v Mohamed Ali [1962] 28 MLJ 257 dan Mogan Raj Ravi & Anor v PP [2020] 3 CLJ 240, keterangan saksi polis yang konsisten dan tidak mustahil hendaklah diterima, justeru Mahkamah sewajarnya menilai keterangan SP1 sebagai relevan dan boleh dipercayai.
46
Pihak pembelaan berhujah bahawa perbezaan antara keterangan SP1 dan naratif pembelaan SD1 tidak menjejaskan kredibiliti SD1 dan SD2. Walaupun SP1 menyatakan bahawa Borang Bongkar (P2) hanya ditandatangani SD1 dan parang (P1) diserahkan oleh SD1, kedua-dua SD1 dan SD2 hadir bersama di Pejabat Jenayah IPD Hulu Terengganu semasa penyerahan, seperti yang disahkan oleh SP1 sendiri. Oleh itu, fokus pembelaan tetap pada fakta bahawa SD2 yang melibas parang kepada SP3, dan keterangan SP1 tidak memberikan penjelasan tentang kejadian sebenar pergaduhan, sekaligus tidak menjejaskan asas pembelaan SD1.
47
Berhubung isu ini, analisis dan dapatan Mahkamah adalah seperti yang berikut: a. SP1, merupakan saksi polis yang memberi keterangan bahawa tertuduh dan SD2 ada hadir ke IPD Hulu Terengganu pada 10.4.2022. Selanjutnya, Mahkamah merujuk pada perenggan 4 PSP1 iaitu penyataan bertulis SP1 yang menyatakan seperti berikut: “4. Kemudian penama Zamri telah menyerahkan sebilah parang kepada saya menggunakan tangan kanan. Sambil berkata Tuan, ni parang yang saya guna dalam pergaduhan. Saya ambil dan buat pemeriksaan lanjut dapati sebilah parang berhulukan plastik berwarna merah, panjang parang termasuk hulu lebih kurang 55cm.” b. SP1 juga merupakan pegawai polis yang membuat tangkapan ke atas tertuduh dan SD2 dan menyediakan serta menandatangani Borang Bongkar P3 serta merampas parang P1. SP1 juga membuat laporan polis P2. c. Semasa pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan ke atas tertuduh, tertuduh menafikan bahawa beliau yang menyerahkan parang tersebut kepada SP1. “S: SETUJU TAK KAMU YANG SERAHKAN KEPADA INSP AZWA. J: TAK SETUJU” d. Semasa pemeriksaan semula, tertuduh menjelaskan seperti berikut: “S: BERKENAAN PARANG, SIAPA YANG SERAH KEPADA POLIS J: SAYA AMBIL PARANG DARI KERETA, LETAK DI MEJA POLIS, ANAK SAYA AMBIL SERAH S: SERAHAN DI MANA J: BALAI POLIS S: TADI SEMASA DITANYA DAN DIRUJUK DENGAN BORANG BONGKAR, YANG SEBENARNYA, SIAPA YANG SERAH PARANG. J: YANG DARI ATAS MEJA TU ALONG, YANG AMBIL PARANG DARI KERETA KE BALAI, SAYA. S: DUDUK SEBELAH MENYEBELAH J: YA” e. Mahkamah mendapati bahawa isu berhubung penyerahan parang kepada pihak polis telah dijelaskan oleh tertuduh melalui keterangannya secara keseluruhan. Penjelasan ini menunjukkan bahawa tiada percanggahan material dalam keterangan tertuduh, sebaliknya hanya melibatkan perincian proses penyerahan fizikal parang tersebut. Selanjutnya, walaupun pihak pendakwaan menegaskan bahawa keterangan SP1 adalah kredibel dan disokong oleh dokumen, Mahkamah mendapati bahawa perbezaan antara keterangan SP1 dan naratif pembelaan tidak menjejaskan asas pembelaan, khususnya apabila kehadiran kedua-dua SD1 dan SD2 semasa penyerahan di balai polis tidak dipertikaikan.
48
Oleh itu, Mahkamah berpendirian bahawa isu penyerahan parang tersebut telah diberikan penjelasan yang munasabah oleh tertuduh dan tidak menjejaskan kredibiliti pembelaannya.
49
Selanjutnya, Mahkamah berpandangan bahawa kenyataan tertuduh kepada SP1, iaitu “ini parang yang saya guna dalam pergaduhan”, tidak boleh ditafsirkan secara automatik sebagai suatu pengakuan bahawa tertuduh telah mencederakan mangsa, SP3, menggunakan parang tersebut. Frasa tersebut sekadar menunjukkan bahawa parang berkenaan telah digunakan atau terlibat semasa kejadian pergaduhan berlaku, tanpa memperincikan peranan sebenar tertuduh atau perbuatan khusus yang dilakukan terhadap mangsa. Kenyataan tersebut juga tidak menjelaskan siapa yang telah melibas parang tersebut, kepada siapa perbuatan itu ditujukan, atau sama ada sebarang kecederaan telah disebabkan olehnya.
50
Oleh yang demikian, Mahkamah bersetuju dengan hujahan pihak pembelaan bahawa keterangan SP1 tidak memberikan sebarang penjelasan berhubung kejadian sebenar pergaduhan tersebut dan, oleh yang demikian, tidak menjejaskan asas pembelaan tertuduh.
v
Isu sama ada pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah berhubung elemen tertuduh telah menyebabkan kecederaan ke atas mangsa dengan menggunakan parang
51
Prinsip undang-undang adalah jelas bahawa beban pembuktian terletak sepenuhnya pada pihak pendakwaan untuk membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
52
Untuk dilepaskan dan dibebaskan, tertuduh hanya perlu menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan [rujuk Mohamed Shariff v Public Prosecutor [1964] MLJ 64 dan Nadarasa v Public Prosecutor [1972] 2 MLJ 47]. Keterangan pihak pembelaan tidak semestinya konklusif [rujuk Chay Hon Song v Public Prosecutor [1967] 1 MLJ 210 at 211] dan tertuduh juga tidak perlu membuktikan fakta yang menjadi asas kepada pembelaannya [rujuk Nagappan a/l Kuppusamy v Public Prosecutor [1988] 2 MLJ 53, [1988] 1 CLJ 283, SC]. Dalam erti kata lain, tertuduh tidak perlu meyakinkan mahkamah bahawa penjelasannya adalah benar. Jikapun Mahkamah tidak percaya dengan kebenaran penjelasan tersebut, adalah memadai jika penjelasan itu reasonably be true and probable (rujuk Murugiah v Public Prosecutor [1941] 1 MLJ 17b].
53
Mahkamah juga mengambil maklum bahawa kewujudan keraguan munasabah bergantung kepada keseluruhan keterangan dan perlu dinilai secara adil dan munasabah berdasarkan semua keterangan yang dikemukakan, bukan secara terasing. Penafian semata-mata atau memberikan cerita kosong tentang tidak bersalah, tidak boleh dianggap sebagai menimbulkan keraguan munasabah [rujuk Ali Tan bin Abdullah v Public Prosecutor [2013] 2 MLJ 676, CA].
54
Waima apapun, the falsity of the defence juga tidak melepaskan pihak pendakwaan daripada tanggungjawab untuk membuktikan kesnya melampaui keraguan munasabah [rujuk PP v Saimin & Ors [1971] 2 MLJ 16].
55
Mahkamah telah meneliti keterangan pihak pembelaan, khususnya SD2, yang memberikan keterangan bersumpah bahawa dialah yang menggunakan parang sehingga menyebabkan kecederaan kepada mangsa (SP3), dan bukannya tertuduh (SD1). Keterangan ini selaras dengan keterangan SD1. Malah, adalah menjadi fakta kes pendakwaan juga bahawa SD2 sememangnya berada bersama tertuduh dan mangsa sepanjang tempoh kejadian berlangsung.
56
Berhubung elemen sama ada tertuduh telah menyebabkan kecederaan ke atas mangsa dengan menggunakan parang, Mahkamah mendapati naratif kes pembelaan lebih munasabah berbanding versi pendakwaan. Walaupun mangsa, SP3, mendakwa bahawa tertuduh yang melibasnya dengan parang, Mahkamah mendapati versi beliau kurang kukuh kerana beberapa faktor seperti berikut: a. SP3 tidak mendedahkan semasa pemeriksaan utama bahawa dirinya ada memegang tukul semasa kejadian. Fakta ini hanya muncul semasa pemeriksaan balas ke atas SP5, iaitu isteri mangsa, semasa pemeriksaan balas seperti berikut: “PB: ADA TUKUL DIGUNAKAN? SP5: BETUL. PB: SUAMI GUNA SP5: PEGANG SAHAJA PB: TUKUL BOLEH MENCEDERAKAN SP5: BETUL.” b. SP3 juga tidak mendedahkan semasa pemeriksaan utama bahawa dirinya ada memegang besi sawit semasa kejadian. Fakta ini hanya muncul semasa pemeriksaan balas ke atasnya dan SP5. Pemeriksaan Balas SP3: “S: SETUJU DENGAN SAYA SEMASA KEJADIAN KAMU ADA PERGI AMBIL BESI ATAS HILUX, PEGANG MASA KEJADIAN? J: SETUJU” Pemeriksaan Balas SP5: “PB: DALAM RAKAMAN TERSEBUT, SUAMI AMBIL SATU BESI TAJAM SP5: BETUL PB: ADAKAH BESI TERSEBUT MERUJUK PADA BESI UNTUK COK KELAPA SAWIT? SP5: BETUL” c. Perkara-perkara ini melemahkan kredibiliti dan menunjukkan bahawa keterangannya bersifat defensif dan tidak lengkap. d. Sebaliknya, versi pembelaan memberikan penjelasan kronologi penuh kejadian pada hari tersebut, konsisten dan selari antara SD1 dan SD2, termasuk peranan sebenar SD2 dalam menggunakan parang serta tindakan SD1 yang berusaha menghalang penggunaan senjata.
71
Selain itu, Mahkamah juga menilai semula keterangan SP4 dan mendapati seperti berikut: a. Tiada langsung dalam keterangan SP4 berhubung perkara berkaitan ayahnya (S3) ada memegang tukul dan besi sawit semasa kejadian. b. SP4 menyatakan bahawa tertuduh dan SD2 melarikan diri selepas ayahnya (SP3) menyebut tentang kewujudan CCTV di rumah. Namun, jika perkara itu benar dan menyebabkan tertuduh serta SD2 berundur ke arah Hilux, adalah tidak munasabah untuk SD2 masih berani mengambil cota dari kenderaan dan mengeluarkan ugutan seperti yang didakwa SP4 sekiranya mereka lari kerana dimaklumkan kewujudan CCTV. Keadaan ini menjadikan versi pembelaan lebih munasabah, iaitu mereka berundur kerana SP3 mengejar mereka selepas mengambil semula tukul yang terjatuh. c. Perkara-perkara di atas menunjukkan bahawa SP4 cenderung memberikan keterangan yang hanya memihak kepada ayahnya, sekali gus menjejaskan kredibiliti dan kebolehpercayaannya sebagai saksi.
72
Lebih parah lagi, tiada sebarang ujian cap jari atau DNA dijalankan ke atas parang P1 tersebut bagi melengkapkan siasatan dan mengemukakan keterangan yang konklusif kepada Mahkamah. Perkara ini disahkan melalui keterangan SP6 yang mengakui bahawa tiada pemeriksaan cap jari dilakukan ke atas parang bagi menentukan individu yang memegangnya. Mahkamah merujuk keterangan SP6 seperti berikut: “PB: MENGENAI PARANG YANG DIGUNAKAN, ADA BUAT EXTRACTION CAP JARI UNTUK LIHAT DARI KEDUA-DUA OKT YANG PERNAH PEGANG PARANG SP6: TIDAK ADA”
73
Tambahan pula, pembelaan tertuduh turut disokong oleh keterangan pihak pendakwaan sendiri, antaranya: a. Laporan Pemeriksaan Awal - P13 yang tertulis pada bahagian sejarah, “…, alleged assaulted by cousin and his son. Assaulted using bare hand & machete ….”, menunjukkan penglibatan lebih daripada seorang individu; dan b. Keterangan SP6 yang tidak konklusif bahawa siapa sebenarnya yang menggunakan parang tersebut. Berikut adalah petikan keterangan SP6 yang menyiasat kes ini semasa sesi pemeriksaan balas: “PB: KAMU TAK TAHU SIAPA YANG SEBABKAN KEJADIAN, PENGADU DAN OKT TAHU … PB: KECEDERAAN DISEBABKAN OLEH OKT 2, BOLEH JADI PB: SIAPA BAWA PARANG TAK TAHU … BERDASARKAN RAKAMAN PERCAKAPAN PENGADU, YANG CEDERAKAN DIA OKT 1 ATAU OKT2, TAK PASTI SP6: TAK PASTI”
74
Keterangan SP6 selaku pegawai polis yang menyiasat gagal memberikan kepastian tentang pelaku sebenar yang menyebabkan kecederaan kepada mangsa menggunakan parang, iaitu elemen kritikal di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan. Keadaan ini melemahkan lagi kes pendakwaan dan secara tidak langsung bercanggah atau tidak menyokong keterangan pengadu/mangsa.
75
Keterangan pihak pembelaan telah menimbulkan keraguan munasabah (reasonable doubt) berhubung identiti sebenar pengguna parang semasa kejadian. Mahkamah mendapati keraguan ini wujud dan tidak dapat diketepikan kerana ia konsisten dan disokong pula dengan beberapa kelemahan kes pendakwaan.
71
Oleh yang demikian, Mahkamah mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah berhubung identiti sebenar pengguna parang semasa kejadian. Justeru kes pendakwaan untuk elemen sama ada tertuduh telah menyebabkan kecederaan ke atas mangsa dengan menggunakan parang telah berjaya dipatahkan.
72
Dalam membuat keputusan di akhir kes pembelaan, Mahkamah merujuk Seksyen 173(m) KTJ yang memperuntukkan bahawa setelah perbicaraan selesai, Mahkamah hendaklah menilai semua keterangan yang telah dikemukakan dan memutuskan sama ada pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah. Jika Mahkamah mendapati pendakwaan telah berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah, Mahkamah hendaklah memutuskan bahawa tertuduh bersalah dan boleh mensabitkan kesalahan serta menjatuhkan hukuman mengikut undang-undang. Jika Mahkamah mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah, maka Mahkamah hendaklah merekodkan perintah pembebasan terhadap tertuduh.
73
Mahkamah turut merujuk kes Puganeswaran a/l Ganesan & Ors V. Public Prosecutor and other appeals [2020] 9 CLJ 326; [2020] 12 MLJ 165 (FC), yang mana Mahkamah Persekutuan telah memberikan panduan berikut: "[53] Perhaps the most oft-quoted definition of the expression "proof beyond reasonable doubt" is that given by Lord Denning in Miller v. Minister of Pensions [1947] 2 All ER 372 where at page 373 the learned judge said: "That degree is well settled. It need not reach certainty, but it must carry a high degree of probability. Proof beyond reasonable doubt does not mean proof beyond the shadow of a doubt. The law would fail to protect the community if it permitted fanciful possibilities to deflect the course of justice. If the evidence is so strong against a man as to leave only a remote possibility in his favour which can be dismissed with the sentence 'of course it is possible but not in the least probable', the case is proved beyond reasonable doubt." (emphasis added).”
74
Selanjutnya, Mahkamah turut merujuk seksyen 169(2) Kanun Tatacara Jenayah yang memperuntukkan seperti berikut: “…
2
When a person is charged with an offence and facts are proved which reduce it to a minor offence, he may be convicted of the minor offence although he is not charged with it.”
75
Seksyen 169(2) Kanun Tatacara Jenayah membenarkan Mahkamah mensabitkan tertuduh bagi kesalahan yang lebih ringan jika keterangan hanya menyokong kesalahan itu, walaupun tertuduh tidak didakwa atasnya.
76
Setelah Mahkamah meneliti semua keterangan dan hujahan yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak, serta meneliti kes ini secara keseluruhan, Mahkamah mendapati bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen bahawa tertuduh telah menyebabkan kecederaan kepada mangsa menggunakan sebilah parang, melampaui keraguan munasabah. Oleh itu, adalah tidak selamat untuk Mahkamah mensabitkan tertuduh di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan sebagaimana pertuduhan.
77
Seterusnya, Mahkamah mendapati bahawa wujud provokasi oleh mangsa SP3 dalam kes ini. Namun, provokasi tersebut tidak mencapai tahap “grave and sudden” bagi merendahkan kesalahan ke tahap Seksyen 334 Kanun Keseksaan.
78
Walau bagaimanapun, keterangan yang ada jelas menunjukkan bahawa tertuduh telah dengan sengaja dan tanpa alasan yang dibenarkan oleh undang-undang menyebabkan kecederaan terhadap mangsa. Berdasarkan keterangan saksi pendakwaan, ditambah pengakuan tertuduh sendiri, tertuduh sememangnya telah memukul mangsa menggunakan tangan, dan telah menyebabkan kecederaan kepada SP3 akibat pergelutan yang berlaku. Perbuatan ini merupakan suatu kesalahan voluntarily causing hurt yang boleh dihukum di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, dan Mahkamah berpuas hati bahawa semua elemen kesalahan di bawah seksyen ini telah dibuktikan melampaui keraguan munasabah.
79
Oleh itu, dengan mengguna pakai peruntukan Seksyen 169(2) Kanun Tatacara Jenayah, Mahkamah mendapati tertuduh bersalah dan mensabitkan tertuduh atas kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen 323 Kanun Keseksaan. G.
80
Seksyen 323 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda sehingga RM2,000.00, atau kedua-duanya.
81
Dalam menjatuhkan hukuman, Mahkamah merujuk kes PP v. Loo Choon Fatt [1976] 2 MLJ 256 yang mana Hashim Yeop A Sani J menyatakan: “The mitigation submitted by a convicted person will also normally bring up problems of family hardship and the other usual problems of living. In such a situation the courts might perhaps find it difficult to decide as to what sentence should be imposed so that the convicted person may not be further burdened with additional hardship. This in my view is a wrong approach. The correct approach is to strike a balance, as far as possible, between the interests of the public and the interests of the accused.”
82
Setelah mendengar rayuan pihak pembelaan dan hujah pemberatan pihak pendakwaan, Mahkamah membuat pertimbangan berdasarkan faktor-faktor berikut berikut: a. Tertuduh berusia 52 tahun, telah berkhidmat sebagai pemandu ambulans di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selama 26 tahun dan merupakan satu-satunya penyara keluarga. Tertuduh mempunyai tiga anak, dua daripadanya masih menuntut di universiti, manakala isteri tidak bekerja. b. Tertuduh telah digantung tugas daripada KKM sejak dituduh pada tahun 2022. Ini menunjukkan kesan langsung akibat pertuduhan tersebut. c. Tertuduh menyatakan keinsafan, kesal atas perbuatannya dan berjanji untuk tidak mengulangi kesalahan yang sama. Tertuduh juga bersedia untuk lebih bertanggungjawab dan tidak akan terpengaruh dengan sebarang provokasi di masa hadapan. d. Ini adalah kesalahan pertama tertuduh dan tiada rekod lampau jenayah. e. Kesalahan ini melibatkan kecederaan terhadap mangsa, yang menunjukkan unsur keganasan. Namun, Mahkamah juga mendapati bahawa kejadian berlaku dalam konteks provokasi antara tertuduh dan mangsa. f. Mahkamah turut mengambil kira jenis kecederaan yang dialami oleh mangsa iaitu luka lelasan superfisial pada bahagian belakang kanan badan, lebam di lengan kiri dan luka koyakan superficial di ibu jari kanan. Berdasarkan keterangan pegawai perubatan SP7 juga, mangsa tidak mengalami luka yang dalam atau kepatahan tulang dan mangsa telah dibenarkan discaj pada hari yang sama. g. Mahkamah juga mengambil kira hujahan pihak pendakwaan untuk mengutamakan kepentingan awam berbanding kepentingan peribadi tertuduh. Pendakwaan memohon hukuman penjara yang berat kerana kes perbicaraan penuh telah dijalankan serta kejadian juga menjejaskan emosi mangsa dan keluarga. h. Mahkamah turut mengambil kira pengakuan tertuduh bahawa beliau sememangnya ada memukul mangsa menggunakan tangan, sebagaimana yang dinyatakan semasa memberi keterangan di hadapan Mahkamah. Pengakuan tersebut menunjukkan bahawa tertuduh tidak berniat untuk menghabiskan masa dan kos Mahkamah serta semua pihak dengan memilih untuk dibicarakan, sebaliknya perbicaraan ini adalah bagi menafikan pertuduhan di bawah seksyen 324 Kanun Keseksaan yang melibatkan penggunaan senjata berbahaya.
83
Setelah menimbang semua faktor yang dinyatakan di atas, Mahkamah memutuskan bahawa tertuduh dijatuhkan hukuman denda RM2,000.00 atau penjara selama 6 bulan sekiranya gagal membayar denda.
84
Mahkamah berpandangan bahawa hukuman denda maksimum ini adalah lebih wajar dan seimbang berbanding hukuman pemenjaraan, mengambil kira semua faktor pertimbangan yang dinyatakan di atas. Hukuman yang dijatuhkan tersebut juga adalah memadai untuk menegakkan kepentingan awam serta dapat memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat umum. BERTARIKH PADA 29 DISEMBER 2025 Disediakan oleh .................................................................... NORYUSRIZA BINTI ZULKIFLI MAJISTRET MAHKAMAH MAJISTRET KUALA BERANG Kaunsel Bagi pihak pendakwaan Nur Atifah binti Manaf Timbalan Pendakwa Raya Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Terengganu Tingkat 14, Wisma Darul Iman 20200 Kuala Terengganu Terengganu Darul Iman Bagi pihak Tertuduh Tetuan Hasif Kumar & Co. Peguambela & Peguamcara Lot 1546 A3, Kampung Kasa 17000 Pasir Mas
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.