Mahkamah ini juga berkesempatan untuk merujuk kepada Penyata Parlimen (Hansard), iaitu Rang Undang-Undang Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak, bacaan kali kedua dan ketiga di Dewan Rakyat pada 3.4.2017, yang mana Menteri yang bertanggungjawab, YB Dato’ Sri Azalina Othman Said (pada masa itu) menyatakan antara lain semasa membentangkan rang undang-undang tersebut seperti berikut: “Pada saat kita sedang membahaskan rang undang-undang ini, jenayah sebegini masih sedang berlaku di luar sana dan kanak-kanak yang tidak bersalah, tidak berdosa, tidak mampu mempertahankan diri terus menjadi mangsa kepada individu- individu yang terkutuk dan tidak berperikemanusiaan di luar sana. Mereka masih sedang bermaharajalela. Berdasarkan statistik daripada Polis Diraja Malaysia, sejak tahun 2014 hingga tahun 2016 sahaja sebanyak 7,862 kanak-kanak menjadi mangsa kepada kes jenayah seksual. Sebanyak 813 mangsa daripadanya adalah golongan anak-anak yang berumur antara 16 hingga 18 tahun. Manakala sebanyak 1,079 mangsa daripadanya adalah golongan kanak-kanak yang berumur antara 13 hingga 15 tahun. Pada masa yang sama, telah dilaporkan sebanyak 4,342 kes kesalahan rogol dan sebanyak 2,194 kesalahan mencabul kehormatan. Secara puratanya boleh dikatakan hampir enam hingga tujuh kes penderaan seksual kanak-kanak berlaku pada setiap hari. Ini adalah berdasarkan kepada kes-kes yang telah dilaporkan sahaja, bagaimana pula kes-kes yang tidak dilaporkan? Kerap kali jenayah seksual terhadap kanak-kanak tidak dilaporkan. Ramai mangsa kanak-kanak tidak memberitahu mengenai jenayah seksual yang dilakukan terhadapnya. Terutama apabila pemangsa adalah seorang yang dikenali atau anggota keluarganya atau yang mempunyai sesuatu status dalam komuniti. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan mangsa memilih untuk berdiam diri dan menyimpan rahsia mengenai jenayah seksual terhadap mereka selama bertahun-tahun dan di antaranya adalah kerana mereka berasa malu, takut, menyalahkan diri sendiri, melindungi seseorang dan sebagainya. Isu berhubung dengan jenayah seksual yang dilakukan terhadap kanak-kanak... Secara amnya Rang Undang-Undang Jenayah Seksual Kanak-Kanak ini bertujuan untuk mengadakan peruntukan mengenai kesalahan-kesalahan seksual terhadap kanak-kanak yang tertentu dan hukumannya sebagai tambahan kepada kesalahan-kesalahan seksual terhadap kanak-kanak yang lain dan berhubung dengannya untuk mengadakan peruntukan mengenai pentadbiran keadilan bagi kanak-kanak dan perkara yang berkaitan. Skop akta baharu tersebut adalah secara amnya mengandungi peruntukan yang lebih spesifik dan memperincikan lagi kesalahan yang terdapat dalam undang-undang sedia ada berhubung dengan kesalahan seksual yang dilakukan terhadap kanak-kanak.”.