i
(i) the defendant must have entered an appearance;
/akn/my/judgment/high-court/2026/870b8409-1fa4-429c-b130-95194d95c961
High Court of Malaysia21 Apr 2026WA-22M-1515-08/2025
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“23. Mahkamah Tinggi di dalam kes Sunsets Fortune Sdn Bhd v Special Coral Sdn Bhd [2021] MLJU 2544, dengan memetik penghakiman Mahkamah Agung di dalam kes Bank Negara Malaysia v Mohd Ismail & Ors [1992] 1 MLJ 400, menerangkan bahawa Mahkamah perlu menentukan daripada keterangan afidavit yang dikem”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Text
WA-22M-1515-08/2025 Kand. 73 13/07/2026 14:25:25 DI DALAM MAHKAMAH TINGGI DI KUALA LUMPUR DALAM NEGERI WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR (BAHAGIAN DAGANG) GUAMAN NO. KES: WA-22M-1515-08/2025 ANTARA ZIKAY FACTORING SDN BHD (NO. SYARIKAT:199301025521 (280259-H)) ...PLAINTIF DAN
section
1. WD FOOD GROUP SDN BHD (NO. SYARIKAT:202101018561(1418861-M))
section
2. MOHAMAD HANIF BIN OMAR (NO. K/P:950612-03-5861)
section
3. MAWAR SHERRYZAD BINTI RAFEAT (NO. K/P: 910415-10-6206)
section
4. KOP LOGISTIC & DISTRIBUTION SDN BHD (NO. SYARIKAT: 199101004032 (214342-M)) ... DEFENDAN-DEFENDAN ALASAN PENGHAKIMAN (KANDUNGAN 11 - NOTIS PERMOHONAN PLAINTIF UNTUK MENDAPAT PENGHAKIMAN TERUS TERHADAP DEFENDAN KE-2 HINGGA DEFENDAN KE-4) LATAR BELAKANG
section
1. Plaintif ialah sebuah syarikat yang menjalankan perniagaan memberi perkhidmatan kemudahan pembaiyaan pemfaktoran atas prinsip Islamik. Plaintif telah memberikan kemudahan pemfaktoran Islamik kepada Defendan Pertama, WD Food Group Sdn Bhd, di mana Defendan Kedua dan Defendan Ketiga bertindak sebagai penjamin kepada kemudahan yang diberikan oleh Plaintif kepada Defendan Pertama. Defendan Pertama memfaktorkan hasil kontrak dengan Defendan Keempat kepada Plaintif. Atas kemungkiran Defendan Pertama membuat bayaran balik, Plaintif telah memulakan tindakan terhadap Defendan-Defendan. Tuntutan Plaintif ke atas Defendan Pertama telahditarik balik berikutan penggulungan syarikat Defendan Pertama. Defendan Pertama hingga Defendan Keempat secara kolektif akan dirujuk sebagai “Defendan-Defendan” di dalam Penghakiman ini.
section
2. Melalui Notis Permohonan di Kandungan 11, Plaintif memohon kepada Mahkamah ini untuk memasukkan penghakiman terus ke atas Defendan Kedua hingga Defendan Keempat. Pohonan (prayers) yang diminta oleh Plaintif adalah seperti berikut: a) Bahawa Plaintif diberi kebenaran dan kebebasan untuk memasukkan penghakiman terus terhadap Defendan Kedua dan Defendan Ketiga selaku penjamin persendirian/perseorangan kepada Defendan Pertama iaitu WD Food Group Sdn Bhd secara bersesama dan/atau berasingan untuk jumlah tuntutan sebagaimana di dalam Writ Saman dan Penyataan Tuntutan kedua-duanya bertarikh 08.08.2025 berjumlah sebanyak RM6,676,467.60 (Ringgit Malaysia Enam Juta Enam Ratus Tujuh Puluh Enam Ribu Empat Ratus Enam Tujuh dan Sen Enam Puluh) sahaja beserta caj lewat yang dikira pada kadar 8% setahun ke atas jumlah yang terhutang dari 10.12.2024 hingga penyelesaian penuh dan muktamad; b) Bahawa Plaintif diberi kebenaran dan kebebasan untuk memasukkan penghakiman terus terhadap Defendan Keempat untuk jumlah sebagaimana di dalam Writ Saman dan Penyataan Tuntutan keduaduanya bertarikh 08.08.2025 berjumlah sebanyak RM6,676,467.60 (Ringgit Malaysia Enam Juta Enam Ratus Tujuh Puluh Enam Ribu Empat Ratus Enam Puluh Tujuh dan Sen Enam Puluh) sahaja beserta caj lewat yang dikira pada kadar 8% setahun ke atas jumlah yang terhutang dari 10.12.2024 hingga penyelesaian penuh dan muktamad; c) Faedah pada kadar 5% setahun ke atas jumlah keseluruhan RM6,676,467.60 bermula dari tarikh penghakiman sehingga ke tarikh penyelesaian penuh dan muktamad; d) Kos tindakan dan permohonan ini; dan e) Lain-lain perintah yang difikirkan adil dan suaimanfaat oleh Mahkamah Yang Mulia ini.
section
3. Pada 21.04.2026, Mahkamah ini telah membenarkan Kandungan 11 seperti dipohon ("keputusan tersebut"). Asalnya hanya Defendan Ketiga merayu ke Mahkamah Rayuan Malaysia terhadap keputusan tersebut. Saya telah menyiapkan Alasan Penghakiman berkait dengan rayuan Defendan Ketiga. Sekonyong-konyongnya, pada 16.06.2026, hampir dua (2) bulan selepas penghakiman terus dibenarkan, Defendan Keempat pula memfailkan Notis Rayuan.
section
4. Penghakiman ini akan membincangkan alasan kenapa Mahkamah memasukkan penghakiman terus terhadap Defendan Keempat. PERSEKITARAN FAKTA
section
5. Melalui Surat Setuju Terima (eks. P-2 Kandungan 12) bertarikh 31.01.2024, Defendan Keempat telah melantik Defendan Pertama sebagai pembekal utama catuan bahan makanan mentah dan kering di bawah kontrak yang dikenali sebagai "Kontrak Perkhidmatan Pembekalan Bahan Mentah dan Kering Bagi Tempoh 24 Bulan" ("kontrak tersebut") pada harga sebanyak RM3,989,439.60 dan RM3,782,690.00 masing-masingnya yang merupakan harga kontrak bulanan bagi tempoh selama dua puluh empat (24) bulan bermula pada 01.06.2024 dengan terma tempoh pembayaran kepada Defendan Pertama dalam masa empat puluh lima (45) hari.
section
6. Berdasarkan kontrak tersebut, Defendan Pertama telah membekalkan barangan kepada Defendan Keempat. Wakil Defendan Keempat telah mengakui penerimaan penghantaran barangan bahan mentah dan kering daripada Defendan Pertama dengan menurunkan tandatangan di atas Pesanan Penghantaran No. DO-0001, DO-0002 dan DO-01155 (eks. P-3 Kandungan 12). Seterusnya, Defendan Keempat telah mengeluarkan tiga keping (3) inbois masing-masingnya bernombor siri KOPLDP02024-12, KOPLDP02024-13 dan KOPLDP02024-14 yang keseluruhannya berjumlah RM7,826,467.60 (eks. P-4 Kandungan 12).
section
7. Di atas permohonan dan permintaan Defendan Pertama, Plaintif bersetuju untuk menawarkan kepada Defendan Pertama kemudahan pemfaktoran Islamik di bawah prinsip Tawarruq dan Hawalah melalui Surat Tawaran bertarikh 27.05.2024. Lanjutan daripada Surat Tawaran tersebut, Plaintif dan Defendan Pertama telah memasuki satu Perjanjian Kemudahan Pemfaktoran bertarikh 28.05.2024 di mana Defendan Pertama memindahkan kesemua hutang yang perlu dibayar oleh penghutangnya kepada Plaintif dan Plaintif menerima pemindahan hutang tersebut. Defendan Keempat telah dimaklumkan berkait dengan Perjanjian Kemudahan Pemfaktoran yang dimasuki di antara Plaintif dan Defendan Pertama (lihat Surat Tawaran dan Perjanjian Kemudahan Pemfaktoran di eks. P-5 Kandungan 12).
section
8. Bagi menjamin pembayaran di bawah Perjanjian Kemudahan Pemfaktoran tersebut, Defendan Kedua dan Defendan Ketiga telah bersetuju secara bersesama dan berasingan memberi jaminan persendirian/perseorangan kepada Plaintif melalui Surat Jaminan (Letter of Guarantee) Al-Kafalah bertarikh 28.05.2024 (eks. P-6 Kandungan 12) ("Surat Jaminan tersebut") dengan akujanji untuk membayar dan mengindemniti apa-apa jumlah terhutang dan terakru yang perlu dibayar kepada Plaintif sebagai penghutang prinsipal (utama) sekiranya Defendan Pertama gagal, enggan dan/atau cuai untuk melaksanakan obligasi kontraktual di bawah Perjanjian Kemudahan Pemfaktoran tersebut. Defendan Kedua dan Defendan Ketiga juga telah menandatangani Surat Akuan bertarikh 11.06.2024 di mana mereka mengakui dan mengesahkan pengetahuan penuh berkenaan fasiliti pemfaktoran yang dimasuki antara Plaintif dan Defendan Pertama (lihat eks. P-6 Kandungan 12 berkait Surat Jaminan dan Surat Akuan yang disempurnakan oleh Defendan Kedua dan Defendan Ketiga).
section
9. Melalui satu Notis Pemberitahuan Mengenai Pemfaktoran bertarikh 04.06.2024 Defendan Keempat telah dimaklumkan bahawa satu perjanjian pemfaktoran telah dimasuki di antara Plaintif dan Defendan Pertama di mana segala bayaran bagi inbois-inbois yang dikeluarkan oleh Defendan Pertama hendaklah dibayar secara terus kepada Plaintif sebagaimana cop yang diturunkan pada setiap Pesanan Penghantaran dan inbios yang menyatakan bahawa harga barangan di dalam dokumen dokumen tersebut telah dijual dan dipindahmilik kepada Plaintif dan Defendan Keempat telah mengakui penerimaan (lihat eks. P-7 Kandungan 12).
section
10. Plaintif telah membuat bayaran kepada Defendan Pertama untuk tiga (3) inbois yang dikeluarkan oleh Defendan Pertama kepada Defendan Keempat bersabit kontrak di antara Defendan Pertama dan Defendan Keempat menerusi dua (2) pembayaran berjumlah RM2,958,980.76 dan RM3,111,248.95 masing-masingnya dibuat pada 07.06.2024 dan 20.08.2024 (lihat eks. P-8 Kandungan 12).
section
11. Walaupun Defendan Keempat diberi notis oleh Defendan Pertama untuk membuat pembayaran kepada Plaintif, Defendan Keempat gagal membuat bayaran kepada Plaintif. Plaintif telah mengeluarkan Surat Peringatan bertarikh 12.09.2024 kepada Defendan Pertama serta salinannya dipanjangkan kepada Defendan Keempat meminta pembayaran dibuat di dalam masa yang ditetapkan, dan jika gagal Plaintif akan menguatkuasakan hak-hak di bawah kontrak (lihat eks. P-9 Kandungan 12).
section
12. Berikutan dengan Surat Peringatan yang dikeluarkan oleh Plaintif, Defendan Keempat menghantar Surat Komitmen bertarikh 21.09.2024 (eks. P-10 Kandungan 12) kepada Plaintif memohon tempoh daripada Plaintif untuk menjelaskan bayaran. Defendan Keempat telah membuat cadangan pembayaran berkala yang boleh diringkaskan seperti Jadual berikut: NO.NO. INBOISJUMLAH BAYARAN (RM)TARIKH BAYARAN1.IV-00001601,572.6025.09.20241,000,000.0026.09.20242.IV-000021,213,500.0027.09.20241,000,000.0030.09.20243.IV-000681,000,000.0030.09.2024600,000.0002.10.20241,000,000.0003.10.20241,011,395.0004.10.2024400,000.0005.10.2024JUMLAH KESELURUHAN (RM)7,826,467.60
section
13. Namun begitu, tidak seperti yang dijanjikan, Defendan Keempat sekadar membayar sejumlah RM1,150,000.00 melalui tiga (3) bayaran, iaitu RM500,000.00 pada 08.10.2024, RM500,000.00 pada 01.11.2024 dan RM150,000.00 pada 09.12.2024, meninggalkan baki sebanyak RM6,676,467.60 yang masih tertunggak.
section
14. Plaintif melalui peguamcaranya telah menghantar Notis Tuntutan bertarikh 31.12.2024 kepada Defendan-Defendan menuntut bayaran berjumlah RM6,676,467.60 (lihat eks. P-13 Kandungan 12). Lantaran tiada bayaran diterima, tindakan ini difailkan terhadap Defendan-Defendan. PEMBELAAN DAN PENGATAAN DEFENDAN KEEMPAT DALAM MENENTANG KANDUNGAN 11
section
15. Afidavit Jawapan Defendan Keempat di dalam menentang Kandungan 11 terdapat di Kandungan 16. Defendan Keempat mendakwa Surat Setuju Terima bertarikh 31.01.2024 di antara Defendan Keempat dan Defendan Pertama ditandatangani oleh bekas Pengurus Besar Defendan Keempat seorang, Ahmad Fazreen bin Kamarudin, tanpa persetujuan dan kelulusan Lembaga Pengarah Defendan Keempat. Penama tersebut telah dipecat daripada jawatan dan beberapa laporan polis dibuat terhadapnya.
section
16. Defendan Keempat mempertikaikan pesanan belian (Purchase Order/PO) yang dikeluarkan berkait kontrak antara Defendan Pertama dan Defendan Keempat yang dikatakan dimasuki tanpa kuasa yang sah oleh Lembaga Pengarah Defendan Keempat. Pesanan penghantaran (delivery order/DO) yang diterima daripada Defendan Pertama juga dipertikaikan kerana ditandatangani oleh Ahmad Fazreen bin Kamarudin yang bukan pegawai sepatutnya. Penghantaran sebenar barangan juga dipertikaikan atas alasan bahawa tempat penghantaran merupakan bilik pejabat yang tidak boleh menampung jumlah barangan yang banyak.
section
17. Selanjutnya, Defendan Keempat juga mengatakan Notis Pemberitahuan Pemfaktoran adalah cacat atas alasan ianya tidak lengkap dan mengandungi butiran matan yang salah. Surat komitmen yang kononnya dikeluarkan oleh Defendan Keempat bagi meminta tempoh pembayaran juga dikatakan tidak sah kerana dibuat tanpa kelulusan Lembaga Pengarah Defendan Keempat. AFIDAVIT BALASAN PLAINTIF MENJAWAB PENGATAAN DEFENDAN KEEMPAT
section
18. Bagi membalas afidavit penentangan Defendan Keempat, Plaintiff menerusi Kandungan 20 mengatakan bahawa Plaintiff tiada kaitan dengan urusan dalaman syarikat Defendan Keempat dan Ahmad Fazreen bin Kamarudin telah menunjukkan kepada Plaintiff bahawa beliau mempunyai kuasa yang jelas untuk bertindak bagi pihak Defendan Keempat. Sepanjang transaksi berlangsung, Plaintiff tidak pernah dimaklumkan mengenai pertikaian kuasa Ahmad Fazreen bin Kamarudin untuk bertindak bagi pihak Defendan Keempat. Laporan polis di eks. D-1A Afidavit Jawapan Defendan Keempat yang dikemukakan oleh Defendan Keempat tidak melibatkan perjanjian pemfaktoran yang dimasuki dengan Plaintiff tetapi untuk kontrak lain. PRINSIP TERPAKAI DI DALAM PERMOHONAN PENGHAKIMAN TERUS
section
19. Aturan 14 kaedah 1 dan Aturan 14 kaedah 4 Kaedah-Kaedah Mahkamah (KKM) 2012 memperuntukkan seperti berikut: Permohonan oleh Plaintif untuk Penghakiman Terus (A.14, k.1)
subsection
(1) Jika dalam suatu tindakan yang baginya kaedah ini terpakai suatu pernyataan tuntutan telah disampaikan kepada defendan dan defendan itu telah memasukkan kehadiran dalam tindakan itu, plaintif boleh, atas alas an bahawa defendan tidak mempunyai pembelaan kepada suatu tuntutan yang termasuk dalam writ, atau kepada suatu bahagian tertentu suatu tuntutan itu, atau tidak mempunyai pembelaan mengenai suatu tuntutan itu atau sebahagian daripadanya kecuali tentang amaun apa-apa ganti rugi yang dituntut, memohon kepada Mahkamah untuk penghakiman terhadap defendan itu. Kebenaran untuk Membela (A.14,k.4)
subsection
(1) Defendan boleh menunjukkan sebab menentang suatu permohonan di bawah kaedah 1 melalui afidavit atau selainnya hingga memuaskan hati Mahkamah.
section
20. Falsafah di bawah Aturan 14 KKM ialah untuk menyelesaikan dengan pantas tuntutan Plaintif ke atas Defendan berkait tuntutan jumlah wang tertentu tanpa perlu melalui suatu perbicaraan, di mana Defendan jelas tidak mempunyai pembelaan. Halsbury's Laws of Malaysia, vol. 1, Civil Procedure, di muka surat 62 menyatakan seperti berikut: The underlying philosophy of the Order 14 procedure is to prevent the Plaintiff clearly entitled to his money from being delayed in obtaining his judgment where there is no fairly arguable defence to the claim and the procedure enables the Plaintiff to obtain a final judgment without a trial.
section
21. Di dalam kes John Wallingford v. The Directors & C of The Mutual Society [1880] 5 AC 685 (HL) di muka surat 699-700, Lord Haltherley merujuk prinsip penghakiman terus seperti berikut: "...I apprehend that from the first objects of these short methods of procedure has been to prevent unreasonable delay, a delay which was very prejudicial to the creditors, and never, I am afraid, or rather, I am pleased to say, can have been very beneficial to the debtor himself. Simply allowing legal proceedings to take place, in order that delay may be applied to the administration of justice as much as possible, is not an end or which we can conceive the Legislature to have framed the provisions which now exist under the several Judicature Acts. If a man really has no defence, it is better for him as well as his creditors, and for all the parties concerned, that the matter should be brought to an issue as speedily as possible; and therefore there was a power given in cases in which plaintiffs might think they were entitled to use the power by which, if it was a matter of account, an account might be immediately obtained upon the filing of a bill, or, if it was a matter in which the debt was clear and distinct, and in which nothing was needed to be said or done to satisfy a Judge that there was no real defence to the action, recourse might be hard to an immediate judgment and to an immediate execution."
section
22. Kes National Company for Foreign Trade v Kayu Raya Sdn Bhd [1984] 2 MLJ 300 sering dirujuk sebagai duluan undangundang mengenai prinsip-prinsip yang mengawal permohonan penghakiman terus. Mahkamah Persekutuan melalui penghakiman George Seah HMP, memperjelaskan seperti berikut: "...We think it appropriate to remind ourselves once again that in every application under Order 14, the first considerations are (1) whether the case comes within the Order and (b) whether the plaintiff has satisfied the preliminary requirements for proceeding under Order 14. For the purposes of an application under Order 14 the preliminary requirements are:
i
(i) the defendant must have entered an appearance;
subparagraph
(ii) the statement of claim must have been served on the defendant; and
subparagraph
(iii) the affidavit in support of the application must comply with the requirements of Rule 2 of the Order 14... ...If the plaintiff fails to satisfy either of these considerations, the summons may be dismissed. If however, these considerations are satisfied, the plaintiff will have established a prima facie case and he becomes entitled to judgment. The burden then shifts to the defendant to satisfy the Court why judgment should not be given against him."
section
23. Mahkamah Tinggi di dalam kes Sunsets Fortune Sdn Bhd v Special Coral Sdn Bhd [2021] MLJU 2544, dengan memetik penghakiman Mahkamah Agung di dalam kes Bank Negara Malaysia v Mohd Ismail & Ors [1992] 1 MLJ 400, menerangkan bahawa Mahkamah perlu menentukan daripada keterangan afidavit yang dikemukakan Defendan tidak mempunyai pembelaan bona fide dan jika Mahkamah berpendapat sedemikian, Plaintif berhak mendapat penghakiman terus terhadap Defendan. Sebaliknya, jika Defendan berjaya menunjukkan terdapat pertelingkahan fakta material yang serius atau sebab lain yang mewajarkan suatu siasatan dibuat, kebenaran membela harus diberikan kepada Defendan. Amarjeet Singh Serjit Singh PK (sebagaimana ketika itu) (sekarang HMR) memutuskan seperti berikut: "[16] The governing principle concerning summary judgment is stated by the Supreme Court in Bank Negara Malaysia v Mohd Ismail & Ors [1992] 1 MLJ 400 as follows: ...the Plaintiff has to satisfy the court that the Defendant plainly and obviously has no defence to the plaintiff's claim or part of the plaintiff's claim. If the plaintiff is able to satisfy the court, then summary judgment should be entered in the plaintiff's favour. On the other hand, if the defendant can show that there is a serious conflict of material facts as disclosed in the opposing affidavits, or there is otherwise a triable issue worthy of judicial investigation in the trial of the action, or there is an important and difficult point of law requiring further and mature consideration at the trial, summary judgment should be refused. [18] The burden on the defendant is simply to raise a triable issue and it is settled law that a single triable issue is sufficient to warrant dismissing an application for summary judgment (South East Asia Insurance Bhd v Kerajaan Malaysia [1998] 1 CLJ 1045). In determining whether an issue is or is not triable the following often-quoted passage in the Bank Negara Malaysia case is instructive: ...the duty of a Judge does not end as soon as a fact is asserted by one party, and denied or disputed by the other on affidavit. Where such assertion, denial or dispute is equivocal, or lacking in precision or is inconsistent with undisputed contemporary documents or other statements by the same deponent or is inherently improbable in itself, then the Judge has a duty to reject such assertion or denial, thereby rendering the issue as not triable. ...apart from identifying the issues of fact or law, the Court must go one step further and determine whether they are triable. This principle is sometimes expressed by the statement that a complete defence need not be shown. The defence set up need only show that there is a triable issue."
section
24. Di dalam kes Pustaka Yakin Pelajar Sdn Bhd v Penerbitan Inspirasi Sdn Bhd [2021] 10 MLJ 79, Mahkamah Tinggi memutuskan sama ada terdapat isu yang perlu dibicarakan bergantung kepada fakta dan undang-undang yang berbangkit daripada kes yang diplidkan oleh pihak-pihak yang bertikai seperti mana yang didedahkan melalui keterangan afidavit yang berada di hadapan Mahkamah. Mohd Radzi Harun H (sekarang HMR) berkata: [8] To determine whether or not there exist a triable issue, this court would only need satisfied that there are inherently probable disputes and denials which would thus render the issue triable. This was the principle laid down by the then Supreme Court in Bank Negara Malaysia v Mohd Ismail & Ors [1992] 1 MLJ 400; ; [1992] 2 CLJ Rep 186; ; [1992] 1 CLJ 653 where it was held: In an application under O 14, the court has to be satisfied on affidavit evidence that the defence has not only raised an issue, but also that the said issue is triable. The determination of whether an issue is or is not triable depends on the facts or the law arising from each case as disclosed in the affidavit evidence before the court. A complete defence need not be shown. The defence set up need only show that there is a triable issue."
section
25. Ringkasnya, di dalam permohonan penghakiman terus, Plaintif perlu memenuhi keperluan awalan untuk penghakiman terus termasuk mengemukakan fakta yang menjadi asas kepada tuntutan Plaintif terhadap Defendan. Beban adalah terletak pada bahu Plaintif untuk mengemukakan fakta tersebut menerusi afidavit sokongan. Kendatipun di peringkat ini Plaintif tidak dikehendaki membuktikan fakta yang menjadi asas tuntutannya, namun Plaintif dikehendaki menunjukkan fakta material yang secara prima facie menyokong kausa tindakan Plaintif supaya wujud keadaan yang membolehkan penghakiman diberikan kepada Plaintif. Jika ini dicapai, maka beban berpindah kepada Defendan untuk menunjukkan sebab-sebab penghakiman tidak sepatutnya diberikan. Dalam hal ini, Defendan dikehendaki menunjukkan bahawa terdapat isu atau persoalan yang dipertikaikan yang patut dibicarakan atau kerana sesuatu sebab yang lain, perbicaraan patut diadakan mengenai tuntutan Plaintif terhadap Defendan. ANALISA DAN DAPATAN MAHKAMAH
section
26. Mengenai pembelaan dan pengataan Defendan Keempat di dalam afidavit jawapannya, yakni Ahmad Fazreen bin Kamarudin bertindak tanpa kuasa yang sah dan tidak mengikat Defendan Keempat berkait urusan transaksi pemfaktoran dan pemberian kontrak pembekalan daripada Defendan Keempat kepada Defendan Pertama, saya mendapati prinsip indoor management rule sebagaimana yang dikenal sebagai Turquand Rule terpakai. Prinsip indoor management rule dijelas dalam banyak undang-undang kes. Prinsip tersebut berasal daripada kes Royal British Bank v Turquand (1856) 6 E&B 327 telah diterima oleh Mahkamah Malaysia, antara lain, Mahkamah Agung di dalam kes Hew Sook Ying v Hiw Tin Hee [1992] 2 MLJ 189 dan Mahkamah Rayuan di dalam kes Ezzen Heights Sdn Bhd v Ikhlas Abadi Sdn Bhd (Soh Yuh Mian, intervener) [2011] 4 MLJ 173).
section
27. Mahkamah Persekutuan dalam kes Pekan Nenas Industries Sdn Bhd v. Chang Ching Chuen & Ors [1998] 1 MLJ 465 menjelaskan prinsip Turquand rule seperti berikut: "...the rule in Royal British Bank v Turquand (1856) 119 ER 886; (1843-60) All ER Rep 435 which protects outsiders dealing with a company who do not need to enquire into the regularity of the internal affairs and proceedings of the company and may presume that all is being done regularly..."
section
28. Jeffrey Tan, H (kemudian HMP), di dalam kes Mahfuz bin Hashim v Koperasi Pekebun Kecil Daerah Segamat [2005] 3 MLJ 726, memetik buku teks Company Law oleh pengarang Walter Woon, membuat pemerhatian berikut mengenai prinsip tersebut: "[19] Company Law by Waiter Woon (2nd Ed) at pp 89-90, verbalised the rule in Turquand's case as follows: "...The rule in Turquand's case is a presumption of regularity. In other words, a person who deals with a company is entitled to assume that all procedural matters have been taken care of by the company. There is a good practical reason for this: an outsider cannot discover whether the company's internal procedures have been complied with. If a company could get out of a transaction by pleading noncompliance with its internal procedures, commercial certainty would be thrown out of the window." [20] In short, the rule in Turquand's case provides protection to persons dealing with a company in good faith...”
section
29. Defendan Pertama melalui Notis Pemberitahuan bertarikh 04.06.2024 telah memaklumkan kepada Defendan Keempat berkenaan dengan Perjanjian Pemfaktoran yang dimasuki dengan Plaintif, melibatkan pemindahan hutang Defendan Pertama kepada Plaintif. Wakil Defendan Keempat telah mengakui dan bersetuju untuk membuat bayaran terus kepada Plaintif. Apa yang berlaku diantara Defendan Pertama dan Defendan Keempat semuanya kelihatan mengikut prosedur. Apa lagi, surat komitmen yang dikeluarkan oleh Defendan Keempat merupakan pengakuan hutang dan malahan pembayaran sebanyak RM1,150,000.00 dibuat telah kepada Plaintif susulan daripada pengakuan hutang tersebut. Afidavit penentangan Defendan Keempat langsung tidak menyentuh isu pembayaran yang dibuat itu. Jika bayaran yang dibuat tidak dipertikaikan adalah tidak munasabah untuk Defendan Keempat mendakwa Ahmad Fazreen bin Kamarudin tidak mempunyai kuasa untuk bertindak bagi pihak Defendan Keempat. Begitu juga, dakwaan Defendan Keempat bahawa mustahil barangan pukal dihantar ke pejabat tidak boleh terima lantaran pembayaran sebahagian dibuat. Defendan Keempat tidak boleh melepas diri dengan mendakwa tiada pengetahuan bersabit transaksi yang berlaku setelah dituntut untuk membuat bayaran.
section
30. Saya mendapati tiada isu yang perlu dibicarakan berjaya dibangkitkan oleh Defendan Keempat. Defendan Keempat juga gagal menunjukkan sebab lain yang mewajarkan suatu perbicaraan diadakan. Dengan itu, saya memutuskan Defendan Keempat tidak mempunyai pembelaan ke atas tuntutan Plaintif. KESIMPULAN DAN KEPUTUSAN
section
31. Berdasarkan alasan-alasan yang dicerakin di perenggan-perenggan di atas, adalah menjadi dapatan Mahkamah ini bahawa Defendan Keempat secara tuntasnya tidak mempunyai pembelaan kepada tuntutan. Plaintif. Pembelaan yang cuba dibangkitkan oleh Defendan Keempat tidak selari dengan kandungan dokumen semasa (contemporaneous documents) yang dikemukakan sebagai eksibit. Pengataan Defendan Keempat terjumlah kepada pengataan kosong yang bertentangan dengan dokumen semasa. Kandungan 11 dibenarkan terhadap Defendan Ke-4 seperti dipohon.
section
32. Setelah mendengar pihak-pihak, saya memutuskan kos sebanyak RM5,000.00 terhadap Defendan Keempat masing-masingnya tertakluk kepada alokatur, adalah munasabah dan mengawardkan jumlah tersebut sebagai kos permohonan dan tindakan ini. Bertarikh pada 13 Julai 2026 Peguam bagi pihak Plaintiff:Rafizal Ahamadin bersama (Nur Syamila Abu Bakar bersamanya) (Tetuan Shahrul & Rafizal)Peguam bagi pihakL L WoonDefendan Kedua:(Tetuan S L Goon & Partners)Peguam bagi pihakWan Mohamad AshrafDefendan Ketiga:(Tetuan Ashraf & Co)Peguam bagi pihakMuhammad Adam RogerDefendan Keempat:(Muhammad Syafiq Aiman bersamanya) (Tetuan Mazlan & Associates)
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.