peket plastik keemasan bertulisan GUANYINWANG (“GYW”); - Di dalam setiap peket itu pula mengandungi satu (1) bungkusan plastik lutsinar yang mengandungi ketulan kristal warna putih disyaki dadah jenis syabu; dan - satu (1) bungkusan plastik dibaluti pita pelekat yang mengandungi ketulan putih disyaki dadah jenis Heroin Base. [ 6 ] Barang kes disyaki dadah telah dihantar untuk dianalisa oleh Abd Rahim bin Ismail (“SP1”) Ahli Kimia dari Jabatan Kimia Malaysia. SP1 mengesahkan bahawa – a. 11 peket plastik berjenama GYW bertanda A1 hingga A11 di dalamnya terdapat 11 peket plastik lutsinar didapati mengandungi Methamphetamine dengan berat bersih 8265.7 gram; dan b. Satu peket plastik dibalut pita pelekat bertanda A12 mengandungi berat bersih 143.2gram Heroin dan 2.0 gram Monoacetylmorphines. ANALISA KES PENDAKWAAN [ 7 ] Di akhir kes pendakwaan, mahkamah perlu memutuskan sama ada pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Tertuduh. Dalam membuat keputusan ini, mahkamah hendaklah membuat penilaian maksima semua keterangan yang telah dikemukakan oleh pihak pendakwaan untuk membuktikan semua elemen pertuduhan. Lihat kes-kes PP v Mohd Radzi Abu Bakar [2005] 6 MLJ 393; Looi Kow Chai & Anor v. PP [2003] 2 MLJ 65; Balachandran v. PP [2005] 1 CLJ 85. [ 8 ] Elemen-elemen yang perlu dibuktikan bagi pertuduhan mengedar dadah dalam kes ini ialah – a. Dadah tersebut adalah sejenis dadah yang disenaraikan dalam Jadual Pertama ADB 1952; b. Tertuduh mempunyai jagaan, kawalan dan pengetahuan terhadap dadah tersebut (milikan mens rea); dan c. Tertuduh telah mengedar dadah tersebut. Elemen pertama – dadah adalah sejenis dadah yang disenaraikan dalam Jadual Pertama ADB 1952: [ 9 ] Elemen ini telah dibuktikan melalui keterangan lisan Ahli Kimia SP1, keterangan bertulisnya PSP1 serta laporan kimia P10 yang disediakannya. Analisa kimia yang dijalankan oleh SP1 mengesahkan jenis dadah adalah Methamphetamine dengan berat bersih 8,265.7 gram, Heroin dengan berat bersih 143.2 gram dan Monoacetylmorphines dengan berat bersih 2.0 gram. Tiada cabaran serius terhadap keterangan SP1 berkaitan hasil analisa yang dijalankannya. Mahkamah menerima hasil analisa dan keterangan SP1 selaras prinsip dalam kes Munusamy Vengadasalam v PP [1987] 1 CLJ 250 dan Tarmizi bin Yaacob dan satu lagi v PP [2006] 4 CLJ 472, [2006] 6 MLJ 197 (Mahkamah Rayuan). Elemen kedua – Tertuduh mempunyai jagaan, kawalan dan pengetahuan terhadap dadah tersebut (milikan mens rea) [ 10 ] Dadah dijumpai hasil pandu arah dari Tertuduh ke rumah yang disewa atas nama isterinya dan disimpan dalam kereta sewa (sambung bayar) juga atas nama isteri Tertuduh. Isteri Tertuduh Ezfah Syazrina binti Ismail (“SP9”) telah dipanggil sebagai saksi pendakwaan. Menurut SP9, dia yang menandatangani perjanjian sewaan rumah tempat kejadian dan sempat tinggal di sana selama lebih kurang enam (6) bulan sahaja. Bayaran sewa rumah dibuat oleh Tertuduh. [ 11 ] Selepas itu SP9 sekeluarga telah berpindah ke Puchong kerana anak-anaknya bersekolah di sana dan SP9 sendiri bekerja di Bandar Sri Puteri. SP9 telah menyerahkan kunci rumah di Ampang kepada Tertuduh dan tidak tahu siapa yang tinggal di situ. Semasa perjanjian ditandatangani, SP9 diserahkan satu (1) set kunci dan tidak ingat berapa kad akses. Satu (1) kad akses telah dirampas dari kereta Toyota yang dinaiki SP9 dan Tertuduh semasa ditahan. Sementara satu (1) lagi kad akses dijumpai di dalam kereta Honda yang diparkir di halaman rumah tempat kejadian. [ 12 ] Kereta Honda terbabit disambung bayar atas nama SP9 dan lazimnya digunakan oleh Tertuduh. Kunci kereta dipegang oleh Tertuduh. Bayaran ansuran kereta diberikan oleh Tertuduh untuk SP9 masukkan ke dalam akaun atas nama “Shahnawaz”. Setelah tinggal di Puchong, SP9 tidak tahu apa terjadi kepada kereta Honda tersebut. [ 13 ] Hakikat bahawa SP9 tidak tahu apa terjadi kepada rumah sewa dan kereta Honda setelah berpindah ke Puchong telah mengecualikan SP9 dari akses kepada rumah dan kereta Honda itu pada masa kejadian. Tiada juga cadangan dari pihak pembelaan akan penglibatan atau kaitan SP9 kepada dadah yang dijumpai di dalam boot kereta Honda tersebut. Kunci rumah dan kereta telah diserahkan oleh SP9 kepada Tertuduh. Justeru, hanya Tertuduh yang ada akses, jagaan dan kawalan ke atas rumah sewa dan kereta Honda pada masa material. [ 14 ] Bagi isu pengetahuan pula, mahkamah boleh membuat inferens pengetahuan dari tindakan Tertuduh yang relevan di bawah seksyen 8 Akta Keterangan 1950. Dalam kes PP v Badrulsham bin Baharom [1987] 1 LNS 72 telah dinyatakan oleh Yang Arif Lim Beng Choon – “…It is not wrong to say that the accused’s state of mind may be gathered from the evidence of what he did or failed to do or what he said on the occasion in question.” [ 15 ] Dalam kes ini terdapat keterangan SP10 dan pasukannya telah dipandu arah oleh Tertuduh ke rumah sewa tempat kejadian dan kereta Honda tempat dadah disimpan. Tanpa perlu menimbangkan ID33 pun, perbuatan Tertuduh memandu arah pihak polis dan menunjukkan tempat dadah disimpan adalah mencukupi di bawah seksyen 8 Akta Keterangan 1950 untuk menunjukkan pengetahuan Tertuduh tentang sifat kandungan guni berisi dadah tersebut. Sehubungan itu, elemen milikan mens rea juga telah dibuktikan. Elemen Ketiga – Tertuduh telah mengedar dadah tersebut [ 16 ] Setelah elemen milikan mens rea dibuktikan, berat dadah yang melebihi berat statutori telah menarik pemakaian anggapan mengedar dadah di bawah seksyen 37(da)(i), (iii) dan (xvi) ADB 1952. Lantas, elemen ketiga juga telah dibuktikan oleh pihak pendakwaan. ISU BERBANGKIT [ 17 ] Pihak pembelaan mencadangkan ada penama ‘Najmi’ yang tinggal di rumah sewa itu dan berada di sekitar kawasan tersebut semasa SP10 membuat pemeriksaan. SP10 menyatakan tiada entiti bernama ‘Najmi’ di tempat kejadian. Sementara pegawai penyiasat SP11 mengatakan penama Najmi tidak ujud dalam siasatannya dan hanya mendengar nama itu di mahkamah. Cadangan pihak pembelaan ini merupakan suatu fakta yang khusus dalam pengetahuan Tertuduh sendiri. Beban membuktikan keujudan penama Najmi terletak di bahu pembelaan menurut seksyen 106 Akta Keterangan 1950 atas imbangan kebarangkalian. [ 18 ] Mahkamah mendapati saksi-saksi pendakwaan yang terdiri dari pasukan polis, saksi awam dan Ahli Kimia memberi keterangan secara jujur dan professional, selaras kes Public Prosecutor V Mohamed Ali [1962] 1 MLJ 257. Mahkamah mendapati saksi-saksi pendakwaan adalah kredibel dan menerima keterangan mereka. KEPUTUSAN DI AKHIR KES PENDAKWAAN [ 19 ] Setelah meneliti keterangan saksi-saksi pendakwaan, kesemua ekshibit yang dikemukakan dalam kes ini, penghujahan yang telah disampaikan oleh kedua-dua pihak, menimbangkan kes ini secara keseluruhannya, dengan mengaplikasikan penilaian maksima terhadap kesemua keterangan yang dikemukakan, mahkamah memutuskan yang pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan –