Content
1 DALAM MAHKAMAH RAYUAN MALAYSIA DI PUTRAJAYA (BIDANG KUASA RAYUAN) RAYUAN JENAYAH NO. J-05(M)-270-07/2016 ANTARA ZULKIPLE BIN MOHAMAD … PERAYU DAN PENDAKWA RAYA … RESPONDEN (Dalam Mahkamah Tinggi Malaya di Muar, Johor Perbicaraan Jenayah No. 45B-04-07/2014 Antara Pendakwa Raya Melawan Zulkiple bin Mohamad) KUORUM: MOHD ZAWAWI BIN SALLEH, HMR (KINI HMP) ABDUL KARIM BIN ABDUL JALIL, HMR RHODZARIAH BINTI BUJANG, HMR 2 PENGHAKIMAN [1] Perayu telah dituduh dengan kesalahan membunuh seorang wanita, iaitu Law Pow Ling (si mati), yang boleh dihukum di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan. Dia telah didapati bersalah, disabitkan dan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Hakim Mahkamah Tinggi (Hakim bicara). Secara terperinci, butiran pertuduhan terhadap perayu adalah seperti mana yang berikut: “Bahawa kamu pada 22.11.2013 jam di antara 12.01 pagi hingga 8.30 pagi bertempat di Syarikat Perniagaan Choong, No 101, Jalan Jelawat, Taman Banang dalam daerah Batu Pahat, dalam Negeri Johor Darul Ta’zim, telah melakukan kesalahan bunuh hingga menyebabkan kematian Law Pow Ling (No KP: 390319-01-5252) dan oleh yang demikian kamu telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan”. [2] Terkilan dengan keputusan tersebut, perayu telah memfailkan rayuan ini. Setelah mendengar penghujahan semua pihak serta meneliti keterangan dalam rekod, kami telah memutuskan untuk menolak rayuan perayu dan mengekalkan dan mengesahkan keputusan Hakim bicara. Fakta Ringkas [3] Fakta kes telah dihuraikan dengan penuh ketelitian oleh Hakim bicara dalam alasan penghakimannya. Kecuali mengenai isu niat perayu, fakta lain yang diputuskan oleh Hakim bicara tidak dinafikan atau berjaya dicabar oleh perayu. 3 [4] Secara ringkas, pada pagi 22.11.2013, si mati, mendiang Law Pow Ling, seorang wanita berumur 74 tahun (ketika kejadian), telah ditemukan mati oleh dua orang anaknya iaitu Chong Yong Lieng (SP3) dan Chong Yong Kong (SP4) di sebuah rumah kedai bernama Syarikat Perniagaan Choong. Syarikat ini dimiliki oleh SP3 tetapi didiami oleh si mati bersendirian. Semasa dijumpai, SP3 dan SP4 mendapati si mati terbaring di atas katil (di dalam bilik) dengan kesan darah di kepala. Sebelum memasuki bilik tersebut, SP4 terlihat di luar bilik itu sebilah pisau (P11A(1)) dan sebatang kayu besbol (P10A) yang mempunyai kesan darah. [5] Susulan itu, jasad si mati telah dibawa ke hospital dan kemudiannya dibedah siasat oleh Dr. Mohamad Aznool Haidy bin Ahsorori (SP13). Hasil bedah siasat mendedahkan kematian si mati disebabkan oleh kecederaan berganda pada kepala akibat objek keras tumpul (multiple blunt trauma to the head). [6] Keterangan juga mendedahkan penglibatan perayu dengan kejadian di rumah kedai tersebut. Pihak polis telah merampas beg hitam jenama Body Glove (ekshibit P5), lampu suluh hitam (ekshibit P6), duit syiling RM1 (ekshibit P7) dan pengetip kuku Mickey Mouse (ekshibit P8) dari rumah Bahtera bin Mohamad (SP6) iaitu adik perayu. Kesemua ekshibit berkenaan disahkan oleh SP3 dan anaknya, SP5 (Chong Hui Chin) sebagai barangan dari kedai tersebut. Selanjutnya, Rabidin bin Mohd Zain (SP8), pakar cap jari, mengesahkan kesan cap jari yang ditemukan pada mesin kiraan wang adalah serupa dengan cap ibu jari kanan perayu. Selain itu, Aedrianee Reeza binti Alwi 4 (SP11), pegawai sains, mengesahkan DNA di sampel air mani yang diambil daripada cadar, dan kesan darah serta air mani pada seluar dalam si mati adalah sepadan dengan profil DNA perayu. Alasan Rayuan [7] Pihak perayu hanya mengemukakan satu alasan untuk menyokong rayuannya iaitu dia tidak mempunyai niat untuk menyebabkan kecederaan mahupun kematian terhadap mangsa, tetapi apa yang berlaku ialah perayu berasa cemas (panic) dan bertindak memukul mangsa dengan kayu besbol untuk mendiamkan si mati yang bertindak menjerit secara tiba-tiba apabila terlihat perayu. Dapatan Kami [8] Sebagai permulaan, kami berpendapat bahawa Hakim bicara telah membuat pertimbangan yang mendalam, tuntas dan betul apabila mendapati pihak pendakwaan telah berjaya membukti satu kes prima facie terhadap perayu. Hakim bicara telah dengan betul mendapati, melalui keterangan langsung dan ikut keadaan, bahawa kehendak seksyen 300 (c) Kanun Keseksaan telah dibuktikan iaitu: si mati telah meninggal dunia akibat bencana tubuh yang dialami; bencana tubuh tersebut telah dilakukan oleh perayu; dan bencana tubuh tersebut adalah cukup, pada lazimnya, untuk menyebabkan kematian sepertimana yang disahkan oleh SP13. Kami mendapati Hakim bicara telah menghayati kehendak seksyen 300 (c) dengan betul. 5 [9] Seksyen 300, Kanun Keseksaan memperuntukkan: “ Except in the cases hereinafter excepted, culpable homicide is murder:-