Malaysia legislation
Section 2
of AKTA PIHAK BERKUASA KEMAJUAN PEKEBUN KECIL PERUSAHAAN GETAH 1972
Seksyen 2
Dalam Akta ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain—
"Akta ini" termasuklah apa-apa perundangan subsidiari yang dibuat di bawah Akta ini;
“anggota” ertinya anggota Pihak Berkuasa dan termasuklah anggota silih ganti;
“ditetapkan”ertinya ditetapkan melalui peraturan-peraturan yang dibuat di bawah Akta ini;
"estet" ertinya mana-mana tanah yang jumlah keluasannya tidak kurang daripada 40 hektar yang dimasukkan dalam suatu Skim yang ditetapkan di bawah Bahagian VI dan yang berhubungan dengannya pemunya tanah itu berterusan menyertai Skim itu sepanjang tempohnya;
“getah”ertinya segala getah asli dalam bentuk cecair, pepejal atau adunan yang didapati daripada tumbuhan getah dan termasuklah segala elastomer yang didapati daripada getah asli;
“keluaran getah” ertinya apa-apa keluaran yang diperoleh secara langsung daripada tumbuhan getah, atau secara keseluruhannya atau sebahagiannya dibuat atau didapati daripada keluaran itu dan termasuklah lateks, bahan penanaman getah, kayu getah dan segala hasil pervulkanan dalam bentuk siap atau separa siap yang didapati secara keseluruhannya atau sebahagiannya daripada getah;
"Ketua Pengarah" ertinya Ketua Pengarah Pihak Berkuasa yang dilantik di bawah seksyen 11;
"Kumpulan Wang" ertinya Kumpulan Wang Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah yang ditubuhkan di bawah seksyen 13;
"Menteri" ertinya Menteri yang dipertanggungkan dengan tanggungjawab bagi Pihak Berkuasa;
"pegawai diberi kuasa" ertinya—
(a)
seseorang pegawai yang diberi kuasa di bawah seksyen 33;
(b)
mana-mana pegawai polis yang pangkatnya tidak rendah daripada Inspektor, termasuk Inspektor yang sedang dalam tempoh percubaan; atau
(c)
seseorang Pegawai kastam sebagaimana yang ditakrifkan dalam seksyen 2 Akta Kastam 1967 [Akta 235];
"pekebun kecil" ertinya—
(a)
pemunya atau penduduk sah mana-mana tanah yang jumlah keluasannya kurang daripada 40 hektar, wakil sah pemunya atau wakil sah penduduk sah itu; atau
(b)
seseorang yang diisytiharkan secara bertulis oleh Menteri sebagai pekebun kecil di bawah seksyen 26;
"pemunya tanah" ertinya tuan punya berdaftar suatu tanah mengikut pengertian Kanun Tanah Negara [Akta 56/1965] dan termasuklah wakil diri pemunya yang telah mati;
"Pengerusi" ertinya Pengerusi Pihak Berkuasa yang dilantik di bawah seksyen 4;
"perusahaan getah" termasuklah penanaman tumbuhan getah, pengeluaran getah dan kayu hevea, pemprosesan dan penggunaan getah, pengilangan keluaran getah, dan perkhidmatan yang berhubungan dengannya;
"Pihak Berkuasa" ertinya Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah yang ditubuhkan di bawah seksyen 3;
"ses" ertinya ses yang dikenakan di bawah seksyen 16;
"Skim" ertinya suatu skim yang ditetapkan di bawah seksyen 27;
"tumbuhan getah" ertinya spesies tumbuhan daripada genera Hevea Brasiliensis (getah para), Manihot Glaziovii (getah ceara), Castilloa Elastica, Ficus Elastica (rambung) atau apa-apa genus atau spesies tumbuhan lain yang menghasilkan lateks dan termasuklah—
(a)
kacukan atau klon daripada genus atau spesies itu;
(b)
tumbuhan yang terhasil daripada mengahwinkan spesies, kacukan atau klon itu dengan mana-mana spesies, kacukan atau klon tumbuhan yang lain; dan
(c)
versi spesies, kacukan atau klon ini yang dihasilkan melalui kejuruteraan genetik.