Malaysia legislation

Section 60

of AKTA BANK DAN INSTITUSI-INSTITUSI KEWANGAN 1989

Seksyen 60

(2)

Bank boleh melalui perintah yang disiarkan dalam Warta membenarkan mana-mana institusi berlesen tertentu, atau apa-apa kelas, kategori atau perihalan institusi berlesen, supaya memberi kepada mana-mana orang apa-apa kemudahan kredit tanpa cagaran yang, berserta dengan apa-apa kemudahan kredit lain tanpa cagaran yang diberikan dahulu kepadanya, tidak melebihi suatu amaun agregat yang diterangkan dalam perintah itu.

(3)

Subseksyen (1) tidaklah terpakai bagi apa-apa kemudahan kredit yang diberikan—

(a)

kepada suatu institusi berlesen yang lain;

(b)

kepada mana-mana orang lain yang terlibat dalam penyediaan pembiayaan yang diluluskan secara bertulis oleh Bank; atau

(c)

oleh mana-mana bank berlesen atau bank saudagar berlesen, kecuali jika kemudahan kredit itu diberikan oleh bank atau bank saudagar tersebut kepada perbadanan berkaitannya.

(4)

Suatu cagaran berkenaan dengan kemudahan kredit yang diberikan kepada mana-mana orang oleh sesuatu institusi berlesen hendaklah terdiri daripada harta yang bernilai tidak kurang daripada amaun kemudahan kredit yang diberikan kepada orang itu.

(5)

Jika suatu cagaran yang diadakan berkenaan dengan kemudahan kredit yang diberikan oleh sesuatu institusi berlesen, di sepanjang tempoh berjalannya kemudahan kredit itu, dengan persetujuan di antara institusi berlesen dengan orang yang mengadakan cagaran itu, digantikan dengan suatu cagaran yang berlainan, maka cagaran baru itu hendaklah yang bernilai tidak kurang daripada amaun kemudahan kredit yang belum dibayar pada masa penggantian tersebut.

(6)

Jika pada bila-bila masa di sepanjang tempoh berjalannya sesuatu kemudahan kredit, apa-apa cagaran yang diadakan di bawah subseksyen (4) atau yang digantikan di bawah subseksyen (5) berkenaan dengan kemudahan kredit itu tersusut nilainya kepada nilai yang kurang daripada amaun kemudahan kredit yang belum dibayar ketika itu, maka institusi berlesen hendaklah meminta orang yang kepadanya kemudahan kredit itu diberikan supaya mengadakan cagaran tambahan untuk meningkatkan nilai cagaran itu kepada amaun yang tidak kurang daripada amaun kemudahan kredit yang belum dibayar ketika itu dalam suatu tempoh yang tidak melebihi empat belas hari, dan jika cagaran tambahan itu tidak diadakan dalam tempoh tersebut, orang yang bertanggungan bagi kemudahan kredit itu hendaklah dengan serta-merta sesudah itu disifatkan melanggar terma-terma kontrak yang berhubungan dengan kemudahan kredit itu, dan institusi itu hendaklah berhak untuk menguatkuasakan hak-haknya di bawah kontrak berkenaan dengan pelanggaran mengenainya.

(7)

Tiada apa-apa jua yang terkandung dalam seksyen ini boleh menjejaskan hak pihak-pihak dalam kontrak yang berhubungan dengan kemudahan kredit daripada memasukkan dalam kontrak itu pada masa ia dibuat, atau pada bila-bila masa selepas itu, apa-apa peruntukan yang berhubungan dengan cagaran yang akan diadakan bagi kemudahan kredit yang bermaksud untuk memastikan kecukupan cagaran itu di sepanjang tempoh berjalannya kemudahan kredit itu.

(8)

Bagi maksud-maksud seksyen ini, nilai apa-apa harta yang diadakan sebagai cagaran hendaklah—

(a)

nilai pasaran harta itu; atau

(b)

jika kerana apa-apa sebab nilai pasaran harta itu tidak mungkin dapat diputuskan, nilai yang diluluskan oleh Bank atas permohonan oleh orang yang mengambil cagaran itu yang hendaklah menerangkan nilai yang dicapai oleh pemohon dan asas baginya.

(9)

Bagi maksud-maksud seksyen ini, Bank boleh menetapkan—

(a)

apa-apa batasan, sekatan dan syarat yang tertakluk kepadanya apa-apa harta tertentu, atau apa-apa kelas, kategori atau perihalan harta, boleh diadakan atau disetujuterima sebagai cagaran; atau

(b)

bagi apa-apa harta tertentu, atau apa-apa kelas, kategori atau perihalan harta, dilarang daripada diadakan atau disetujuterima sebagai cagaran.