Malaysia legislation

Section 39

of AKTA PERLINDUNGAN VARIETI BARU TUMBUHAN 2004

Seksyen 39

Ketidaksahan hak pembiak baka

(1)

Mana-mana orang yang berkepentingan boleh memulakan prosiding mahkamah terhadap pemegang untuk mentaksahkan pendaftaran sesuatu varieti baru tumbuhan dan pemberian hak pembiak baka.

(2)

Mahkamah hendaklah mentaksahkan sesuatu hak pembiak baka jika orang yang meminta pentaksahan itu membuktikan bahawa—

(a)

pemegang telah memberi Lembaga maklumat atau pernyataan yang palsu atau mengelirukan berkenaan dengan permohonan untuk pendaftaran varieti baru tumbuhan dan pemberian hak pembiak baka itu;

(b)

pemegang tidak mematuhi kehendak Akta ini; atau

(c)

hak pembiak baka itu bukan kepunyaan orang yang kepadanya hak pembiak baka itu telah diberikan.

(3)

Walau apa pun subseksyen (2), mahkamah tidak boleh mentaksahkan pendaftaran sesuatu varieti baru tumbuhan dan pemberian hak pembiak baka atas alasan yang disebut dalam perenggan 39(2)(c) jika hak pembiak baka itu telah diserahhakkan kepada orang yang mempunyai hak mengenai hak pembiak baka itu.

(4)

Jika peruntukan subseksyen (1) terpakai hanya bagi beberapa tuntutan atau beberapa bahagian daripada sesuatu tuntutan, maka tuntutan atau bahagian sesuatu tuntutan itu boleh diisytiharkan tidak sah oleh mahkamah dan ketidaksahan sebahagian daripada sesuatu tuntutan itu hendaklah diisytiharkan dalam bentuk suatu batasan yang sepadan bagi tuntutan yang berkenaan.