Malaysia legislation

Section 4

of AKTA PERLINDUNGAN DATA PERIBADI 2010

Seksyen 4

Dalam Akta ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain—

“agensi pelaporan kredit” mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Akta Agensi Pelaporan Kredit 2010 [Akta 710];

“Akta ini” termasuklah peraturan-peraturan, perintah, pemberitahuan dan perundangan subsidiari lain yang dibuat di bawah Akta ini;

“daftar” ertinya Daftar Pengguna Data, Daftar Forum Pengguna

Data atau Daftar Tataamalan;

“data peribadi” ertinya apa-apa maklumat yang berkenaan dengan transaksi komersial, yang—

(a)

sedang diproses secara keseluruhannya atau sebahagiannya melalui kelengkapan yang dikendalikan secara automatik sebagai tindak balas kepada arahan yang diberikan bagi maksud itu;

(b)

direkodkan dengan niat bahawa ia sepatutnya diproses secara keseluruhannya atau sebahagiannya melalui kelengkapan itu; atau

(c)

direkodkan sebagai sebahagian daripada sistem pemfailan yang berkaitan atau dengan niat bahawa ia sepatutnya menjadi sebahagian daripada sistem pemfailan yang berkaitan, yang berhubungan secara langsung atau tidak langsung dengan seorang subjek data, yang dikenal pasti atau boleh dikenal pasti daripada maklumat itu atau daripada maklumat itu dan maklumat

Undang-Undang Malaysia 14

Akta 709

lain dalam milikan seorang pengguna data, termasuk apa-apa data peribadi sensitif dan penyataan pendapat tentang subjek data itu;

tetapi tidak termasuk apa-apa maklumat yang diproses bagi maksud suatu perniagaan pelaporan kredit yang dijalankan oleh sesuatu agensi pelaporan kredit di bawah Akta Agensi Pelaporan Kredit 2010;

“data peribadi sensitif” ertinya apa-apa data peribadi yang mengandungi maklumat tentang kesihatan atau keadaan fizikal atau mental seorang subjek data, pendapat politiknya, kepercayaan agamanya atau kepercayaan lain yang bersifat seumpamanya, pelakuan atau pengataan pelakuan apa-apa kesalahan olehnya atau apa-apa data peribadi lain yang ditentukan oleh Menteri melalui perintah yang disiarkan dalam Warta;

“ditetapkan” ertinya ditetapkan oleh Menteri di bawah Akta ini dan jika tiada cara disebut, ertinya ditetapkan melalui perintah yang disiarkan dalam Warta;

“Jawatankuasa Penasihat” ertinya Jawatankuasa Penasihat

Perlindungan Data Peribadi yang ditubuhkan di bawah seksyen 70;

“kepentingan vital” ertinya perkara yang berhubung dengan kehidupan, kematian atau keselamatan seorang subjek data;

“Kumpulan Wang” ertinya Kumpulan Wang Perlindungan Data

Peribadi yang ditubuhkan di bawah seksyen 61;

“menggunakan”, berhubung dengan data peribadi, tidak termasuk perbuatan mengumpul atau menzahirkan data peribadi itu;

“mengumpul”, berhubung dengan data peribadi, ertinya perbuatan yang melaluinya data peribadi itu termasuk ke dalam atau berada di bawah kawalan seorang pengguna data;

“Menteri” ertinya Menteri yang dipertanggungkan dengan tanggungjawab bagi perlindungan data peribadi;

“menzahirkan”, berhubung dengan data peribadi, ertinya perbuatan yang melaluinya data peribadi itu disediakan oleh seorang pengguna data;

Perlindungan Data Peribadi 15

“orang yang berkaitan”, berhubung dengan seorang subjek data, dengan apa jua cara sekalipun diperihalkan, ertinya—

(a)

dalam hal seorang subjek data yang di bawah umur lapan belas tahun, ibu bapa, penjaga atau seseorang yang mempunyai tanggungjawab ibu bapa terhadap subjek data itu;

(b)

dalam hal seorang subjek data yang tidak berupaya menguruskan hal ehwalnya sendiri, seorang yang dilantik oleh mahkamah untuk menguruskan hal ehwal itu, atau seorang yang diberi kuasa secara bertulis oleh subjek data untuk bertindak bagi pihak subjek data itu; atau

(c)

dalam mana-mana hal lain, seorang yang diberi kuasa secara bertulis oleh subjek data untuk membuat suatu permintaan mengakses data, permintaan pembetulan data, atau kedua-dua permintaan itu, bagi pihak subjek data itu;

“pegawai diberi kuasa” ertinya mana-mana pegawai yang diberi kuasa secara bertulis oleh Pesuruhjaya di bawah seksyen 110;

“pembetulan”, berhubung dengan data peribadi, termasuklah pindaan, perubahan, ubah suaian atau pemotongan;

“peminta”, berhubung dengan suatu permintaan mengakses data atau permintaan pembetulan data, ertinya subjek data atau orang yang berkaitan bagi pihak subjek data itu, yang membuat permintaan itu;

“pemproses data”, berhubung dengan data peribadi, ertinya mana-mana orang, selain seorang pekerja pengguna data, yang memproses data peribadi itu semata-mata bagi pihak pengguna data itu, dan tidak memproses data peribadi itu bagi apa-apa maksud persendiriannya;

“pemprosesan”, berhubung dengan data peribadi, ertinya mengumpul, merekod, memegang atau menyimpan data peribadi itu atau menjalankan apa-apa pengendalian atau set pengendalian terhadap data peribadi itu, termasuk—

(a)

penyusunan, penyesuaian atau pengubahan data peribadi;

Undang-Undang Malaysia 16

Akta 709

(b)

mendapatkan kembali, merujuk kepada atau menggunakan data peribadi;

(c)

penzahiran data peribadi melalui penghantaran, pemindahan, penyebaran atau selainnya menjadikannya tersedia; atau

(d)

penjajaran, penggabungan, pembetulan, pemadaman atau pemusnahan data peribadi;

“pendaftaran” ertinya pendaftaran seorang pengguna data di bawah seksyen 16;

“pengguna data” ertinya seseorang yang sama ada berseorangan atau bersesama atau bersama dengan orang lain memproses apa-apa data peribadi atau mempunyai kawalan terhadap atau membenarkan pemprosesan apa-apa data peribadi, tetapi tidak termasuk seorang pemproses data;

“pengguna data yang berkaitan”, berhubung dengan—

(a)

sesuatu pemeriksaan, ertinya pengguna data yang menggunakan sistem data peribadi yang menjadi subjek pemeriksaan itu;

(b)

sesuatu aduan, ertinya pengguna data yang dinyatakan dalam aduan itu;

(c)

sesuatu penyiasatan—

(i)

dalam hal suatu penyiasatan yang dimulakan dengan suatu aduan, ertinya pengguna data yang dinyatakan dalam aduan itu;

(ii)

dalam mana-mana hal lain, ertinya penggguna data yang menjadi subjek penyiasatan itu;

(d)

sesuatu notis penguatkuasaan, ertinya pengguna data yang terhadapnya disampaikan notis penguatkuasaan itu;

“perniagaan pelaporan kredit” mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Akta Agensi Pelaporan Kredit 2010;

Perlindungan Data Peribadi 17

“Pesuruhjaya” ertinya Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi yang dilantik di bawah seksyen 47;

“pihak ketiga”, berhubung dengan data peribadi, ertinya mana-mana orang selain—

(a)

seorang subjek data;

(b)

seorang yang berkaitan yang berhubung dengan seorang subjek data;

(c)

seorang pengguna data;

(d)

seorang pemproses data; atau

(e)

seorang yang diberi kuasa secara bertulis oleh pengguna data untuk memproses data peribadi di bawah kawalan langsung pengguna data itu;

“sistem pemfailan yang berkaitan” ertinya apa-apa set maklumat yang berhubung dengan individu setakat yang, walaupun maklumat itu tidak diproses melalui kelengkapan yang dikendalikan secara automatik sebagai tindak balas kepada arahan yang diberikan bagi maksud itu, set maklumat itu distrukturkan, sama ada dengan merujuk kepada individu atau dengan merujuk kepada kriteria yang berhubung dengan individu, dengan apa-apa cara supaya maklumat khusus yang berhubung dengan individu tertentu boleh diakses dengan mudah;

“subjek data” ertinya seseorang individu yang menjadi subjek data peribadi itu;

“tarikh yang ditetapkan” ertinya tarikh atau tarikh-tarikh yang berkaitan, mengikut mana-mana yang berkenaan, yang padanya

Akta ini mula berkuat kuasa;

“tataamalan” ertinya tataamalan perlindungan data peribadi berkenaan dengan suatu golongan pengguna data khusus yang didaftarkan oleh Pesuruhjaya menurut seksyen 23 atau yang dikeluarkan oleh Pesuruhjaya di bawah seksyen 24;

Undang-Undang Malaysia 18

Akta 709

“transaksi komersial” ertinya apa-apa transaksi bersifat komersial, sama ada secara kontrak atau tidak, yang termasuk apa-apa perkara yang berhubung dengan pembekalan atau pertukaran barang atau perkhidmatan, agensi, pelaburan, pembiayaan, perbankan dan insurans, tetapi tidak termasuk sesuatu perniagaan pelaporan kredit yang dijalankan oleh sesuatu agensi pelaporan kredit di bawah

Akta Agensi Pelaporan Kredit 2010.