Malaysia legislation
Section 4
Seksyen 4
Dalam Akta ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain—
“Akta ini” termasuklah mana-mana perundangan subsidiari yang dibuat di bawah Akta ini;
“ancaman keselamatan siber” ertinya suatu perbuatan atau aktiviti yang dijalankan terhadap atau melalui suatu komputer atau sistem komputer, tanpa kuasa yang sah, yang boleh secara ketaranya membahayakan atau boleh menjejaskan keselamatan siber komputer atau sistem komputer itu atau komputer atau sistem komputer yang lain;
“arahan” ertinya suatu arahan yang dikeluarkan oleh Ketua Eksekutif di bawah seksyen 13;
Keselamatan Siber 9
“ditetapkan” ertinya ditetapkan oleh Menteri melalui peraturan-peraturan yang dibuat di bawah Akta ini;
“entiti infrastruktur maklumat kritikal negara” ertinya mana-mana
Entiti Kerajaan atau orang yang ditetapkan sebagai entiti infrastruktur maklumat kritikal negara di bawah seksyen 17 atau 18;
“Entiti Kerajaan” ertinya—
(a)
mana-mana kementerian, jabatan, pejabat, agensi, pihak berkuasa, suruhanjaya, jawatankuasa, lembaga, majlis atau badan lain, bagi Kerajaan Persekutuan, atau bagi mana-mana Kerajaan Negeri, yang ditubuhkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis atau selainnya; dan
(b)
mana-mana pihak berkuasa tempatan;
“infrastruktur maklumat kritikal negara” ertinya suatu komputer atau sistem komputer yang gangguan pada atau kemusnahan komputer atau sistem komputer itu boleh membawa kesan yang memudaratkan terhadap penyampaian apa-apa perkhidmatan yang perlu bagi keselamatan, pertahanan, hubungan luar negara, ekonomi, kesihatan awam, kesejahteraan awam atau ketenteraman awam di Malaysia, atau terhadap keupayaan Kerajaan Persekutuan atau mana-mana Kerajaan Negeri untuk menjalankan fungsinya secara berkesan;
“insiden keselamatan siber” ertinya suatu perbuatan atau aktiviti yang dijalankan terhadap atau melalui suatu komputer atau sistem komputer, tanpa kuasa yang sah, yang membahayakan atau menjejaskan keselamatan siber komputer atau sistem komputer itu atau komputer atau sistem komputer yang lain;
“Jawatankuasa” ertinya Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara yang ditubuhkan di bawah seksyen 5;
“keselamatan siber” ertinya keadaan yang dalamnya suatu komputer atau sistem komputer dilindungi daripada apa-apa serangan atau akses yang tidak dibenarkan, dan disebabkan oleh keadaan itu—
(a)
komputer atau sistem komputer itu terus tersedia dan boleh dikendalikan;
Undang-Undang Malaysia 10
Akta 854
(b)
integriti komputer atau sistem komputer itu adalah terpelihara; dan
(c)
integriti dan kerahsiaan maklumat yang disimpan dalam, diproses oleh atau dihantar melalui, komputer atau sistem komputer itu adalah terpelihara;
“Ketua Eksekutif” ertinya Ketua Eksekutif Agensi Keselamatan
Siber Negara;
“ketua sektor infrastruktur maklumat kritikal negara” ertinya mana-mana Entiti Kerajaan atau orang yang dilantik sebagai ketua sektor infrastruktur maklumat kritikal negara di bawah seksyen 15;
“komputer” ertinya suatu peranti elektronik, magnet, optik, elektrokimia, atau peranti pemprosesan data yang lain yang melaksanakan fungsi logik, aritmetik, storan atau paparan, dan termasuklah apa-apa kemudahan storan data atau kemudahan komunikasi yang berkaitan secara langsung dengan atau dikendali bersama dengan peranti itu, tetapi tidak termasuk suatu mesin taip atau mesin pengatur huruf berautomat, atau suatu mesin kira pegang tangan mudah alih atau peranti seumpama yang lain yang tidak boleh diprogramkan atau yang tidak mengandungi apa-apa kemudahan storan data;
“Menteri” ertinya Menteri yang dipertanggungkan dengan tanggungjawab bagi keselamatan siber;
“pegawai diberi kuasa” ertinya mana-mana pegawai polis yang apa jua pun pangkatnya atau mana-mana pegawai awam yang diberi kuasa di bawah seksyen 36;
“pemberi perkhidmatan keselamatan siber” ertinya seseorang yang memberikan perkhidmatan keselamatan siber;
“perkhidmatan keselamatan siber” ertinya perkhidmatan keselamatan siber sebagaimana yang ditetapkan di bawah subseksyen 27(2);
“sektor infrastruktur maklumat kritikal negara” ertinya sektor infrastruktur maklumat kritikal negara yang dinyatakan dalam
Jadual;
Keselamatan Siber 11
“sistem komputer” ertinya suatu pengaturan komputer yang saling bersambung yang direka bentuk untuk melaksanakan satu atau lebih fungsi spesifik, dan termasuklah—
(a)
sistem teknologi maklumat; dan
(b)
sistem teknologi pengendalian seperti sistem kawalan industri, pengawal logik boleh diprogramkan, sistem kawalan penyeliaan dan pemerolehan data, atau sistem kawalan teragih;
“tataamalan” ertinya tataamalan yang disebut di bawah seksyen 25.