Malaysia legislation

Section 2

of AKTA MAJLIS MEDIA MALAYSIA 2025

Seksyen 2

Dalam Akta ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain—

“ahli” ertinya ahli Majlis yang diterima menjadi ahli daripada mana-mana kategori keahlian yang dinyatakan dalam seksyen 7, dan termasuk Pengerusi Lembaga seperti yang dinyatakan di bawah subseksyen 9(3);

“ahli bukan media” ertinya individu termasuklah ahli akademik, pelatih media, pertubuhan bukan kerajaan, dan orang awam bukan daripada industri media;

“industri media” ertinya mana-mana—

(a)

agensi berita, iaitu suatu pertubuhan berita yang diperbadankan di bawah mana-mana undang-undang

Malaysia bagi tujuan mengumpul, menentusahkan dan menyebarkan berita, maklumat, gambar dan video;

(b)

pertubuhan akhbar, iaitu suatu pertubuhan berita yang menerbitkan bahan bacaan bercetak atau digital secara harian atau berkala;

(c)

penyiar, iaitu suatu stesen radio atau televisyen yang menyiarkan untuk pendengaran atau tontonan orang awam, termasuklah bahan yang tersedia dalam format digital melalui internet;

(d)

pengamal media;

(e)

pengamal media bebas;

(f)

media asing, iaitu suatu syarikat media yang dimiliki atau dikawal oleh pertubuhan media asing, yang mempunyai pengamal media di Malaysia dan menerbitkan kandungan berita dan kewartawanan di Malaysia atau terutamanya mengenai Malaysia;

(g)

penerbit media;

Majlis Media Malaysia 7

(h)

syarikat media; dan

(i)

persatuan media, tetapi tidak termasuk industri pengiklanan, penyedia perkhidmatan dalam talian dan entiti yang mengagregat atau membangunkan berita daripada sumber lain;

“kewartawanan” ertinya amalan mengumpul, menyusun, menganalisis dan menyampaikan maklumat atau berita kepada orang awam yang dibuat oleh wartawan, penulis blog, penganalisis atau mana-mana orang yang terlibat dalam penerbitan dan dikongsi sama ada dalam bentuk bercetak atau digital melalui sebarang medium penerbitan, siaran radio dan televisyen, atau media digital;

“Lembaga” ertinya Lembaga Majlis Media Malaysia yang ditubuhkan di bawah seksyen 8 Akta ini;

“Majlis” ertinya Majlis Media Malaysia yang ditubuhkan di bawah seksyen 3 Akta ini;

“Menteri” ertinya Menteri yang dipertanggungkan dengan tanggungjawab bagi komunikasi;

“penerbit media” ertinya individu yang bertanggungjawab untuk mengawasi penerbitan atau penyiaran kandungan berita dalam media cetak, dalam talian dan media penyiaran, dalam penyediaan edisi penerbitan akhir kepada orang awam;

“pengamal media” ertinya seorang wartawan, editor, jurugambar, juruvideo dan pereka grafik atau mana-mana orang yang terlibat dalam penciptaan, pengeluaran dan penyebaran kandungan untuk syarikat media dan orang itu hendaklah merupakan seorang pekerja kepada penerbit media;

“pengamal media bebas” ertinya seseorang yang menghasilkan kandungan berita untuk syarikat media tetapi bukan seorang pekerja atau seseorang yang menerbitkan kandungan berita dan ulasan yang dihoskan melalui media dalam talian;

“Pengerusi” ertinya Pengerusi Lembaga dan Majlis yang dilantik di bawah seksyen 9 Akta ini;

8

Undang-Undang Malaysia

Akta 868

“persatuan media” ertinya apa-apa entiti bukan berasaskan keuntungan, kesatuan sekerja atau persatuan yang dianggotai oleh pengamal media mewakili pihak berkepentingan dan kebajikan pihak media;

“syarikat media” ertinya sebuah organisasi atau entiti perniagaan yang mencipta, menghasilkan, mengedar dan mengurus kandungan media dalam bentuk bercetak, penyiaran atau digital, dan hendaklah mempunyai tidak kurang daripada sepuluh orang pengamal media sebagai pekerja syarikat media itu.