Malaysia legislation
Section 10
Seksyen 10
Seksyen baru 139ZN, 139ZO, 139ZP, 139ZQ dan 139ZR
Bahagian IIIA Akta ibu dipinda dalam Penggal 4 dengan memasukkan selepas seksyen 139ZM seksyen yang berikut:
“Syor oleh orang berlesen 139ZN. (1) Seseorang orang berlesen tidak boleh membuat sesuatu syor berkenaan dengan apa-apa skim persaraan swasta kepada seseorang yang semunasabahnya boleh dijangkakan akan bergantung pada syor itu tanpa mempunyai asas yang munasabah untuk membuat syor itu kepada orang itu.
(2)
Bagi maksud subseksyen (1), seseorang orang berlesen tidak mempunyai suatu asas yang munasabah untuk membuat sesuatu syor kepada seseorang melainkan—
(a)
orang berlesen itu telah, bagi maksud memastikan bahawa syor itu adalah sesuai, mengambil semua langkah yang dapat dilaksanakan bagi memastikan bahawa maklumat yang dimiliki dan dipercayai oleh orang berlesen itu berkenaan dengan objektif pelaburan, kedudukan kewangan dan keperluan tertentu orang itu adalah tepat dan lengkap;
(b)
orang berlesen itu telah memberikan pertimbangan kepada, dan menjalankan penyiasatan tentang, hal perkara syor itu sebagaimana yang munasabah dalam segala hal keadaan; dan
(c)
syor itu adalah berasaskan pertimbangan dan penyiasatan yang sedemikian.
(3)
Jika orang berlesen melanggar subseksyen (1) dan—
(a)
orang itu, kerana bergantung pada syor itu, melakukan suatu perbuatan tertentu atau menahan diri daripada melakukan sesuatu perbuatan tertentu;
(b)
adalah munasabah, setelah mengambil kira syor itu dan segala hal keadaan lain yang berkaitan, bagi orang itu untuk melakukan perbuatan itu atau menahan diri daripada melakukan perbuatan itu, mengikut mana-mana yang berkenaan, kerana bergantung pada syor itu; dan
(c)
orang itu mengalami kehilangan atau kerugian akibat melakukan perbuatan itu atau menahan diri daripada melakukan perbuatan itu,
8
Undang-Undang Malaysia orang berlesen itu hendaklah bertanggungan untuk membayar ganti rugi kepada orang itu berkenaan dengan kehilangan atau kerugian itu.
(4)
Seseorang orang berlesen tidak bertanggungan di bawah subseksyen (3) jika dibuktikan bahawa seseorang yang munasabah dalam hal keadaan itu boleh dijangkakan akan melakukan atau meninggalkan daripada melakukan perbuatan itu kerana bergantung pada syor itu walaupun orang berlesen itu telah mematuhi subseksyen itu berhubung dengan syor itu.
(5)
Dalam hal pelanggaran subseksyen (1), seseorang orang berlesen tidak bertanggungan jika dibuktikan bahawa syor itu adalah, dalam segala hal keadaan, wajar dengan mengambil kira maklumat yang ada pada orang berlesen itu tentang objektif pelaburan, kedudukan kewangan dan keperluan tertentu klien itu semasa orang berlesen membuat syor itu.
Akuan palsu atau mengelirukan atau memberikan dokumen palsu kepada penyedia dan pentadbir 139ZO. (1) Seseorang tidak boleh—
(a)
membuat, secara lisan atau bertulis, atau menandatangani apa-apa akuan, penyata, sijil atau dokumen lain yang dikehendaki di bawah Akta ini atau kaedah-kaedah suatu pentadbir skim persaraan swasta yang palsu, mengelirukan atau yang dalamnya terdapat ketinggalan yang material; atau
(b)
menyediakan apa-apa maklumat atau memberikan apa-apa dokumen yang palsu, mengelirukan atau yang dalamnya terdapat ketinggalan yang material, kepada pentadbir skim persaraan swasta atau penyedia skim persaraan swasta yang diluluskan.
(2)
Seseorang yang melanggar subseksyen (1) dengan niat untuk memperdaya pentadbir skim persaraan swasta atau penyedia skim persaraan swasta yang diluluskan melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau didenda tidak melebihi satu juta ringgit atau kedua-duanya.
9
Pasaran Modal dan Perkhidmatan (Pindaan)
(3)
Seseorang yang disabitkan dengan suatu kesalahan di bawah subseksyen (2) berhubung dengan pengeluaran faedah terakru hendaklah, dalam tempoh enam bulan dari tarikh sabitan, mengembalikan keseluruhan amaun yang dikeluarkan.
Pernyataan yang palsu atau mengelirukan, dsb.
139ZP. Seseorang tidak boleh membuat suatu pernyataan, atau menyebarkan maklumat, yang palsu atau mengelirukan dalam butir material dan yang berkemungkinan mendorong mana-mana orang untuk membuat suatu caruman kepada suatu skim persaraan swasta jika, bila dia membuat pernyataan atau menyebarkan maklumat itu—
(a)
dia tidak mempedulikan sama ada pernyataan atau maklumat itu adalah benar atau palsu; atau
(b)
dia mengetahui atau semunasabahnya patut mengetahui bahawa pernyataan atau maklumat itu adalah palsu atau mengelirukan dalam butir material.
Penggunaan peranti manipulasi dan memperdaya 139ZQ. Adalah menyalahi undang-undang bagi mana-mana orang, sama ada secara langsung atau secara tidak langsung untuk—
(a)
menggunakan apa-apa peranti, skim atau tipu daya untuk memfraud;
(b)
melibatkan diri dalam apa-apa perbuatan, amalan atau penjalanan urusan yang beroperasi atau akan beroperasi sebagai fraud atau penipuan terhadap mana-mana orang; atau
(c)
membuat apa-apa pernyataan yang tidak benar mengenai suatu fakta material atau meninggalkan daripada menyatakan suatu fakta material yang perlu bagi menjadikan pernyataan yang dibuat itu, dalam hal keadaan yang pernyataan itu dibuat, tidak mengelirukan,
10
Undang-Undang Malaysia berkaitan dengan—
(A)
perolehan atau pelupusan kepentingan benefisial di bawah suatu skim persaraan swasta;
(B)
membuat caruman kepada suatu skim persaraan swasta; atau
(C)
pengeluaran apa-apa jumlah daripada suatu skim persaraan swasta.
Penalti bagi kesalahan di bawah seksyen 139ZP dan 139ZQ
139ZR. Seseorang yang melanggar seksyen 139ZP dan 139ZQ melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi sepuluh tahun dan didenda tidak kurang daripada satu juta ringgit.”.
Penggantian Bahagian IV