Malaysia legislation

Section 8

of AKTA SURUHANJAYA SIASATAN 1950

Seksyen 8

Kuasa Pesuruhjaya

Pesuruhjaya hendaklah mempunyai kuasa yang berikut:

(a)

untuk memperoleh dan menerima segala keterangan, bertulis atau lisan, dan untuk memeriksa semua orang sebagai saksi yang difikirkan oleh Pesuruhjaya perlu atau wajar diperoleh atau untuk diperiksa;

(b)

untuk menghendaki keterangan (sama ada bertulis atau lisan) daripada mana-mana saksi dibuat atas sumpah atau ikrar (sumpah atau ikrar itu hendaklah sumpah atau ikrar yang boleh dikehendaki daripada saksi itu jika dia memberikan keterangan di Mahkamah Tinggi) atau melalui pengakuan berkanun;

(c)

untuk menyaman mana-mana orang di Malaysia, atau dalam hal suatu Tauliah yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Negeri, di Negeri itu, untuk menghadiri manamana mesyuarat Pesuruhjaya untuk memberikan keterangan atau mengemukakan apa-apa dokumen atau benda lain dalam miliknya dan untuk memeriksanya sebagai saksi atau menghendakinya mengemukakan apa-apa dokumen atau benda lain dalam miliknya;

(d)

untuk mengeluarkan suatu waran tangkap bagi memaksa kehadiran mana-mana orang yang setelah disaman supaya hadir, tidak berbuat sedemikian, dan tidak memberikan apa-apa sebab yang memuaskan hati Pesuruhjaya mengenai ketidakhadiran itu, dan untuk memerintahkan dia membayar segala kos yang disebabkan dalam memaksa dia hadir atau oleh sebab keengganannya mematuhi saman itu, dan juga untuk mendenda orang itu sejumlah wang yang tidak melebihi lima puluh ringgit;

(e)

untuk mendenda dalam suatu jumlah wang yang tidak melebihi lima puluh ringgit, mana-mana orang, yang apabila dikehendaki oleh Pesuruhjaya untuk memberikan keterangan atas ikrar atau untuk mengemukakan suatu dokumen atau benda lain, enggan berbuat sedemikian dan tidak memberikan apa-apa sebab yang memuaskan hati Pesuruhjaya mengenai keengganan itu;

(f)

walau apa pun peruntukan mana-mana undang-undang bertulis yang berhubungan dengan keterangan, untuk menerima apa-apa keterangan, sama ada bertulis atau lisan, yang mungkin tidak boleh diterima dalam prosiding civil atau jenayah;

(g)

tertakluk kepada apa-apa arahan yang terkandung dalam Tauliah itu—

(i)

untuk menerima masuk atau menahan masuk orang awam dalam siasatan itu atau mana-mana bahagiannya; dan

(ii)

untuk menerima masuk atau menahan masuk akhbar dalam siasatan itu atau mana-mana bahagiannya; dan

(h)

untuk mengawardkan mana-mana orang yang telah menghadiri mana-mana mesyuarat Pesuruhjaya, termasuk mana-mana jurubahasa yang dilantik di bawah seksyen 9, apa-apa jumlah wang yang pada pendapat Pesuruhjaya yang telah dengan semunasabahnya dilakukan olehnya kerana menghadiri mesyuarat itu.

Jurubahasa