Malaysia legislation

Section 3

of AKTA MAHKAMAH KEHAKIMAN 1964

Seksyen 3

Tafsiran

"bidang kuasa tempatan" ertinya—

(a)

dalam hal Mahkamah Tinggi di Malaya, wilayah yang termasuk di dalam Negeri-Negeri Tanah Melayu, iaitu Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Selangor, Terengganu dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur; dan

(b)

dalam hal Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak, wilayah yang termasuk di dalam Negeri Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan, termasuklah dalam mana-mana hal itu, perairan wilayah dan ruang udara di atas Negeri-Negeri itu dan perairan wilayah;

"Hakim" ertinya Hakim Mahkamah Peresekutuan, Hakim Mahkamah Rayuan atau Hakim Mahkamah Tinggi, dan termasuklah Ketua Hakim Negara, Presiden dan Hakim Besar;

"Hakim Besar" ertinya Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Malaya atau Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak, mengikut kehendak keadaan;

"Hari Malaysia" ertinya 16 September 1963;

"kausa" termasuklah apa-apa tindakan, guaman atau prosiding asal yang lain antara plaintiff dengan defendan, dan apa-apa prosiding jenayah;

"keputusan" termasuklah penghakiman, hukuman atau perintah, tetapi tidak termasuk apa-apa ketetapan yang dibuat dalam perjalanan sesuatu perbicaraan atau pendengaran apa-apa kausa atau perkara yang tidak melupuskan hak pihak-pihak secara muktamad;

"Mahkamah"ertinya Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi, mengikut kehendak keadaan;

"mahkamah rendah" ertinya mana-mana mahkamah bawahan yang daripada keputusannya, oleh sebab mana-mana undang-undang bertulis, terdapat hak untuk merayu kepada Mahkamah Tinggi dan, berhubung dengan Mahkamah Tinggi, ertinya mana-mana mahkamah sedemikian yang, melalui mana-mana undang-undang bertulis, mempunyai bidang kuasa dalam bidang kuasa tempatan Mahkamah Tinggi itu;

"Mahkamah Tinggi" ertinya Mahkamah Tinggi di Malaya dan Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak atau mana-mana satu daripadanya, mengikut kehendak keadaan;

"pemastautin tetap" ertinya seseorang yang telah diberikan kebenaran untuk bermastautin di Malaysia tanpa had masa di bawah mana-mana undang-undang persekutuan, dan termasuklah seseorang yang dikira sedemikian di bawah manamana undang-undang bertulis yang berhubungan dengan imigresen;

"Pendaftar" ertinya Ketua Pendaftar dan mana-mana Pendaftar, Timbalan Pendaftar, Penolong Kanan Pendaftar atau Penolong Pendaftar yang dilantik di bawah seksyen 10;

"perkara" termasuklah tiap-tiap prosiding di mahkamah yang tidak dalam sesuatu kausa;

"Perlembagaan" ertinya Perlembagaan Malaysia;

"Presiden" ertinya Presiden Mahkamah Rayuan;

"prosiding" ertinya apa jua pun prosiding daripada jenis civil atau jenayah dan termasuklah suatu permohonan pada mana-mana peringkat sesuatu prosiding;

"tindakan" ertinya sesuatu prosiding civil yang dimulakan dengan writ atau dengan apa-apa cara lain yang ditetapkan oleh kaedah-kaedah mahkamah, tetapi tidaklah termasuk sesuatu prosiding jenayah.

Peruntukan bagi mencegah percanggahan undang-undang

Section 3 — COURTS OF JUDICATURE ACT 1964 | mylaw.my