Malaysia legislation
Section 6
Seksyen 6
(i)
Jika seorang perempuan mati tak berwasiat dengan meninggalkan seorang suami, kesemua harta pusakanya hendaklah diberikan kepadanya.
(ii)
Jika seorang lelaki mati tak berwasiat dengan meninggalkan seorang isteri dan zuriat, isteri yang menakat adalah berhak kepada satu pertiga daripada harta pusakanya: tetapi jika dia meninggalkan seorang isteri dan tiada zuriat, isteri yang menakat adalah berhak kepada setengah daripada harta pusaka itu.
(iii)
Tertakluk kepada hak-hak seorang suami atau isteri yang menakat harta pusaka si mati tak berwasiat yang meninggalkan zuriat hendaklah dipegang atas amanah sebagaimana dinyatakan dalam seksyen 7 bagi zuriat itu.
(iv)
Jika si mati tak berwasiat tidak meninggalkan zuriat, maka, tertakluk kepada hak-hak seorang suami atau isteri yang menakat, harta pusaka itu hendaklah dipegang atas amanah bagi orang-orang yang berikutnya yang hidup pada masa kematian si mati tak berwasiat dan mengikut susunan dan cara yang berikut, iaitu—
Pertama, bagi ibu bapa si mati tak berwasiat dalam bahagian yang sama banyak secara mutlak atau jika hanya seorang sahaja kepada ibu atau bapa secara mutlak; tetapi jika tiada ibu bapa yang menakat, maka
Kedua, atas amanah yang dibentangkan dalam seksyen 7 bagi adik-beradik lelaki dan perempuan si mati tak berwasiat; tetapi jika tiada seseorang pun mendapat kepentingan yang terletakhak secara mutlak di bawah amanah sedemikian, maka
Ketiga, bagi datuk-nenek si mati tak berwasiat, dan jika lebih daripada seorang menakat si mati tak berwasiat dalam bahagian yang sama banyak secara mutlak; tetapi jika tiada datuk-nenek yang menakat, maka
Keempat, bagi isteri yang menakat si mati tak berwasiat secara mutlak; tetapi jika tiada orang sedemikian, maka
Kelima, atas amanah yang dinyatakan dalam seksyen 7 bagi bapa dan ibu saudara si mati tak berwasiat; tetapi jika tiada seorang pun mendapat kepentingan yang terletakhak secara mutlak di bawah amanah sedemikian, maka
Keenam, bagi moyang-moyang si mati tak berwasiat dan jika lebih daripada seorang menakat si mati tak berwasiat dalam bahagian yang sama banyak secara mutlak; tetapi jika tiada moyang-moyang sedemikian yang menakat, maka
Ketujuh, atas amanah yang dinyatakan dalam seksyen 7 bagi moyang saudara si mati tak berwasiat.
(v)
Jika tidak ada seseorang mendapat suatu kepentingan mutlak di bawah peruntukan-peruntukan terdahulu Kerajaan adalah berhak kepada keseluruhan harta pusaka itu kecuali setakat mana ianya terdiri daripada tanah.
(2)
Jika seseorang yang mati tak berwasiat dibenarkan oleh undang-undang dirinya mempunyai ramai isteri dan lebih daripada seorang isteri menakatnya, isteri-isteri sedemikian hendaklah berkongsi sama banyak di antara mereka bahagian yang isteri si mati tak berwasiat mungkin akan berhak kepada, jika si mati tak berwasiat meninggalkan hanya seorang isteri menakatnya.
(3)
Jika si mati tak berwasiat dan suami atau isteri si mati tak berwasiat telah mati dalam keadaan yang menyebabkannya tidak pasti yang mana di antara mereka yang telah menakat pihak yang satu lagi, seksyen ini hendaklah, walau apa pun kaedah undangundang yang berlawanan, berkuatkuasa berkenaan dengan si mati tak berwasiat seolah-olah suami atau isteri itu telah tidak menakat si mati tak berwasiat.
PEMBAHAGIAN