Malaysia legislation
Section 101
Seksyen 101
Selain daripada apa-apa kuasa lain yang diberi kepada sesuatu pihak berkuasa tempatan oleh Akta ini atau oleh mana-mana undang-undang bertulis lain, sesuatu pihak berkuasa tempatan mempunyai kuasa bagi melakukan segala atau mana-mana daripada perkara yang berikut, iaitu:
(a)
mendirikan, menyenggara dan memelihara bangunan sebagaimana dikehendaki bagi maksud pihak berkuasa tempatan dan untuk tempat tinggal kakitangan pihak berkuasa tempatan;
(b)
menanam, memangkas atau membuang pokok;
(c)
(i)
membina, menyenggara, menyelia dan mengawal taman awam, taman bunga, esplanad, taman rekreasi, padang permainan, taman permainan kanak-kanak, tempat terbuka, tempat bercuti, kolam renang, stadium, akuarium, gimnasium, pusat masyarakat dan bilik makan-minum;
(ii)
memajak, memperolehi, menyewakan, menyusun atur, memajukan, melengkapkan, menyenggara dan menanam pokok di tanah bagi maksud digunakan sebagai taman awam, taman bunga, esplanad, taman rekreasi, padang
Kerajaan Tempatan 79
permainan, taman permainan kanak-kanak, tempat terbuka, tempat bercuti, kolam renang, stadium, akuarium, gimnasium dan pusat masyarakat dan mendirikan di atasnya apa-apa astaka, bilik rekreasi atau bilik makan-minum atau bangunan lain;
(iii)
menanggung penyenggaraan atau memberi sumbangan kepada tanggungan menyenggara taman awam, kebun bunga, esplanad, taman rekreasi, padang permainan, taman permainan kanak-kanak, tempat terbuka, tempat bercuti, kolam renang, stadium, akuarium, gimnasium, pusat masyarakat dan pertubuhan atau institusi khairat, agama, pendidikan, sosial atau kebajikan;
(iv)
menyenggara atau memberi sumbangan kepada penyenggaraan bangunan atau tempat bersejarah dan memperolehi mana-mana tanah, bersama dengan bangunan atau tidak, bagi maksud atau berkaitan dengan mengadakan taman awam, kebun bunga, esplanad, taman rekreasi, padang permainan, taman permainan kanak-kanak, tempat terbuka, tempat bercuti, kolam renang, stadium, akuarium, gymnasium dan pusat masyarakat atau bagi maksud atau berkaitan dengan menyenggara bangunan atau tempat bersejarah;
(d)
menjalankan kerja yang memberi apa-apa faedah am kepada penduduk kawasan pihak berkuasa tempatan;
(e)
menyusun atur dan membina sesuatu medan atau tempat terbuka kepunyaan pihak berkuasa tempatan menurut sesuatu skim atau perhiasan senibina termasuk mendirikan patung, pancuran air atau rangka bina lain;
(f)
menubuhkan, mendirikan dan menyenggara monumen dan tugu awam dan memberi dan menerima pemberian wang bagi menubuhkan dan menyenggaranya;
80 Undang-Undang Malaysia AKTA 171
(g)
menubuhkan, memperoleh, mendiri, membina, menyenggara, membantu, memajukan, mengawal dan memberi dan menerima pemberian wang berkenaan dengan—
(i)
perpustakaan, balai senilukis dan muzium awam;
(ii)
taman bunga, taman binatang dan akuarium, di dalam atau di luar lingkungan kawasan pihak berkuasa tempatan:
Dengan syarat bahawa pihak berkuasa tempatan boleh memutuskan bahawa pengurusan, pengaturan dan pengawalan am mana-mana institusi itu yang ditubuhkan atau diperoleh oleh pihak berkuasa tempatan hendaklah diletakhakkan pada dan dijalankan oleh orang yang dilantik oleh pihak berkuasa tempatan bagi maksud itu dari semasa ke semasa sama ada mereka itu anggota pihak berkuasa tempatan atau tidak;
(h)
menganjurkan, menubuhkan, menyenggara, mengawal, menyewa dan memberi sumbangan kepada pasukan pancaragam untuk mengadakan permainan muzik dan sandiwara di tempat awam dan di majlis perayaan pihak berkuasa tempatan atau majlis perayaan awam dan amnya untuk mengadakan hiburan awam di tempat itu dan di majlis perayaan itu;
(i)
mengadakan, mendirikan dan menyenggara mesin timbang awam dan menyelia dan mengawal alat timbang dan sukat;
(j)
mengadakan, mendirikan, menyenggara, menyelia dan mengawal kerja air, tempat mandi awam, tempat mandi, tempat pencuci pakaian dan tempat membasuh, pancuran minum, tangki dan telaga;
(k)
membuat perkiraan untuk mengadakan lampu di lebuh awam dan di tempat awam;
(l)
mengadakan dan menyenggara perkhidmatan ambulans;
Kerajaan Tempatan 81
(m)
memperoleh, menubuhkan, mendirikan, menyenggara dan mengawal sama ada secara sendiri atau bersesama dengan mana-mana badan atau pihak berkuasa lain, klinik dan dispensari awam di dalam atau di luar kawasan pihak berkuasa tempatan, dan menetapkan bayaran bagi rawatan di dalamnya;
(n)
menubuhkan, mendirikan dan menyenggara rumah sakit binatang;
(o)
mengadakan, memperoleh, menyenggara dan menjalankan perkhidmatan pengangkutan awam di dalam atau di luar kawasan pihak berkuasa tempatan, tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang berhubungan dengan lalu lintas jalan;
(p)
(i)
mendirikan dan menyenggara kedai dan rumah kediaman dan pangsa dan menjual, menyewakan atau pun melupuskannya;
(ii)
menukar penggunaan bangunan dan mengubah, membesarkan, membaiki dan memajukan bangunan itu;
(iii)
memberi pendahuluan wang bagi maksud membolehkan penduduk dalam kawasan pihak berkuasa tempatan dan pegawai dan pekerja pihak berkuasa tempatan memperoleh atau mendirikan rumah kediaman, pangsa, rumah kedai atau bangunan perindustrian atau perdagangan dan mendapatkan balik pendahuluan itu serta bunganya dengan cara ansuran atau pun sebagaimana yang diaturkan oleh pihak berkuasa tempatan menurut budi bicaranya, di dalam atau luar kawasan pihak berkuasa tempatan;
(q)
memperoleh, memajukan dan menyenggara tanah bagi maksud estet perindustrian dan pelupusannya;
82 Undang-Undang Malaysia AKTA 171
(r)
menjual, memajakkan atau pun melupuskan mana-mana harta alih atau harta tak alih pihak berkuasa tempatan:
Dengan syarat bahawa—
(i)
tiada apa-apa penjualan atau pemberimilikan lain harta tak alih boleh berlaku tanpa persetujuan Pihak
Berkuasa Negeri;
(ii)
semua wang yang diterima oleh pihak berkuasa tempatan dari penjualan atau pemberimilikan harta lain hendaklah dikreditkan kepada Kumpulan Wang Pihak
Berkuasa Tempatan;
(s)
memperoleh, membeli atau mengambil atas pajakan mana-mana tanah, atau apa-apa harta, hak atau kepentingan lain di dalam atau di luar kawasan pihak berkuasa tempatan yang perlu bagi maksud Akta ini;
(t)
mengadakan dan menyenggara sama ada di dalam atau di luar kawasan pihak berkuasa tempatan rumah tempat tinggal, termasuk rumah beristirehat untuk pesakit yang baru sembuh atau rumah bercuti, kelab dan padang permainan untuk pegawai dan pekerja pihak berkuasa tempatan;
(u)
memberi bantuan wang atau bantuan lain kepada Anggota
Majlis, pegawai, pekerja dan orang lain untuk mengikuti kursus pengajian dan latihan praktik yang diluluskan atas apa-apa terma dan syarat yang ditentukan oleh pihak berkuasa tempatan untuk dikenakan;
(v)
melakukan segala perkara yang perlu untuk atau yang bermanfaat kepada keselamatan, kesihatan dan kesenangan awam;
(w)
membayar apa-apa gaji, elaun dan ganjaran dan membayar apa-apa caruman kepada mana-mana Kumpulan Wang Bekal
Tua atau Kumpulan Wang Simpanan;
Kerajaan Tempatan 83
(x)
memberi pinjaman kepada pegawai dan pekerja bagi maksud membeli kereta motor atau basikal atas apa-apa syarat yang diluluskan oleh pihak berkuasa tempatan;
(y)
membayar kepada Anggota Majlis, pegawai dan pekerja yang bertugas atau kerana menghadiri mesyuarat, persidangan dan seminar yang diatur untuk pentadbiran kerajaan tempatan elaun perjalanan, belanja hidup dan elaun lain mengikut apa-apa kadar yang ditentukan oleh pihak berkuasa tempatan dari semasa ke semasa;
(z)
membayar belanja perubatan yang dilakukan oleh mana-mana
Anggota Majlis, pegawai atau pekerja;
(aa) mengiklankan dan mempublisitikan perkara yang menarik, kemudahan dan kelebihan yang ada dalam kawasan pihak berkuasa tempatan dan dalam kawasan sekitarnya dan memberi sumbangan kepada dan menerima pemberian dan derma bagi maksud menggalakkan pelancongan;
(bb)
(i)
tertakluk kepada Akta Bekalan Elektrik 1990 [Akta 447], menubuhkan, memperoleh, membina, melengkapkan dan menjalankan, di dalam atau di luar kawasan pihak berkuasa tempatan, kerja bagi membekalkan kepada penduduknya lampu, haba dan kuasa dan membekalkan elektrik bagi segala maksud yang elektrik boleh digunakan atau berkenaan dengan mana-mana tanah, bangunan atau premis di dalam kawasan pihak berkuasa tempatan;
(ii)
membekalkan elektrik kepada sesiapa yang menjalankan perniagaan atau yang tinggal di luar kawasan pihak berkuasa tempatan;
(iii)
membuat kontrak dengan pihak berkuasa tempatan bagi mana-mana kawasan yang bersempadanan dengannya untuk membekalkan kuasa elektrik kepada pihak berkuasa tempatan itu atas apa-apa terma dan syarat yang dipersetujui;
84 Undang-Undang Malaysia AKTA 171
(iv)
menjual talian, pasangan, pesawat dan perkakas elektrik kepada pengguna;
(cc)
menghendaki pemunya atau penduduk mana-mana premis melakukan mana-mana daripada perbuatan yang berikut:
(i)
menghapuskan, merendahkan atau memangkas dengan memuaskan hati pihak berkuasa tempatan, mana-mana pokok, pokok renek, atau pepagar yang menganjur ke mana-mana jalan atau lebuh atau dengan apa-apa cara mengganggu lalu lintas di mana-mana jalan atau lebuh atau mengganggu mana-mana dawai atau kerja pihak berkuasa tempatan atau yang, pada pendapat pihak berkuasa tempatan, mungkin membahayakan keselamatan atau kesenangan awam dan jika sekiranya mana-mana pokok di premis persendirian tumbang melintang mana-mana jalan atau lebuh, pihak berkuasa tempatan boleh menghapuskan pokok yang tumbang itu dan belanja yang dilakukan hendaklah dipertanggungkan pada pemunya atau penduduk premis itu dan dituntut daripadanya;
(ii)
menghapuskan mana-mana pagar atau rangka bina buruk yang bersempadanan dengan mana-mana tempat awam dan jika pemunya atau penduduk itu tidak mematuhi mana-mana permintaan itu, mana-mana pegawai berkuasa pihak berkuasa tempatan itu boleh mengambil milik premis tersebut itu dan menjalankan apa-apa kerja itu dan seksyen 115 hendaklah terpakai mengenai belanja yang dilakukan bagi berbuat demikian;
(dd)
membuat apa-apa kontrak dengan mana-mana pihak berkuasa tempatan lain atau dengan mana-mana orang untuk menjalankan atau menjalankan selanjutnya di luar kawasan pihak berkuasa tempatan apa-apa kerja atau pengusahaan yang pihak berkuasa tempatan itu diberi kuasa menjalankan;
(ee) tertakluk kepada persetujuan pihak berkuasa yang berkenaan, dan kepada peruntukan mana-mana undang-undang
Kerajaan Tempatan 85
berhubungan dengan hak air, melencongkan, meluruskan, menentukan dan menyalurkan haluan mana-mana anak sungai, saluran atau alur air selepas memberi notis dan membayar pampasan kepada mana-mana pemunya atau penduduk tanah, dan kepada sesiapa yang berhak kepada apa-apa hak atau isemen berkaitan dengan tanah yang bersempadanan dengan anak sungai atau alur air itu:
Dengan syarat bahawa pada menentukan amaun sesuatu pampasan yang kena dibayar perhatian hendaklah diberi kepada nilai naikan atau tambahan, segera atau yang diharapkan, yang mungkin berakru kepada tanah itu oleh sebab pelaksanaan maksud yang tersebut atau mana-mana daripada maksud itu dan amaun pampasan itu hendaklah, jika sekiranya tiada apa-apa persetujuan dicapai, ditentukan dengan jalan timbang tara;
(ff) melakukan segala perkara yang perlu untuk menjalankan segala peruntukan yang baginya atau berkenaan dengannya pihak berkuasa tempatan diberi kuasa dari semasa ke semasa membuat undang-undang kecil, perintah tetap, kaedah-kaedah dan peraturan-peraturan, dan untuk menguatkuasakan segala undang-undang kecil, perintah tetap dan peraturan-peraturan itu;
(gg) menjalankan apa-apa kemajuan, sama ada olehnya sendiri atau dengan mana-mana lain pihak berkuasa tempatan atau orang bagi apa-apa pengusahaan perumahan, perdagangan, perindustrian atau pengusahaan lain yang ditentukan oleh pihak berkuasa tempatan itu; dan
(hh) melakukan segala perbelanjaan yang perlu untuk sambutan sivik yang dibenarkan oleh pihak berkuasa tempatan atau untuk menjalankan mana-mana maksud Akta ini atau apa-apa maksud yang tidak diperuntukkan khas dalam Akta ini iaitu yang ditentukan oleh pihak berkuasa tempatan sebagai maksud yang dikira boleh memudahkan atau berfaedah kepada atau bersampingan dengan penjalanan oleh pihak berkuasa tempatan akan kuasa dan kewajipannya di bawah Akta ini.
86 Undang-Undang Malaysia AKTA 171