Malaysia legislation
Section 2
Seksyen 2
Dalam Akta ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain—
“Ahli Majlis” berhubungan dengan sesuatu pihak berkuasa tempatan, ertinya seseorang yang dilantik di bawah Akta ini untuk berkhidmat dalam pihak berkuasa tempatan itu dan termasuklah
Datuk Bandar atau Yang Dipertuanya;
“bangunan” termasuklah sesebuah rumah, pondok, syed atau kepungan beratap, sama ada digunakan bagi maksud kediaman manusia atau selainnya, dan juga sesuatu tembok, pagar, pelantar, tangki bawah tanah, pementasan, get, tiang, pilar, paling, bingkai, papan dendeng, pelancar, limbungan, dermaga, tembok sambut, jeti, pentas pengkalan, kolam renang, jambatan, landasan keretapi, talian penghantaran, kabel, talian redifusyen, talian paip atas atau bawah tanah, atau apa-apa rangka bina lain, tupang atau asas;
Kerajaan Tempatan 13
“bangunan sementara” ertinya bangunan yang dikelaskan sebagai bangunan sementara di bawah undang-undang kecil bangunan;
“Datuk Bandar” ertinya orang yang pada masa ini menjalankan kewajipan jawatan Datuk Bandar sesuatu Majlis Bandaraya dengan sah di sisi undang-undang dan termasuklah Timbalan Datuk Bandar;
“dokumen hakmilik” ertinya geran, pajakan tanah Kerajaan, sijil hakmilik, hakmilik bersyarat, catatan dalam daftar Mukim, pajakan lombong atau sijil perlombongan dan dokumen lain yang membuktikan hakmilik atau pendaftaran tanah, yang disimpan oleh
Pendaftar Hakmilik atau Pemungut Hasil Tanah;
“kacau ganggu” ertinya sesuatu perbuatan, peninggalan atau benda yang menyebabkan atau mungkin menyebabkan bencana, kegusaran, kesalahan, kerosakan, bahaya atau kecacatan kepada deria penglihatan, bau atau pendengaran atau yang membencanakan atau berbahaya atau yang mungkin membencanakan atau berbahaya kepada kesihatan atau harta atau yang menjejas keselamatan atau hak penduduk umumnya;
“kemajuan” berhubungan dengan sesuatu pegangan, ertinya segala kerja yang dibuat atau segala bahan yang digunakan pada bila-bila masa pada atau untuk faedah pegangan itu oleh pemunya atau penduduknya dengan menggunakan modal atau tenaga diri setakat mana kerja yang dibuat atau bahan yang digunakan itu berkesan untuk menambah nilai pegangan itu;
“kumbahan” mempunyai erti yang sama yang diberikan kepadanya di bawah *Akta Perkhidmatan Pembetungan 1993 [Akta 508];
“lebuh” termasuklah sesuatu jalan, medan, siar kaki, jalan lalu atau jalan susur, sama ada jalan tembus atau tidak, di atas mana orang ramai berhak lalu, dan juga jalan di atas sesuatu jambatan, dan juga termasuklah sesuatu jalan, siar kaki atau jalan lalu, halaman terbuka atau jalan kecil terbuka, yang digunakan atau dicadang untuk digunakan sebagai suatu jalan masuk kepada dua buah pegangan atau lebih, sama ada orang ramai berhak lalu di atasnya atau tidak, dan semua saluran, parit dan longkang di sisi mana-mana lebuh hendaklah disifatkan sebagai sebahagian daripada lebuh itu;
________________________________________________________________________________________________________________
*CATATAN—Akta ini telah dimansuhkan oleh Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 [Akta 655].
14 Undang-Undang Malaysia AKTA 171
“Majlis Bandaraya” ertinya Majlis mana-mana Perbandaran yang telah diberi taraf Bandaraya;
“nilai tahunan” ertinya anggaran kasar sewa tahunan yang munasabah dijangka akan diperolehi dari setahun ke setahun dari pegangan yang berkenaan jika disewakan, dengan tuan tanah membayar belanja bagi pembaikan, insurans, penyenggaraan atau pemeliharaan dan segala kadar dan cukai awam:
Dengan syarat bahawa—
(a)
pada menganggar nilai tahunan tiada apa-apa perkiraan boleh diambil tentang apa-apa sekatan atau kawalan ke atas sewa setakat mana sekatan atau kawalan itu menghadkan sewa yang mungkin dikehendaki oleh seseorang tuan tanah atau dituntut daripada seseorang penyewa sesuatu pegangan;
(b)
pada menganggar nilai tahunan sesuatu pegangan yang ada pada atau di atasnya apa-apa jentera yang digunakan bagi mana-mana atau semua daripada maksud yang berikut:
(i)
membuat apa-apa benda atau sebahagian daripada sesuatu benda;
(ii)
mengubah, membaiki, menghiasi atau menyiapkan apa-apa benda;
(iii)
menyesuaikan apa-apa benda untuk jualan, nilai tambahan yang diberi kepada pegangan itu oleh sebab adanya jentera itu tidak boleh diambil kira, dan bagi maksud perenggan ini “jentera” termasuklah, enjin stim, dandang atau kuasa gerak lain yang berkaitan dengan jentera itu;
(c)
mengenai mana-mana tanah—
(i)
yang sebahagiannya diduduki atau sebahagiannya ada apa-apa binaan di atasnya;
(ii)
yang kosong, tidak diduduki atau tidak ada apa-apa
Kerajaan Tempatan 15
binaan di atasnya;
(iii)
yang ada di atasnya suatu bangunan yang belum siap;
atau
(iv)
yang ada di atasnya suatu bangunan yang telah diperakui oleh pihak berkuasa tempatan sebagai ditinggalkan atau buruk atau tidak layak untuk kediaman manusia, nilai tahunan, mengenai subperenggan (i) ialah sama ada nilai tahunan sebagaimana ditakrifkan di dalam ini sebelum daripada ini atau sepuluh peratus dari nilainya dalam pasaran terbuka mengikut budi bicara mutlak Pegawai Penilai dan, mengenai subperenggan (ii), (iii) dan (iv), nilai tahunan ialah sepuluh peratus dari nilainya dalam pasaran terbuka seolah-olah, berhubungan dengan subperenggan (iii) dan (iv), ia adalah tanah kosong tanpa apa-apa bangunan di atasnya dan dalam segala hal pihak berkuasa tempatan boleh, dengan kelulusan
Pihak Berkuasa Negeri, mengurangkan peratus itu hingga minimum lima peratus;
(d)
jika berkenaan dengan sesuatu pegangan tertentu, Pegawai
Penilai berpendapat bahawa tidak ada keterangan yang cukup untuk membolehkan suatu penilaian dibuat berasaskan keterangan itu tentang nilai tahunan Pegawai Penilai boleh menggunakan apa-apa cara penilaian yang pada pendapatnya sesuai untuk menentukan nilai tahunan;
“nilai tambah” pegangan ertinya harga yang seorang pemunya sanggup dan tidak berkewajipan untuk menjual, boleh mengharap secara berpatutan mendapat daripada seorang pembeli yang sanggup membeli dengannya pemunya itu sedang berunding, tentang penjualan dan pembelian pegangan itu;
“pasar” ertinya sesuatu tempat awam yang biasanya digunakan untuk menjual haiwan atau daging, ikan, buah-buahan, sayur-sayuran atau barang makanan manusia lain yang mudah musnah dan untuk menjual apa-apa pakaian atau barang dagangan lain dan termasuklah semua tanah dan premis yang digunakan dengan apa-apa cara bersama-sama, berkenaan atau bersangkutan dengannya;
16 Undang-Undang Malaysia AKTA 171
“pegangan” ertinya mana-mana tanah yang ada atau tidak ada bangunan di atasnya, yang dipegang di bawah suatu dokumen hakmilik yang berasingan dan, mengenai bangunan yang dipecah bahagi, ertinya harta bersama dan mana-mana petaknya dan, mengenai Pulau Pinang dan Melaka, “pegangan” termasuklah mesuaj, bangunan, isemen dan hereditamen dari apa-apa pemegangan, sama ada terdedah atau terkepung, sama ada bangunan ada di atasnya atau tidak, sama ada awam atau persendirian, dan sama ada disenggara di bawah pihak berkuasa berkanun atau tidak;
“pegangan berkadar” ertinya sesuatu pegangan yang tertakluk kepada pembayaran sesuatu kadar yang dibuat atau dilevi di bawah
Akta ini;
“Pegawai Kesihatan” ertinya pegawai yang pada masa ini menjalankan kewajipan seseorang Pegawai Kesihatan sesuatu pihak berkuasa tempatan dan termasuklah seseorang Penolong Pegawai
Kesihatan;
“Pegawai Penilai” ertinya mana-mana Pegawai Penilai yang dilantik oleh pihak berkuasa tempatan;
“pemunya”—
(a)
berhubungan dengan mana-mana tanah atau bangunan, ertinya tuan punya berdaftar tanah itu dan jika, pada pendapat pihak berkuasa tempatan, tuan punya berdaftar tanah itu tidak dapat dikesan, ertinya orang yang pada masa itu menerima sewa bagi premis yang berkaitan dengannya perkataan itu digunakan sama ada bagi faedahnya sendiri atau sebagai ejen atau pemegang amanah bagi mana-mana orang lain atau sebagai penerima atau yang akan menerima sewa itu jika premis itu disewakan kepada seorang penyewa; dan
(b)
mengenai bangunan yang dipecah bahagi, termasuklah perbadanan pengurusan dan mana-mana tuan punya subsidiari;
“penduduk”
ertinya orang yang menduduki premis yang mengenainya perkataan itu digunakan atau yang berkuasa menjaga,
Kerajaan Tempatan 17
mengurus atau mengawalnya sama ada bagi faedahnya sendiri atau sebagai ejen seorang lain tetapi tidak termasuk seseorang penumpang;
“Pihak Berkuasa Negeri”—
(a)
berhubungan dengan Negeri-negeri Semenanjung Malaysia, ertinya Raja dalam Mesyuarat atau Gabenor dalam Mesyuarat sesebuah Negeri dan termasuklah di Negeri Sembilan Yang di-Pertuan Besar yang bertindak bagi pihak dirinya sendiri dan
Pembesar-pembesar Memerintah; dan
(b)
berhubungan dengan Wilayah Persekutuan, ertinya Menteri yang bertanggungjawab bagi kerajaan tempatan;
“pihak berkuasa tempatan” ertinya mana-mana Majlis Bandaraya,
Majlis Perbandaran atau Majlis Daerah, mengikut mana-mana berkenaan, dan berhubungan dengan Wilayah Persekutuan ertinya
Datuk Bandar Kuala Lumpur yang dilantik di bawah seksyen 4 Akta
Ibu Kota Persekutuan 1960 [Akta 190];
“Senarai Nilaian” ertinya senarai nilaian yang disediakan di bawah
Akta ini;
“Setiausaha” ertinya Ketua Pegawai Pentadbir yang dilantik oleh
Pihak Berkuasa Negeri atau mana-mana pegawai yang pada masa ini menjalankan kewajipan Ketua Pegawai Pentadbir dengan sah di sisi undang-undang;
“tanah” termasuklah benda yang bercantum kepada bumi atau yang terpasang dengan kekalnya kepada sesuatu yang bercantum kepada bumi;
“tanda langit” ertinya apa-apa binaan yang terdiri daripada suatu bingkai, papan dendeng, papan, bar, pilar, tiang, dawai atau sesuatu gabungan daripada benda-benda itu, atau apa-apa binaan yang serupa itu, atau apa-apa benda boleh dilihat yang terapung atau yang ditetapkan kedudukannya dengan ikatan dawai atau dengan alat lain yang boleh dilentur, yang ditunjukkan bagi maksud iklan perdagangan atau profesion dalam sesuatu kedudukan supaya boleh mudah dilihat berlatarkan langit dari mana-mana lebuh atau tempat awam;
18 Undang-Undang Malaysia AKTA 171
“tempat awam” ertinya mana-mana lapangan terbuka, tempat letak kereta, kebun bunga, taman rekreasi dan bersuka-suka atau medan, sama ada terkepung atau tidak, yang dikhas atau diuntukkan bagi kegunaan orang ramai atau yang terbuka kepada orang ramai pada bila-bila masa;
“undang-undang kecil” berhubungan dengan sesuatu pihak berkuasa tempatan ertinya mana-mana undang-undang kecil yang dibuat oleh pihak berkuasa tempatan itu di bawah mana-mana kuasa yang diberi kepada pihak berkuasa tempatan itu bagi maksud itu oleh mana-mana daripada peruntukan Akta ini atau yang berkuat kuasa menurut peruntukan Akta ini;
“Yang Dipertua” ertinya orang yang pada masa ini menjalankan kewajipan jawatan Yang Dipertua suatu Majlis Perbandaran atau
Majlis Daerah dengan sah di sisi undang-undang dan termasuklah
Timbalan Yang Dipertua.