Malaysia legislation
Section 3
of PERATURAN-PERATURAN LEMBAGA PEMBIAYAAN PERUMAHAN SEKTOR AWAM (KELAKUAN DAN TATATERTIB) 2023
Seksyen 3
Dalam Peraturan-Peraturan ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain—
“anak” ertinya—
(a)
anak yang di bawah umur lapan belas tahun bagi seseorang pekerja, termasuk—
P.U. (A) 247 7
(i)
anak yang lahir selepas kematian, anak tiri tanggungan dan anak tidak sah taraf pekerja itu;
(ii)
anak yang diambil sebagai anak angkat oleh pekerja itu di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang berhubungan dengan pengangkatan atau di bawah mana-mana adat atau kelaziman, dengan keterangan yang memuaskan mengenai pengangkatan itu; dan
(b)
anak tidak kira umur yang cacat otak atau hilang upaya dari segi jasmani dan secara kekal dan yang tidak berupaya untuk menanggung dirinya sendiri;
“disabitkan” atau “sabitan”, berhubung dengan seseorang pekerja, ertinya suatu dapatan oleh mahkamah jenayah, termasuk Mahkamah Syariah, yang mempunyai bidang kuasa wibawa di bawah mana-mana undang-undang bertulis bahawa pekerja itubersalah atas suatu kesalahan jenayah;
“emolumen” ertinya segala saraan dalam bentuk wang yang kena dibayar kepada seseorang pekerja dan termasuklah gaji pokok, imbuhan tetap, bayaran insentif dan elaun bulanan lain;
“gaji” ertinya gaji pokok seseorang pekerja;
“institusi kewangan” ertinya bank atau institusi kewangan yang dilesenkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 [Akta 758] atau bank Islam yang dilesenkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 [Akta 759] atau mana-mana bank lain yang ditubuhkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis;
“Jawatankuasa Tatatertib” ertinya Jawatankuasa Tatatertib yang berkenaan yang ditubuhkan di bawah Peraturan-Peraturan Lembaga Pembiayaan Perumahan
Sektor Awam (Jawatankuasa Tatatertib dan Jawatankuasa Rayuan Tatatertib) 2023
[P.U. (A) 248/2023];
P.U. (A) 247 8
“keterhutangan kewangan yang serius” ertinya keadaan keterhutangan seseorang pekerja yang, setelah diambil kira amaun hutang yang ditanggung pekerja itu, telah sebenarnya menyebabkan kesusahan kewangan yang serius kepadanya;
“Ketua Jabatan” ertinya seseorang pegawai yang bertanggungjawab bagi sesuatu jabatan, bahagian, unit atau cawangan di bawah Lembaga, dan termasuklah mana-mana pegawai yang diberi kuasa oleh Lembaga untuk menjalankan fungsi seorang Ketua Jabatan bagi apa-apa tempoh masa;
“Ketua Jabatan Sumber Manusia” ertinya seseorang pegawai yang dilantik sebagai Ketua Jabatan Sumber Manusia yang bertanggungjawab bagi urusan berkaitan tatatertib dan peraturan terhadap pekerja Lembaga;
“koperasi” ertinya koperasi yang didaftarkan di bawah Akta Koperasi 1993
[Akta 502];
“mahkamah” ertinya suatu mahkamah, termasuklah Mahkamah Syariah, yang mempunyai bidang kuasa wibawa di bawah mana-mana undang-undang bertulis untuk membicarakan seseorang bagi sesuatu kesalahan jenayah atau tindakan sivil;
“pekerja” ertinya seseorang yang diambil bekerja secara tetap, sementara atau kontrak oleh Lembaga dan dibayar emolumen oleh Lembaga;
“penanggung insurans”
ertinya penanggung insurans yang dilesenkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 atau pengendali takaful yang didaftarkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013.