Malaysia legislation
Section 3
of PERATURAN-PERATURAN PERLESENAN TENAGA ATOM (PENGURUSAN SISA RADIOAKTIF) 2011
Seksyen 3
Tafsiran
“aras pembersihan” ertinya satu nilai yang diwujudkan oleh Lembaga dan dinyatakan dalam sebutan kepekatan keaktifan atau jumlah keaktifan, yang pada atau bawahnya sumber sinaran boleh dilepaskan daripada kawalan Lembaga sebagaimana yang dinyatakan dalam Jadual Kedua;
“bekas” ertinya tempat sisa radioaktif disimpan bagi pengendalian, pengangkutan, penyimpanan atau pelupusan dan ia merupakan komponen bungkusan sisa;
P.U. (A) 274 7
“buangan” ertinya pelepasan efluen secara terus ke persekitaran yang kemudiannya tersebar;
“bungkusan sisa” ertinya keluaran daripada perapian termasuk bentuk sisa, apa-apa bekas dan sawar dalaman seperti bahan penyerap dan pelapik;
“inventori sisa” ertinya rekod terperinci yang disenggara oleh pemegang lesen mengikut Jadual Keempat;
“jaminan kualiti” ertinya semua tindakan yang terancang dan sistematik yang diperlukan untuk memberikan keyakinan yang mencukupi bahawa bahan, keluaran, kemudahan, struktur, sistem, komponen, proses atau perkhidmatan akan memenuhi kehendak yang diperlukan bagi kualiti;
“Pegawai Pengurusan Sisa Radioaktif” ertinya orang yang dilantik di bawah peraturan 6;
“pelupusan” ertinya penempatan sisa radioaktif atau efluen yang dibuang secara terus;
“pemprosesan” ertinya apa-apa kendalian yang mengubah ciri-ciri sisa radioaktif termasuk prarawatan, rawatan dan perapian;
“pencirian” ertinya penentuan sifat-sifat fizikal, kimia dan radiologi bagi sisa radioaktif untuk mewujudkan keperluan bagi penyesuaian pelarasan, rawatan, perapian yang selanjutnya, atau kesesuaiannya untuk pengendalian, pemprosesan, penyimpanan atau pelupusan;
“pengasingan” ertinya suatu kegiatan apabila sisa radioaktif dipisahkan atau dibiarkan terpisah mengikut sifat radiologi, kimia atau fizikal yang akan memudahkan pengendalian atau pemprosesan sisa radioaktif;
P.U. (A) 274 8
“pengurusan sisa” ertinya semua kegiatan, pentadbiran dan kendalian, yang melibatkan pengendalian, prarawatan, rawatan, perapian, pengangkutan, penyimpanan dan pelupusan sisa radioaktif;
“penyimpanan” ertinya penempatan sisa radioaktif dalam kemudahan yang diluluskan oleh Lembaga di mana pemencilan, perlindungan persekitaran dan kawalan oleh manusia disediakan dengan niat untuk mendapatkan semula sisa radioaktif;
“perapian” ertinya apa-apa kendalian yang menghasilkan satu bungkusan sisa yang sesuai untuk pengendalian, pengangkutan, penyimpanan atau pelupusan;
“rawatan” ertinya suatu proses dan kaedah yang mengubah ciri sisa radioaktif melalui pengurangan isi padu, penyingkiran radionuklid daripada sisa radioaktif atau mengubah komposisi sisa radioaktif yang bertujuan untuk memberi manfaat dari segi keselamatan dan ekonomi;
“sisa radioaktif” ertinya benda atau artikel yang mengandungi radionuklid atau yang tercemar dengan radionuklid pada kepekatan keaktifan atau keaktifan yang melebihi daripada aras pembersihan dan tidak akan digunakan lagi.