Malaysia legislation
Section 15
Seksyen 15
(2)
Pemegang-pemegang amanah atau pemegang amanah tersebut hendaklah, pada atau sebelum 25 haribulan Mac dalam tiap-tiap tahun, atau pada bilabila hari lain yang ditetapkan bagi maksud ini oleh Peguam Negara, menyedia dan membuat akaun-akaun berikut berhubungan dengan kumpulan atau persatuan tersebut—
(a)
akaun mengenai pendapatan kasar yang diperolehi daripada apa-apa endowmen atau yang sepatutnya diperolehi daripadanya sepanjang tahun yang berakhir pada 31 haribulan Disember sebelum sahaja tahun itu, atau pada bila-bila hari lain yang ditetapkan bagi maksud ini oleh Peguam Negara;
(b)
akaun mengenai kesemua baki dalam tangan pada permulaan tahun dan mengenai kesemua wang yang diterima sepanjang tahun yang sama atas akaun persatuan atau kumpulan itu;
(c)
akaun bagi tempoh yang sama mengenai semua pembayaran; dan
(d)
akaun mengenai kesemua wang yang masih belum dibayar kepada atau belum dibayar oleh kumpulan atau persatuan tersebut, setakat mana yang sesuai.
(3)
Akaun-akaun yang ditetapkan di bawah subseksyen (2) hendaklah diperakui di bawah tandatangan seorang atau beberapa orang daripada pemegang-pemegang amanah atau pemegang amanah tersebut dan hendaklah diaudit oleh juruaudit kumpulan atau persatuan itu, jika ada, dan pemegang-pemegang amanah atau pemegang amanah tersebut hendaklah dalam tempoh empat belas hari selepas tarikh yang ditetapkan bagi penyediaan akaun itu menyerahkan atau menghantar satu salinan akaun itu kepada Peguam Negara dan tiap-tiap salinan sedemikian hendaklah terbuka untuk pemeriksaan semua orang pada bila-bila masa yang berpatutan, tertakluk kepada apa-apa peraturan sebagaimana difikirkan oleh Peguam Negara patut dibuat, dan mana-mana orang boleh mendapatkan satu salinan bagi tiap-tiap akaun itu, atau mana-mana bahagiannya, dengan membayar apa-apa fee yang ditetapkan oleh Peguam Negara.
(4)
Pemegang-pemegang amanah atau pemegang amanah tersebut hendaklah, pada waktu yang sama dengan akaun yang ditetapkan di bawah subseksyen (2) diserahkan atau dihantar kepada Peguam Negara mengikut subseksyen (3) pada kali yang pertama selepas pemberian perakuan pemerbadanan menurut Akta ini, menghantar kepada Peguam Negara suatu akaun mengenai apa-apa endowmen yang pada masa itu dipunyai oleh kumpulan atau persatuan itu, dengan menunjukkan mengenai harta tak alih yang tidak ada dalam tangan cara bagaimana harta itu disewa atau diduduki dan mengenai harta alih pelaburan atau penggunaan yang ada mengenainya dan nama atas mana pelaburan itu dibuat, dan kemudiannya pemegang-pemegang amanah atau pemegang amanah tersebut hendaklah, pada tiap-tiap kali akaun itu diserahkan atau dihantar sebagaimana tersebut dulu kepada Peguam Negara selepas pemerolehan sesuatu endowmen yang tidak termasuk ke dalam akaun yang terdahulu, atau selepas pemberian milik, gadaian atau pemindahan mana-mana harta alih atau harta tak alih kepunyaan kumpulan atau persatuan itu, menghantar kepada Peguam Negara akaun yang serupa mengenai endowmen yang kemudian disebut itu dan keterangan mengenai pemberian milik, gadaian atau pemindahan sedemikian, mengikut mana yang berkenaan.