Malaysia legislation

Section 14

of AKTA KETERANGAN 1950

Seksyen 14

Fakta yang menunjukkan kewujudan apa-apa keadaan akal fikiran, seperti niat, pengetahuan, kesucian hati, kecuaian,

Undang-Undang Malaysia 26

Akta 56

kegopohan, niat jahat atau niat baik terhadap mana-mana orang tertentu, atau yang menunjukkan kewujudan apa-apa keadaan tubuh atau perasaan tubuh, adalah berkaitan apabila kewujudan apa-apa keadaan akal fikiran atau keadaan tubuh atau perasaan tubuh itu menjadi persoalan atau berkaitan.

Huraian 1—Sesuatu fakta yang berkaitan sebagai menunjukkan kewujudan suatu keadaan akal fikiran yang berkaitan mestilah menunjukkan bahawa keadaan akal fikiran itu wujud bukan pada amnya tetapi berhubung dengan perkara tertentu yang dipersoalkan.

Huraian 2—Tetapi jika dalam perbicaraan seseorang yang dituduh atas suatu kesalahan, suatu kesalahan yang dilakukan dahulu olehnya adalah berkaitan mengikut pengertian seksyen ini, sabitannya yang dahulu itu hendaklah juga menjadi suatu fakta berkaitan.

(a)

A dituduh menerima barang curi, dengan diketahuinya sebagai barang curi. Dibuktikan bahawa dia memiliki suatu barang curi tertentu.

Fakta bahawa pada masa yang sama dia memiliki banyak barang curi lain adalah berkaitan sebagai cenderung menunjukkan bahawa dia mengetahui yang setiap dan semua barang yang dimilikinya itu barang curi.

(b)

A dituduh menyerahkan secara fraud suatu syiling lancung kepada seorang lain yang pada masa dia menyerahkannya dia tahu ialah syiling lancung.

Fakta bahawa pada masa syiling itu diserahkan A memiliki beberapa keping syiling lancung lain adalah berkaitan.

Fakta bahawa A dahulunya telah disabitkan kerana menyerahkan kepada seorang lain syiling lancung sebagai syiling tulen dengan diketahuinya sebagai syiling lancung, adalah berkaitan.

(c)

A membawa guaman terhadap B kerana kerosakan yang dilakukan oleh anjing B yang diketahui B sebagai anjing garang.

Fakta bahawa anjing itu dahulunya telah menggigit X, Y dan Z, dan bahawa mereka telah membuat aduan kepada B, adalah berkaitan.

(d)

Soalnya adalah sama ada A, penerima suatu bil pertukaran, tahu bahawa nama penerima bayaran bil itu ialah nama ada-adaan.

Fakta bahawa A telah menerima bil lain yang dikeluarkan mengikut cara yang sama sebelum bil itu dapat dikirimkan kepadanya oleh penerima bayarannya, jika penerima bayaran itu ialah orang sebenar, adalah berkaitan, sebagai menunjukkan bahawa A tahu bahawa penerima bayaran itu ialah orang ada-adaan.

Keterangan 27

(e)

A dituduh memfitnahkan B dengan menyiarkan suatu tohmahan yang bertujuan untuk merosakkan reputasi B.

Fakta mengenai penyiaran dahulu yang dibuat oleh A berkenaan dengan

B, yang menunjukkan niat jahat A terhadap B, adalah berkaitan, sebagai membuktikan niat A hendak merosakkan reputasi B dengan penyiaran yang tertentu itu.

Fakta bahawa tiada apa-apa perkelahian telah berlaku dahulunya antara

A dengan B, dan bahawa A telah mengulangi perkara yang diadukan itu sebagaimana yang telah didengarinya, adalah berkaitan sebagai menunjukkan bahawa A tidak bertujuan hendak merosakkan reputasi B.

(f)

A dibawa guaman oleh B kerana membuat representasi secara fraud kepada B bahawa C adalah solven, dan oleh yang demikian B telah menanggung kerugian kerana telah terdorong untuk mempercayai C, yang tidak solven.

Fakta bahawa pada masa A membuat representasi bahawa C adalah solven, C disangka solven oleh jirannya, dan oleh orang yang membuat urusan dengannya, adalah berkaitan sebagai menunjukkan bahawa A telah membuat representasi itu dengan suci hati.

(g)

A dibawa guaman oleh B untuk mendapatkan upah bagi kerja yang telah dibuat olehnya terhadap rumah yang dipunyai oleh A dan kerja itu telah dibuat atas arahan C, seorang kontraktor.

Pembelaan A bahawa kontrak B itu adalah dengan C.

Fakta bahawa A telah membayar C kerana kerja itu adalah berkaitan sebagai membuktikan bahawa A dengan suci hati telah menyerahkan pengurusan kerja itu kepada C dan dengan demikian supaya C boleh membuat kontrak dengan B bagi pihak C sendiri dan bukan sebagai ejen A.

(h)

A dituduh dengan curang melesapkan harta yang telah dijumpainya, dan soalnya adalah sama ada apabila dia melesapkan harta itu, dia percaya dengan suci hati bahawa pemunya sebenarnya tidak dapat dijumpai.

Fakta bahawa notis awam tentang kehilangan harta itu telah diberikan di tempat A berada adalah berkaitan sebagai menunjukkan bahawa A tidak dengan suci hati mempercayai bahawa pemunya sebenar harta itu tidak dapat ditemui.

Fakta bahawa A mengetahui atau mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa notis awam itu telah diberikan secara fraud oleh C, yang telah mendengar kehilangan harta itu dan hendak membuat tuntutan palsu mengenainya, adalah berkaitan sebagai menunjukkan bahawa fakta yang A mengetahui tentang notis itu tidaklah membuktikan sebaliknya tentang suci hati A.

(i)

A dipertuduh menembak ke arah B dengan niat hendak membunuhnya.

Undang-Undang Malaysia 28

Akta 56

Untuk menunjukkan niat A, fakta bahawa dahulunya A telah menembak ke arah B boleh dibuktikan.

(j)

A dipertuduh menghantar surat ancaman kepada B.

Surat ancaman yang dihantar dahulunya oleh A kepada B boleh dibuktikan sebagai menunjukkan niat surat itu.

(k)

Soalnya adalah sama ada A didapati bersalah kerana melakukan penganiayaan terhadap isterinya, B.

Pencurahan perasaan mereka terhadap satu sama lain sejurus sebelum atau selepas penganiayaan yang dikatakan itu, ialah fakta berkaitan.

(l)

Soalnya adalah sama ada kematian A telah disebabkan oleh racun.

Pernyataan yang dibuat oleh A semasa dia sakit tentang gejala penyakitnya ialah fakta berkaitan.

(m)

Soalnya, apakah keadaan kesihatan A pada masa apabila jaminan tentang nyawanya diambil?

Pernyataan yang dibuat oleh A tentang keadaan kesihatannya pada atau hampir dengan masa itu ialah fakta berkaitan.

(n)

A membawa guaman terhadap B atas kecuaiannya mengadakan pengangkut untuk disewa yang tidak semunasabahnya patut digunakan untuk

A dan oleh hal yang demikian A telah cedera.

Fakta bahawa B telah diberitahu pada masa lain tentang kecacatan pengangkut itu adalah berkaitan.

Fakta bahawa B lazimnya cuai mengenai pengangkut yang disewakannya adalah tidak berkaitan.

(o)

A dibicarakan kerana membunuh B dengan menembaknya dengan sengaja sehingga mati.

Fakta bahawa A pada masa lain telah menembak ke arah B adalah berkaitan sebagai menunjukkan niatnya hendak menembak B.

Fakta bahawa telah menjadi kelaziman A menembak ke arah orang dengan niat hendak membunuhnya adalah tidak berkaitan.

(p)

A dibicarakan kerana melakukan suatu jenayah.

Fakta bahawa dia mengatakan sesuatu yang menunjukkan niat hendak melakukan jenayah tertentu itu adalah berkaitan.

Fakta bahawa dia mengatakan sesuatu yang menunjukkan kecenderungan am hendak melakukan jenayah jenis itu adalah tidak berkaitan.

Keterangan 29

Fakta berkenaan dengan soal sama ada perbuatan dilakukan dengan tidak sengaja atau dengan sengaja