Malaysia legislation

Section 21

of AKTA KETERANGAN 1950

Seksyen 21

Pembuktian pengakuan bagi menentang orang yang membuatnya dan oleh atau bagi pihak mereka

Pengakuan adalah berkaitan dan boleh dibuktikan bagi menentang orang yang membuatnya atau wakilnya dari segi kepentingan; tetapi pengakuan itu tidak boleh dibuktikan oleh atau bagi pihak orang yang membuatnya atau oleh wakilnya dari segi kepentingan kecuali dalam hal yang berikut:

(a)

pengakuan boleh dibuktikan oleh atau bagi pihak orang yang membuatnya apabila pengakuan itu adalah daripada jenis yang, jika orang yang membuatnya itu mati, akan menjadi berkaitan antara orang ketiga di bawah seksyen 32;

(b)

pengakuan boleh dibuktikan oleh atau bagi pihak orang yang membuatnya apabila pengakuan itu mengandungi pernyataan tentang kewujudan apa-apa keadaan akal fikiran atau keadaan tubuh yang berkaitan atau yang menjadi persoalan, dan pernyataan itu dibuat pada masa atau lebih kurang pada masa wujudnya keadaan akal fikiran atau keadaan tubuh itu dan disertai dengan kelakuan yang menjadikan kepalsuannya tidak barang kali;

(c)

pengakuan boleh dibuktikan oleh atau bagi pihak orang yang membuatnya jika pengakuan itu berkaitan selain sebagai pengakuan.

(a)

Soal antara A dengan B adalah sama ada sesuatu dokumen tertentu itu dipalsukan atau tidak. A menegaskan bahawa dokumen itu tulen; B menegaskan bahawa dokumen itu dipalsukan.

A boleh membuktikan pernyataan oleh B bahawa dokumen itu tulen, dan

B boleh membuktikan pernyataan oleh A bahawa dokumen itu dipalsukan;

tetapi A tidak boleh membuktikan pernyataan olehnya sendiri bahawa dokumen itu tulen dan juga B tidak boleh membuktikan pernyataan olehnya sendiri bahawa dokumen itu dipalsukan.

Keterangan 33

(b)

A, seorang kapten kapal, dibicarakan kerana membinasakan kapal itu.

Keterangan diberikan bagi menunjukkan bahawa kapal itu telah dibawa keluar dari haluan yang sepatutnya.

A mengemukakan buku yang disenggarakan olehnya dalam perjalanan biasa urusannya, yang menunjukkan cerapan-cerapan yang dikatakan telah dibuat olehnya dari sehari ke sehari, dan menunjukkan bahawa kapal itu tidak dibawa keluar dari haluan yang sepatutnya. A boleh membuktikan pernyataan ini oleh sebab jika dia mati pernyataan ini boleh diterima sebagai keterangan antara pihak ketiga di bawah perenggan 32(1)(b).

(c)

A dituduh melakukan suatu jenayah di Kuala Lumpur. Dia mengemukakan sepucuk surat yang ditulis olehnya sendiri yang bertarikh di Pulau Pinang pada hari itu, dan mengandungi cap pos Pulau Pinang untuk hari itu.

Pernyataan mengenai tarikh surat itu boleh diterima oleh sebab jika A mati pernyataan itu boleh diterima di bawah perenggan 32(1)(b).

(d)

A dituduh menerima barang-barang curi dengan diketahuinya sebagai barang-barang curi.

Dia menawarkan untuk membuktikan bahawa dia telah enggan menjualnya dengan harga yang kurang daripada nilainya.

A boleh membuktikan pernyataan ini walaupun pernyataan ini ialah pengakuan, oleh sebab pernyataan ini menghuraikan kelakuan yang dipengaruhi oleh fakta persoalan.

(e)

A dituduh memiliki secara fraud syiling lancung yang dia tahu sebagai lancung.

Dia menawarkan untuk membuktikan bahawa dia telah meminta seorang yang mahir untuk memeriksa syiling itu kerana dia ragu-ragu sama ada syiling itu ialah syiling lancung atau tidak, dan bahawa orang itu telah memeriksa syiling itu dan telah memberitahunya bahawa syiling itu adalah tulen.

A boleh membuktikan fakta ini kerana sebab yang dinyatakan dalam misalan (d).

Bila pengakuan lisan tentang kandungan dokumen menjadi berkaitan