Malaysia legislation
Section 19
Seksyen 19
(2)
Suatu langkah interim ialah apa-apa langkah sementara, sama ada dalam bentuk suatu award atau dalam bentuk yang lain, yang melaluinya, pada bila-bila masa sebelum pengeluaran award yang daripadanya pertikaian itu akhirnya diputuskan, tribunal timbang tara memerintahkan suatu pihak untuk—
(a)
mengekalkan atau memulihkan status quo sementara penentuan pertikaian itu selesai;
(b)
mengambil tindakan yang boleh mencegah atau menghalang daripada mengambil tindakan yang berkemungkinan menyebabkan kemudaratan semasa atau kemudaratan hampir atau menjejaskan proses timbang tara itu;
(c)
menyediakan suatu cara untuk pemeliharaan aset yang daripadanya suatu award yang berikutnya dapat dijelaskan;
(d)
memelihara keterangan yang relevan dengan dan penting kepada penyelesaian pertikaian itu; atau
(e)
menyediakan jaminan bagi kos pertikaian itu.
(3)
(Dipotong oleh Akta A1569).
Timbang Tara 23
Syarat-syarat bagi pemberian langkah interim 19a. (1) Pihak yang meminta bagi perintah langkah interim di bawah perenggan 19(2)(a), (b) atau (c) hendaklah memuaskan hati tribunal timbang tara bahawa—
(a)
kemudaratan yang tidak dapat dibetulkan secukupnya melalui suatu award ganti rugi mungkin berlaku jika langkah itu tidak diperintahkan, dan kemudaratan sedemikian pada matannya mengatasi kemudaratan yang mungkin berlaku kepada pihak yang terhadapnya langkah itu diarahkan jika langkah itu diberikan; dan
(b)
terdapat suatu kemungkinan munasabah bahawa pihak yang meminta akan berjaya atas merit tuntutan itu.
(2)
Penentuan kemungkinan munasabah yang disebut dalam perenggan (1)(b) tidaklah menjejaskan budi bicara tribunal timbang tara dalam membuat apa-apa penentuan yang berikutnya yang berhubungan dengan pertikaian itu.
(3)
Berkenaan dengan permintaan bagi suatu perintah langkah interim di bawah perenggan 19(2)(d), syarat-syarat dalam subseksyen (1) dan (2) hendaklah terpakai hanya setakat yang difikirkan sesuai oleh tribunal timbang tara.
Permohonan untuk perintah permulaan dan syarat-syarat untuk pemberian perintah permulaan 19b. (1) Melainkan jika dipersetujui selainnya oleh pihak-pihak, suatu pihak boleh, tanpa notis kepada mana-mana pihak yang lain, membuat permintaan bagi suatu langkah interim bersama-sama dengan suatu permohonan bagi suatu perintah permulaan yang mengarahkan suatu pihak untuk tidak menghalang maksud langkah interim yang diminta.
(2)
Tribunal timbang tara boleh memberikan suatu perintah permulaan dengan syarat tribunal timbang tara berpendapat bahawa penzahiran sebelum permintaan bagi langkah interim itu kepada pihak yang terhadapnya langkah itu diarahkan itu berisiko untuk menghalang tujuan langkah itu.
Undang-Undang Malaysia 24
Akta 646
(3)
Syarat-syarat yang dinyatakan dalam seksyen 19a hendaklah terpakai bagi apa-apa perintah permulaan dengan syarat bahawa kemudaratan yang dinilai di bawah perenggan 19a(1)(a) ialah kemudaratan yang mungkin berlaku daripada perintah itu diberikan atau tidak.
Rejim spesifik untuk perintah permulaan 19c. (1) Sebaik selepas tribunal timbang tara membuat suatu penentuan berkenaan dengan suatu permohonan bagi perintah permulaan, tribunal timbang tara hendaklah—
(a)
memberikan notis kepada semua pihak tentang permintaan bagi langkah interim, permohonan bagi perintah permulaan, perintah permulaan, jika ada, dan semua komunikasi lain, termasuk dengan menunjukkan kandungan apa-apa komunikasi lisan, antara mana-mana pihak dengan tribunal timbang tara yang berkaitan dengannya; dan
(b)
memberikan peluang kepada mana-mana pihak yang terhadapnya suatu perintah permulaan diarahkan untuk mengemukakan kesnya pada seawal waktu yang boleh dilaksanakan.
(2)
Tribunal timbang tara hendaklah dengan segera memutuskan tentang apa-apa bantahan kepada perintah permulaan itu.
(3)
Suatu perintah permulaan hendaklah habis tempoh selepas dua puluh hari dari tarikh perintah itu dikeluarkan oleh tribunal timbang tara.
(4)
Walau apa pun subseksyen (3), tribunal timbang tara boleh mengeluarkan suatu langkah interim yang menerima pakai atau mengubah suai perintah permulaan itu, selepas pihak yang terhadapnya perintah permulaan itu diarahkan telah diberikan notis dan peluang untuk mengemukakan kesnya.
(5)
Suatu perintah permulaan hendaklah mengikat pihak-pihak tetapi tidak tertakluk kepada apa-apa penguatkuasaan oleh
Mahkamah Tinggi.
(6)
Perintah permulaan yang disebut dalam subseksyen (5)
tidaklah menjadi suatu award.
Timbang Tara 25
Pengubahsuaian, penggantungan atau penamatan 19d. Tribunal timbang tara boleh mengubah suai, menggantung atau menamatkan suatu langkah interim yang telah diberikan olehnya, atas permohonan oleh mana-mana pihak atau, dalam hal keadaan yang luar biasa dan dengan notis kepada pihak-pihak terlebih dahulu, atas inisiatif tribunal timbang tara itu sendiri.
Pengadaan jaminan 19e. (1) Tribunal timbang tara boleh menghendaki pihak yang meminta bagi suatu langkah interim untuk mengadakan jaminan yang sesuai berkaitan dengan langkah itu.
(2)
Tribunal timbang tara hendaklah menghendaki pihak yang memohon bagi suatu perintah permulaan untuk mengadakan jaminan berkaitan dengan perintah itu melainkan jika tribunal timbang tara berpendapat bahawa adalah tidak sesuai atau tidak perlu untuk berbuat demikian.
Penzahiran 19f. (1) Tribunal timbang tara boleh menghendaki mana-mana pihak dengan segera menzahirkan apa-apa perubahan material dalam hal keadaan yang berdasarkannya langkah interim atau perintah permulaan itu diminta atau dimohon atau diberikan.
(2)
Pihak yang memohon bagi suatu perintah permulaan hendaklah menzahirkan kepada tribunal timbang tara semua hal keadaan yang mungkin berkaitan dengan penentuan tribunal timbang tara sama ada untuk memberikan atau mengekalkan perintah itu dan obligasi sedemikian hendaklah berterusan sehingga pihak yang terhadapnya perintah itu diminta mempunyai peluang untuk mengemukakan kesnya.
Kos dan ganti rugi 19g. (1) Pihak yang meminta suatu langkah interim atau memohon suatu perintah permulaan hendaklah bertanggungan bagi apa-apa kos dan ganti rugi yang disebabkan oleh langkah interim atau perintah permulaan itu kepada mana-mana pihak jika tribunal timbang tara kemudiannya menentukan bahawa, dalam hal keadaan itu, langkah interim atau perintah permulaan itu tidak sepatutnya diberikan.
Undang-Undang Malaysia 26
Akta 646
(2)
Tribunal timbang tara boleh mengaward apa-apa kos dan ganti rugi yang disebut dalam subseksyen (1) pada bila-bila masa semasa prosiding.
Pengiktirafan dan penguatkuasaan 19h. (1) Tertakluk kepada peruntukan seksyen 19i, suatu langkah interim yang dikeluarkan oleh suatu tribunal timbang tara hendaklah diiktiraf sebagai mengikat dan, melainkan jika diperuntukkan selainnya oleh tribunal timbang tara, dikuatkuasakan atas permohonan kepada mahkamah kompeten, tidak kira negara mana yang mengeluarkannya.
(2)
Pihak yang menuntut atau telah mendapat pengiktirafan atau penguatkuasaan suatu langkah interim hendaklah dengan segera memaklumkan mahkamah tentang apa-apa penamatan, penggantungan atau pengubahsuaian langkah interim itu.
(3)
Mahkamah di mana pengiktirafan atau penguatkuasaan diperoleh boleh, jika difikirkannya wajar, memerintahkan pihak yang meminta untuk memberikan jaminan yang sesuai jika tribunal timbang tara itu belum membuat penentuan mengenai jaminan atau jika keputusan sedemikian adalah perlu untuk melindungi hak pihak ketiga.
Alasan untuk menolak pengiktirafan atau penguatkuasaan 19i. (1) Pengiktirafan atau penguatkuasaan suatu langkah interim boleh ditolak hanya—
(a)
atas permintaan pihak yang terhadapnya ia dibangkitkan jika Mahkamah Tinggi berpuas hati bahawa—
(i)
penolakan sedemikian diwajarkan atas alasan yang dinyatakan dalam subperenggan 39(1)(a)(i), (ii),
(iii)
, (iv), (v) atau (vi);
(ii)
keputusan tribunal timbang tara mengenai pengadaan jaminan yang berkaitan dengan langkah interim yang dikeluarkan oleh tribunal timbang tara tidak dipatuhi; atau
Timbang Tara 27
(iii)
langkah interim itu telah ditamatkan atau digantung oleh tribunal timbang tara atau, jika diberi kuasa sedemikian, oleh mahkamah Negara yang dalamnya timbang tara itu dijalankan atau di bawah undang-undang yang langkah interim itu diberikan; atau
(b)
jika Mahkamah Tinggi mendapati bahawa—
(i)
langkah interim itu tidak selaras dengan kuasa yang diberikan oleh Mahkamah tetapi Mahkamah boleh memutuskan untuk merumuskan semula langkah interim itu setakat yang perlu, tanpa mengubah suai isinya, untuk menyesuaikannya dengan kuasa dan tatacara Mahkamah bagi maksud menguatkuasakan langkah interim itu;
atau
(ii)
apa-apa yang dinyatakan dalam subperenggan 39(b)(i) atau (ii) terpakai bagi pengiktirafan dan penguatkuasaan langkah interim itu.
(2)
Apa-apa penentuan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi atas apa-apa alasan dalam subseksyen (1) hendaklah berkuat kuasa hanya bagi maksud permohonan untuk mengiktiraf atau menguatkuasakan langkah interim itu.
(3)
Mahkamah Tinggi di mana pengiktirafan atau penguatkuasaan itu diminta tidak boleh, dalam membuat apa-apa penentuan atas apa-apa alasan dalam subseksyen (1), melakukan kajian semula terhadap isi langkah interim itu.
Langkah interim yang diperintah oleh mahkamah 19j. (1) Mahkamah Tinggi hendaklah mempunyai kuasa untuk mengeluarkan suatu langkah interim berhubung dengan prosiding timbang tara, tidak kira sama ada tempat timbang tara adalah di Malaysia.
(2)
Mahkamah Tinggi hendaklah melaksanakan kuasa yang disebut dalam subseksyen (1) mengikut tatacaranya sendiri dengan mengambil kira ciri-ciri spesifik timbang tara antarabangsa.
Undang-Undang Malaysia 28
Akta 646
(3)
Jika suatu pihak memohon kepada Mahkamah Tinggi bagi apa-apa langkah interim dan suatu tribunal timbang tara telah memutuskan tentang apa-apa perkara yang berkaitan dengan permohonan itu, Mahkamah Tinggi hendaklah menganggap apa-apa penemuan fakta yang dibuat semasa keputusan yang sedemikian dibuat oleh tribunal timbang tara sebagai muktamad bagi maksud permohonan itu.