Malaysia legislation
Section 2
Seksyen 2
Tafsiran
“Akta yang dimansuhkan” ertinya Akta Lembaga Penyelidikan dan Pembangunan Perhutanan Malaysia 1985 [Akta 319] yang dimansuhkan di bawah subseksyen 46(1);
“anggota Institut” ertinya anggota Institut yang dilantik di bawah seksyen 7 dan termasuklah anggota silih ganti yang dilantik di bawah seksyen 9;
“dapatan penyelidikan” ertinya apa-apa hasil daripada apa-apa aktiviti penyelidikan dan pembangunan, dan termasuklah penemuan, rekaan, inovasi dan kemajuan dalam apa-apa proses, radas, mesin atau teknik;
“hasil hutan” ertinya—
(a)
hasil dalam bentuk yang belum diproses atau telah diproses sebahagiannya, dan termasuklah kayu balak, kayu jaras, kayu api, kayu getah, batang dan gentian kelapa sawit dan sisanya, batang kelapa dan batang palma lain, kayu gaharu dan kayu lain yang berbau, gam, damar dan oleoresin, minyak kayu, daun, rotan, buluh, biji benih, kacang, pucuk, akar, mengkuang, tumbuhan ubatan, tumbuhan beraroma, tanih, mikroorganisma dan apa-apa jenis hasil lain yang seumpamanya sama ada sekarang atau pada masa hadapan;
(b)
hasil yang telah menjalani pemprosesan atau yang bentuknya telah diubah, dan termasuklah kayu gergaji, arang kayu, minyak pati, kayu serpai dan tatal kayu, kayu kisar, kayu terolah dan kayu kumai, papan lapis dan venir, papan partikel dan papan gentian, papan cantum, papan lamin dan hasil panel lain berasaskan kayu yang diubah suai, kayu pulpa, kertas dan hasil daripada kertas, kayu glu lam, tumbuhan kultur tisu, ekstrak kimia dan protein, bahan atau terbitan bagi penghasilan farmaseutikal, neutraseutikal, kosmeseutikal dan makanan fungsian dan hasil lain yang diproses atau diubah yang berasal daripada hasil sebagaimana yang dinyatakan dalam perenggan (a); dan
Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia 9
(c)
hasil dalam bentuk yang telah siap, dan termasuklah atap, kayu landasan kereta api dan trem, perabot, kraftangan dan mainan daripada kayu, pemegang alat daripada kayu, cerucuk, pancang dan kayu pancang, bingkai gambar daripada kayu, kotak bungkusan daripada kayu, perkakas rumah daripada kayu, bakul, barang anyaman dan barang lain daripada anyaman, pensil dan hasil siap lain yang keseluruhannya atau sebahagiannya dibuat daripada hasil sebagaimana yang dinyatakan dalam perenggan (a) atau (b);
“industri berasaskan hutan” ertinya semua industri yang terlibat dengan penuaian, pengekstrakan, pengujian, pemprosesan, pengilangan, pengawetan dan pengeringan hasil hutan, dan perkhidmatan berhubungan dengannya;
“Institut” ertinya Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia yang terus wujud dan dengan pertukaran nama dalam bahasa
Inggeris kepada “Forest Research Institute Malaysia” di bawah seksyen 3;
“Ketua Pengarah” ertinya Ketua Pengarah yang dilantik di bawah seksyen 15;
“Kumpulan Wang” ertinya Kumpulan Wang Institut Penyelidikan
Perhutanan Malaysia yang ditubuhkan di bawah seksyen 23;
“Menteri” ertinya Menteri yang dipertanggungkan dengan tanggungjawab bagi perhutanan;
“pembangunan hutan” ertinya dasar dan aktiviti pengurusan dan pembangunan bagi semua hutan semula jadi dan buatan manusia berdasarkan prinsip ekologi dan sosioekonomi yang kukuh bagi maksud yang khusus untuk kedua-dua pengeluaran hasil hutan dan perlindungan alam sekitar;
“pemuliharaan” ertinya melindungi sumber genetik, kepelbagaian spesies dan ekosistem, dan juga penggunaan mampan sumber biologi dan perkongsian faedah sumber biologi secara saksama untuk memenuhi keperluan dan aspirasi generasi masa kini dan akan datang;
“Pengerusi” ertinya Pengerusi Institut yang dilantik di bawah perenggan 7(a) dan termasuklah mana-mana anggota Institut yang dilantik untuk melaksanakan fungsi Pengerusi di bawah seksyen 10.
Undang-Undang Malaysia 10
Akta 782