Malaysia legislation
Section 26
Seksyen 26
Kepentingan pekongsi-pekongsi dalam harta perkongsian, dan hak dan tugas mereka berhubungan dengan perkongsian itu, hendaklah ditentukan, tertakluk kepada apa-apa perjanjian, secara ternyata atau tersirat, di antara pekongsi-pekongsi itu, oleh kaedah-kaedah berikut:
(a)
semua pekongsi adalah berhak berkongsi secara sama rata modal dan keuntungan urusan itu, dan mestilah membuat caruman secara sama rata terhadap kerugian, sama ada kerugian modal atau sebaliknya, yang dialami oleh firma itu;
(b)
firma mestilah menanggung-rugi tiap-tiap pekongsi berkenaan dengan bayaran yang dibuat dan liabiliti yang ditanggung olehnya—
(i)
dalam perjalanan biasa dan wajar urusan firma itu; atau
(ii)
dalam atau mengenai apa-apa yang perlu dilakukan bagi pemeliharaan urusan atau harta firma itu;
(c)
seseorang pekongsi yang membuat, bagi maksud perkongsian, apa-apa bayaran atau pendahuluan sebenar yang melebihi amaun modal yang dia telah bersetuju untuk menyumbang, adalah berhak kepada bunga atas kadar lapan peratus setahun dari tarikh bayaran atau pendahuluan itu;
(d)
seseorang pekongsi tidak berhak, sebelum keuntungan ditentukan, kepada bunga atas modal yang disumbangkan olehnya;
(e)
tiap-tiap pekongsi boleh mengambil bahagian dalam mengurus urusan perkongsian itu;
(f)
tiada seorang pun pekongsi boleh berhak menerima saraan kerana bertindak dalam urusan perkongsian itu;
(g)
tiada seorang pun boleh diterima sebagai seorang pekongsi tanpa persetujuan semua pekongsi yang ada;
(h)
sesuatu perbalahan yang timbul mengenai perkara-perkara biasa yang berkaitan dengan urusan perkongsian boleh diputuskan oleh majoriti pekongsi, tetapi tiada pertukaran boleh dibuat bagi jenis urusan perkongsian itu tanpa persetujuan semua pekongsi yang ada; dan
(i)
buku-buku perkongsian hendaklah disimpan di tempat urusan perkongsian (atau di tempat utama, jika ada lebih daripada satu tempat) dan tiap-tiap pekongsi, apabila difikirkannya patut, boleh ada akses kepada dan memeriksa dan menyalin mana-mana daripada buku-buku itu.