Malaysia legislation

Section 16

of AKTA MAHKAMAH KEHAKIMAN 1964

Seksyen 16

Kaedah-kaedah mahkamah boleh dibuat bagi maksud yang berikut:

(a)

bagi mengawal selia dan menetapkan tatacara (termasuk aturan pliding) dan amalan yang hendaklah diikuti di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan dalam segala apa jua pun kausa dan perkara yang dalamnya atau berkenaan dengannya Mahkamah itu pada masa ini mempunyai bidang kuasa (termasuk tatacara dan amalan yang hendaklah diikuti di pejabat pendaftaran Mahkamah itu), dan apa-apa perkara yang bersampingan dengan atau yang berhubungan dengan apa-apa tatacara atau amalan itu, termasuk (tetapi tanpa menjejaskan keluasan peruntukan yang terdahulu) cara yang mengikutnya, dan masa yang dalamnya, apa-apa permohonan yang akan dibuat kepada Mahkamah Tinggi, kepada Mahkamah Rayuan atau kepada Mahkamah Persekutuan hendaklah dibuat;

(b)

bagi mengawal selia dan menetapkan tatacara mengenai rayuan civil atau jenayah daripada mana-mana mahkamah atau orang kepada Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Persekutuan;

(c)

(Dipotong oleh Akta A606);

(d)

bagi mengawal selia penguatkuasaan dan pelaksanaan oleh suatu Mahkamah Tinggi dekri, penghakiman dan perintah Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi yang satu lagi;

(e)

bagi menetapkan bahagian manakah daripada urusan yang boleh ditransaksikan dan daripada bidang kuasa yang boleh dijalankan oleh Hakim dalam mahkamah atau dalam kamar boleh ditransaksikan atau dijalankan oleh Pendaftar;

(f)

bagi menetapkan fi dan peratusan yang hendaklah diambil di dalam mana-mana Mahkamah dan bagi mengawal selia apa-apa perkara yang berhubungan dengan kos prosiding di dalam mana-mana Mahkamah;

(g)

bagi mengawal selia cara yang melaluinya fakta tertentu boleh dibuktikan, dan kaedah yang mengikutnya keterangan mengenainya boleh diberikan, dalam apa-apa prosiding atau atas apa-apa permohonan berkaitan dengan, atau pada mana-mana peringkat, apa-apa prosiding;

(h)

bagi mengawal selia percantuman pihak dan bagi menetapkan dalam hal-hal apakah orang yang tidak hadir, tetapi mempunyai kepentingan dalam sesuatu kausa atau perkara, hendaklah terikat dengan apa-apa perintah yang dibuat dalamnya, dan dalam hal apakah perintah boleh dibuat bagi pewakilan orang yang tidak hadir oleh satu pihak atau lebih dalam sesuatu kausa atau perkara;

(i)

bagi mengawal selia kadar bunga yang kena dibayar atas segala hutang, termasuklah hutang penghakiman, atau atas jumlah wang yang didapati kena dibayar ketika mengambil akaun antara pihak, atau atas jumlah wang yang didapati kena dibayar dan belum dijelaskan oleh penerima atau orang lain yang bertanggungan untuk memberi akaun kepada Mahkamah:

Dengan syarat bahawa apa-apa kadar bunga tidak boleh sekali-kali melebihi lapan peratus setahun, melainkan jika telah dipersetujui selainnya antara pihak-pihak;

(j)

bagi mengawal selia kaedah yang mengikutnya sesuatu writ penyitaan dan penjualan boleh dilaksanakan, dan cara yang mengikutnya penyitaan boleh dibuat ke atas apa-apa harta yang boleh disita di bawahnya, dan kaedah penjualan oleh Syerif atau mana-mana pegawai lain Mahkamah apa-apa harta yang disita sedemikian, dan cara yang mengikutnya hak dan hakmilik pembeli harta itu di mana-mana penjualan oleh mana-mana pegawai Mahkamah boleh dijaminkan kepada pembeli;

(k)

bagi mengawal selia penzahiran harta penghutang penghakiman untuk membantu pelaksanaan apa-apa penghakiman;

(l)

bagi mengawal selia pengambilan keterangan di hadapan seorang pemeriksa atau atas tauliah atau dengan surat permintaan, dan bagi menetapkan hal keadaan yang dalamnya keterangan yang diambil sedemikian boleh dibaca dalam perbicaraan sesuatu tindakan;

(m)

bagi menetapkan dalam hal apakah Mahkamah boleh bertindak atas perakuan akauntan, aktuari atau orang sains lain;

(n)

bagi menetapkan tugas Akauntan Negara berkenaan dengan wang atau harta dalam jagaan Mahkamah, dan khususnya bagi menetapkan kaedah pemindahan sekuriti kepada nama Akauntan Negara, dan cara pelaburan mana-mana wang itu, dan kadar bunga yang hendaklah dikenakan ke atasnya, dan, sehingga peruntukan lain dibuat berkenaan dengannya, cara yang mengikutnya wang tidak dituntut boleh diperlakukan;

(o)

bagi meminda, menukar atau menambah borang yang dinyatakan dalam mana-mana undang-undang bertulis yang berhubungan dengan tatacara jenayah; dan

(p)

bagi apa-apa maksud yang baginya kaedah-kaedah mahkamah boleh dibuat di bawah mana-mana undang-undang bertulis.

Section 16 — COURTS OF JUDICATURE ACT 1964 | mylaw.my