Malaysia legislation
Section 3
Seksyen 3
Dalam Akta ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain—
“bejana tekanan berapi” ertinya suatu bejana tertutup di bawah tekanan yang lebih kuat daripada tekanan atmosfera yang tertakluk
Kilang dan Jentera 11
kepada pembakaran terus, tetapi tidak termasuk dandang stim;
“bejana tekanan tidak berapi” ertinya mana-mana bejana tertutup di bawah tekanan yang lebih kuat daripada tekanan atmosfera oleh apa-apa gas atau campuran atau gabungan gas dan termasuklah mana-mana bejana di bawah tekanan stim di luar dandang stim dan mana-mana bejana yang di bawah tekanan cecair atau gas atau kedua-duanya, dan mana-mana bejana yang secara dalamannya tertakluk kepada suatu tekanan yang kurang daripada tekanan atmosfera tetapi tidak termasuk silinder gas;
“bekas gas” ertinya apa-apa struktur berbentuk loceng yang terapung di dalam tangki berisi air, yang di dalamnya gas dikumpulkan untuk pengedaran;
“benda” ertinya apa-apa pepejal, cecair atau gas atau apa-apa gabungannya dan termasuklah juga tenaga elektrik;
“bilik bawah tanah” ertinya apa-apa bilik yang, atau mana-mana bahagiannya yang letaknya sekurang-kurangnya setengah daripada ukuran tingginya yang diukur dari lantai ke siling, adalah di bawah permukaan tanah yang bersebelahan dengan bilik itu;
“dandang stim” ertinya apa-apa bejana tertutup yang bagi apa-apa maksud stim dijanakan di bawah tekanan yang lebih tinggi daripada tekanan atmosfera, dan termasuk mana-mana penjimat yang digunakan untuk memanaskan air yang disalurkan kepada bejana itu, dan mana-mana pemanas lampau yang digunakan untuk memanasan stim, dan mana-mana paip dan pepasangan yang bersambung dengannya;
“ditetapkan” ertinya yang ditetapkan oleh Menteri melalui peraturan yang dibuat di bawah Akta ini;
“drebar” ertinya seseorang yang memegang suatu perakuan kekompetenan drebar enjin yang dikeluarkan di bawah seksyen 30;
“jentera” termasuklah dandang stim, bejana tekanan tidak berapi, bejana tekanan berapi, talian paip, penggerak utama, silinder gas,
12 Undang-Undang Malaysia AKTA 139
bekas gas, mesin angkat dan takal, jentera penghantaran, jentera dipacu, kelengkapan pengendalian bahan, peranti hiburan atau apa-apa jentera lain yang serupa dan apa-apa kelengkapan untuk menuang, memotong, mengimpal atau mengelektroenapan bahan dan untuk menyembur dengan cara tekanan gas atau udara bahan atau bahan lain, tetapi tidaklah termasuk—
(a)
apa-apa jentera yang digunakan bagi menggerakkan kenderaan selain dandang stim atau enjin stim;
(b)
apa-apa jentera yang dijalankan dengan tenaga manusia selain mesin angkat;
(c)
apa-apa jentera yang digunakan semata-mata bagi maksud persendirian dan domestik; atau
(d)
mesin pejabat;
“jentera dipacu” termasuklah apa-apa mesin atau alat yang gerakannya diperoleh daripada jentera penghantaran;
“jentera penghantaran” ertinya tiap-tiap aci, roda, gelendong, kapi, sistem kapi dipasang mati dan boleh ditanggalkan, gandingan, cekam, tali pemacu atau peranti lain yang dengannya gerakan sesuatu penggerak utama atau sumber kuasa mekanik lain dipindahkan kepada atau diterima oleh mana-mana mesin atau alat;
“jurutera” ertinya seseorang yang memegang suatu perakuan kekompetenan jurutera yang dikeluarkan di bawah seksyen 30;
“kacau-ganggu” ertinya apa-apa perbuatan, peninggalan atau perkara yang menyebabkan atau mungkin menyebabkan kecederaan, kegusaran, kesalahan, kecelakaan, bahaya atau kerosakan terhadap deria lihat, bau atau dengar, yang mencederakan atau yang mungkin mencederakan atau membahayakan kesihatan atau harta;
“kapal korek” ertinya suatu struktur terapung yang digunakan untuk memperoleh bijih timah, untuk mengorek sungai dan jalan air atau
Kilang dan Jentera 13
bagi maksud penebusan tanah, dan termasuklah kapal korek jenis sauk dan kapal korek jenis pemotong penyedut;
“kecederaan badan” termasuklah kecederaan kepada kesihatan;
“kecederaan badan yang teruk” ertinya mana-mana kecederaan yang disenaraikan dalam Jadual Kedua;
“kejadian berbahaya” ertinya apa-apa kejadian dalam mana-mana kelas yang disenaraikan dalam Jadual Pertama;
“kelengkapan pengendalian bahan” ertinya apa-apa kelengkapan kuasa terpacu bagi mengendalikan bahan, dan termasuklah forklift, konveyor, penindan, pengorek, traktor, pembuang atau jentolak tetapi tidak termasuk mesin angkat;
“keluaran petroleum” ertinya bahan yang berasal daripada petroleum, gas asli atau mendapan asfalt, dan termasuklah gasolin, kerosin, bahan api diesel, minyak bahan api, minyak pelincir, gas petroleum cecair, lilin, gris, butana, benzena, propana dan apa-apa seumpamanya cecair yang mudah bakar dan cecair bahan mudah terbakar;
“keluasan lantai kerja” ertinya kawasan yang diliputi oleh premis dan segala perkarangan, halaman dan laman kilang yang didapati daripada pelan atau pelan kasar yang dikemukakan pada masa pemberitahuan termasuk semua keluasan lantai di atas dan di bawah paras bumi:
Dengan syarat bahawa titian samping, tangga dan apa-apa akses lain kepada jentera tidak boleh diambil kira apabila menghitung keluasan lantai kerja;
“kemudahan kebersihan” termasuklah tempat membuang air kecil, tandas pam, tandas tanah, tandas jenis lubang kapur dan kemudahan yang seumpamanya;
“kerja binaan kejuruteraan”
ertinya pembinaan, peluasan, pemasangan, pembaikan, penyenggaraan, pembaharuan, pembuangan, pengubahsuaian, pengubahan, penanggalan, atau
14 Undang-Undang Malaysia AKTA 139
perobohan—
(a)
apa-apa pembinaan, bangunan besar, struktur, kaison, tiang, menara, pilon, dinding, pagar atau serombong, sama ada yang dibina secara keseluruhannya atau sebahagiannya di atas atau di bawah aras tanah;
(b)
apa-apa kerja pembinaan jalan, dok, kerja pelabuhan, landasan, sisian, jalan kabel, landasan trem, pengemudi pedalaman, padang terbang atau lapangan terbang kecil;
(c)
apa-apa sistem saliran, pembentungan, kerja kumbahan, pengairan, kerja pengawalan sungai, kerja membenteng laut atau binaan mengekalkan tanah;
(d)
apa-apa kerja elektrikal, mekanikal, air, gas, petrokimia atau telekomunikasi; atau
(e)
apa-apa jambatan, jejambat, empangan, takungan, lagun, kerja tanah, talian paip, betung, akueduk, haluan, syaf, terowong atau kerja penebusgunaan, dan termasuklah—
(aa) apa-apa acuan, penyangga sementara, perancah atau apa-apa kerja yang merupakan yang perlu bagi, atau persediaan kepada atau sementara kepada, kerja yang dinyatakan dalam perenggan (a) hingga (e):
(bb) pembersihan tapak, pemeriksaan dan penambahbaikan tanah, pemindahan tanah, penggalian, penyediaan asas, pemulihan tapak dan pelandskapan; dan
(cc)
apa-apa kerja lain yang boleh ditentukan oleh Menteri.
Kilang dan Jentera 15
“ketua kapal korek” ertinya seseorang yang memegang suatu perakuan kekompetenan ketua kapal korek yang dikeluarkan di bawah seksyen 30;
“Ketua Pemeriksa”, “Timbalan Ketua Pemeriksa”, “Pemeriksa
Kanan” dan “Pemeriksa” masing-masing ertinya Ketua Pemeriksa
Kilang dan Jentera, Timbalan Ketua Pemeriksa Kilang dan Jentera,
Pemeriksa Kanan Kilang dan Jentera dan Pemeriksa Kilang dan
Jentera yang dilantik di bawah seksyen 4;
“lif” ertinya suatu alat yang direka bentuk untuk mengangkut penumpang atau barang atau kedua-duanya di antara dua paras atau lebih mengikut arah tegak dengan menggunakan lif kar atau pelantar yang bergandar yang dalamnya gerakan lif kar atau pelantar itu didapati melalui suatu motor elektrik yang dipasang pada alat mengangkat, dan termasuklah jentera, tali gantung, penghentak hidro, topang dan lengkongan yang dikehendaki yang berkaitan dengannya, dan termasuklah lif elektrik atau hidraulik dan lif paternoster atau lif selanjar, tetapi tidak termasuk sangkar lombong sebagaimana yang digunakan di lombong bawah tanah;
“menyenggara” ertinya menyenggara dalam keadaan cekap, boleh digunakan dengan cekap dan tidak rosak;
“mesin angkat” ertinya apa-apa kelengkapan untuk mengangkat, menaikkan atau menurunkan beban seperti lif, tangga gerak, pesawat angkat, kren, win, garis seret, mesin cerucuk, jalan kabel aerial, kereta api funikular, platform laluan, lif barang, pengangkat konveyar menegak dan tanjakan muatan mekanikal, dan termasuklah pengangkut, laluan gerak dan kelengkapan lain yang serupa, tetapi tidak termasuk pesawat angkat manual dan kelengkapan pengendalian bahan;
“mesin pejabat” ertinya mesin yang biasanya digunakan untuk menjalankan fungsi perkeranian dan fungsi yang berkaitan dengannya dan termasuklah mesin taip elektrik, mesin kira dan mesin akaun dan komputer;
16 Undang-Undang Malaysia AKTA 139
“orang berlesen” ertinya mana-mana orang yang dilesenkan di bawah seksyen 7D Akta;
“orang muda” ertinya mana-mana orang yang belum genap umur enam belas tahun;
“pagar” ertinya apa-apa bentuk peranti pelindung yang direka bentuk untuk mencegah kecederaan badan yang teruk atau kecederaan badan kepada mana-mana orang dan termasuklah suatu pengadang dan suatu rel pengadang;
“Panel” ertinya Panel Pemeriksa yang dilantik di bawah seksyen 30;
“Pemeriksa” termasuklah Ketua Pemeriksa, Timbalan Ketua
Pemeriksa dan Pemeriksa Kanan yang dilantik di bawah seksyen 4;
“pemunya” ertinya orang yang pada masa ini menerima sewa atau keuntungan daripada premis atau jentera yang berkaitan dengannya perkataan itu digunakan, sama ada bagi pihak dirinya sendiri atau sebagai ejen atau pemegang amanah bagi mana-mana orang lain atau orang yang patut menerima sewa atau keuntungan itu jika premis atau jentera dipajakkan;
“pengendalian bangunan” ertinya pembinaan, pengubahan struktur, pembaikan atau penyenggaraan sesuatu bangunan (termasuk pengubah atur semula batu bata, menghias semula dan pembersihan luaran struktur), perobohan sesuatu bangunan, dan penyediaan bagi dan peletakan asas sesuatu bangunan yang dicadangkan tetapi tidak termasuk apa-apa pengendalian yang merupakan kerja binaan kejuruteraan mengikut pengertian Akta ini;
“penghuni”, berhubung dengan sesuatu kilang, ertinya seseorang yang menduduki atau menggunakan mana-mana premis sebagai kilang;
“pengadang” ertinya suatu lengkongan yang penuh atau seperti jaring (sama ada kesemua atau sebahagiannya) dibuat daripada logam
Kilang dan Jentera 17
atau bahan-bahan lain yang ditopang sebahagian besarnya dan dibina dengan kukuh;
“pengendali” termasuklah mana-mana orang yang diambil kerja dalam apa-apa perkhidmatan yang melibatkan pengurusan atau pengendalian, atau penjagaan, apa-apa jentera;
“penggerak utama” ertinya tiap-tiap enjin, motor atau alat lain yang membekalkan tenaga mekanik yang diperoleh daripada udara, stim, air, angin, tenaga elektrik, pembakaran bahan api atau sumber lain;
“perakuan kekompetenan” ertinya suatu perakuan yang diberikan di bawah Akta ini oleh Ketua Pemeriksa yang memperakui bahawa pemegang itu berkelayakan dengan sewajarnya untuk menjaga jentera yang dimaksudkan oleh perakuan kekompetenan itu;
“perakuan kelayakan” ertinya suatu perakuan yang diberikan di bawah Akta ini yang memperakui bahawa jentera yang diperihalkan dalamnya itu telah diperiksa, dan pada masa pemeriksaan itu telah memenuhi kehendak Akta ini dan bahawa jentera itu boleh diguna atau dikendalikan;
“peranti hiburan” ertinya apa-apa peralatan atau gabungan peralatan, atau tunggangan, kelengkapan atau loji atau apa-apa peranti serupa yang direka atau yang bertujuan untuk meraikan atau menghiburkan orang dan yang boleh dipasang berulang kali tanpa kehilangan keteguhan, sama ada secara sementara atau tetap, di pesta, taman hiburan atau lokasi lain;
“pesawat angkat” ertinya suatu mesin pengangkat selain lif sama ada dijalankan dengan kuasa mekanik atau tidak dengan suatu pelantar pembawa, atau sangkar yang arah pergeraknya dihadkan oleh suatu atau beberapa gandar;
“pesta” ertinya suatu perusahaan yang tertumpu terutamanya kepada pameran keluaran pertanian atau perindustrian dan yang pada atau berkaitan dengannya peranti hiburan dan struktur sementara disediakan;
18 Undang-Undang Malaysia AKTA 139
“petroleum” ertinya apa-apa minyak galian atau relatif hidrokarbon dan gas asli yang wujud dalam keadaan semula jadi dan spirit petroleum kepala selongsong, dan termasuklah—
(a)
syal bitumen dan mendapan berstrata lain yang daripadanya minyak boleh dikeluarkan; dan
(b)
keluaran petroleum;
“premis” termasuklah mana-mana bangunan, tempat, atau binaan terapung;
“rahsia pengeluaran atau perdagangan” ertinya maklumat yang sangat sensitif yang berhubungan dengan—
(a)
apa-apa proses pengeluaran ;
(b)
apa-apa keluaran, bahan mentah, perumusan keluaran sampingan;
(c)
apa-apa idea untuk penduaan atau pengklonan keluaran;
atau
(d)
apa-apa maklumat teknikal mengenai sistem pengendalian, dan bahawa maklumat itu telah diisytiharkan sebagai rahsia pengeluaran atau perdagangan secara bertulis oleh penghuni atau pemunya;
“rel pengadang” ertinya suatu rel logam atau kayu, ditopang dengan jerjak yang kuat yang dibina dengan baik;
“silinder gas” ertinya suatu silinder atau botol keluli yang digunakan untuk menyimpan dan mengangkut gas mampat, larut atau cair;
Kilang dan Jentera 19
“skim khas pemeriksaan” ertinya sistem pemeriksaan yang diluluskan oleh Ketua Pemeriksa berkaitan dengan pemeriksaan berkala bagi kelas tertentu jentera dan jentera tambahannya;
“takal pengangkat” termasuklah suatu rantai atau anduh tali, gelang, penyambung, cangkuk, belenggu, swivel, bolt tindik, rantai, tali, blok kapi dan blok rantai;
“taman hiburan” ertinya padang atau kawasan yang digunakan pada amnya sebagai lokasi untuk peranti hiburan dan struktur;’
“wasap” termasuklah gas dan wap.
Pelantikan pegawai