Malaysia legislation

Section 111

of AKTA SYARIKAT KAPAL LAYAR ANTARABANGSA LANGKAWI 2005 (BELUM BERKUAT KUASA)

Seksyen 111

Luar aturan dalam prosiding

(1)

Tiada apa-apa prosiding di bawah Akta ini boleh menjadi tidak sah oleh apa-apa peninggalan, kecacatan, kesilapan, luar aturan atau kekurangan notis atau masa melainkan jika Mahkamah berpendapat bahawa ketidakadilan substansial telah atau boleh disebabkan oleh peninggalan, kecacatan, kesilapan, luar aturan atau kekurangan itu yang tidak boleh diremedikan oleh apa-apa perintah Mahkamah dan Mahkamah boleh, jika difikirkannya sesuai, membuat suatu perintah atau arahan yang mengisytiharkan bahawa prosiding sedemikian adalah sah walaupun mana-mana peninggalan, kecacatan, kesilapan, luar aturan atau kekurangan sedemikian.

(2)

Tanpa menyentuh keluasan subseksyen (1) atau mana-mana peruntukan lain Akta ini, jika apa-apa peninggalan, kecacatan, kesilapan, luar aturan atau kekurangan, termasuk ketiadaan kuorum dalam mana-mana mesyuarat syarikat Langkawi itu, telah berlaku dalam pengurusan atau pentadbiran suatu syarikat Langkawi yang disebabkannya apa-apa pelanggaran peruntukan Akta ini telah berlaku, atau yang disebabkannya telah berlaku keingkaran dalam mematuhi memorandum atau perkara persatuan syarikat itu, atau yang disebabkannya apa-apa prosiding dalam atau yang berkaitan dengan apa-apa mesyuarat atau yang berupa mesyuarat telah dijadikan tidak berkesan, termasuk kegagalan untuk membuat atau menyerahkan apa-apa perisytiharan kesolvenan, Mahkamah—

(a)

boleh, sama ada atas usulnya sendiri atau atas sesuatu permohonan yang diserahkan oleh mana-mana orang yang berkepentingan, membuat apa-apa perintah atau arahan sebagaimana yang difikirkannya sesuai untuk membetulkan atau menyebabkan dibetulkan atau menjadikan negatif atau mengubahsuaikan atau menyebabkan menjadi negatif atau diubahsuaikan akibat di sisi undang-undang apa-apa peninggalan, kecacatan, kesilapan, luar aturan atau kekurangan itu, atau untuk mengesahkan apa-apa tindakan, perkara atau benda yang dijadikan tidak sah oleh atau akibat daripada apa-apa peninggalan, kecacatan, kesilapan, luar aturan atau kekurangan itu;

Syarikat Kapal Layar Antarabangsa Langkawi 107

(b)

hendaklah, sebelum membuat apa-apa perintah atau arahan sedemikian, memuaskan hatinya bahawa perintah atau arahan sedemikian tidak akan menyebabkan ketidakadilan kepada syarikat itu atau kepada mana-mana anggota atau pemiutang syarikat itu, atau mana-mana orang lain;

(c)

jika apa-apa perintah atau arahan sedemikian telah dibuat, boleh memberi apa-apa arahan bersampingan atau berbangkit sebagaimana yang difikirkannya sesuai;

dan

(d)

boleh menentukan notis atau saman yang hendak diberi kepada orang lain mengenai niat untuk membuat apa-apa permohonan sedemikian atau niat untuk membuat apa-apa perintah atau arahan sedemikian dan sama ada ia patut diiklankan dalam mana-mana surat khabar.

(3)

Bagi maksud subseksyen (2), “mesyuarat”, berhubung dengan sesuatu syarikat Langkawi, termasuk—

(a)

sesuatu mesyuarat syarikat itu;

(b)

sesuatu mesyuarat mana-mana kelas anggota syarikat itu;

(c)

sesuatu mesyuarat pemegang debentur atau mana-mana kelas pemegang debentur syarikat itu;

(d)

sesuatu mesyuarat pengarah syarikat itu atau mana-mana jawatankuasa pengarah itu; dan

(e)

sesuatu mesyuarat pemiutang atau mana-mana kelas pemiutang syarikat itu.

(4)

Mahkamah, sama ada syarikat itu dalam proses digulungkan atau tidak, boleh melanjutkan atau memendekkan apa-apa masa bagi melakukan apa-apa tindakan atau mengambil apa-apa prosiding yang dibenarkan atau dihadkan oleh Akta ini atau peraturan-peraturan atas apa-apa terma, jika ada, sebagaimana keadilan dalam kes itu menghendaki, dan apa-apa pelanjutan sedemikian boleh diperintahkan walaupun permohonan bagi pelanjutan itu tidak dibuat sehingga selepas masa yang pada mulanya dibenarkan atau dihadkan.

108

Undang-Undang Malaysia

Akta 643

Section 111 — LANGKAWI INTERNATIONAL YACHTING COMPANIES ACT 2005