Malaysia legislation
Section 13
Seksyen 13
(2)
Tiada pertubuhan perbadanan sedemikian boleh didaftarkan di bawah Akta ini melainkan jika Lembaga berpuas hati bahawa perniagaan sedemikian akan berada di bawah kawalan dan pengurusan seorang penguasa yang adalah seorang ahli farmasi berdaftar dan yang tidak bertindak pada masa itu atas suatu sifat seumpamanya bagi mana-mana pertubuhan perbadanan, firma atau perkongsian lain atau dalam apa-apa perniagaan lain bagi pihak dirinya sendiri.
(3)
Di atas pendaftaran suatu pertubuhan perbadanan di bawah seksyen ini, suatu perakuan pendaftaran mengikut bentuk yang ditetapkan dan sekian bilangan salinannya sebagaimana yang dikehendaki hendaklah dikeluarkan kepadanya oleh Lembaga.
(4)
Tertakluk kepada seksyen ini, suatu pertubuhan perbadanan yang didaftarkan di bawah seksyen ini yang menjalankan suatu perniagaan, setakat yang ia berhubungan dengan penyimpanan, peruncitan, pendispensaan dan penyebatian racun, dadah berbahaya atau bahan terapeutik, hendaklah mematuhi syarat-syarat yang berikut:
(a)
perniagaan pertubuhan perbadanan itu hendaklah di bawah kawalan dan pengurusan seorang penguasa yang adalah seorang ahli farmasi berdaftar dan yang tidak bertindak pada masa itu atas suatu sifat seumpamanya bagi mana-mana pertubuhan perbadanan, firma atau perkongsian lain atau dalam apaapa perniagaan lain bagi pihak dirinya sendiri;
(b)
di setiap satu premis di mana perniagaan itu dijalankan, ia hendaklah, jika tidak dengan sendirinya dijalankan oleh penguasa itu, dijalankan secara bona fide di bawah arahan penguasa itu oleh seorang pengurus atau penolong yang adalah seorang ahli farmasi berdaftar;
(c)
jika perniagaan itu dijalankan dengan sendirinya di mana-mana premis oleh penguasa itu, perakuan pendaftarannya hendaklah dipamerkan dengan terang dalam premis tersebut, dan, jika perniagaan itu dijalankan di mana-mana premis oleh seorang pengurus atau penolong, perakuan pendaftarannya hendaklah dipamerkan dengan terang dalam premis-premis tersebut;
(d)
perakuan atau salinan perakuan pendaftaran pertubuhan perbadanan itu di bawah seksyen ini hendaklah dipamerkan dengan terang dalam setiap satu premis di mana perniagaan itu dijalankan.
(5)
Suatu pertubuhan perbadanan yang didaftarkan di bawah seksyen ini boleh, jika dan hanya selagi ia mematuhi kehendak-kehendak subseksyen (4), menggunakan nama atau gelaran ahli kimia dan peniaga ubat atau ahli kimia pendispensa atau peniaga ubat pendispensa, dan premis di mana perniagaan itu dijalankan boleh diperihalkan sebagai suatu farmasi.
(6)
Tiada pertubuhan perbadanan, melainkan jika ia didaftarkan di bawah seksyen ini dan mematuhi kehendak-kehendak subseksyen (4), boleh menggunakan nama atau gelaran ahli kimia dan peniaga ubat atau ahli kimia pendispensa atau peniaga ubat pendispensa atau memperihalkan premis di mana ia menjalankan perniagaan sebagai suatu farmasi dan tiada pertubuhan perbadanan, sama ada didaftarkan atau tidak, boleh; tertakluk kepada subseksyen (5), menggunakan apa-apa nama, gelaran, tambahan atau perihalan yang ia dilarang daripada menggunakannya oleh seksyen 7 sekiranya ia adalah seseorang mengikut pengertian seksyen sedemikian.
(7)
Jika—
(a)
suatu pertubuhan perbadanan yang menjalankan perniagaan yang terdiri daripada penjualan runcit racun, dadah berbahaya atau bahan terapeutik telah disabitkan atas suatu kesalahan di bawah Akta ini atau di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang berkuatkuasa di Malaysia berhubungan dengan racun, dadah berbahaya atau bahan terapeutik; atau
(b)
mana-mana pengarah atau pegawai atau orang lain yang digajikan oleh mana-mana badan sedemikian---
(i)
telah disabitkan atas suatu kesalahan di bawah Akta ini atau undang-undang bertulis yang disebut terdahulu;
(ii)
telah disabitkan atas apa-apa kesalahan jenayah lain yang, pada pendapat Lembaga, menjadikannya, atau akan menjadikannya, jika dia seorang ahli farmasi berdaftar, tak layak berada dalam daftar; atau
(iii)
telah melakukan apa-apa salah laku yang, pada pendapat Lembaga, menjadikannya, atau akan menjadikannya, jika dia seorang ahli farmasi berdaftar, tak-layak-berada-dalam-daftar,
Lembaga boleh menyiasat hal itu dan boleh, melainkan jika pertubuhan perbadanan itu memuaskan hati Lembaga bahawa perbuatan atau peninggalan yang berkenaan bukanlah dibiarkan atau dihasutkan oleh penguasa mereka atau oleh mana-mana pengarah atau pengurus mereka, dan bahawa orang yang melakukannya tidak lagi berada dalam penggajian mereka, menolak untuk mendaftarkan pertubuhan perbadanan itu atau, dalam hal suatu pertubuhan perbadanan yang telahpun didaftarkan, boleh mengeluarkan pertubuhan perbadanan sedemikian daripada daftar dan sesudah itu pertubuhan perbadanan sedemikian hendaklah terhenti daripada mempunyai hak untuk menggunakan apa apa gelaran atau perihalan yang berhak digunakan oleh sesuatu pertubuhan perbadanan yang berdaftar di bawah seksyen ini.
(8)
Lembaga boleh mengeluarkan nama mana-mana pertubuhan perbadanan daripada daftar apabila—
(a)
pendaftaran perbadanan sedemikian telah didapatkan melalui pernyataan fraud dan tak betul; atau
(b)
pertubuhan perbadanan sedemikian telah berhenti menjalankan perniagaan yang tersebut dalam subseksyen (1).
(9)
Mana-mana pertubuhan perbadanan, yang bertindak berlanggaran dengan subseksyen (6) atau, jika didaftarkan di bawah seksyen ini, yang gagal mematuhi syarat-syarat yang dikenakan oleh subseksyen (4) seksyen ini, adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan di hadapan Mahkamah Sesyen boleh dikenakan penalti tidak melebihi dua ribu ringgit dan penalti tambahan tidak melebihi lima puluh ringgit bagi tiap-tiap hari dalam masa kesalahan sedemikian berterusan dan tiap-tiap orang yang adalah pengarah atau pegawai pertubuhan perbadanan sedemikian atau yang berupa sebagai bertindak atas apa-apa sifat sedemikian pada tarikh perlakuan kesalahan hendaklah disifatkan telah melakukan kesalahan itu melainkan jika dia membuktikan bahawa kesalahan itu dilakukan tanpa pengetahuannya dan bahawa dia telah menjalankan segala usaha wajar untuk mencegah perlakuan kesalahan itu dan apabila disabitkan di hadapan Mahkamah Sesyen boleh dikenakan penalti tidak melebihi dua ratus ringgit dan penalti tambahan tidak melebihi dua puluh lima ringgit bagi tiap-tiap hari dalam masa kesalahan sedemikian diteruskan olehnya.
(10)
Jika difikirkan patut oleh Lembaga dalam apaapa hal untuk berbuat demikian, ia boleh, sama ada atas usulnya sendiri atau atas permohonan pertubuhan perbadanan berkenaan, mengarahkan pemasukan semula nama mana-mana pertubuhan perbadanan ke dalam daftar dan apa-apa kehilangan kelayakan yang dikenakan oleh subseksyen (7) hendaklah dengan itu terhenti.