Malaysia legislation

Section 7

of AKTA FITNAH 1957

Seksyen 7

(a)

jika tawaran itu diterima oleh pihak yang terkilan dan dilaksanakan dengan sewajarnya, tiada apa-apa prosiding kerana libel atau slander boleh diambil atau diteruskan oleh pihak itu terhadap orang yang membuat tawaran itu berkenaan dengan penerbitan yang dipersoalkan (tetapi tanpa menjejas mana-mana kuasa tindakan terhadap manamana orang lain yang bertanggungjawab bersesama bagi penerbitan itu);

(b)

jika tawaran itu tidak diterima oleh pihak yang terkilan, maka, kecuali sebagaimana diperuntukkan sebaliknya oleh seksyen ini, ianya hendaklah menjadi pembelaan, dalam mana-mana prosiding olehnya kerana libel atau slander terhadap orang yang membuat tawaran itu berkenaan dengan penerbitan yang dipersoalkan, untuk membuktikan bahawa perkataan-perkataan yang diadukan itu telah diterbitkan oleh defendan atau telah diterbitkan oleh defendan dengan ikhlas berhubungan dengan plaintiff dan bahawa tawaran itu telah dibuat dengan seberapa segera yang praktik selepas defendan menerima notis bahawa perkataan-perkataan itu adalah atau mungkin berupa fitnah terhadap plaintiff, dan masih belum ditarik balik.

(2)

Sesuatu tawaran penyelesaian di bawah seksyen ini mestilah dinyatakan dibuat bagi maksud-maksud seksyen ini, dan mestilah disertakan dengan suatu afidavit menyatakan fakta-fakta yang orang yang membuatnya bergantung kepada untuk menunjukkan bahawa perkataan-perkataan yang dipersoalkan itu telah diterbitkan dengan ikhlas olehnya berhubungan dengan pihak yang terkilan itu; dan bagi maksud-maksud pembelaan di bawah seksyen 7 (1) (b) tiada apa-apa keterangan, selain daripada keterangan mengenai fakta-fakta yang dinyatakan dalam afidavit itu, boleh diterima bagi pihak orang itu untuk membuktikan bahawa perkataan-perkataan itu telah diterbitkan sedemikian.

(3)

Sesuatu tawaran penyelesaian di bawah seksyen ini hendaklah difahamkan bererti suatu tawaran—

(a)

dalam apa-apa hal, untuk menerbit atau turut sama dalam menerbitkan suatu pembetulan yang sesuai akan perkataan-perkataan yang diadukan itu, dan permintaan maaf yang memadai kepada pihak yang terkilan berkenaan dengan perkataan-perkataan itu;

(b)

jika salinan-salinan dokumen atau rekod yang mengandungi perkataan-perkataan tersebut telah dibahagikan oleh atau dengan pengetahuan orang yang membuat tawaran itu, untuk mengambil apa-apa langkah yang semunasabahnya praktik bagi pihaknya untuk memberitahu orang-orang yang kepadanya salinan-salinan telah dibahagikan sedemikian bahawa perkataan-perkataan itu adalah dikatakan fitnah terhadap pihak yang terkilan itu.

(4)

Jika sesuatu tawaran penyelesaian di bawah seksyen ini diterima oleh pihak yang terkilan—

(a)

apa-apa soalan mengenai langkah-langkah yang akan diambil untuk menunaikan tawaran yang diterima sedemikian, jika tidak ada perjanjian antara pihak-pihak itu, hendaklah dirujukkan kepada dan diputuskan oleh Mahkamah Tinggi, yang mana keputusannya adalah muktamad;

(b)

kuasa Mahkamah untuk membuat perintah mengenai kos dalam prosiding oleh pihak yang terkilan terhadap orang yang membuat tawaran berkenaan dengan penerbitan yang dipersoalkan, atau dalam prosiding berkenaan dengan tawaran di bawah seksyen 7 (4) (a), hendaklah meliputi kuasa untuk memerintahkan orang yang membuat tawaran itu membayar kos atas dasar indemniti kepada pihak yang terkilan dan apa-apa perbelanjaan yang semunasabahnya ditanggung atau akan ditanggung oleh pihak itu berbangkit daripada penerbitan yang dipersoalkan itu.

dan jika tiada prosiding yang tersebut dahulu diambil, Mahkamah Tinggi, atas permohonan yang dibuat oleh pihak yang terkilan itu, boleh membuat apa-apa perintah sedemikian bagi pembayaran apa-apa kos dan perbelanjaan yang tersebut dahulu yang boleh dibuat dalam prosiding sedemikian.

(5)

Bagi maksud-maksud seksyen ini, perkataan-perkataan hendaklah dianggap sebagai diterbitkan oleh seorang (dalam subseksyen itu disebut sebagai penerbit) dengan ikhlas berhubungan dengan seorang lain jika dan hanya jika syarat-syarat berikut dipenuhi, iaitu—

(a)

bahawa penerbit itu tidak berniat untuk menerbitkan perkataan-perkataan itu mengenai dan berkenaan dengan orang lain itu, dan tidak mengetahui hal-keadaan menurut mana yang perkataan-perkataan itu boleh difahamkan sebagai merujuk kepadanya; atau

(b)

bahawa perkataan-perkataan itu tidak berupa fitnah pada permukaannya, dan penerbit itu tidak mengetahui hal-keadaan menurut mana perkataan-perkataan itu boleh difahamkan sebagai fitnah terhadap orang lain itu;

dan dalam mana-mana satu hal bahawa penerbit itu bertindak dengan cermat yang munasabah berhubungan dengan penerbit itu; dan apa-apa sebutan dalam subseksyen ini mengenai penerbit hendaklah ditafsirkan sebagai termasuk sebutan mengenai mana-mana pengkhidmat atau ejennya yang kena-mengena dengan kandungan penerbit itu.

(6)

Seksyen 7 (1) (b) tidak terpakai berhubungan dengan penerbitan oleh mana-mana orang akan perkataan-perkataan yang dia bukan pengarangnya melainkan jika dia membuktikan bahawa perkataan-perkataan itu ditulis oleh pengarang itu tanpa niat-jahat.