Malaysia legislation

Section 70

of *AKTA JALAN, PARIT DAN BANGUNAN 1974

Seksyen 70

(2)

Mana-mana orang yang bercadang mendirikan sesuatu bangunan hendaklah menyebabkan untuk dikemukakan oleh utama yang mengemukakan atau orang yang mengemukakan—

(a)

kepada pihak berkuasa tempatan apa-apa pelan dan penentuan sebagaimana yang dikehendaki oleh mana-mana undang-undang kecil yang dibuat di bawah Akta ini;

(b)

kepada pihak berkuasa berkanun yang berkaitan apa-apa pelan dan penentuan sebagaimana yang dikehendaki oleh mana-mana undang-undang bertulis lain; dan

(c)

kepada pihak berkuasa tempatan atau pihak berkuasa berkanun berkaitan suatu laporan geoteknikal bagi binaan yang melibatkan cerun dengan kecerunan yang lebih daripada dua puluh lima darjah dan jumlah ketinggian menegak yang lebih daripada sepuluh meter yang laporan itu hendaklah ditentusahkan oleh Pemeriksa Bertauliah yang berdaftar dengan Lembaga Jurutera di bawah Akta

Pendaftaran Jurutera 1967 [Akta 138].

(3)

Tiada sesuatu pelan untuk mendirikan suatu bangunan boleh diluluskan—

Jalan, Parit dan Bangunan 93

(a)

jika bangunan itu hendak didirikan di atas sesuatu pegangan yang bersempadanan dengan sesuatu jalan baharu atau sesuatu jalan baharu yang dicadangkan atau yang mempunyai akses kepadanya sehingga pelan bagi jalan baharu itu telah diluluskan oleh pihak berkuasa tempatan di bawah peruntukan Akta ini;

(b)

sebelum dibuat apa-apa deposit yang dikehendaki di bawah seksyen 18 atau melainkan jika bangunan atau kelas bangunan itu telah dikecualikan daripada subseksyen 17(1)

oleh Pihak Berkuasa Negeri; dan

(c)

sebelum dipatuhi apa-apa syarat lain yang difikirkan perlu dikenakan oleh pihak berkuasa tempatan.

Pihak berkuasa tempatan boleh memberi arahan

(4)

Pihak berkuasa tempatan boleh memberi arahan bertulis kepada orang utama yang mengemukakan atau orang yang mengemukakan berkenaan dengan mana-mana daripada butir-butir berikut:

(a)

pematuhan Akta ini atau mana-mana Akta lain atau mana-mana undang-undang kecil, perintah, kaedah atau peraturan yang dibuat di bawahnya;

(b)

tapak sesuatu bangunan dan ruang yang akan ditinggalkan lapang di keliling mana-mana bangunan untuk membolehkan cahaya matahari senang masuk dan udara senang beredar dan juga untuk memudahkan pembuangan sampah;

(c)

aras takat mana asas tapak dan tingkat yang rendah sekali hendak disusun atur;

(d)

meninggikan aras tapak supaya menjadi asas tapak yang stabil dan kukuh dan bahan yang hendak digunakan untuk meninggikan aras tapak itu;

94 Undang-Undang Malaysia AKTA 133

(e)

garis bidang hadapan dengan bangunan berdekatan, jika bangunan itu bersempadan dengan suatu jalan awam atau terletak dalam lingkungan lima puluh kaki dari suatu jalan awam;

(f)

pelan tegak depan, dan jika pelan tegak rusuk bersempadanan dengan suatu jalan awam atau di dalam lingkungan lima puluh kaki daripada suatu jalan awam, pelan tegak rusuk itu;

(g)

menganjak bangunan ke hadapan atau ke belakang ke garis aturan jalan sebagaimana ditakrifkan dalam seksyen 23;

(h)

kelas, reka bentuk dan rupa bangunan yang hendak didirikan di suatu daerah, tempat atau jalan di mana hanya bangunan daripada sesuatu kelas, reka bentuk atau rupa tertentu sahaja boleh didirikan;

(i)

mengadakan bekalan air yang bersih dan mencukupi dalam jarak yang munasabah daripada bangunan itu;

(j)

menganjak bangunan ke belakang ke mana-mana garis bangunan;

(k)

mengadakan dan membina sesuatu arked atau siar kaki berturap bagi kegunaan pejalan kaki di sepanjang mana-mana bahagian lot bangunan yang bersempadanan dengan sesuatu jalan.

(5)

Orang utama yang mengemukakan atau orang yang mengemukakan yang telah diberi arahan bertulis hendaklah meminda pelan dan penentuan itu dengan sewajarnya dan mengemukakan semula pelan dan penentuan yang dipinda itu dalam tempoh yang dinyatakan oleh pihak berkuasa tempatan.

(6)

Jika pelan yang dipinda itu tidak dikemukakan semula dalam tempoh yang dinyatakan itu, atau dalam suatu tempoh yang dilanjutkan, maka pelan itu tidak boleh dipertimbangkan semula dan

Jalan, Parit dan Bangunan 95

hendaklah disifatkan sebagai telah ditarik balik tetapi orang itu boleh mengemukakan pelan dan penentuan baharu.

Bangunan yang diarahkan supaya dianjak ke hadapan

(7)

Jika arahan diberi supaya suatu bangunan dianjak ke hadapan ke garis aturan jalan, maka arahan itu adalah dipatuhi dengan secukupnya jika suatu tembok atau pagar daripada apa-apa bahan dan ukuran yang diluluskan oleh pihak berkuasa tempatan didirikan pada suatu tempat yang cukup jauhnya dari garis itu untuk mengadakan sesuatu arked atau siar kaki yang mungkin dikehendaki di bawah Akta ini.

Pampasan jika arahan diberi supaya bangunan dianjak ke belakang

(8)

Jika pihak berkuasa tempatan mengarahkan orang utama yang mengemukakan supaya menganjak bangunan itu ke belakang ke garis aturan jalan, pihak berkuasa tempatan boleh mengambil milik tanah yang dalam kawasan garis aturan jalan itu dan tanah yang diambil milik sedemikian hendaklah diambil oleh Pihak Berkuasa Negeri atas permintaan pihak berkuasa tempatan mengikut mana-mana undang-undang berhubungan dengan pengambilan paksa tanah dan hendaklah kemudian daripada itu disifatkan sebagai suatu bahagian jalan awam itu.

Notis memulakan semula kerja bangunan

(9)

Tiada seorang pun boleh memulakan pendirian sesuatu bangunan atau memulakan semula pendirian sesuatu bangunan dalam sesuatu hal jika kerja mendirikan bangunan itu telah digantung bagi suatu tempoh terus-menerus lebih daripada tiga bulan melainkan jika—

(a)

kerja itu dimulakan atau dimulakan semula, mengikut mana-mana yang berkenaan, dalam masa dua belas bulan

96 Undang-Undang Malaysia AKTA 133

daripada tarikh pelan dan penentuan bangunan itu telah diluluskan oleh pihak berkuasa tempatan; dan

(b)

dia telah memberi pihak berkuasa tempatan empat hari notis secara bertulis akan maksudnya hendak memulakan atau memulakan semula kerja itu, mengikut mana-mana yang berkenaan.

(9A)

Walau apa pun subseksyen (9), tiada seorang pun boleh memulakan pendirian sesuatu bangunan melainkan jika suatu salinan pelan struktur yang terperinci bangunan itu bersama dengan suatu salinan kiraan strukturnya yang boleh dibaca dan apa-apa butir, dokumen atau laporan lain yang dikehendaki oleh pihak berkuasa tempatan telah dikemukakan.

(10)

Bagi maksud perenggan (9)(a), “pelan dan penentuan” ertinya pelan dan penentuan yang pada asalnya diluluskan oleh pihak berkuasa tempatan tetapi tidak termasuk sesuatu pelan atau penentuan yang meminda yang diluluskan kemudiannya oleh pihak berkuasa tempatan berhubungan dengannya.

(11)

Mana-mana orang yang membuat apa-apa perubahan kepada mana-mana bangunan dengan apa-apa cara selain yang diperuntukkan dalam Akta ini atau dalam undang-undang kecil yang dibuat di bawahnya tanpa mendapat kebenaran bertulis terlebih dahulu daripada pihak berkuasa tempatan boleh apabila disabitkan didenda tidak melebihi dua puluh lima ribu ringgit dan sesuatu Mahkamah Majistret hendaklah, atas permohonan pihak berkuasa tempatan itu, mengeluarkan suatu perintah mandatori untuk mengubah bangunan itu dengan apa-apa cara atau untuk meruntuhkannya.

(12)

Mana-mana orang yang menggunakan sesuatu bangunan atau bahagian sesuatu bangunan bagi sesuatu maksud selain maksud yang baginya ia telah dibina pada asalnya tanpa mendapat kebenaran bertulis terlebih dahulu daripada pihak berkuasa tempatan boleh apabila disabitkan didenda tidak melebihi dua puluh lima ribu ringgit dan juga boleh didenda tambahan tidak melebihi lima ratus ringgit bagi tiap-tiap hari kesalahan itu diteruskan selepas suatu notis untuk

Jalan, Parit dan Bangunan 97

memberhentikan bangunan itu daripada digunakan bagi maksud lain itu telah disampaikan kepada orang itu.

(13)

Mana-mana orang yang—

(a)

memulakan atau memulakan semula pendirian sesuatu bangunan dengan melanggar subseksyen (9);

(aa) memulakan pendirian sesuatu bangunan dengan melanggar subseksyen (9A);

(b)

melencong daripada mana-mana pelan atau penentuan yang diluluskan oleh pihak berkuasa tempatan tanpa mendapat kebenaran bertulis terlebih dahulu daripada pihak berkuasa tempatan;

(c)

mendirikan sesuatu bangunan bersalahan dengan Akta ini atau dengan mana-mana undang-undang kecil yang dibuat di bawahnya; atau

(d)

tidak mematuhi sesuatu perintah atau arahan bertulis yang sah di sisi undang-undang daripada pihak berkuasa tempatan atau sesuatu had atau syarat yang dikenakan oleh pihak berkuasa tempatan kepada apa-apa ubah suaian atau pengenepian apa-apa kehendak mana-mana undang-undang kecil, boleh apabila disabitkan didenda tidak melebihi lima puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda tambahan sebanyak satu ribu ringgit bagi tiap-tiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

(14)

Dalam sesuatu hal di mana langkah pembicaraan tidak diambil terhadap mana-mana orang yang telah melanggar subseksyen (13)

dengan sebab tidak mendapat kebenaran terlebih dahulu daripada pihak berkuasa tempatan orang itu hendaklah tatkala orang utama yang mengemukakan atau orang yang mengemukakan mengemukakan pelan dan penentuan kepada pihak berkuasa tempatan mengikut Akta ini membayar kepada pihak berkuasa tempatan sejumlah wang yang

98 Undang-Undang Malaysia AKTA 133

tidak boleh kurang daripada lima kali ganda tetapi tidak melebihi dua puluh kali ganda bayaran yang ditetapkan mengikut sebagaimana yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Negeri, dan jika sekiranya pelan dan penentuan dikemukakan tanpa bayaran itu, pihak berkuasa tempatan hendaklah enggan menerimanya.

(15)

Mana-mana Majistret hendaklah, atas permohonan pihak berkuasa tempatan atau seorang pegawai awam yang diberi kuasa oleh pihak berkuasa tempatan secara bertulis bagi maksud itu, membuat suatu perintah mandatori menghendaki mana-mana orang yang disabitkan suatu kesalahan di bawah subseksyen (13) mengubah dengan apa-apa cara atau meruntuhkan bangunan itu.

Apa yang dikatakan mendirikan sesuatu bangunan

(16)

Bagi maksud seksyen ini dan seksyen 75 mana-mana orang hendaklah disifatkan sebagai mendirikan sesuatu bangunan jika dia—

(a)

memulakan kerja di atas tapak bangunan bagi atau berkenaan dengan suatu bangunan baharu;

(b)

menambah kepada atau mengubah mana-mana bangunan yang sedia ada dengan cara yang akan melibatkan—

(i)

asas tapak baharu; atau

(ii)

bina atas atau bumbung baharu atau separuh baharu atau tambahan atas dinding yang sedia ada atau asas tapak yang sedia ada;

(c)

mengubahjadikan sesuatu bangunan yang bukan pada asalnya dibina untuk kediaman manusia kepada rumah kediaman;

(d)

mengubahjadikan sesuatu bangunan yang pada asalnya dibina sebagai suatu rumah kediaman kepada lebih daripada satu rumah kediaman;

Jalan, Parit dan Bangunan 99

(e)

mengubahjadikan sesuatu rumah yang pada asalnya dibina bagi maksud kediaman kepada maksud lain;

(f)

menyeleweng sama ada sebelum atau selepas siap bangunan itu dibina tentang apa-apa butir daripada mana-mana pelan atau penentuan yang telah diluluskan oleh pihak berkuasa tempatan pada bila-bila masa berkenaan dengan bangunan itu;

(g)

melanggar peruntukan Akta ini atau mana-mana undang-undang kecil berhubungan dengan bangunan;

(h)

membaharui atau membaiki mana-mana bangunan yang sedia ada dengan cara yang melibatkan sesuatu pembaharuan, pembinaan semula atau pendirian mana-mana bahagian daripada sesuatu dinding sebelah luar atau dinding dua pihak setakat satu tingkat tingginya walau daripada bahan apapun dinding sebelah luar atau dinding dua pihak itu diperbuat;

(i)

meruntuh dan membina semula atau menambah kepada suatu bangunan dengan cara yang melibatkan lebih—

(i)

setengah daripada luas permukaan dinding dan sekatan; atau

(ii)

setengah daripada luas permukaan lantai (tidak termasuk tingkat tanah) atau bumbung; atau

(j)

membina suatu tingkat atau tingkat tambahan, atau membaharui, membina semula atau mendirikan suatu dinding sebelah luar atau dinding dua pihak pada tingkat satu, tingkat dua atau tingkat tiga yang dikira daripada aras tanah, setakat satu tingkat tingginya:

Dengan syarat bahawa, bagi maksud subseksyen (2) dan bagi maksud seksyen 75 seseorang yang melaksanakan atau melakukan apa-apa kerja atau perkara yang dinyatakan dalam subperenggan (b)(ii),

100 Undang-Undang Malaysia AKTA 133

perenggan (f), (g) atau (h) tidaklah boleh disifatkan sebagai mendirikan suatu bangunan.

Pernyataan “pendirian sesuatu bangunan” hendaklah ditafsirkan dengan sewajarnya.

Kerja yang dilaksanakan atas bangunan yang sama pada masa dua kali atau lebih dalam masa sepuluh tahun boleh disifatkan sebagai suatu kerja pembinaan semula dan boleh dikumpulkan bagi maksud takrif ini.

(17)

(a)

Jika pendirian sesuatu bangunan adalah dimulakan atau dijalankan berkenaan dengan mana-mana bangunan, pendirian itu hendaklah dianggap sehingga dibuktikan sebaliknya, sebagai telah dimulakan atau dijalankan oleh pemunya tanah yang di atasnya bangunan itu didirikan dan pemunya itu bertanggungjawab atasnya.

(b)

Jika suatu bangunan didirikan di atas tanah kosong dan orang yang sebenarnya mendirikan bangunan itu tidak diketahui atau tidak dapat dijumpai di Malaysia, bangunan itu hendaklah disifatkan sebagai telah didirikan oleh pemunya tanah itu dan pemunya tanah itu adalah bertanggungjawab keatasnya.

Kelulusan pelan

(18)

Jika dalam masa tiga bulan kalendar dari tarikh dikemukakan apa-apa pelan di bawah subseksyen (2) atau dari tarikh dikemukakan semula pelan itu yang dipinda menurut subseksyen (5), mengikut mana-mana yang berkenaan, pihak berkuasa tempatan tidak meluluskan, tidak menolak atau tidak membuat suruhan bertulis berkenaan dengannya, orang utama yang mengemukakan atau orang yang mengemukakan boleh memohon kepada Pihak Berkuasa Negeri, dan kuasa yang terletak hak pada pihak berkuasa tempatan itu di bawah seksyen ini hendaklah kemudiannya terletak hak pada Pihak Berkuasa

Negeri.

(19)

Apa-apa pelan, penentuan, kiraan, butir, dokumen atau laporan yang dikehendaki supaya dikemukakan di bawah seksyen ini

Jalan, Parit dan Bangunan 101

hendaklah disediakan dan diperakui oleh seseorang orang utama yang mengemukakan atau orang yang mengemukakan dan ditandatangani oleh pemunya atau ejen yang diberi kuasa oleh pemunya itu dan orang utama yang mengemukakan atau orang yang mengemukakan.

Pengeluaran perakuan siap dan pematuhan

(20)

Tiada perakuan siap dan pematuhan boleh dikeluarkan kecuali oleh seseorang orang utama yang mengemukakan mengikut masa, cara dan tatacara bagi pengeluarannya sebagaimana yang ditetapkan oleh

Akta ini atau mana-mana undang-undang kecil yang dibuat di bawahnya.

(21)

Sebelum pengeluaran suatu perakuan siap dan pematuhan, adalah menjadi kewajipan dan tanggungjawab orang utama yang mengemukakan untuk—

(a)

mengawasi pendirian bangunan itu untuk memastikan bahawa pendirian itu menepati pelan yang diluluskan dan kehendak peruntukan Akta ini atau mana-mana undang-undang kecil yang dibuat di bawahnya;

(b)

memastikan bahawa bangunan itu telah dibina dan disiapkan dengan sepatutnya menepati pelan yang telah diluluskan dan kehendak Akta ini atau mana-mana undang-undang kecil yang dibuat di bawahnya dan bahawa semua syarat teknikal yang dikenakan oleh pihak berkuasa tempatan telah dipatuhi dengan sepatutnya; dan

(c)

memastikan bahawa bangunan itu selamat dan layak untuk diduduki.

(22)

Tiada apa-apa jua yang terkandung dalam Akta ini boleh menyentuh kuasa yang diberikan kepada pihak berkuasa tempatan oleh

Akta ini atau mana-mana undang-undang kecil yang dibuat di bawahnya mengenai pendirian dan pembinaan sesuatu bangunan bagi maksud memastikan bahawa pendirian dan pembinaan bangunan itu

102 Undang-Undang Malaysia AKTA 133

menepati pelan yang diluluskan dan peruntukan Akta ini atau mana-mana undang-undang kecil yang dibuat di bawahnya.

(23)

Jika ternyata kepada pihak berkuasa tempatan itu bahawa suatu ketidakpatuhan pelan yang diluluskan dan peruntukan Akta ini atau mana-mana undang-undang kecil yang dibuat di bawahnya oleh orang utama yang mengemukakan telah berlaku dalam pendirian dan pembinaan sesuatu bangunan, pihak berkuasa tempatan boleh mengeluarkan kepada orang utama yang mengemukakan—

(a)

suatu notis bertulis, menghendaki pematuhan dalam tempoh yang dinyatakan dalam notis itu, sebagaimana yang difikirkan patut oleh pihak berkuasa tempatan, supaya ketidakpatuhan itu dibetulkan; dan

(b)

suatu arahan bertulis untuk menahan pengeluaran perakuan siap dan pematuhan sehingga ketidakpatuhan itu telah dibetulkan.

(24)

Jika arahan yang disebut dalam perenggan (23)(b) tidak dipatuhi oleh orang utama yang mengemukakan, pihak berkuasa tempatan sendiri boleh menyebabkan apa-apa kerja dilaksanakan atau apa-apa langkah diambil jika pihak berkuasa tempatan berpendapat bahawa kerja atau langkah itu adalah perlu untuk membetulkan ketidakpatuhan itu.

(25)

Kos melaksanakan kerja atau mengambil langkah yang disebut dalam subseksyen (24) hendaklah ditanggung oleh pemunya bangunan.

(26)

Amaun kos yang hendak didapatkan sedemikian oleh pihak berkuasa tempatan hendaklah diperakui oleh pihak berkuasa tempatan dan perakuan pihak berkuasa tempatan mengenai perkara ini adalah bukti muktamad mengenai perkara yang dinyatakan dalamnya dan tidak boleh tertakluk kepada apa-apa rayuan atau kajian semula dalam mana-mana mahkamah.

(27)

Mana-mana orang yang—

Jalan, Parit dan Bangunan 103

(a)

bukan orang utama yang mengemukakan tetapi mengeluarkan suatu perakuan siap dan pematuhan;

(b)

mengeluarkan suatu perakuan siap dan pematuhan tanpa borang yang berkaitan sebagaimana yang ditetapkan dalam mana-mana undang-undang kecil yang dibuat di bawah

Akta ini;

(c)

mengeluarkan perakuan siap dan pematuhan yang melanggar arahan yang diberikan oleh pihak berkuasa tempatan untuk menahan pengeluaran sedemikian sementara menunggu pembetulan apa-apa ketidakpatuhan;

(d)

dengan diketahuinya membuat atau menghasilkan atau menyebabkan dibuat apa-apa perisytiharan, perakuan, permohonan atau representasi palsu atau fraud apa-apa borang yang ditetapkan dalam mana-mana undang-undang kecil yang dibuat di bawah Akta ini;

(e)

menggunakan apa-apa perisytiharan, perakuan, permohonan atau representasi palsu, dipinda atau lancung apa-apa borang yang ditetapkan dalam mana-mana undang-undang kecil yang dibuat di bawah Akta dengan mengetahui bahawa perisytiharan, perakuan, permohonan atau representasi itu telah dipalsukan, dipinda atau dilancungkan; atau

(f)

menduduki atau membenarkan untuk diduduki apa-apa bangunan atau apa-apa bahagiannya tanpa suatu perakuan siap dan pematuhan, boleh apabila disabitkan didenda tidak melebihi dua ratus lima puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya.

104 Undang-Undang Malaysia AKTA 133

Kerja tanah

Section 70 — AKTA JALAN, PARIT DAN BANGUNAN 1974 | mylaw.my