Malaysia legislation
Section 48
Seksyen 48
Notis penggantungan
(1)
Dengan serta-merta selepas penggantungan sesuatu perakuan oleh pihak berkuasa pemerakuan berlesen, pihak berkuasa pemerakuan berlesen itu hendaklah menyiarkan suatu notis yang ditandatangani mengenai penggantungan itu dalam repositori yang dinyatakan dalam perakuan itu bagi penyiaran notis penggantungan.
(2)
Jika satu atau lebih repositori dinyatakan, pihak berkuasa pemerakuan berlesen itu hendaklah menyiarkan notis yang ditandatangani mengenai penggantungan itu dalam semua repositori itu.
(3)
Jika mana-mana repositori yang dinyatakan tidak lagi wujud atau enggan menerima penyiaran, atau jika tiada repositori sedemikian diiktiraf di bawah seksyen 68, pihak berkuasa pemerakuan berlesen itu hendaklah juga menyiarkan notis itu dalam suatu repositori diiktiraf.
(4)
Jika suatu perakuan digantung oleh Suruhanjaya atau mahkamah, Suruhanjaya atau mahkamah hendaklah memberikan notis sebagaimana yang dikehendaki dalam seksyen ini bagi pihak berkuasa pemerakuan berlesen dengan syarat bahawa orang yang meminta penggantungan membayar terdahulu apa-apa fi yang ditetapkan yang dikehendaki oleh repositori untuk menyiarkan notis penggantungan itu.
Penamatan penggantungan yang dimulakan dengan permintaan 49.
Suatu pihak berkuasa pemerakuan berlesen hendaklah menamatkan penggantungan yang dimulakan dengan permintaan—
(a)
jika pelanggan yang dinamakan dalam perakuan yang digantung meminta penamatan penggantungan itu, hanya jika pihak berkuasa pemerakuan berlesen itu telah mengesahkan bahawa orang yang meminta penggantungan ialah pelanggan itu atau ejen pelanggan itu yang diberi kuasa menamatkan penggantungan itu; atau
(b)
jika pihak berkuasa pemerakuan berlesen itu mendapati dan mengesahkan bahawa permintaan bagi penggantungan itu telah dibuat tanpa kuasa daripada pelanggan itu.
40
Undang-Undang Malaysia