Malaysia legislation

Section 11

of KAEDAH-KAEDAH CUKAI PENDAPATAN (HARGA PINDAHAN) 2023

Seksyen 11

(1)

Jika dalam suatu transaksi terkawal suatu harta tidak ketara dijual atau dilesenkan—

(a)

pemilik atau pemberi lesen hendaklah mengenakan suatu harga selengan; dan

(b)

nilai harta itu kepada pembeli atau pemegang lesen hendaklah merupakan manfaat yang dijangka akan dijana oleh harta tidak ketara itu.

(2)

Bagi maksud subkaedah (1), harga selengan untuk jualan atau lesen itu hendaklah ditentukan dengan memakai kaedah harga tidak terkawal boleh banding, atau dalam hal jika harta tidak ketara itu bernilai tinggi atau unik, kaedah pecahan keuntungan residual hendaklah dipakai.

(3)

Walau apa pun subkaedah (2), Ketua Pengarah boleh membenarkan pemakaian kaedah yang lain di bawah kaedah 6 jika kaedah yang lain itu memberikan tahap kebolehbandingan tertinggi antara transaksi.

(4)

Walau apa pun pemilikan sah harta tidak ketara, jika seseorang menyumbang kepada nilai harta tidak ketara melalui fungsi yang dilaksanakan, aset yang digunakan atau risiko yang ditanggung berhubungan dengan pembangunan, penambahan, penyenggaraan, perlindungan atau eksploitasi harta tidak ketara, orang itu hendaklah berhak kepada balasan selengan bagi melaksanakan aktiviti itu.

13

(5)

Jika seseorang yang bukan pemilik suatu cap dagangan atau nama dagangan menjalankan aktiviti pemasaran dan menanggung kos pemasaran cap dagangan atau nama dagangan itu melebihi daripada yang ditanggung oleh orang yang bebas yang boleh banding, orang itu hendaklah berhak kepada suatu balasan selengan bagi menjalankan aktiviti itu daripada pemilik cap dagangan atau nama dagangan itu.

(6)

Pemilik harta tidak ketara tidak berhak kepada apa-apa pendapatan yang boleh dikaitkan dengan harta tidak ketara itu jika dia tidak melaksanakan fungsi atau mengawal fungsi atau risiko yang berkait dengan pembangunan, penambahan, penyenggaraan, perlindungan atau eksploitasi harta tidak ketara.

(7)

Bagi maksud kaedah ini—

“harta tidak ketara” merujuk kepada aset yang bukan aset fizikal atau aset kewangan tetapi aset itu berupaya dimiliki atau dikawal bagi penggunaan dalam maksud komersial, yang penggunaannya atau pindahannya akan diberi ganjaran sekiranya ia berlaku dalam suatu transaksi di antara orang yang bebas dalam keadaan boleh banding yang termasuklah paten, ciptaan, formula, proses, reka bentuk, model, pelan, rahsia dagangan, kepandaian atau pemasaran tidak ketara;

“pemasaran tidak ketara” adalah suatu yang tidak ketara yang berkait dengan aktiviti pemasaran suatu harta atau perkhidmatan yang mempunyai nilai promosi yang penting bagi harta atau perkhidmatan itu yang termasuklah cap dagangan, nama dagangan, senarai pelanggan, hubungan pelanggan dan keempunyaan pasaran dan data pelanggan yang digunakan atau membantu dalam pemasaran dan penjualan harta atau perkhidmatan kepada pelanggan.

Faedah ke atas bantuan kewangan

Section 11 — KAEDAH-KAEDAH CUKAI PENDAPATAN (HARGA PINDAHAN) 2023