Malaysia legislation

Section 8

of PERATURAN-PERATURAN KAWALAN PRODUK MEROKOK DEMI KESIHATAN AWAM (KAWALAN PENJUALAN) 2024

Seksyen 8

(1)

Tiap-tiap pengilang atau pengimport produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau hendaklah mengemukakan permohonan secara bertulis kepada Ketua Pengarah bagi maksud penetapan harga runcit bagi apa-apa produk itu.

(2)

Dalam hal jika terdapat pengenaan atau perubahan kepada cukai eksais atau apa-apa cukai lain ke atas apa-apa produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau, tiap-tiap pengilang atau pengimport hendaklah mengemukakan permohonan untuk mengubah harga runcit dengan cara yang disebut dalam subperaturan (1) dalam masa tujuh hari dari tarikh pengenaan atau perubahan kepada cukai eksais atau apa-apa cukai lain ke atas produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau itu.

(3)

Kadar harga runcit yang dinaikkan bagi setiap produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau hendaklah, tertakluk pada kelulusan Ketua Pengarah, pada kadar sekurang-kurangnya sama dengan jumlah harga runcit sebelum kenaikan harga dan dicampur dengan jumlah keseluruhan cukai eksais dan apa-apa cukai lain dan jumlah itu hendaklah dibulatkan kepada sepuluh sen yang terdekat.

6

(4)

Ketua Pengarah boleh, apabila permohonan dibuat mengikut subperaturan (1) atau (2), meluluskan atau menolak permohonan itu dan sekiranya permohonan itu ditolak, pengilang atau pengimport yang berkenaan hendaklah diberitahu mengenai penolakan itu secara bertulis.

(5)

Tiap-tiap harga runcit yang diluluskan oleh Ketua Pengarah di bawah subperaturan (4) hendaklah berkuat kuasa pada tarikh kelulusan tersebut.

(6)

Tiada seorang pun boleh menjual atau menawarkan untuk jualan apa-apa produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau tanpa mempamerkan label harga runcit yang diluluskan oleh Ketua Pengarah dengan jelas pada setiap paket atau karton produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau.

Harga jualan minimum produk tembakau, dsb.

Section 8 — PERATURAN-PERATURAN KAWALAN PRODUK MEROKOK DEMI KESIHATAN AWAM (KAWALAN PENJUALAN) 2024