Malaysia legislation
Section 3
Seksyen 3
Tafsiran
(1)
Dalam Peraturan-Peraturan ini—
“fail keselamatan dan kesihatan” ertinya suatu fail yang mengandungi maklumat yang berhubungan dengan suatu projek sebagaimana yang dinyatakan di bawah peraturan 14;
“fasa pembinaan” ertinya tempoh masa apabila suatu kerja pembinaan bagi suatu projek bermula sehingga kerja pembinaan bagi projek itu selesai;
P.U. (A) 147 6
“fasa prapembinaan” ertinya mana-mana tempoh semasa apa-apa reka bentuk atau kerja persediaan bagi suatu projek itu sedang dijalankan, termasuklah semasa fasa pembinaan;
“kaison” ertinya suatu struktur yang dibenamkan melalui tanah atau air bagi maksud pengorekan dan meletakkan suatu kerja pada kedalaman yang ditentukan dan yang kemudiannya menjadi bahagian yang integral bagi kerja kekal itu;
“kenderaan” termasuklah apa-apa loji mudah alih yang dijadikan tersedia oleh kontraktor kerja pembinaan di tempat kerja;
"kerja pembinaan” ertinya pembinaan apa-apa bangunan, kerja kejuruteraan awam atau kerja kejuruteraan dan termasuklah—
(a)
pembinaan, pengubahan, penukaran, pepasangan, pentauliahan, pengubahsuaian, pembaikpulihan, penjagaan, penghiasan atau penyenggaraan termasuk pembersihan yang melibatkan penggunaan air atau pelelas pada tekanan tinggi, atau penggunaan bahan pengakis atau toksik, penyahtauliahan, perobohan atau perombakan, suatu struktur;
(b)
penyediaan bagi suatu struktur yang dirancang, termasuklah pembersihan, penerokaan, penyiasatan dan pengorekan tapak, dan pembersihan atau penyediaan tapak atau struktur untuk diguna atau dihuni setelah siap;
(c)
pemasangan elemen pasang siap di tapak untuk membentuk suatu struktur atau penanggalan elemen pasang siap di tapak yang sejurus sebelum penanggalan tersebut, membentuk suatu struktur;
(d)
pengalihan suatu struktur, atau apa-apa produk atau sisa akibat daripada apa-apa perobohan atau penanggalan suatu struktur, atau daripada penanggalan elemen pasang siap yang sejurus sebelum penanggalan tersebut, membentuk suatu struktur;
P.U. (A) 147 7
(e)
pemasangan, pentauliahan, penyenggaraan, pembaikpulihan atau pengalihan mekanikal, elektrikal, gas, udara termampat, hidraulik, telekomunikasi, komputer atau perkhidmatan seumpamanya yang biasanya kekal di dalam atau pada suatu struktur, tetapi tidak termasuk penerokaan, atau pengekstrakan, sumber mineral, atau aktiviti persediaan yang dijalankan di suatu tempat yang suatu penerokaan atau pengekstrakan itu dijalankan;
“klien” ertinya mana-mana prinsipal atau mana-mana orang yang baginya suatu projek dijalankan;
“klien domestik” ertinya seorang klien yang baginya suatu projek sedang dibina atau dijalankan, yang projek tersebut bukan dalam penjalanan atau pengembangan suatu perniagaan klien itu;
“kontraktor kerja pembinaan” ertinya mana-mana orang, yang dalam penjalanan atau pengembangan suatu peniagaan, membina, menjalankan, mengurus atau mengawal kerja pembinaan, tetapi tidak termasuk klien domestik;
“kontraktor prinsipal kerja pembinaan” ertinya mana-mana kontraktor kerja pembinaan yang dilantik oleh klien di bawah perenggan 7(1)(b);
“laluan trafik” ertinya mana-mana laluan bagi trafik pejalan kaki atau bagi kenderaan dan termasuklah apa-apa pintu, jalan keluar, ruang atau tanjakan punggah;
“maklumat prapembinaan” ertinya apa-apa maklumat dalam milikan klien atau yang munasabah boleh didapatkan oleh atau bagi pihak klien, yang relevan dengan kerja pembinaan dan pada tahap perincian yang wajar serta berkadaran dengan risiko yang terlibat, termasuklah—
(a)
apa-apa maklumat tentang projek, perancangan dan pengurusan projek dan bahaya keselamatan dan kesihatan, termasuklah apa-apa bahaya reka
P.U. (A) 147 8
bentuk dan pembinaan dan bagaimana bahaya itu akan ditangani; dan
(b)
apa-apa maklumat yang tersedia dalam mana-mana fail keselamatan dan kesihatan yang sedia ada;
“orang ditetapkan” ertinya mana-mana orang atau pekerja yang telah menyelesaikan kursus latihan keselamatan dan kesihatan pekerjaan dan mempunyai latihan dan pengalaman yang mencukupi atau pengetahuan berhubungan dengan kerja itu sebagaimana yang dikehendaki di bawah seksyen 31A Akta;
“pelan fasa pembinaan” ertinya pelan keselamatan dan kesihatan sebagaimana yang dinyatakan mengikut peraturan 13 atau 17;
“pengorekan” termasuklah apa-apa kerja tanah, parit, telaga, syaf, terowong atau kerja bawah tanah;
“pereka bentuk kerja pembinaan” ertinya mana-mana orang yang dalam penjalanan atau pengembangan suatu perniagaan—
(a)
menyedia atau mengubah suai suatu reka bentuk; atau
(b)
mengatur, atau mengarah, mana-mana orang di bawah kawalan mereka untuk menyedia atau mengubah suai suatu reka bentuk, yang berhubungan dengan suatu bangunan, struktur, produk atau sistem mekanikal atau elektrikal yang dihasratkan bagi suatu struktur tertentu;
“pereka bentuk prinsipal kerja pembinaan” ertinya mana-mana pereka bentuk kerja pembinaan yang dilantik oleh klien di bawah perenggan 7(1)(a);
“prinsip am pencegahan” ertinya prinsip pencegahan sebagaimana yang dinyatakan dalam Jadual Pertama;
P.U. (A) 147 9
“projek” ertinya apa-apa projek yang termasuk atau dihasratkan untuk termasuk suatu kerja pembinaan dan termasuklah semua perancangan, reka bentuk, pengurusan atau kerja lain yang terlibat dalam suatu projek sehingga selesai fasa pembinaan itu;
“reka bentuk” ertinya apa-apa lukisan dan perinciannya dan termasuklah apa-apa spesifikasi dan senarai kuantiti, termasuklah spesifikasi bagi apa-apa loji atau bahan, yang berhubungan dengan suatu struktur, dan apa-apa pengiraan yang disediakan bagi maksud reka bentuk itu;
“struktur “ ertinya—
(a)
apa-apa bangunan, kayu, batu, logam atau konkrit bertetulang, landasan kereta api atau sisian, landasan tram, limbungan, pelabuhan, navigasi pedalaman, terowong, syaf, jambatan, jejambat, kerja-kerja air, takungan, paip atau talian paip, kabel, akueduk, pembetung, kerja pembetungan, gasometer, jalan raya, lapangan udara, kerja pertahanan laut, kerja berkaitan sungai, kerja saliran, kerja tanah, lagun, empangan, tembok, kaison, tiang mercu, menara, pilon, tangki bawah tanah, struktur tembok penahan atau struktur yang direka bentuk untuk memelihara atau mengubah apa-apa ciri semula jadi dan loji kekal, atau apa-apa struktur yang sama atau serupa;
(b)
apa-apa acuan, penyangga, perancah atau struktur lain yang direka atau digunakan untuk menyediakan sokongan atau jalan masuk semasa kerja pembinaan, dan apa-apa rujukan bagi suatu struktur termasuklah sebahagian daripada suatu struktur;
“tapak pembinaan” ertinya mana-mana tempat yang kerja pembinaan bagi suatu projek sedang dijalankan atau tempat yang pekerja mempunyai akses, tetapi tidak termasuk mana-mana tempat kerja di dalam tapak yang ditetapkan bagi maksud selain kerja pembinaan;
P.U. (A) 147 10
“tempat kerja pembinaan” ertinya mana-mana tempat yang digunakan oleh mana-mana orang semasa bekerja bagi maksud kerja pembinaan atau bagi apa-apa aktiviti yang berbangkit daripada atau yang berkaitan dengan kerja pembinaan.
(2)
Bagi maksud Peraturan-Peraturan ini—
(a)
apa-apa rujukan kepada seorang pekerja hendaklah termasuk seorang pekerja dan orang yang bekerja sendiri; dan
(b)
apa-apa rujukan kepada suatu pelan, aturan, dokumen, laporan atau salinan hendaklah termasuklah suatu salinan atau versi elektronik yang—
(i)
boleh diperoleh semula atau dihasilkan semula apabila perlu; dan
(ii)
terpelihara daripada kehilangan atau campur tangan tanpa keizinan.