Malaysia legislation
Section 3
Seksyen 3
Dalam Peraturan-Peraturan ini—
“bahan kimia” ertinya—
(a)
bahan yang merupakan suatu unsur bahan kimia dan sebatiannya dalam keadaan semulajadi atau yang diperoleh melalui mana-mana proses pengilangan, termasuklah apa-apa bahan tambah yang perlu untuk mengekalkan kestabilannya dan apa-apa bendasing yang terhasil daripada proses yang digunakan, tetapi tidak termasuk apa-apa pelarut yang boleh dipisahkan tanpa menjejaskan kestabilan unsur itu dan sebatiannya, atau mengubah komposisinya; dan
(b)
campuran bahan kimia yang merupakan suatu campuran atau larutan yang mengandungi dua atau lebih bahan yang tidak bertindak balas, untuk kegunaan di tempat kerja, termasuklah aloi;
“bahan kimia berbahaya” ertinya suatu bahan kimia yang dikelaskan sebagai bahan kimia berbahaya di bawah peraturan 4;
“doktor kesihatan pekerjaan” ertinya seorang pengamal perubatan yang berdaftar dengan Ketua Pengarah untuk menjalankan program pengawasan perubatan pekerja;
“Helaian Data Keselamatan” ertinya suatu helaian maklumat yang dikemas kini yang dikehendaki di bawah Bahagian V yang mengandungi maklumat yang berkaitan dengan bahan kimia berbahaya;
P.U. (A) 310 8
“kata isyarat” ertinya suatu perkataan yang digunakan untuk menunjukkan tahap relatif keterukan bahaya dan memberi amaran kepada pembaca terhadap potensi bahaya bahan kimia berbahaya pada label seperti yang berikut:
(a)
“Amaran”, yang menunjukkan kategori bahaya yang kurang teruk; dan
(b)
“Bahaya”, yang menunjukkan kategori bahaya yang lebih teruk;
“kategori bahaya” ertinya pembahagian kriteria dalam setiap kelas bahaya yang menentukan keterukan bahaya sebagaimana yang dinyatakan dalam Jadual Pertama;
“kelas bahaya” ertinya sifat bahaya fizikal, kesihatan atau alam sekitar sesuatu bahan kimia berbahaya sebagaimana yang dinyatakan dalam Jadual Pertama;
“Nombor Pendaftaran CAS” ertinya Nombor Pendaftaran Perkhidmatan Abstrak
Bahan Kimia;
“pembekal” ertinya seseorang yang membekalkan bahan kimia berbahaya, termasuklah pembekal utama dan pembekal subsidiari;
“pembekal subsidiari” ertinya seorang pembekal yang membungkus semula, mengedar atau menjual secara runcit bahan kimia berbahaya;
“pembekal utama” ertinya seorang pembekal yang merumus, mengilang, mengimport, mengitar semula atau merumus semula bahan kimia berbahaya;
“penerima bahan kimia” ertinya seseorang yang menerima bahan kimia berbahaya daripada pembekal;
“pengecam produk” ertinya nama atau nombor yang digunakan pada label untuk memberikan suatu cara unik yang dengannya bahan kimia berbahaya boleh dicam dalam keadaan tertentu;
P.U. (A) 310 9
“pengelasan bahaya” ertinya hasil pengelasan bahan kimia yang terdiri daripada kelas bahaya dan kategori bahaya sebagaimana yang dinyatakan dalam Jadual Pertama;
“pengenalan bahaya” ertinya maklumat yang terdiri daripada pengelasan bahaya, kata isyarat, piktogram bahaya, pernyataan bahaya, pernyataan berjaga-jaga dan apa-apa bahaya lain yang bukan merupakan hasil pengelasan;
“pengilang” ertinya seseorang yang mengilang bahan kimia berbahaya untuk dijual atau untuk kegunaannya sendiri;
“pengimport” ertinya seseorang yang mengimport bahan kimia berbahaya untuk dijual atau ditukar, atau untuk kegunaannya sendiri, termasuklah ejen perniagaan;
“pernyataan bahaya” ertinya suatu pernyataan yang ditetapkan bagi kelas bahaya dan kategori bahaya yang memerihalkan sifat bahaya sesuatu bahan kimia berbahaya, termasuklah, jika berkenaan, tahap bahaya sebagaimana yang dinyatakan dalam Jadual Pertama;
“pernyataan berjaga-jaga” ertinya suatu ungkapan yang memerihalkan langkah yang disyorkan untuk meminimumkan atau mencegah kesan buruk akibat pendedahan kepada bahan kimia berbahaya, atau penyimpanan atau pengendalian bahan kimia berbahaya yang tidak wajar, sebagaimana yang dinyatakan dalam Bahagian 3
Tataamalan Industri;
“piktogram bahaya”, berhubung dengan pelabelan bahan kimia berbahaya, ertinya suatu komposisi grafik yang menyampaikan maklumat khusus tentang bahaya yang berkenaan sebagaimana yang dinyatakan dalam Jadual Kedua;
“Tataamalan Industri” ertinya Tataamalan Industri Mengenai Pengelasan Bahan
Kimia dan Komunikasi Hazard yang diluluskan oleh Menteri di bawah seksyen 37 Akta.
P.U. (A) 310 10